KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, April 25, 2011

Segarkan PAS: Dato' Husam teruja penyatuan pelbagai kaum dalam majlis perasmian Mesyuarat PAS Batu, kesinambungan sirah Nabi SAW



Pendekatan lunak PAS dengan semua organisasi masyarakat sebelum ini telah membawa PAS ke satu era baru di mana semua pihak menerima PAS dengan baik, kata Datuk Husam Musa. Justeru itu tegasnya, pimpinan dan ahli PAS jangan mengambil sikap mundur ke belakang setelah berjaya menawan hati sebahagian besar rakyat dan pengundi mutakhir yang memberikan sokongan dan dokongan mereka.

Bagi beliau, pendekatan ini adalah kesinambungan warisan perjuangan yang pernah dibawa Baginda Nabi Muhammad SAW. Husam yang juga AJK PAS Pusat berkata, dengan menggunakan pendekatan itu, terdapat ramai dalam kalangan anggota organisasi masyarakat dapat menerima Nabi dan begitu juga  dengan gerak kerja dakwah dan politik PAS.

Husam yang juga Exco Kerajaan Kelantan berkata, hasil awal sudah dapat dikecapi sehingga kini dengan pembentukan Pakatan Rakyat (Pakatan), perjuangan untuk menegakkan keadilan telah diterima oleh masyarakat terbanyak.

Menurutnya, paling jelas di dalam keputusan Pilihan Raya ke-12 (PRU12) lalu memperlihatkan kecenderungan nyata dan jelas dengan memberikan sokongan dan undi mereka kepada parti-parti teras yang hari ini berada dalam Pakatan.

"Jika PAS mundur kembali, sudah pasti tindakan itu bakal mengelirukan rakyat dan pengundi," tegasnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Batu kali 26, di sini Sabtu, 23 April lalu.

Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Cikgu Ishak Surin turut mengimbau kembali bagaimana perjuangan rakyat yang disertainya dalam usaha menuntut kemerdekaan negara dahulu berjaya menyatukan kaum Melayu, India dan Cina, yang dipimpin oleh tokoh besar Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

PAS Batu juga berbeza dengan kawasan lain, telah memperkenalkan satu pembaharuan dalam acara pra-perasmian, diadakan slot Pidato Khas yang disampaikan oleh pimpinan NGO dan pemimpin utama parti-parti Pakatan Rakyat dalam usaha mengeratkan hubungan politik yang sedia terjalin, ujar moderator majlis, Datuk Tarmizi Mohd Jam yang juga Naib Yang DiPertua PAS Kawasan.

Figur utama yang mengambil bahagian dalam sesi Pidato Khas itu ialah Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw; Naib Presiden Keadilan yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Naib Presiden PRM, Koh Swee Yong; Setiausaha Agung PSM, Arutcelvan; dan tokoh NGO Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) Sdri. Kohila.

Timbalan Pesurujaya PAS Wilayah, Ustaz Dr Mohd Ali Jamil pula melancarkan tujuh cawangan baru PAS dalam kawasan Batu dan menyerahkan bendera purnama sebagai lambang perjuangan kepada wakil-wakil cawangan berkenaan.

Tetamu lain yang hadir, bekas Menteri Tanah dan Wilayah, Datuk Dr Tan Kee Kwong; Setiausaha GMP, Hasni Abbas; YDP Jim Batu, Hassan Unir; wakil Gerakan Mansuhkan ISA, Aliza Jaafar; wakil Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri (JPN) Wilayah Persekutuan, Zakaria Aziz; Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Balendran; Timbalan YDP PAS Gombak, Cikgu Radzi, Pembantu Khas Dato' Dr Hasan Ali, Omar Setari; Setiausaha PKR Batu, Kamil Abdul Samad dan penulis prolifik, Haji Subky Latif.

Pengerusi Lajnah Pendidikan Muslimat PAS Pusat yang juga bekas calon PAS Pilihan Raya Kecil Dun Tenang, Cikgu Normala Sudirman turut hadir dan berucap mengenai isu penindasan minda dan perasaan terhadap golongan pendidik di negara ini.

Dalam mesyuarat itu, tiada sebarang pencalonan jawatan untuk pimpinan Pusat kerana Jawatankuasa PAS Kawasan Batu yang baharu diberi mandat oleh mesyuarat untuk berbuat demikian pada Mesyuarat Kerja Kali Pertamanya.

Sementara itu, Haji Subky telah diberikan Anugerah Jasamu Dikenang (gambar atas) memandangkan penglibatan besar beliau dalam menubuh dan mengasaskan PAS Kawasan Batu pada tahun 1984. Seramai tujuh orang aktivis PAS kawasan ini turut menerima Anugerah Aktivis Cemerlang 2010. Mereka ialah Mohd Nawi; Haji Abdul Kadir Tauhid; Haji Abdul Rahim Dahlan; Khairunas Moin; Abdul Manan Abdul Ghani; Zurina Din dan Zaminah Marzuki.`

PAS tetap pertahan Anwar Ibrahim: Selagi tiada bukti dan empat saksi yang sah mengikut syariat Islam



PAS akan terus membela Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim selagi tiada empat saksi dan bukti yang boleh menyabitkan beliau dengan tuduhan liwat mahupun zina seprti yang diuar-uarkan oleh media dan pemimpin Umno-BN ketika ini.

Ketika menegaskan perkara tersebut, Mursyidul Amnya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kebenaran patut dibela selagi tiada bukti yang konkrit untuk menyerat Anwar sebagai pesalah. Katanya, ada dua perkara patut diperhatikan iaitu Anwar dituduh melakukan liwat sejak 10 tahun dulu, tetapi tidak selesai kerana tiada bukti yang kukuh.


"Liwat ni orang buat dalam kelambu, nyamuk (pun) tak boleh masuk! Tiba-tiba bagaimana tuduh seorang manusia meliwat sedangkan kamu tak tengok. Kamu tuduh orang buat benda dalam kelambu, tentu mu (kamu) tak ada. Kalau mu (kamu) ada, tentu mu (kamu) kongsi sama.


"Kenapa kes Anwar diperlagakan sejak dari zaman Dr Mahathir Mohamad lagi? Tak habis-habis sampai sekarang. Sebab tak ada bukti. Saja dicari, buat-buat bukti ada, padahal tak ada," tegas beliau kepada Suhaimi Embong dalam satu interbiu eksklusif di Sarawak.

"Dalam video ni saya dengar sendiri ceramah daripada Ahli Parlimen Sungai Petani dia kata, kenapa tak tunjuk muka Anwar. Kalau video yang dia buat untuk menuduh Anwar, tentu fokus kamera itu mesti kat atas muka Anwar. Kenapa tak buat? Nak fokus macam mana, sebab bukan Anwar. Bila itu bukan orangnya, nak fokus macam mana? Dulu liwat, sekarang zina, yang mana sebenarnya?

"Orang yang tuduh zina, akan kena qazaf. Tak kena qazaf di dunia, akan dikenakan hukum qazaf di akhirat kelak. Saya boleh kata, bukan Anwar," tegas Menteri Besar Kelantan itu. Katanya, beliau akan membela sesiapa sahaja atas nama kebenaran, selagi tiada sabitan yang kukuh.

Gempaq dan mengejutkan dunia hiburan tanahair: 10 lagi artis dan selebriti bakal ikut jejak Bob Lokman



Seramai sepuluh seleberiti dan artis tanah air akan mengikuti jejak langkah penulis lirik terkenal dengan lagu Isabella, Bob Lokman yang menyertai PAS pada Februari lalu. Bob memberitahu para petugas Harakah sewaktu menyampaikan tazkirah Zuhor, Khamis lalu, artis dan selebriti berkenaan telah datang bertemu beliau membincangkan perkara ini. 

Mereka terdiri daripada finalis bintang program realiti Akademi Fantasia, pelawak, pelakon, pengarah filem dan dua orang selebriti TV. Bob yang menyebut satu persatu nama artis tersebut berkata, kebanyakan mereka sudah bersedia bersamanya malah ada sedang mendalami pengajian agama pada waktu ini.

"Bagaimanapun, mereka masih belum bersedia untuk mendedahkan diri mereka kepada masyarakat buat masa ini, kerana mahu menunggu masa yang sesuai untuk berbuat demikian. Mereka mahu mengikuti jejak langkah saya kerana tertarik dengan perjalanan hidup saya sekarang. Hasrat mereka itu telah dinyatakan sendiri oleh mereka kepada saya baru-baru ini secara jujur," katanya.

Cicit Tok Kenali itu berkata, artis-artis tersebut sangat tertarik dengan perjalanan hidup beliau sekarang, bahkan katanya, seorang artis daripada finalis Akademi Fantasia telah mengikuti beliau dengan berpakian memakai serban dan jubah. 

Tegasnya, untuk membolehkan seseorang artis itu meninggalkan dunia glamour seperti yang dilakukannya bukannya sesuatu yang mudah.  "Hendak mencari ketakwaan dan keimanan kena banyak berkorban, bukan setakat korban wang ringgit," katanya.

