KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Disember 31, 2007

Wahai Pemimpin! Kemewahan Dirimu Bukanlah Kehebatanmu


By DR. MOHD ASRI ZAINAL ABIDIN (mSTAR)

SAYA terbaca dialog yang menarik antara khalifah yang sangat adil iaitu Umar bin ‘Abdul Aziz dan penasihatnya yang jujur Rajak bin Haiwah. Kata Rajak bin Haiwah: Ketika ‘Umar bin ‘Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, beliau pernah berkata kepadaku: “Wahai Rajak! pergi belikan untukku sehelai baju”.

Aku pun belikan untuknya sehelai baju yang bagus, harganya lima ratus dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ianya murah”.

Selepas beberapa tahun beliau menjadi khalifah. Suatu hari beliau berkata kepadaku: “Belikan untukku sehelai baju”. Maka aku membeli untuknya sehelai baju yang murah lagi amat sederhana, harganya hanya lima dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ianya mahal”.

Aku kehairanan, bagaimana mungkin baju yang aku beli untuknya di Madinah beberapa tahun lalu dengan harga lima ratus dirham dianggap murah dan baju yang aku beli sekarang dengan harga hanya lima dirham dianggap mahal.

Perasaanku tersentuh dengan perkataan beliau dan aku pun menangis. ‘Umar bin Abdul Aziz bertanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Rajak?. Kataku: “Perkataanmu wahai Amirul Mukminin, bagaimana mungkin engkau menganggap baju yang lepas yang berharga lima ratus dirham murah, dan baju sekarang yang berharga lima dirham mahal?.

Kata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz: “Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya.

Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, alu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya”. (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).

Demikianlah jiwa seorang pemimpin yang mencatatkan sejarah keadilan kepimpinannya dengan tinta emas. Dia hanya memerintah selama dua tahun, tetapi dia mengukir namanya dengan penuh keindahan di persada sejarah yang tidak kunjung padam.

Hubungan jiwanya dengan habuan kekal yang diharapkan di sisi Allah pada hari akhirat kelak telah menjadikan kepimpinannya penuh dengan keadilan dan rahmah Allah yang mencurah-curah.

Sekalipun pakaiannya hanya dari kain murahan, tetapi keadilannya tidak dapat dibeli dengan apa-apa harga pun. Sejarah tidak pernah mengenangkan kemewahan harga baju atau kediaman seorang pemerintah dengan kenangan indah. Bahkan dalam sejarah, sikap suka bermewah-mewah pemerintah menggunakan harta rakyat telah banyak menghasilkan mimpi ngeri dan babak hitam bagi kehidupan rakyat jelata. Namun sejarah indah hanya akan mengingati keadilan dan amanahnya seorang penguasa, sekalipun bajunya buruk.

Lihatlah tampungan yang ada di baju Khalifah ‘Umar bin al-Khattab r.a., namun jiwa rakyatnya tidak pernah berlubang seperti bajunya. Amanah dan keadilan meliputi pemerintahannya. Entah berapa ramai pemimpin yang baju mereka megah dan mewah, namun jiwa dan perasaan rakyat mereka sentiasa terkoyak dan carik.

Kesilapan besarlah seorang pemimpin jika merasakan dia dihormati kerana gaya mewahnya yang menjulingkan mata rakyat. Dia lupa pemimpin dihormati kerana jasa, prihatin, amanah dan keadilan pemerintahannya. Bukan kerana kenderaannya yang mewah, atau rumahnya yang megah, atau paip dan curutnya yang panjang, atau isterinya yang berhias permata berlian atau cermin matanya yang pekat hitam sehingga dia buta penderitaan rakyatnya. Tidak! Demi sesungguhnya tidak.

Itu semua hanya menimbulkan curiga, prasangka dan kedengkian perasaan yang memburukkan kasih-sayang antara orang bawahan dan atasan.

Saya tidak pernah menyeru agar pemimpin Dunia Islam hidup dalam kemiskinan, atau kelaparan, atau memakai pakaian yang buruk dan tinggal di rumah yang nak roboh, atau berkenderaan yang cabuk. Tidak, bukan demikian. Mungkin gaya yang hebat juga diperlukan untuk politik zaman kini yang terpaksa menghadapi persaingan musuh-musuh yang berbagai. Mereka boleh bermewahan jika itu adalah harta mereka yang halal, bukan rasuah atau salahguna kuasa.

Mereka boleh memakai dan memiliki apa yang mereka mahu, jika itu semua datang dari sumber yang Allah redha untuk mereka. Saya pun tahu, ada pemimpin-pemimpin yang sememang berharta hasil dari usahanya sendiri. Bahkan kekayaan sesetengah pemimpin melimpah untuk rakyatnya dengan keikhlasan dan kasih-sayang.

Perlis barangkali antara contoh yang baik dalam hal ini. Namun di sesetengah negara dan negeri, ke’ranggi’an pemimpin yang bergaya dengan hartanya menimbulkan kejengkelan dalam jiwa rakyat yang melihat. Sehingga seakan perlambangan seorang pemimpin itu, bukan kerena kewibawaannya, atau adab dan karismanya, atau keadilannya, sebaliknya adalah harta dan kekayaannya yang ditunjuk-tunjukkan kepada orang ramai.

Rumah pemimpin dikenali bukan kerana dipenuhi rakyat yang mengadu hal derita mereka, tetapi kerana pagarnya yang besar, dan kemewahan luar dan dalamnya. Kereta pemimpin dikenali bukan kerana kerap sampai ke tempat rakyat, tetapi kerana luar biasa harganya. Isteri pemimpin dikenali bukan kerana adab dan sopannya terhadap rakyat, tetapi kerana gaya ranggi dan hiasan diri yang mahal-mahal.

Maka sesetengah pemimpin merasakan dirinya berada pada kasta yang tinggi dan rakyat pula pada kasta bawahan. Maka wakil rakyat ada yang bertukar menjadi ‘tokeh rakyat’. Jika hal ini berlaku, politik kedengkian pun akan subur dan terus merebak lalu umat ini terus bergolak.

Saya terbaca dalam Musannaf Abi Syaibah riwayat yang menceritakan apabila dibawa kepada Saidina ‘Umar harta rampasan Maharaja Kisra Parsi yang begitu banyak dan menakjubkan, maka beliau pun menangis. Lalu ditanya kepadanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Amirul Mukminin, padahal hari ini adalah hari kesyukuran, kegembiraan dan keseronokan”.

Jawab ‘Umar: “Tidak ada kaum yang banyak pada mereka benda ini (harta) melainkan Allah campakkan di antara mereka permusuhan dan kebencian” (8/147). Islam bukanlah anti harta, tetapi Islam memusuhi penyalahgunaan harta dan kemewahan yang mengheret kemusnahan. Masyarakat Islam perlu kaya, tetapi kekayaan yang membawa kekuatan kepada umat, bukan hanya untuk keborosan individu. Jika ramai yang kaya tetapi tidak berbakti kepada umat, untuk apa kita berbangga dengan kekayaan mereka?.

Jika pemimpin menjadikan harta dan gaya mewah teras kekuatannya, bukan keadilan dan kewibawaannya, maka insan-insan munafik dan pelahap harta pun akan mengelilinginya. Dia dikelilingi kerana habuan yang diharapkan. Dia dipuji kerana harta yang boleh diberi. Dia akan sukar menemui insan jujur yang sudi menegur tanpa minta dibalas dan menasihati kerena ikhlas.

Maka kesilapannya tidak dibetulkan, kesalahannya tidak diingatkan. Lalu dia tenggelam dalam pujian dusta dan khianat, kerana setiap yang ada di kelilingnya tidak pernah berfikir tentang nasib pemimpin mereka di akhirat nanti, sebaliknya hanya berfikir tentang untung mereka di dunia. Jika ada tokoh berlebel agama di sekitarnya pun, tidak akan berfungsi jika harta yang dicarinya. Akhirnya, ulama hanya mainan orang politik, bukan orang politik dipandu oleh ulama.

Allah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 66-68: (maksudnya) Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”.

Justeru itu dalam hadis baginda menyebut: “Sesungguhnya ALLAH meredhai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredhai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepadaNya dan tidak menyekutukanNya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali ALLAH kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang ALLAH jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah) (Riwayat Malik dalam al-Muwatta`).