Oleh kerana itu katanya, beliau tidak mahu memaksa mereka sebaliknya biarlah sehingga mereka sendiri berasa selesa untuk mengikutnya sebagai pejuang agama Allah. Bob juga berkata, apabila semua artis itu dapat digabungkan beliau akan menganjurkan satu program bagi bertemu dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat untuk membincangkan bagaimana untuk mengaktifkan bidang seni menurut syiar Islam.

PAS cabar Profesor Datuk Dr Ramlah Adam jadi sahaja Ketua Wanita Umno, jangan rosakkan menara gading dengan hujah tin kosong


PAS kesal dengan kenyataan Dato' Prof. Dr. Ramlah Adam daripada Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM),  yang memberi amaran kepada belia supaya jangan menukar kerajaan yang sedia ada. 

Ramlah berpesan supaya tidak terperangkap dengan rancangan pihak tertentu yang bercita-cita untuk menghancurkan sistem pemerintahan yang sudah menabur bakti sejak 54 tahun lalu. Tokoh akademik pro-Umno itu berucap di Forum Perpaduan Negara Melalui Komunikasi dan Media di UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.  

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, menyifatkan kenyataan itu tidak layak dituturkan oleh seorang pensyarah Pentadbiran Awam yang mengajar pelajar-pelajarnya mengenai polisi pentadbiran awam dan sistem demokrasi yang jelas membenarkan rakyat membuat pilihan setiap kali pilihan raya.

"Apakah Ramlah buta sejarah demokrasi? Negara maju seperti Jepun dan United Kingdom yang bertukar kerajaan dan pemerintahan tidak mundur sebaliknya terus meluncur maju. Apakah kerajaan selain daripada BN bukan sejenis manusia? Apakah Ramlah tidak tahu Parti Demokratik Jepun (DPJ) menumpaskan Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah Jepun semenjak penubuhannya pada tahun 1955?

"Apakah Ramlah membayangkan United Kingdom sekarang sudah kembali kepada zaman batu sejak Parti Konservatif mengalahkan Parti Buruh pada 6 Mei 2010? Apakah Ramlah seorang yang buta maklumat mengenai pencapaian negeri-negeri Pakatan Rakyat, walaupun baru berusia tiga tahun berbanding dengan BN memerintah selama 54 tahun tetapi terus ungul dan maju," soal beliau.

Katanya, janganlah kerana tebalnya Umno dalam lubuk hatinya sehingga sudah tidak nampak kebenaran yang boleh dilihat secara akademik. PAS tegas Ustaz Idris, mahu menasihat kepada Ramlah agar jangan menjatuhkan taraf seorang ahli akademik semata-mata terikut-ikut dengan pegangan politik kepartaian yang sempit. 

"Kalau terus cakap macam itu, lebih baik jadi Ketua Wanita Umno Cawangan Seksyen 2 Shah Alam sahaja. Bukan seorang ahli akademik. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," tegas beliau.

Makin ramai berang dengan lidah tak rasmi Umno: Utusan Malaysia tak sesuai diberi percuma ke sekolah, apa faedahnya?



Kemampuan Utusan Malaysia dan Kosmo menjadi sumber maklumat yang mampu mendidik masyarakat telah lama dipertikaikan. Akhbar yang menjadi suara kepada kerajaan itu sering menimbulkan kontroversi dalam cara penyampaian maklumat yang tidak seimbang di samping meniupkan semangat perkauman dalam negara.

Terbaru adalah dengan menyiarkan gambar dan berita yang berkaitan dengan fitnah video seks yang membabitkan Ketua Umum Parti keadilan Rakyat, Dato Seri Anwar Ibrahim. Tokoh agama, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga menegur Utusan Malaysia cara penyiaran maklumat itu dibuat.

Apa yang menjadi isu sekarang ini, Utusan Malaysia dan Kosmo diagih-agihkan secara percuma ke sekolah-sekolah kerajaan untuk tatapan pelajar sedangkan maklumatnya mutakhir ini banyak memaparkan isu seks. Maklumat ilmu yang sepatutnya diperolehi dan diberi kepada pelajar telah bertukar kepada maklumat fitnah dan seks.

Menurut Eida Burn, 42, (gambar kiri) dia mahu supaya Kementerian Pelajaran mengkaji semula pemberian akhbar itu di sekolah kerana sering memaparkan maklumat yang berunsur seks dan fitnah. Katanya, apa yang diperlukan oleh pelajar adalah ilmu atau maklumat yang mampu membuat minda mereka berfikir ke arah kemajuan negara.

"Tetapi apa yang dikesalkan adalah laporan yang memalukan hingga ada anak saya yang bertanya berhubung dengan berita yang tidak bermoral seperti video seks yang heboh sekarang ini. Pelajar tidak memerlukan maklumat seperti ini kerana ia mampu membawa kekeliruan kepada mereka," katanya.

Kata beliau lagi, jika pelajar dimomokkan dengan berita seks dan mengaibkan seperti itu, ia mungkin akan melahirkan pelajar yang tidak berakhlak dalam penyampaian maklumat.

Sementara itu, Sisom Saliman, 45, (gambar kanan) pula melahirkan rasa malu terhadap media perdana itu yang sanggup menjadikan perkakas kepada pemerintah walaupun sedar "belum tentu" kebenarannya. Katanya, walaupun belum ada kesahihan tetapi cara penyampaian media itu amat dikesali hingga ada yang mempercayainya.

Menurutnya, adalah tidak wajar media seperti ini dijadikan bahan bacaan kepada pelajar kerana ia mampu menimbulkan suasana negatif. "Saya sendiri malu nak beli akhbar terbitan Utusan Melayu itu apatah lagi untuk dibawa ke rumah untuk tatapan keluarga. Akhbar sepatutnya menjadi media yang mampu mendidik masyarakat dan bukan menjadikan berita seks sebagai tajuk utama mereka," kata beliau.

Jelasnya, pihak pengurusan sesebuah akhbar sepatutnya melihat bagaimana sesebuah media mampu membina minda masyarakat dan bukan mengejar keuntungan semata-mata. Sisom berharap agar pengurusan Utusan membuat post mertem setiap berita dan maklumat yang disampaikan dan mengambil kira impak kepada masyarakat.

Bagi Abdullah Spontan, 27, (gambar kanan) mahu media menjadi sumber maklumat yang sihat untuk melahirkan genarasi yang mampu membawa negara kearah kegemilangan. "Berita yang menjurus ke arah pelajaran wajar dilebihkan tanpa terdapat unsur yang mampu membawa mereka ke arah perkara yang tidak baik. Pelajar sekolah sepatutnya menumpukan lebih pelajaran dan pengetahuan yang berguna dan bukan laporan yang tidak beretika dan tidak berakhlak," tegasnya.

Katanya, terdapat media perdana yang tidak beretika hingga menyiarkan berita yang tidak sepatutnya hingga boleh membawa kesan yang negetif kepada pelajar. Beliau mahu pelajar tahu peranan mereka sebagai penuntut untuk kegunaan dunia dan akhirat.

Jadi, katanya, janganlah ada pula media yang cuba merosakkan mereka dengan menyalurkan berita yang tidak bermoral sebagai bahan bacaan. Tegas Abdullah, Utusan sebagai media orang Melayu dan Islam sepatutnya berusaha mendidik pelajar dan bukan memesongkan pemikiran mereka dengan maklumat fitnah.

Muhammed Kamel Abdullah, 54, (gambar kiri) kesal dengan apa yang berlaku, dan beliau mahu media sedar apakah peranan surat khabar, siapa sasaran, apakah matlamat berita yg hendak disampaikan. Katanya, peranan akhbar antaranya adalah menyampaikan berita, di dalam dan luar negara dalam bentuk maklumat, hiburan, pembelajaran, ekonomi, sukan dan lain-lain.

Dalam konteks, ini katanya, Utusan Malaysia tidak mengambarkan keikhlasan berita yang dikeluarkan kerana ianya dilihat lebih menjadi lidah parti politik Umno. Jadi, tidak hairanlah, tegasnya, jika mereka sanggup berbohong, memfitnah agar mereka dapat memesongkn fikiran org yg tidak ada sumber lain untuk dijadikan secondary opinion.

Beliau berpendapat pemberian Utusan Malaysia secara percuma ke sekolah-sekolah adalah salah satu strategi pemerintah untuk kekal berkuasa, dgn harapan ibu bapa murid akan membaca dakyah mereka dan mengundi BN. "Jadi tujuan mereka bukanlah untuk memberi maklumat berupa ilmu pengetahuan kepada pelajar tetapi lebih kepada politik dan kepentingan pemerintah semata," katanya.

Rakyat mahu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan menyiasat kes misteri pembunuhan model Monggolia Altantunya Shaaribuu segera!


Pengakuan terbaru oleh Raja Petra Kamarudin berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia dengan fakta-fakta baru yang ditimbulkan menunjukkan tidak ada kesimpulan muktamad di dalam kes itu. Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin menegaskan satu Suruhanjaya Diraja harus ditubuhkan bagi membersihkan nama Perdana Menteri Najib Tun Razak yang terpalit dengan pembunuhan wanita terbabit, Altantunya.

"Saya ingat pendedahan Raja Petra satu lembaran baru dalam kes wanita Mongolia, Altantuya yang telah disebut bahawa seolah-olah telah membersihkan nama Najib Tun Razak," katanya kepada Harakah Jumaat lalu.

Tetapi, katanya lagi, perkara yang berkait dengan undang-undang masih lagi berjalan seperti kenyataan akuan bersumpah daripada Bala Subramanian. Jelasnya, ada dua akaun bersumpah antara memperincikan secara detil apakah peranan Najib dengan wanita Mongolia itu ketika bertemu di Singapura, serta beliau dikatakan ada hubungan seks dengan wanita terbabit.

"Perkara ini dijelaskan dalam akaun bersumpah Bala kemudian Raja Petra pun mengeluarkan kenyataan yang sama. Pada saya bila berlaku percanggahan seperti ini maka kita mendesak supaya Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan untuk menyiasat sama ada Perdana Menteri terlibat ataupun tidak dalam pembunuhan wanita Mongolia itu," jelasnya.
  
Tegas Shamsul, suruhanjaya perlu ditubuhkan kerana ia membabitkan nyawa seorang wanita kemudian dua orang komander iaitu pegawai peribadi isteri Perdana Menteri, Rosmah yang secara khusus terlibat. "Dan kita hendak tahu apakah motif sebenar pembunuhan itu. Siapa yang beri arahan? Dan ini boleh dijawab di dalam mahkamah misalnya ketiadaan saksi Musa Safri, yang memimpin dua orang pegawai ini," katanya. 

Seminggu lalu, sebuah televisyen swasta telah membuat temubual eksklusif bersama Raja Petra di Australia, dalam kenyataannya Raja Petra telah membangkitkan semula kes pembunuhan Altantuya. Ekoran kenyataan Raja Petra itu, Najib Tun Razak melahirkan rasa lega kerana pendedahan Raja Petra itu seolah-olah telah membersihkan namanya yang selama ini dikaitkan dengan pembunuhan wanita terbabit. 

Beriya-iya juak-juak Umno percaya dengan video tapi...: Video boleh jadi bahan bukti setelah ada empat saksi



Rakaman video seks seseorang yang didakwa berzina hanya boleh dijadikan bukti sokongan di Mahkamah Syariah dengan syarat utamanya mestilah disertai dengan empat orang saksi yang adil yang melihat perlakuan tersebut.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Mohd Zawawi Nik Salleh (gambar kanan) menegaskan, bagaimana pun video yang menjadi bukti sokongan itu mestilah dikenal pasti ketulenannya dan individu dalam video tersebut benar-benar orang yang dituduh.

Tambahnya, jika orang yang membuat tuduhan itu hanya menyertakan video semata-mata bagi membuktikan kebenaran perlakuan seks tersebut, ia tidak boleh diterima pakai dalam perundangan Islam kerana syarat utama ialah disertai empat orang saksi.

"Video hanyalah sebagai bahan sokongan kerana bahan utamanya ialah empat orang saksi. Memang tidak boleh diterima pakai jika hanya bergantung pada satu bukti sahaja iaitu video atau bahan-bahan lain," katanya sewaktu dihubungi.

Mengulas mengenai kenyataan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainol Rijal Abu Bakar video seks seseorang yang didakwa berzina boleh dijadikan bukti di Mahkamah Syariah, jelas Ustaz Nik Zawawi, sebagai peguam syarie, Zainol Rijal seharusnya lebih tahu mengenai undang-undang Islam.

Beliau turut berpendapat kenyataan Zainol Rijal itu menggambarkan seolah-olah beliau tidak faham dengan undang-undang Islam serta sistem kehakiman Islam yang mempunyai peraturannya, sebagaimana undang-undang sivil yang juga mempunyai peraturannya sendiri.

"Barangkali beliau sudah terlalu biasa dengan undang-undang sivil. Apabila bercakap soal agama beliau terikut-ikut dengan kaedah dan pendekatan undang-undang sivil. Saya ingin menasihatinya supaya membezakan sistem perundangan Islam dengan sistem perundangan sivil. Perundangan Islam ini datangnya daripada Allah yang mempunyai sistemnya sendiri yang tidak boleh direka cipta oleh manusia. 

"Allah telah menentukan kes yang membabitkan zina dan liwat mesti disertai empat orang saksi dan barulah kita boleh menuduh si polan bin si polan dan seterusnya barulah boleh membawa bukti sokongan," tegasnya.

Kenyataan Zainol Rijal itu turut disangkal Mufti Perlis,  Dr Juanda Jaya dalam satu kenyataannya yang berpendapat kenyataan tersebut 'menyeleweng' daripada prinsip Islam. "Jenayah zina hanya boleh dibuktikan dengan dua perkara sahaja iaitu pengakuan orang yang berzina dan pengakuan empat orang saksi yang adil yang melihat perlakuan zina itu.Bukti video atau gambar atau rakaman tidak diterima bagi jenayah zina. Pandangan beliau ini cukup menyeleweng," katanya.

Sehubungan itu, Dr Juanda meminta Zainol Rijal agar tidak menimbulkan salah faham kepada masyarakat umum. Dalam kenyataannya, Zainol Rijal mendakwa klip video boleh dijadikan sebagai bahan bukti untuk mendakwa seseorang melakukan zina sekiranya pihak pendakwa tidak boleh membawa empat orang saksi lelaki.

Rakyat hairan, tiba-tiba Najib mendakwa dia lega dengan kenyataan Raja Petra tentang bunuh Altantunya? Kenapa ya?



PAS hairan dengan senario politik mutakhir ini menyentuh isu pembunuhan model Mongolia, Altantunya Shariibuu yang dikaitkan dengan penglibatan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, apabila pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang diburu polis secara tiba-tiba muncul di saluran TV3 menafikan perkaitan tersebut.

Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perkara ini sengaja dijadikan fokus untuk membersihkan imej Najib sempena Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak yang sedang berlangsung.

"Raja Petra yang diburu polis selama ini tiba-tiba muncul di TV3 menafikan perkaitan Najib dan Rosmah. Tetapi ianya difahami Najib bahawa kenyataan tersebut berupaya membersihkan dirinya daripada tuduhan kontroversi itu," ujarnya kepada Harakah baru-baru ini.

Apa yang menghairankan, ujarnya lagi, Najib melahirkan rasa lega selepas temubual TV3 dengan Raja Petra disiarkan seolah-olah ianya telah berjaya membersihkan imej Presiden Umno itu dari terus dikaitkan dengan pertuduhan terlibat dengan pembunuhan Altantunya.

Kemudian, secara tiba-tiba pula, kata Ustaz Tuan Ibrahim, Najib boleh mengeluarkan kenyataan yang kononnya dirinya telah bersih daripada segala tuduhan tersebut hanya semata-mata disebabkan oleh satu kenyataan Raja Petra yang mendakwa beliau tidak pernah menuduh penglibatan mereka suami isteri dengan pembunuhan Altantuya.

"Tidakkah itu menghairankan dan sangat pelik?" soalnya. Beliau turut menggesa pihak polis agar menjalankan siasatan yang terperinci dan ianya bukan hanya bersandar kepada satu kenyataan yang disalahertikan oleh media pro-BN.

"Bagi saya, apa yang lebih penting ialah kita ada polis sebagai badan penyiasat. Di manakah mereka dalam kes ini kerana apa yang lebih utama ialah hasil akhir siasatan bukan kenyataan Raja Petra itu. Tak semudah itu imej Najib boleh dibersihkan" tegasnya lagi.

Ustaz Tuan Ibrahim berkata, sekiranya Raja Petra didapati membuat perubahan kepada akuan bersumpah yang diberikannya tiga tahun sebelum ini, maka beliau boleh dikenakan tindakan undang-undang. "Sekiranya didapati terdapat perubahan pada kenyataan Akuan Bersumpah yang dibuat Raja Petra tiga tahun lalu, maka pihak polis perlu mengambil tindakan ke atas perkara terbabit," tegasnya lagi.

PAS angkat suara dan peranan Muslimat dalam pilihan raya dan perjuangan Islam di negara ini



PAS menyifatkan dalam perjuangan pilihan raya melalui sistem demokrasi, 'suara' (undi) muslimin dan muslimat adalah sama penting. Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata dalam sistem pilihan raya dengan kelebihan satu undi juga dikira pemenangnya.

Katanya, mana-mana parti yang bertanding dikira menang meski pun dengan satu undi lebih tanpa mengira sokongan itu dari muslimin atau muslimat.

"Kita (PAS) perlu menyedari dalam perjuangan (demokrasi) pilihan raya ini 'suara' (undi) muslimat sama dengan suara muslimin. Ini kerana, satu undi lebih dalam pilihan raya, dia (mana-mana parti) menang dan tidak kira undi itu dari muslimin atau muslimat. Jika kita (PAS) lebih satu undi, kita menang," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Muslimat Negeri Terengganu (Himat) 2011 di perkarangan Masjid Rusila, Marang, 15 April lalu. Justeru itu, kata Ustaz Abdul Hadi menjadi suatu kewajipan yang besar kepada ahli PAS untuk menggantikan Umno dalam pilihan raya akan datang. 