Hari ini, banyak sukatan dan ukuran telah berubah. Ramai manusia yang tidak memiliki idealisma atau karisma kepimpinan muncul menjadi pemimpin hanya kerana hartanya, atau kem politiknya yang telah berjaya, lalu dia pun dibakulkan sekali. Apabila seseorang naik dalam politik kerana hasil umpan hartanya semata, tentu dia inginkan pulangan modalnya.

Maka rasuah dan politik wang akan berluas-luasa. Jika dia naik dalam politik kerana ketajaman idealisma dan karismanya, maka sudah pasti dia ingin membuktikan kemampuan pemikiran yang bernas itu untuk dimanfaatkan masyarakat. Maka rakyat mendapat pulangan faedah yang besar dari pemimpin yang berwibawa dan berkarisma, tetapi akan terpaksa membayar harga yang tinggi terhadap pemimpin yang diangkat kerena umpan hartanya.

Maka akhirnya nanti, golongan Ruwaibidah akan menguasai masyarakat. Al-Ruwaibidoh adalah satu istilah yang diguna pakai oleh Nabi s.a.w. untuk menggambarkan satu golongan yang akan muncul menjelang kiamat. Mereka adalah kelompok yang tidak berkualiti tetapi ingin berbicara persoalan besar.

Sabda baginda: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh.

Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui oleh Al-Zahabi.

Maka menjadi tanggungjawab rakyat dan kepimpinan negara memastikan setiap tokoh yang akan dilantik adalah kerana kewibawaannya. Karisma atau kewibawaan itu dirujuk kepada dua persoalan asas; pertama; persoalan pegangannya kepada agama secara menepati al-Quran dan Sunah.

Ini kerana kemuliaan umat ini mempunyai kaitan yang tidak boleh dipisah dengan penghayatan seseorang terhadap ajaran Allah dan RasulNya. Kedua; kemampuannya dalam memegang amanah kepimpinan dalam ertikata mampu memimpin umat ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat.

Bukan semestinya lebai atau ustaz, tetapi iltizam dan keupayaan. Bukan kemewahan hartanya, atau lebar serbannya, tetapi kewibawaannya. Firman Allah: (maksudnya) “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).

Amatlah dukacita bagi sebuah masyarakat yang apabila disebut perkataan pemimpin politik lalu terus terbayang dalam pemikiran kebanyakan orang tentang limpahan hartanya dan gaya mewahnya, bukan ketajaman mindanya atau keprihatinannya kepada rakyat. Sebenarnya, kita pun suka pemimpin yang kaya berharta, jika itu semua membolehkannya membantu rakyat khususnya kaum muslimin.

Namun hendaklah kekayaan adalah hasil dari titik peluhnya sendiri atau usahanya yang tidak mencemarkan kepentingan harta rakyat. Jika itu dapat dilakukan, dia bukan sahaja memimpin idea yang baik, juga penderma yang membawa kebaikan untuk rakyatnya. Kekayaan pemimpin mesti untuk manfaat rakyat.

Maka dengan itu dia dipilih di samping kewibawaannya juga kerana kesudiannya menghulurkan bantuan, bukan membisneskan harta rakyat. Dalam Musannaf Abi Syaibah juga meriwayatkan surat Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab r.a. kepada gabenornya Abu Musa al-Asy’ari r.a., antara isinya: “Sesungguhnya pemimpin yang paling bahagia ialah mereka yang menyebabkan rakyatnya bahagia, dan pemimpin yang paling celaka ialah yang menyebabkan rakyatnya celaka. Jaga-jaga engkau jangan bermewah-mewahan, nanti pegawai-pegawaimu juga akan bermewah-mewahan”. (8/147)

Maka seorang pemimpin itu mestilah mempunyai penasihat-penasihat yang baik. Mereka menasihatinya dengan jujur, dan hendaklah selalu dia berkata “berikan pendapat yang ikhlas lagi diredhai Allah kepada saya” Sabda Nabi s.a.w.: “Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat).

(Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan ALLAH. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Semua pemimpin hendaklah memastikan perdampingan dengan penasihatan yang baik itu benar-benar dihayati dalam kepimpinannya. Inilah jalan selamat setiap kepimpinan. Umara jujur hendaklah selalu bersama para ulama yang ikhlas. Keikhlasan para ulama menyuburkan keadilan pemerintah. Maka haram dan khianatlah ulama jika mereka mengampu sehingga pemimpin terbuai nyenyak dalam kesalahan.