Menurutnya, Umno dan BN menentang PAS bagi menghalang parti ini melaksanakan perintah Allah SWT. Umno-BN adalah parti kemungkaran besar dalam negara ini kerana mengekalkan sistem serta mempertahankan dasar-dasar penjajah, tegasnya.

"PAS hendak laksanakan kebajikan, kita hendak laksanakan perintah Allah Ta’ala. Mereka (Umno) lawan kita (PAS).  Marilah kita lawan Umno dengan keyakinan, dengan kepercayaan. Umno dan BN adalah parti kemungkaran yang besar dalam negara kita, yang mengekal dan mempertahankan sistem yang dibawa oleh penjajah," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa Umno yang bertanggungjawab melemahkan agama Islam serta menggalakkan maksiat berlaku dalam negara. Oleh itu, katanya, menjadi satu kewajipan besar kepada PAS menggantikan Umno semula setelah dijatuhkan tahun 2004 lalu.

"PAS mempunyai satu kewajipan yang besar untuk mengganti Umno, setelah PAS dijatuhkan pada 2004. Kewajipan yang sangat besar, bukan kewajipan yang kecil. Umnolah yang melemahkan agama Islam, Umnolah yang menghapuskan tulisan jawi, Umnolah yang menghidupkan hiburan dan menggalakkan anak-anak muda kita kepada maksiat. 

"Umnolah yang menjadikan negara kita 'dibanjiri' oleh kemungkaran (maksiat) sehingga anak-anak muda kita tenggelam dalam kemungkaran," ujarnya di hadapan lebih 5,000 hadirin.

Menurutnya, Umno-BN perlu ditukar-gantikan dengan PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya demi menyelamatkan bangsa, agama dan negara.

Hadir sama pada himpunan tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib dan seluruh Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Terengganu, Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Ketua Wanita Parti KeADILan Cabang Kuala Terengganu, Ruzita Ismail serta wakil-wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Pemimpin Umno macam cacing kepanasan, cemas siswa-siswi Al-Azhar tak sokong "dacing"!



PAS amat kesal dengan keputusan Kementerian Pelajaran mengenakan syarat baru yang menyukarkan pelajar yang ingin belajar agama di Universit Al- Azhar, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

"Kenapa perlu dipayahkan kepada mereka yang hendak belajar di Universiti Azhar? Sudahlah, sebelum ini kerajaan telah membatalkan program berkembar tiga tahun di Malaysia, setahun di Azhar," soal beliau.

Katanya, kerajaan juga telah membatalkan sijil-sijil yang dikeluarkan oleh sekolah atau pihak Jabatan Agama Islam Negeri-negeri, sebaliknya meminta supaya Universiti Al-Azhar  mengiktiraf sijil STAM sahaja. Usaha ini, tegas beliau, dibuat sebagai usaha hendak menyekat pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar. 

Kerajaan sedar pelajar yang belajar agama di Universiti Al- Azhar, lebih 90 peratus tidak menyokong Umno, walaupun ibu bapa mereka penyokong tegar Umno, ujarnya. "Apakah kerajaan nak berniaga pula dengan pelajar untuk belajar agama dengan mengadakan kursus bahasa Arab berbayar dengan alasan kerana lemah menguasai bahasa Arab?
  
Ustaz Idris berkata, kos belajar di Universiti Al-Azhar seolah-olah percuma sahaja, kenapa kerajaan nak membebankan pelajar dengan kursus behasa Arab berbayar?  Seperti sedia maklum mereka yang belajar di Azhar, kebanyakannya dari keluarga miskin kerana kos hidup begitu murah berbanding dengan negara Arab yang lain, ujarnya.

Jumaat, April 22, 2011

Anjakan baru PAS Batu: Pidato Khas lapan figur rakyat dahului perasmian Mesyuarat PAS Batu oleh Datuk Husam Musa

Datuk Husam Musa

Exco Kanan Kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa akan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Batu esok, Sabtu 22 April 2011 di Dewan Serbaguna, Taman Gombak, Jalan 2, laluan utama ke Taman Melewar dari arah Greenwood.

Menurut Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Datuk Tarmizi Mohd Jam (gambar kanan), seperti yang telah dimulakan tahun lalu, PAS Kawasan turut mengundang pelbagai pemimpin dan orang perseorangan dari parti-parti seperti PKR, DAP, PSM dan PRM serta beberapa NGO dan orang perseorangan. 

Katanya, sebelum Husam menyampaikan ucapan perasmian, satu slot Pidato Khas diperkenalkan bagi mengeratkan ukhwah antara tetamu dengan perwakilan dan pimpinan PAS Kawasan.

Seramai lapan figur yang akan menyampaikan pidato termasuklah bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Tan Kee Kwong; Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, YB Dr Tan Seng Giaw; Naib Presiden PKR, YB Tian Chua; Naib Presiden PRM, Koh Swee Yong; Setiausaha Agung PSM, Arutchelvan; Timbalan Pesurujaya PAS Wilayah, Ustaz Dr Ali Jamil, Exco Muslimat PAS Pusat, Cikgu Normala Sudirman dan tokoh NGO Jerit, Kohila. 
Dua anugerah akan disampaikan pada majlis perasmian yang bermula jam 9 pagi ini. Anugerah tersebut ialah "Anugerah Jasa Dikenang" dan "Anugerah Aktivis Cemerlang", ujar Tarmizi lagi.

Tetamu lain yang telah menyatakan persetujuan hadir esok, Pengerusi NUJ, Hata Wahari; Setiausaha GMP, Hasni Abbas; wakil SAF, Dinsman; wakil Paksi, Pyanhabib; wakil Suaram, E Nalini; wakil Jim, Hassan Unir; wakil Darurat Bahasa, Kassim Muhamad; wakil GMI, Aliza Jaafar; wakil JPN, Zakaria Aziz; Setiausaha PKR Batu, Kamil Abdul Samad; TYDP PAS Gombak, Cikgu Radhi, PA Dato' Hassan Ali, Omar Setari,  dan penulis prolifik, Haji Subky Latif.

Satu sidang media akan diadakan sebaik selesai upacara perasmian oleh Husam. Wartawan dan para blogger turut diundang bagi membuat laporan majlis perasmian mesyuarat agung tahunan kali ini.

Tegas Tarmizi, PAS Kawasan Batu terus menjalin hubungan dengan pelbagai rakan parti-parti dan NGO secara serius bagi mengerakkan kekuatan rakyat menurunkan BN dalam PRU-13 tidak lama lagi.

Saifuddin Nasution dan Khalid Samad di Taman Melewar, 22 April jam 9.30 malam


Setiausaha Agung KeADILan, YB Saifuddin Nasution dan Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Abdul Samad akan menerjeh ceramah rakyat di Dataran Markaz PAS Pusat Taman Melewar, malam ini Jumaat 22 April 2011 jam 9.20 malam.

Demikian makluman Yang Dipertua PAS Bukit Bintang kepada Sanggahtoksago.Com sebentar tadi. Orang ramai dijemput hadir bagi mendapatkan ulasan terkini berkenaan isu-isu semasa yang sedang m edak di negara ini.

Cikgu Ishak Surin, Datuk Suhaimi, Datuk Tarmizi dan Ustaz Azhar menang tanpa bertanding sebagai kepimpinan tertinggi PAS Kawasan Batu

Datuk Suhaimi, Datuk Tarmizi dan Cikgu Ishak serta Datuk Ismail (kiri) dalam satu Majlis Makan Malam dan Pemasyhuran Darjah "National Constructions of Cambodia (Gold Medal)" awal bulan ini.

Masing-masing mengekalkan jawatan diperingkat kawasan apabila mereka menang tanpa bertanding, setelah pencabarnya menarik diri dan memberi laluan mudah kepada penyandang jawatan. Inilah yang terjadi dalam PAS Kawasan Batu semalam, apabila jawatan Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua dan Ketua Urusan Ulama tidak dipertandingkan.

Menurut Setiausaha PAS Kawasan Batu, Datuk Ismail Yahaya (gambar kanan), keempat-empat jawatan tersebut tidak dipertandingkan kerana pencabarnya memberi laluan penuh kepada penyandang asal iaitu Haji Ishak Surin (Yang Dipertua); Datuk M Suhaimi Abdul Rahaman (Timbalan Yang Dipertua); Datuk Tarmizi Mohd Jam (Naib Yang Dipertua) dan Ustaz Azhar Yahya (Ketua Urusan Ulama).

Untuk jawatan Yang Dipertua, sebanyak tiga calon diutarakan. Sementara jawatan Timbalan Yang Dipertua dua calon dan Naib Yang Dipertua empat calon. Tiada pencalonan untuk mencabar jawatan Ketua Urusan Ulama kali ini.

Ismail berkata, mereka yang dicalonkan untuk keempat-empat jawatan itu, terlebih dahulu dihubungi melalui telefon bagi mengesahkan pencalonan atau menarik diri bagi jawatan-jawatan terbabit. Bagaimanapun, setelah dihubungi kesemua mereka menarik diri.

PAS Kawasan Batu akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya pada Sabtu 23 April ini di Dewan Serbaguna Taman Gombak dan akan dirasmikan oleh Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Datuk Paduka Husam Musa merangkap Exco Kanan Kerajaan Kelantan Darul Naim.

Dunia glamour gagal memacu arah hidup saya, ayuh ubah sistem yang merosakkan ummat di negara ini - Seleberiti Bob Lokman



Sebagai penggiat seni, akhirnya Bob Lokman patah ke pangkal jalan. Liku-liku dunia glamour yang menyelubunginya gagal memacu arah hidupnya mengikut kehendak Pencipta. Beliau mengucapkan selamat tinggal kepada dunia glamour dan mengaktifkan dakwah bersama ummat. Tersohor pencipta lagu, penulis lirik, pelakon dan pelawak, Mohd Hakim Lokman bertekad rebranding hidupnya untuk Allah dan sejak menyertai PAS masanya pagi, petang dan malam sarat dengan ceramah, pertemuan dan syarahan di seluruh pelusuk negara. Ikuti interbiu eksklusif Editor DATUK TARMIZI MOHD JAM dan wartawan INTAN ABDULLAH serta M SHAFRI SAMSUDIN bersama beliau.

Mengapa saudara Bob memilih PAS sebagai wadah perjuangan untuk berdakwah?

BOB LOKMAN: Sebabnya hanya kerana PAS sahaja pada masa ini yang mengamalkan amal ma'aruf nahi mungkar. Tabligh hanya amal ma'aruf sahaja. Rufaqa' hanya berkaitan ekonomi. Jadi masalah kita dalam Malaysia bukannya ekonomi, bukan masalah sembahyang, tetapi adalah masalah sistem yang membuatkan ekonomi, pendidikan, tidak Islamik. Begitu juga yang banyak merosakkan solat orang adalah sistem. Jadi, PAS sebagai wadah yang meperjuangkan Islam, yang ada kena mengena dengan politik dilihat berpeluang besar untuk mengubah sistem yang salah selepas digunakan dalam negara selama 53 tahun. Maka sebab itulah saya menyertai PAS.

Apa pula kesan sistem yang digunakan dalam negara kepada masyarakat selama ini?

Kesannya terlalu banyak. Contohnya dadah, buang anak, tidak jujur dalam pemerintahan kerana datang dari satu sistem pendidikan yang tidak kerana Allah. Hantar anak ke sekolah kerana niat mahukan dia pandai, mendapat pekerjaan yang bagus, bila besar nanti dapat rumah besar dan lain-lain bukan kerana Allah. Maka hari ini kita dapat cerdik pandai yang jadi pemerintah makan rasuah, yang peguam jadi pembunuh, yang jadi polis akan memukul orang tak tentu pasal. Ini berpunca daripada sistem pendidikan kita tidak kerana Allah. Begitu juga ilmu akademik yang diajar di sekolah tidak ditunjukkan secara langsung hubungannya dengan Allah. Jadi, bila niat bersalahan tidak kerana Allah, maka dapatlah kita bala dari Allah.

Berdasarkan hubungan saudara dengan artis, bagaimana mereka lihat perjuangan PAS?

Pertama, artis yang terlalu sibuk dengan urusan dunia. Mereka, sebenarnya tidak kisah hal politik. Sama ada PAS atau Umno, mereka tidak kisah. Mereka tidak ada kesedaran tentang itu. Kedua, ada artis yang mempunyai sikap penentangan kepada kerajaan kerana dia tahu isu-isu rasuah yang berlaku contohnya di RTM. Maka, mereka ini ada yang pro PAS atau pro Pakatan Rakyat. Tetapi sebahagian besar artis sebenarnya berpihak kepada BN. Terutama artis yang senang kita nampak, yang popular. Popular ini maksudnya senang dapat kerja, mewah dapat kerja maka dia merasakan kestabilan negara itu amat penting. Mereka ini melihat kestabilan negara adalah dari sudut ekonomi dan tidak pernah memikirkannya dari sudut agama. Mereka hanya jaga untuk sembahyang dia sahaja, sedangkan agama sebagai keseluruhan langsung mereka tidak fikir dan inilah cara pemikiran kebanyakan artis. Perbualan mereka hanya sekadar hal-hal dunia sahaja. Atau kalau keluar sikit daripada itu, adalah yang kena mengena dengan drama atau pembuatan filem. Nak masuk ke RTM dia tahu di sana ada banyak rasuah. Hanya bab itu sahaja mereka agak geram sikit. Tetapi masih menyokong kerajaan.

Artis semacam takut kalau PAS berkuasa hingga mereka merasakan seolah-olah perjuangan mereka dalam muzik akan terjejas. Ini macam mana...

Benda ini sebenarnya tidak sampai kepada mereka. Ada setengah yang taksub dengan dunia hiburan terutama perempuan ada yang berkata, "PAS kalau memerintah nayalah kita. Apa kita nak makan?". Sebenarnya sumber berkaitan ini hanya berdasarkan dua sumber sahaja iaitu pendapat artis itu sendiri dan kerajaan. Memang maklumat sebegini tidak sampai ke pengetahuan mereka. Hampir separuh terutama dari golongan muda tidak ada asas agama. Agama "samping hijau" yang saya panggil. Maknanya agama hanya dari sekolah rakyat semata. Dalamnya tiada, maka sebab itu mereka tidak terfikir ke mana sepatutnya arah mereka. Saya sendiri begitu juga dulu. Kita merasakan benda (dunia hiburan) yang kita lakukan satu tanggungjawab kepada negara sedangkan hakikatnya tidak. Sebagai contoh, dulu saya anggap muzik rock itu satu perjuangan tetapi sebenarnya tidak ada manfaat pun. Sama seperti orang cuci longkang, bawa teksi yang hanya mencari makan. Tetapi kononnya hasil itu daripada kreatif maka kita anggap ia sebagai perjuangan. Sebahagian besar yang memperjuangkan kreativiti itu sebenarnya lari akidahnya. Ini adalah kerana tidak bersandarkan kepada Islam dan tidak kembali kepada Allah. Pemikiran ini adalah kerana hasil yang dilahirkan 53 tahun BN memerintah dengan sistem yang ternyata gagal. 

Berdasarkan pengalaman dalam dunia hiburan, bagaimana artis "samping hijau" ini mempelopori dunia hiburan...

Hasilnya lagi ramai orang buang anak, dedah aurat, lebih banyak fesyen baru akan keluar, akan meriah lagi dunia hiburan. Apa yang nampak indah dunia di mata dan mandatangkan bala lagi banyak. Akan lebih besar dan lebih mahal tiket konsert serta lebih besar bala yang Tuhan akan beri.

Apa reaksi kawan-kawan terutama teman rapat bila saudara menyertai PAS secara rasmi?

Kawan yang rapat semua belum datang berjumpa saya. Mereka nampaknya tidak berani dekat. Mereka tidak menelefon saya. Yang jumpa gitu-gitu adalah. Yang Melayu kata alhamdulillah. Mungkin hanya itu sahaja yang dia hafal. 

Boleh cerita sedikit, punca saudara meninggalkan dunia hiburan?

Kesedaran timbul, bila saya lihat peguam bunuh arwah Sosilawati. Menteri menipu Perdana Menteri, Ketua Hakim bersara awal sedangkan dalam Islam tiada istilah bersara. Keadilan itu juga tidak terhenti. Mana logiknya jika orang sebegini pencen. Bolehkah takwa itu pencen pada pandangan Islam? Bolehkah iman itu pencen. Tentu tak boleh. Bagaimana Ketua Hakim Negara boleh pencen sedangkan mereka adalah orang yang tahu sistem keadilan negara. Mereka tidak dapat memberi sumbangan kepada orang lain apatah lagi kepada orang lain. Mereka yang tinggi ilmu dunia mereka jadi blank. Ini bermakna sistem yang ada salah. Jika begitu apa maknanya saya menghantar anak ke sekolah jika mereka dipencenkan sehingga tidak dapat memberi manfaat kepada negara. Ini kerana sistem ini, anak saya pergi ke mana pun ia akan pencen dan tidak memungkinkan kita beramal dengan "innamal a'malu bilniyat,". 

Jadi sistem yang ada tidak logik kerana tak dikembalikan kepada Allah...

Iya. Apa yang akan kita kata pada anak,"belajar rajin-rajin, bila besar kau jadi DO".  Jadi, ini adalah perkara yang mensyirikkan satu negara. Sistem yang ada juga berasal dari orang putih yang tidak ada tasawuf. Hanya fekah yang dikekalkan.  Islam perlu ada fekah dan tasawuf. Jika tidak kita akan lihat banyak kemusnahan. Ini yang membuatkan saya berfikir. Saya mengambil keputusan memberhentikan anak saya dari sekolah kerajaan, kemudian pasang niat semula dan hantar semula ke sekolah agama tahfiz. Jadi saya pasang niat kerana Allah untuk dapatkan ilmu Allah dan berjuang mempertahankannya. Jadi sebelum saya berdakwah kepada orang lain saya perlu berdakwah kepada keluarga terlebih dahulu.