Terkini: Pemimpin Kanan MCA Yang Terbabit Dalam DVD Lucah Hampir Dikenalpasti!

Wajah pemimpin kanan MCA yang dikaitkan dengan lakonan panas DVD Lucah sekitar Tangkak, Muar dan Batu Pahat makin mudah dicam!

By ROSLAN SMS

DALAM kita memperkatakan darihal klip video VK Lingam dan klip audio Benazir rupanya muncul pula satu klip video, kali ini dalam bentuk DVD yang "panas".

Panas kenapa, kerana ia bukannya calang-calang DVD, ianya DVD sebagaimana dilaporkan oleh Utusan DVD "aksi seks" pemimpin politik.

Menurut Utusan lagi DVD itu mengandungi adengan hubungan seks antara seorang pemimpin politik nasional berasal (bukan bertanding sahaja) dari Johor dengans eorang wanita berusia 20an tahun.

Saya pada awalnya menyangka ia melibatkan aksi pemimpin dari Umno, tetapi apabila membaca laporan bahawa DAP mendesak agar PM menyiasat kes ini, saya mula merasakan ianya membabitkan pemimpin dari masyarakat Cina.

Lalu saya mengubungi rakan Cina saya dan beliau mengesahkan perkara itu dan malah mengesahkan juga bahawa ia membabitkan seorang pemimpin MCA dari Johor bertaraf Menteri.

Dah tua-tua pun masih nak buat perangai hodoh begitu, lebih kurang kata saya kepada kawan saya itu. Kami ketawa, ya mungkin kerana beliau mudah memperolehi VIAGRA dari kementeriannya!

Dulu pemimpin MIC, kini MCA dan saya dapat tahu (ini saya belum sahkan) terdapat juga gambar lucah seorang pemimpin kanan Pemuda Umno yang mahu didedahkans edikit masa lagi. Rasuah, salahguna kuasa dan kini peranagi pula hodoh, apa lagi yang tiada pada BN?

Perang Besar Antara Radzi dan Shahidan Yang Agresif?

By TARMIZI MOHD JAM

SHAHIDAN sudah memanggil Mesyuarat Khas Badan Perhubungan Umno Negeri Perlis pada 30 Dis 2007, Ahad lalu. Ia diadakan pada sebelah malam bagi membincangkan agenda tersirat Radzi Shekh Ahmad.

Radzi yang juga Setiausaha Agung Umno secara terbuka mendakwa terdapat krisis dalam Umno Perlis yang berpunca dari soal kepimpinan. Katanya, Shahidan mesti ditukar dan digantikan dengan Menteri Besar yang baru.

Ini amat mengejutkan Shahidah. Tetapi pemerhati politik berpendapat isu kepimpinan Shahidan adalah api dalam sekam yang bakal membenamkan Umno Perlis dalam pilihan raya ke 12 nanti.

Setiausaha Perhubungan Umno Perlis, Datuk Che Sulaiman Shapie dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Isnin tadi, menafikan Umno Perlis bergolak sebaliknya memperakukan bahawa jentera parti kini berada dalam keadaan terbaik dan amat bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

Mesyuarat Khas itu turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau; Timbalan Ketua, Naib Ketua, Ketua Wanita, Ketua Pemuda Umno Bahagian Padang Besar dan Kangar serta Ketua Puteri Umno Bahagian Padang Besar dan Arau.

Sekaligus, keputusan itu menempelak Radzi selaku Setiausaha Agung Umno dan sudah tentulah "perang besar" bakal tercetus antara Razdi dan Shahidan selepas ini!

Razdi Mahu Shahidan Kassim Ditukar, Menyebabkan Umno Perlis Kucar-Kacir!

Apakah agenda Radzi selaku Setiausaha Agong Umno meminta MB Perlis, Shahidan Kassim ditamatkan kepimpinannya di negeri sekangkang kera itu?