Boleh saudara imbau kembali macam mana boleh terbabit dengan industri hiburan?

Dulu saya adalah orang yang follow mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad. Pada masa saya sekolah, Mahathir sedang menggalakkan kekayaan orang Melayu. Bila saya tamat tingkatan lima, saya terpengaruh kehendak Mahathir. Saya datang ke Kuala Lumpur kerana terpengaruh untuk mencari kekayaan. Saya bermula dengan membawa bas sekolah dengan gaji RM350. Pagi dapat gaji, petang dah habis. Gaji saya habiskan dalam satu hari kerana tidak cukup. Kemudian saya jual buah dengan keuntungan mencecah RM600 hingga RM700 sehari. Tapi tidak ada prospek dan saya terpaksa duduk di situ sahaja. Saya ambil keputusan berhenti jual buah. Saya duduk di Pertama Complex selama setahun dan melihat peluang yang ada. Saya lihat Cina berniaga. Kita nak berniaga tapi modal tak ada. Saya ambil kesempatan mana-mana Cina angkat barang, saya tolong. Jadi saya dapatlah upah RM3 hingga RM5. Maklumlah muda lagi. Sehingga saya jumpa bidang bahagian teknikal pengurusan konsert. Saya membabitkan diri dengan kerja ini dari gaji RM7 sehari hingga RM140 sehari. Kemudian saya nampak macam mana nak manage artis, tulis lagu semuanya mendatangkan duit.

Nak jadi kayalah puncanya...

Saya masuk bidang ini memang punca asalnya nak cari kekayaan. Kebetulan pada masa yang sama minat dalam hiburan memang telah lama ada. Tambah pula industri itu tengah meriah denga kumpulan Sweet Charity dan kumpulan lain. Bidang ini kena dengan jiwa serta duit pun dapat. Zaman itulah mulanya sistem royalti, collection daripada badan yang main lagu pada public. Ini menjadikan pendapatan agak lumayan sehingga mencecah RM300 ribu setahun.  Pokoknya duitlah segala-galanya. Pengurusan artis adalah sesuatu yang baru pada ketika itu. Mengurus artis juga perlukan daya fikir yang hebat. Dari situlah saya bermula sehingga terlibat dalam bidang lakonan. Maknanya dari belakang hingga ke depan tabir saya buat. Inilah yang membuatkan saya jadi mahir.

Selepas masuk PAS dan meninggalkan dunia hiburan adakah saudara masih menerima tawaran berlakon untuk watak-watak tertentu?

Saya telah mula menolak tawaran. Ini bukan soal PAS tetapi berkaitan soal takwa dan iman saya. Sebelum itu saya telah pergi belajar, talakin, menghadiri kelas agama, hikam dan belajar tauhid semula. Pada masa yang sama, ustaz yang mengajar memikirkan saya cari makan di situ, mereka meminta saya terus bekerja dalam bidang itu. Tetapi meminta saya jangan meninggalkan amalan dan ilmu. Masalahnya kita belajar kemudian berlakon memang tidak boleh kerana ada gangguan. Bila berlakon kita lihat aurat terbuka sana sini. 

Walaupun ada watak yang sesuai... 

Ya. Walaupun ada waktauk yang dianggap sesuai tetapi suasana persekitaran dan belakang tabir yang ada. Dengan tidak sembahyangnya, hingga ada ketika tergesa-gesa dalam sembahyang. Maka bila Ustaz Azri Musa mengajak saya menyertai PAS untuk satu baiah maka saya pun menyertainya. Sebelum ini pun semasa remaja memang saya selalu mengikuti bapa saudara saya aktiviti ceramah PAS. Bila saya isytihar masuk PAS, tawaran yang ada telah saya habiskan cuma ada tawaran dua shot yang kemudiannya saya lakukan untuk kali terakhir. 

Susun konspirasi, guna "saluran fitnah" pertahan kuasa: Helah Najib kelirukan anak-anak muda dengan pertemuan Facebooker dan Twitter



Ketika ini, generasi muda sedang bermesra dengan Twitter, Facebook dan Youtube, yang suatu ketika dahulu, peranan ini dimainkan oleh media massa khususnya media cetak, tv, radio dan blog. Kemesraan generasi muda yang mula mengundi buat kali pertama dalam PRU 13 dengan Twitter, Facebook dan Youtube ini cukup merisaukan. 

Apa tidaknya, Perdana Menteri (PM) Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak kini sedang menggunakan "alat" ini untuk mencari kawan-kawan, kononnya mahu membuktikan bahawa beliaulah PM yang paling dekat dengan generasi muda.

Padahal, ia sebenarnya lakonan. Mana mungkin generasi muda boleh dekat dengan PM sedangkan ketua-ketua Umno bahagian dan Ahli Parlimen BN pun, hanya boleh bertemu dengan Najib sekali, selepas dua tahun Najib menjadi PM.

Ingat, PM berjumpa mereka ini, dalam satu kumpulan enam orang, secara terbuka dan disertai Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta beberapa orang pegawai PM, bagi membuktikan PM tidak mudah untuk ditemui secara empat mata.

Jika PM ke Sarawak dan mengadakan jamuan minum petang dengan sekumpulan generasi muda yang dikatakan kawan FB, Twitter kepada PM, ia hanyalah satu lakonan dari seorang yang terlalu inginkan undi dalam pilihan raya.

Yang penting, Najib harus tahu, dua tiga ratus orang yang ditemuinya ini, tidak mungkin dikenalinya secara perseorangan, kecuali mahu memberi publisiti kepadanya sebagai seorang PM, beliau berusaha untuk bertemu dengan generasi muda, yang semakin sukar dibaca sifir politiknya.

Apakah dengan lakonan Perdana Menteri, seluruh anak muda yang terlalu mesra dengan Youtube, Twitter dan FB akan menyokong Najib dan menyokong BN? Walaupun itu bacaan Najib dan mereka yang menjaga Twitter dan FB pemimpin-pemimpin BN, hakikatnya terlalu jauh lagi untuk ini dijadikan kayu pengukur bahawa generasi muda ini akan menjadi penyokong BN.

Namun, Najib dan mereka yang terpaksa mengujudkan FB, twitter dan menggunakan youtube untuk diihat dekat dengan rakyat, hakikatnya sudah terlalu banyak yang rakyat tahu mengenai kepimpinan kerajaan. Saban hari rakyat membaca berita betapa besarnya kerugian yang kerajaan tanggung akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa kastam. Rakyat tahu jabatan kastam itu terletak di bawah Kementerian Kewangan dan menterinya ialah Najib sendiri.

Rakyat juga mendengar bagaimana kecohnya isu KOMSAS Interlok, hingga beberapa individu ditahan polis. Padahal isu itu, jika menteri yang bertanggungjawab pantas menyelesaikannya, ia tidak berpanjangan dan boleh diselesaikan segera, tanpa mengundang rasa tidak puashati mana-mana pihak.

Menteri yang bertanggungjawab terhadap isu ini ialah Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri. Apakah rakyat tidak tahu bahawa beberapa orang pegawai Imigresen sudah didakwa di mahkamah kerana isu rasuah? 

Siapa menteri yang bertanggungjawab menjaga Imigresen jika bukan Naib Presiden Umno, Dato' Seri Hishammuddin Hussein. Begitu juga dengan pelbagai isu yang melanda Kementerian Pertahanan walaupun menterinya, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terlepas dari isu orang Cina dan India kurang patriotik, menyebabkan mereka kurang menganggotai Angkatan Tentera.

Jadi, apakah generasi muda masih tergamam dengan lakonan Najib yang mahu menutup semua kelemahan ini, menjamu teh dan sedikit makanan, dengan alasan menemui mereka yang menjadi sahabat FB dan Twitternya?

Tidak semudah yang disangka. Generasi muda hari ini, khususnya mereka yang bermesra dengan Twitter, FB dan Youtube sebenarnya mempunyai corak pemikiran yang berbeza dengan cara berfikir mereka yang gagal menjaga Jabatan Kastam, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan dan Jabatan Imigresen.

Semua kelemahan ini bukan boleh ditutup dengan minum petang bersama Perdana Menteri, atas tiket sahabat FB dan Twitter, kerana dalam masa yang sama, rakyat mahukan ketelusan, kejujuran dan bukan mereka yang bergelumang dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Jadi, jangan sesiapa terkejut jika Hosni Mubarak di Mesir boleh hilang kuasa hanya kerana pengaruh media baru ini dan ia dimulakan seorang anak muda yang terlalu mentah dari segi usia dan pengalamannya. Inilah yang BN cuba lakukan. Semua menteri seperti diarahkan untuk mempunyai rakan-rakan FB dan Twitter seperti Najib sendiri.