PETIKAN AGENDADAILY

MEREKA yang tahu banyak pasal UMNO Perlis biasanya tidak ambil kisah sangat kalau ada dengar desas desus yang melayang mengenai hubungan antara Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim dengan Menteri Hal Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Bukan rahsia lagi keduanya tidak begitu ngam. Diperingkat UMNO Pusat Radzi yang juga Setiausaha Agung UMNO ialah orang kanan parti.

Namun di negeri Perlis sekalipun berstatus ahli parlimen Kangar beliau cuma ahli biasa dalam UMNO Bahagian itu. Di Perlis Shahidan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri ialah bos.

Dalam susunan kepimpinan UMNO yang begitu Radzi dikira ‘pemimpin kecil’ dalam kontek UMNO Perlis berbanding Shahidan.

Sungguhpun begitu apa yang dikatanya menjadi besar kerana kedudukannya sebagai seorang Menteri Pusat apa lagi dengan jawatannya sebagai Setiausaha Agung UMNO.

Walaupun hubungannya kedua mereka agak dingin tetapi tiada siapa menduga Radzi boleh ‘meletup’ secara terbuka menghentam Shahidan seperti yang berlaku semasa satu majlis di Kangar Sabtu.

Insiden seorang Menteri Pusat yang juga Setiausaha Agung UMNO menghentam Menteri Besar dari negerinya sendiri belum pernah berlaku dalam sejarah UMNO.

Ini yang menjadi kejutan bila Radzi mendakwa UMNO Perlis kini berada dalam keadaan kucar kacir dan sesama ahli tidak bersatu di ketiga-tiga bahagian iaitu Kangar,Arau dan Padang Besar.

Beliau mendakwa puncanya ialah kepimpinan Shahidan.Katanya mengikut pandangan peribadinya sudah sampai masanya harus ada Menteri Besar baru Perlis.

Juga dakwanya sebahagian besar ahli-ahli UMNO di negeri itu mahu perubahan Radzi menyatakan hal ini dalam sidang akhbar selepas Majlis Gerak Kerja Pilihan Raya anjuran UMNO Bahagian Padang Besar di Bukit Keteri.

Katanya soal keputusan nak ganti atau tidak Shahidan dengan orang lain terletak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Soalan ini berbangkit semasa sidang akhbar itu setelah para wartawan yang hadir di majlis itu dengar sendiri Radzi mengkritik Shahidan ketika berucap di majlis berkenaan sebelum itu dan ingin mendapat penjelasan lanjut darinya.

“Mesti ubah Menteri Besar…dia ketua... kalau tak ubah Menteri Besar, tak bolehlah ubah kepimpinan…you duduk macam tu juga.

“Terpulang kepada PMlah…bukan saya nak ubah…saya fikir ..saya tengok sudah sampai masanya,”katanya.

Beliau menjelaskan ‘sudah sampai masanya’ itu kerana kini sudah menjelang pilihanraya.

"Saya nampak sebagai Setiausaha Agung UMNO …UMNO Perlis ni tak bersatu kerana kepentingan padahal negeri kecil ada tiga (UMNO) bahagian saja. Radzi mendakwa beliau menyatakan ini semua bukan kerana ada apa-apa kepentingan tetapi ingin melihat UMNO Perlis utuh.

“Saya sebagai Setiausaha Agung UMNO nampak semuanya. Tiada langsung kerjasama di antara ketiga-tiga bahagian ini malah dalam satu bahagian pun tiada kerjasama antara sesama mereka,’’ katanya.

‘‘Ia amat penting kepada saya . Berpuak-puak bukan amalan dalam UMNO. UMNO Perlis dilihat bermusuh seolah-olah mereka berada dalam parti lain,’’ katanya.

Radzi berkata, beliau terpaksa membuat kenyataan secara terbuka kerana melihat tahap kerjasama antara pemimpin parti di ketiga-tiga bahagian berkenaan begitu buruk.

‘‘Bukan saya nak tunjuk hebat. Saya tidak pernah buat cerita macam ini. Saya buat kenyataan ini kerana saya nampak apa yang berlaku sebagai setiausaha agung parti sejak empat tahun lalu.

“Kalau sampai tiada kerjasama dan berpuak-puak maka ia perlu dibuat perubahan, kalau tidak UMNO Perlis akan hancur.

‘‘Saya tak mahu pergi kepada pembangunan, ekonomi atau pengurusan pentadbiran tetapi kepimpinan politik di negeri ini, cukuplah,” katanya.

Hadir sama di majlis itu ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Azmi Khalid dan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar Datuk Zahidi Zainol Abidin.

Menariknya di Perlis ketiga-tiga ahli parlimen,Radzi,Azmi selaku ahli parlimen Padang Besar dan Datuk Syed Razlan Jamalullai ahli parlimen Arau ialah ahli biasa dalam Umno bahagian masing-masing.
UMNO Bahagian Kangar diketuai oleh Bakri Datuk Ali,Arau Shahidan manakala Padang Besar Zahidi.

Radzi ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Kangar manakala Azmi bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar.

Hubungan Shahidan dengan Azmi dan Syed Razlan juga dikatakan agak ‘kurang’.

Zahidi pula pernah bersengketa dengan Shahidan satu masa dulu tetapi kini hubungan mereka dikatakan sudah pulih.Zahidi yang juga ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Beseri telah melepaskan jawatan Exco Kerajaan Negeri waktu itu.

Apapun sumber UMNO Perlis memberitahu Agendadaily hubungan Shahidan dengan kepimpinan UMNO di ketiga-tiga bahagian baik peringkat Pemuda,Wanita dan Puteri adalah mantap dan tidak bermasalah.

Ini yang membuat sumber berkenaan hairan bagaimana Radzi boleh mendakwa UMNO Perlis kini berada dalam teruk sekali.
Dalam pada itu beberapa ahli UMNO di negeri itu juga hairan bagaimana Radzi selaku Setiausaha Agung UMNO boleh membuat kenyataan terbuka begitu.

Menurut mereka selaku orang lama dalam politik dan pentabir utama di ibupejabat parti beliau tentu tahu implikasi dari tindakan seumpama ini lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya sekarang.

Salah seorang dari mereka berkata kalau ada pun ada rasa tak puas hati ia harus dibincangkan secara tertutup di peringkat atasan.-

Khairi Terpaksa Singkir Tengku Adnan Di Putrajaya?

Jika Khairi tidak bertindak sekarang, menjadi ahli parlimen dan kemudiannya dilantik menteri, kemungkinan harapannya untuk menjadi PM pada masa depan buntu dan pitam!

By TARMIZI MOHD JAM

DI MANAKAH Tengku Adnan Mansor, Menteri Kebudayaan & Perlancongan akan terpelanting dalam pilihan raya umum ke 12 nanti jika Putrajaya ditandingi menantu anak Badawi, Khairi Jamaluddin?

Tengku Adnan, kini ahli parlimen Putrajaya yang dikaitkan dengan isu panas Konspirasi Mencatur Hakim dalam video klip Linggam kini berdepan dengan politik gelap.

Menurut sumber, Khairy kini sedang mempersiapkan diri untuk bertanding di Putrajaya bagi mengelakkan "kesuntukan masa" beliau dalam Umno mengejar kedudukan.

Ini ekoran kedudukan mentuanya, anak Badawi yang lemah dan dhaif dalam mengelolakan pentadbiran parti dan negara.

Jika, ditakdirkan anak Badawi ini tumbang, kehidupan Khairi bagaikan kupang tembaga dan anak muda bercita-cita tinggi itu, pastinya akan diratah oleh Najib yang "terpaksa" menyembunyikan dendamnya kini.

Siapa Pemimpin Kanan MCA Dalam DVD Lucah Bersama Gadis 20-an?

Siapakah antara pemimpin kanan MCA ini yang terbabit dalam DVD lucah edaran misteri di sekitar Muar, Batu Pahat dan Tangkak? Sungguh memalukan dan mengaibkan anak Badawi, Khalifah Islam Hadhari.

By TARMIZI MOHD JAM

MB Johor enggan mengulas. Presiden MCA, Ong Ka Ting juga tidak mahu memberi komen. Mungkin isu ini diperingkat "kejutan". MCA terkejut. Begitu juga sekutunya Umno.

Ramai juga yang menerima DVD lucah seorang pemimpin kanan MCA yang mudah dicam, raut mukanya. Ia diedar percuma oleh pihak yang tidak diketahui. Tentunya, musuh politik pemimpin berkenaan yang mahu melihat beliau jatuh tersungkur.