Malangnya, kebanyakkan menteri tidak mampu membuat majlis dan jamuan seperti Najib buat dengan rakan-rakan FB dan Twitternya. Ini menunjukkan, hasrat Najib seperti gagal diterjemahkan oleh rakan-rakan sepasukannya.

Anak-anak muda sebenarnya laparkan maklumat. Generasi ini mencari maklumat seperti mereka mencari peluang pekerjaan. Pantang mereka dengar ada majlis, mereka akan cuba hadiri dan ikuti. Mereka akan terus mencari dan melayari – kerana mereka tahu, mereka tidak boleh bergantung kepada akhbar-akhbar milik penguasa.

Jangan terkejut jika jumlah edaran akhbar harian arus perdana merosot teruk. Ini kerana anak-anak muda sudah beralih angin. Mereka sudah menjadikan blog sebagai media untuk santapan minta mereka. Mereka boleh bertwit dengan sesiapa sahaja dan mereka boleh berfacebook dengan rakan-rakan FB mereka untuk mendapatkan sebarang maklumat yang mereka perlukan.

Jadi, keputusan PRU 13 akan datang, bakal ditentukan dengan pengaruh Twitter, Facebook dan Youtube. Walaupun pembangkang diserang begitu hebat oleh akhbar arus perdana, ia hanyalah kegemparan biasa dan tidak seperti dilanda tsunami. 

Namun, tsunami akan menyerang BN kali ini, dengan budaya berfacebook dan Twitter yang banyak membantu. Apakah terdaya semua pemimpin BN mengepung dan mengawal maklumat yang tersebar seperti tersebarnya virus H1N1 ini?

Tentulah jawapannya tidak. Jadi, apakah cara yang paling wajar bagi BN untuk mengekalkan kuasa – tidak lain ialah menggunakan "saluran fitnah" yang boleh mereka buat termasuk dengan video, media cetak, radio dan tv yang mereka kawal selain menyusun konspirasi.

Sumber: Catatan Safar Jumaat, penulis yang rapat dengan serambi kuasa Umno-BN.

Kempen berganda: Tingkatkan peranan dan perluaskan ruang media online hadapi Umno-BN dalam PRU-13!



Penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter dan juga blog dilihat medium paling penting masa kini. Media berpengaruh ini dikatakan sebagai kayu ukur dan penentu dalam kejayaan mana-mana parti dalam pilihan raya termasuklah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang sedang berlangsung. Sudah pasti parti-parti bertanding akan memanfaatkan sepenuhnya media untuk kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang juga 'blogger' percaya penggunaan media itu lebih dinamik menjelang PRU nanti. Ikuti temubual Wartawan SALMIYAH HARUN bersama beliau baru-baru ini.

Pada pendapat YB, adakah kempen di internet  khususnya melalui Facebook dan laman blog lebih dinamik menjelang PRU-13 ini? 

Sudah pasti. Saya nampak penggunaan media sosial ini lebih dinamik dalam PRU-13  berbanding pada Pilihan Raya Umum 2008. Umno-BN juga turut menggunakan media ini, walaupun mereka mempunyai media arus perdana tetapi mereka dapati mereka juga perlu berdepan melalui media alternatif ini. Dan dalam keadaan itu mereka tidak mempunyai kelebihan sewaktu mereka mempunyai media arus perdana. Jadi dia pun mengambil kesempatan untuk sama-sama memiliki media alternatif termasuk Facebook dan blog. 

Adakah blogger Umno dibayar? Pro Pakatan Rakyat macam mana?

Yang membezakan Umno-BN, mereka mampu membayar blogger-blogger profesional untuk menjalankan kerja-kerja kempen mereka sama ada di peringkat global international ataupun dalaman. Tetapi dari segi medianya ia tetap sama, begitu juga dari segi kekuatannya tetap sama. Dari segi jumlah dan kepakaran mungkin agak berbeza kerana ia bergantung kepada kos upah kepada pakar yang memberi perkhidmatan profesional. Sedangkan Pakatan Rakyat ini lebih ramai daripada kalangan yang freelance dan indipendent selain mereka yang buat secara sukarelawan dalam memanfaatkan media sosial ini termasuklah blog.

Jika PRU sebelum ini, pada tahun 1999 dan 2008 website dan blog dijadikan medan kempen cyber, dan penggunaannya telah memberi kemenangan kepada pembangkang dalam PRU 2008. Bagaimana kali ini?

Pada PRU ke-13 akan datang, ia agak berbeza kerana pihak Umno-BN pun menggunakan media alternatif dan di antara yang mereka akan lakukan termasuklah respons terhadap kenyataan dan artikel serta komen-komen di dalam blog Pakatan Rakyat. Selain membuka dan menambahkan blog mereka sendiri, dan ini sudah tentu saingan bertambah sengit. Ini juga memerlukan penelitian oleh pembaca-pembaca blog yang menginginkan maklumat yang lebih tepat dan sahih kerana sumber-sumber itu boleh dipertikaikan. Kalau kita bercakap sesuatu di dalam blog kita, akan ada orang memberi komen dan mempertikaikan tidak boleh dibiarkan. Misalnya ada pembaca mempertikaikan kerajaan Pakatan Rakyat... kita kena terangkan berdasarkan sumber yang kita ada. Inilah yang membezakan suasana tahun 2008 dan PRU akan datang. 

Cabaran makin besar sebab Pakatan Rakyat juga memerintah...

Ya. Kita kena ingat PRU akan datang, kita juga akan diserang berhubung dasar-dasar yang kita laksanakan di negeri-negeri yang kita perintah iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Dulu kita hanya menjadi sebagai penyerang dan tidak banyak untuk menjelaskan  dasar-dasar yang kita laksanakan tetapi sekarang ini di dalam suasana yang kita sedang lalui ini, misalnya empat buah negeri akan dijadikan bahan untuk diserang dan dikritik oleh BN. 

Sejauh mana YB lihat keberkesanan Facebook dan Twitter khususnya yang semakin diminati sehingga negara ini mempunyai 9 juta pengguna Facebook, sedangkan maklumat yang disampaikan tidaklah selengkap sebagaimana di dalam blog?

Penggunaan media sosial ini mempunyai had, tetapi hakikatnya ia tetap merupakan media yang berkesan daripada Facebook dan Twitter berbanding blog. Ia menjadi sebagai pintu untuk membawa kepada artikel yang lebih rancak dan panjang. Facebook ini adalah pintu kepada medium lain seperti blog dan Youtube, di mana ia melengkapkan maklumat yang hendak disampaikan. Misalnya maklumat yang dimasukkan ke FB walaupun ia tidak selengkap blog tetapi di'attach' bersama dengan visual daripada Youtube di samping gambar-gambar ia secara tidak langsung menjadi medium yang cukup lengkap dan sudah tentu ia bertambah berkesan. 

Adakah Pakatan Rakyat akan menggunakan sepenuhnya medium seperti Facebook dan Twitter dalam kempen PRU ke-13?

Semestinya begitulah, sejauh mana ianya akan berjaya, ia banyak bergantung kepada kemampuan kita. Walaupun media itu sama, tetapi dari segi kita membayar, melantik dan menggajikan golongan profesional yang sepenuh masa, hanya duduk mengadap blog semata-mata, ianya mungkin satu perkara yang tidak mampu berbanding Umno BN. 

Ledakan "Revolusi 13" mampu ubah minda rakyat hadapi fitnah dan tohmahan gerila cyber-trooper Umno-BN serang Pakatan Rakyat



"Revolusi 13" perlu dimanfaatkan oleh Pakatan Rakyat dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat di negara ini disamping menangkis serangan fitnah yang dilakukan oleh cyber-trooper Umno-BN, tegas, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohamed Fadzli Hassan (gambar kanan bawah).

Katanya, pemukiman bloggers yang diadakan di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur dan pelancaran "Revolusi 13" menunjukkan mereka sanggup mengambil tanggungjawab bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang. 

Sekarang ini, katanya, Umno menggunakan bloggers yang menyokong mereka sebagai alat, apabila mereka tahu blog mempunyai pengaruh di kalangan masyarakat.

"Kita tidak kisah dari sudut itu. Cuma apa yang kita kesalkan blog Umno ini menggunakan cara tidak demokratik dan sebarkan fitnah untuk menyerang dan jatuhkan Pakatan Rakyat. Khususnya, kita lihat apa yang dilakukan oleh blogger Umno di Kelantan, seperti Papa Gomo dan blog yang pro Umno-BN yang lain," katanya. 

Fadzli juga mengalu-alukan kesedaran di kalangan bloggers yang cenderung kepada Pakatan Rakyat untuk mengambil tanggungjawab menyampaikan maklumat dan mematahkan fitnah jahat pihak Umno-BN. Jelasnya, dengan ini beban menyampaikan maklumat dan menangkis serangan melalui maya akan ditanggung bersama.

Jadi, kata beliau, setiap pihak mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing dengan harapan bloggers Pakatan Rakyat akan bersama, bersatu pandangan dan mengenal musuh mereka.