Tetapi, oleh kerana tiada laporan polis dibuat setakat ini, maka nama beliau tiada siapa berani mengumumkan dan pihak polis juga tidak boleh membuka kertas siasatan. Ia dijangka tidak berlarutan kerana ramai yang boleh menghidu siapakah pemimpin kanan MCA tersebut?

Ketua Penerangan Umno Johor, Fuad Zarkasi meminta pemimpin kanan MCA itu meletak jawatan segera atau menafikan atau mengaku sahaja kerana ia amat memalukan dan mencemar imej BN dan sekutunya Umno yang beramal dengan ajaran Islam Hadhari.

DVD yang didakwa mengandungi adegan hubungan seks antara seorang pemimpin politik nasional berasal dari Johor dengan seorang wanita berusia 20-an itu, kini tersebar di Muar, Batu Pahat dan Tangkak.

Buletin Utama TV3 malam tadi berjaya mendapatkan komen seorang pekedai yang menerima DVD berkenaan dan mengesahkan lelaki dalam DVD itu mirip seorang pemimpin kanan dari sebuah parti komponen Barisan Nasional dan berjawatan dalam kerajaan.

TV3 melaporkan rakaman hubungan seks itu yang diambil menerusi kamera litar tertutup (CCTV) selama sejam dipercayai dirakamkan di dalam sebuah bilik hotel.

Muslihat Zam: Warta Perdana RTM Dilanjutkan Kepada 45 Minit Mulai Esok Bagi Kempen Habis-Habisan Memburukkan Pembangkang!


By TARMIZI MOHD JAM

WARTA Perdana di RTM1 akan bersiaran selama 45 minit mulai esok dalam usaha stesen televisyen itu menyajikan lebih banyak bahan berita dan maklumat kepada para penonton.

Begitulah laporan Bernama semalam 31 Dis 2007. Perubahan sempena tahun baru 2008 itu membolehkan penonton menyaksikan warta perdana dari pukul 8 malam hingga 8.45 malam, iaitu tambahan 15 minit daripada waktu siaran sekarang.

Ini satu lagi tanda bahawa perang pilihan raya sudah sejengkal. Maka RTM yang tersohor dari dulu, kini dan selamanya menjadi jentera pilihan raya BN, pastinya akan mengambil langlkah tersebut bagi meneruskan kempen-kempen pilihan raya memenangkan BN.

"Dalam usahanya menjadikan Warta Perdana lebih mantap dan berinformasi, RTM akan menyampaikan lebih banyak maklumat terkini kepada penonton menerusi liputan lintas langsung selain temubual secara langsung dengan tetamu di studio bagi membincangkan isu atau topik yang mendapat perhatian ramai," begitulah beritahu RTM kepada Bernama.

Laporan khas yang lebih terperinci akan turut dimuatkan dari semasa ke semasa, tambahnya. Ini bagi memudahkan perang saraf dan gerak saraf menyerang pembangkang habis-habisan dilangsungkan menjelang pilihan raya umum ke 12 tidak lama lagi.

Itu baru dikira tambahan 15 minit pada Warta Perdana. Bagaimana dengan program lain yang saban hari menuju kepada kemenangan BN dan memburuk-burukkan pembangkang.

Inilah barangkali kerja-kerja profesional menterinya, Zainuddin Maidin dalam memperalatkan jentera kerajaan untuk tujuan mempertahankan Umno dan BN dalam negara ini. Mereka bebas menggunakannya, tetapi pembangkang disekat.

Apakah demokrasi cara anak Badawi ini perlu dipertahankan? Dan menguntungkan rakyat serta negara? Fikirkanlah!

Salahkah Asmuni Awi Miliki Syer Dalam Projek Pembangunan Bandar Peranginan Sigar, Kelantan?

Asmuni Awi adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, no dua dari kiri antara Ustaz Nor Azli Musa dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

PETIKAN BLOG KAPAK JANGAK

BANYAK betul isu ditimbul dalam Blog Kapak Jangak (Blog yang dikendalikan oleh Ramli Abdul Halim pemilik Mingguan Wasilah - Editor) yang tak berjawab.