Fadzli juga meminta semua bloggers Pakatan Rakyat mengelakkan pertelingkahan antara satu sama lain dan menumpukan tugas menjelaskan hal yang sebenar kepada rakyat dan pada  masa yang sama menangkis serangan blog atau cyber-trooper Umno yang tidak bermaruah.

Beliau juga menjelaskan, "Revolusi 13" diwujudkan untuk memanfaatkan ruang siber bagi menukar pemikiran masyarakat dan menyedarkan rakyat tentang penyelewengan yang dilakukan oleh Umno-BN.

"Revolusi bukanlah bermaksud menggunakan kaedah yang tidak demokratik tetapi ia adalah revolusi minda yang menggunakan ruang siber, kerana kita nampak ia sangat berkesan menyampaikan maklumat di dalam negara sekarang ini," ujarnya.

Fadzli juga gembira dengan tag line "Revolusi 13" iaitu "Selamatkan Rakyat, Bebaskan Malaysia" yang akhirnya menyatukan bloggers Pakatan Rakyat untuk bersama melawan dakyah yang dilakukan oleh Umno/BN.

Katanya, menjadi harapan beliau agar usaha ini ada peningkatan dan dibuat secara berterusan serta tersusun untuk menjatuhkan Umno/BN.

Revolusi yang paling kuat ialah revolusi internet yang menyaksikan kejatuhan kerajaan di Mesir dan Tunisia dengan penyebaran maklumat yang disalurkan kepada rakyat membuatkan rakyat di negara berkenaan bangkit menuntut hak mereka bagi menegakkan sebuah kerajaan yang adil.

"Rupanya walaupun kita tidak berjihad dengan mengangkat senjata, jika kena caranya, internet mampu menjadi gelombang menyedarkan rakyat bagi menumbangkan sebuah kerajaan yang zalim," jelasnya lagi.

Kesanggupan bloggers Pakatan Rakyat mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat adalah sumbangan yang terlalu besar dan beliau mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sanggup bekorban masa dan wang ringgit demi menegakkan sebuah negara yang adil, tegas Fadzli.

Pada 2 dan 3 April lalu, pemukiman blogger rakyat telah mencetuskan "Revolusi 13" yang diketuai Editor Berita Harakah, Datuk Tarmizi Mohd Jam dan dibantu 13 exco dari kalangan blogger bagi menggerakkan "perang" maya terhadap fitnah dan dakwah gerila cyber-trooper Umno-BN.

Perang gerila maya jadi ancaman baru kepada sang diktator - Ketua Penerangan PAS Pusat



Percambahan media baru menjadi satu lagi ancaman kepada mana-mana diktator dalam semua negara termasuk Malaysia kata, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar kanan bawah). Malah, katanya, percubaan untuk menyekat maklumat tiba kepada rakyat selama ini, sudah pun bolos dengan wujudnya media baru yang cepat, pantas dan bermaklumat.

Beliau berkata, kewujudan media baru seperti  laman sosial Facebooks, blog, Twitter, Youtube dan lain-lain cukup bahaya terutama kepada Umno-BN.

"Dalam konsep negara ini, mereka tidak boleh lagi menjadi pembohong di dada media perdana yang dikawal mereka selama ini. Ini kerana kewujudan media online ini sudah menjadi satu ancaman baru. Kalau dulu mereka boleh menipu melalui media elektronik dan media perdana mereka tetapi dalam beberapa saat sahaja media baru akan membuat satu penjelasan dengan memberikan maklumat yang sebenar," tegasnya ketika dihubungi di Tanjung Datu, Sarawak, Khamis lalu.

Kata Ustaz Idris, ini merupakan satu bentuk ancaman kepada kerajaan yang  menguasai negara negara ini. 

"Sebab itu kita mengharap media online ini jangan cuba disekat walaupun ada beberapa cubaan untuk menghalang peranan media baru ini melalui cadangan beberapa akta daripada Suruhanjaya Multimedia bagi menyekat maklumat-maklumat daripada pengetahuan umum disalurkan oleh internet. Tetapi kita yakin usaha itu tidak akan berjaya," katanya.

Ustaz Idris berkata, mungkin mereka boleh menyekat media tetapi dengan kemampuan media baru pada hari ini kerajaan tidak mampu berbuat demikian untuk membunuh informasi.

Maklumat dan diskusi siber kuasai minda pengundi: Sejauh mana politik baru didominasikan Pakatan Rakyat?



Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dijangka menyaksikan satu senario baru 'mediated politic' atau persaingan politik yang memerlukan rencaman kepelbagaian bahan-bahan diskusi di ruang siber. Ketua Pengarang portal berita Malaysiakini, Fathi Aris Omar (gambar kiri bawah) berkata, perkara tersebut disebabkan beberapa faktor yang kian dinamik perubahannya dan ianya berlaku di mana-mana tempat sahaja.

"Trend global yang meletus sekarang melibatkan perpindahan bahan-bahan diskusi dalam bentuk tradisional dan baru," jelasnya baru-baru ini. Bagaimana pun katanya, perkembangan tersebut lebih tertumpu kepada kawasan bandar, khususnya diminati golongan muda serta mereka yang celik teknologi maklumat.

"Tidak dapat dinafikan media baru seperti laman sosial Facebook, Twitter dan sebagainya dilihat lebih berkesan kerana ianya lebih cepat disebarkan, ringkas serta mudah difahami. Namun ianya terbatas kepada beberapa faktor seperti lebih bertumpu kepada golongan muda yang berumur kurang daripada 40 hingga 45 tahun, ruang liputan internet yang terhad iaitu hanya di kawasan bandar serta dimanfaatkan oleh mereka yang tahu menggunakan teknologi maklumat," katanya.

Jelasnya lagi, di sebalik kelemahan dan keterbatasan yang dimiliki media baru, Fathi mengingatkan kepada semua pengamal media agar mendalami ilmu dan pengetahuan teknikal mengenai laman web bagi menangkis segala bentuk serangan pihak musuh dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Kalau berdepan dengan Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak kali ini pun, kami di Malaysiakini diserang dengan teruk, inikan pula Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Saya meramalkan persaingan akan menjadi lebih sengit, panas dan kita akan berdepan dengan tindakan digodam oleh pelbagai pihak," tegasnya.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak yang mengendalikan laman media alternatif agar mempelajari kaedah untuk mempertingkatkan sekuriti laman-laman web berkenaan. "Ia memerlukan kos yang agak tinggi untuk berdepan dengan risiko yang tidak menentu," katanya lagi.

Fathi menyarankan agar parti-parti politik yang terlibat melipat gandakan usaha dan mengambil inisiatif untuk mencari kaedah sebaran yang terbaik bagi memastikan keberkesanan bahan-bahan yang dimiliki supaya ianya sampai ke sasaran pengundi.

Penggunaan internet naik kepada 41 peratus: Apakah ledakan maklumat bakal ubah BN kepada PR dalam PRU-13?



Penggunaan Internet di Malaysia meningkat kepada 41 peratus pada 2010 daripada 25 peratus pada tahun sebelumnya, demikian menurut hasil kajian Nielsen Mobile Insight Malaysia 2010 yang dikendalikan oleh The Nielsen Co (M) Sdn Bhd.

Pengarah perkhidmatan pelanggan dan capaian pelanggannya Luca Griseri berkata penggunaan Internet tertinggi dicatatkan di kalangan kumpulan muda yang berumur antara 20-24 tahun dengan enam daripada 10 merupakan pengguna Internet.

"Kumpulan ini membesar dengan Internet dan menghabiskan masa pada purata 22.3 jam dalam talian seminggu," kata beliau pada taklimat media di sini Rabu.

Griseri berkata tujuh daripada 10 (72 peratus) pelanggan berkata, liputan yang lebih baik merupakan faktor utama dalam menentukan kepuasan keseluruhan penyedia perkhidmatan Internet (ISP), diikuti dengan kelajuan yang lebih baik (54 peratus), perkhidmatan kualiti lebih baik (40 peratus) dan kadar yang lebih baik (39 peratus).

Hasil kajian itu juga mendapati mobiliti merupakan pertimbangan utama untuk langganan kepada jalur lebar mudah alih di mana bahagian pasaran bagi saluran ini bagi penyambungan Internet berganda daripada 20 peratus pada 2009 kepada 54 peratus pada 2010, katanya.

Beliau berkata jalur lebar tetap bagaimana susut kepada 42 peratus daripada 65 peratus pada tahun sebelumnya, manakala bagi sistem dial hampir ketinggalan dengan hanya peratus pelanggan berbanding 13 peratus pada 2009.

Griseri berkata jalur lebar mudah alih mendapat lebih bahagian pasaran, komputer riba dan netbook merupakan peranti yang paling kerap digunakan untuk mengakses Internet (55 peratus), diikuti desktop (34 peratus) manakala telefon mudah alih (11 peratus). Bernama melaporkan, Kajian Nielsen itu dikendalikan antara Oktober dan Disember tahun lepas dan meninjau hampir 4,000 pengguna di seluruh negara mengenai penggunaan telefon mudah alih dan Internet.