Satunya menyangkut hal Pembangunan Bandar Peranginan Sigar di kawasan seluas 943.80 ekar (381.94 hektar) tanah di Lojing, dalam Mukim Ulu Nenggiri, Daerah Bertam, Gua Musang.

Saya dah semak sendiri untuk tahu kebenaran cerita. Dalam Harakah 16-30 April 2007 bahagian Fikrah muka surat 2 dan 3 tulisan Dato' Husam Musa ada menyebut hal ini.

Lampiran 3 menyebut projek ini dimohon oleh Sikada Sdn Bhd pada 27/05/2004 dan kelulusan dasar projek diberi kepada Sikada Sdn Bhd pada 06/05/2005 (ambil masa setahun untuk lulus, lewat 4 bulan dari yang disebut penyampai.

Keluasan sebenar yang disebut Dato' Husam Musa ialah 414.5 hektar atau menyamai 1011.38 ekar (lebih luas dari yang disebut penyampai).

Sesudah menyemak di tempat lain didapati betul juga pemegang syer Sikada Sdn Bhd ini ialah:
1. Asmuni Awi: 1,150,000 syer.
2. Frances Liew Sze Mee: 562,500 syer
3. Teh Kim Eng: 562,500 syer
4. Rossitah Mohd Yusoff: 125,000 syer
5. Henry Sik Woo Lien: 50,000 syer
6. Khoo Chooi Thuan: 50,000 syer

Dan Ahli Lembaga Pengarah Sikada Sdn Bhd ini juga seperti disebut iaitu:
1. Henry Sik Woo Lien
2. Khoo Chooi Thuan
3. Asmuni Awi
4. Rossitah Mohd Yusoff

Kebetulan pula, dalam Harakah 16-30 April 2007 itu juga (nasional, muka surat 3) ada temubual dengan Asmuni Awi dalam ruangan personaliti tajuk "Asmuni pernah dilempar selipar ketika jadi hakim".

Asmuni Awi menyebut, "mengahwini Rossitah Mohd Yusoff, dikurniakan empat anak, semuanya lelaki, dua sedang belajar di luar negara, seorang di sini, yang bongsu empat tahun".

Jadi betullah Rossitah Mohd Yusoff itu isteri Asmuni Awi. Begitupun, walau sedikit terkejut kerana tak menyangka mereka banyak wang untuk beli syer-syer tersebut, saya masih tak nampak apa cacat cela mereka menjadi pemegang syer dan pengarah Sikada Sdn Bhd sehingga perlu dijadi isu?

Nota Editor:
Komen diatas ditulis oleh Anonymous (tidak bernama) dalam komen no. 7 pada 30 Dis 2007 jam 8.38 AM dan direspon oleh Ramli Abdul Halim dalam Blog Kapak Jangak pada 30 Dis 2007 pada Respon 95.

Pembunuhan Benazir & Hebatnya Kuasa Fitnah Dalam Politik!

Benazir terbunuh selepas memberikan ucapan kepada penyokong PPP di Pakistan. Siapakah pembunuhnya? Usaha memfitnah kumpulan Islam seperti Al-Qaedah sudahpun bermula...

Tok Guru Nik Aziz dan PAS juga terus difitnah oleh BN bagi merobek imej dan reputasinya. Tetapi jika benar PAS ada onar tersembunyi, pimpinan mestilah mengambil tindakan telus dan tegas!

By NIK ABDUH NIK ABDUL AZIZ

SELEPAS peristiwa berdarah di Masjid Merah yang menyaksikan pembunuhan ratusan umat Islam di Pakistan akibat kekejaman dan tindakan ala ‘budak suruhan Amerika’ oleh presiden Pervez Musharraf Julai lepas, saya menulis sedikit mengenainya (
klik di sini ) untuk menyatakan kerisauan dan ketakutan yang bakal membakar keamanan di sana.

Musharraf dengan sengaja menebuk lubang untuk fitnah yang bakal merebak.

Hari ini beliau menyaksikannya dan seluruh dunia menyaksikan fitnah yang menakutkan itu. Selepas pembunuhan bekas presiden, Benazir Bhutto di tangan pengebom berani mati yang pastinya didesak oleh rasa putus asa dengan kehidupan yang menekan dan menghimpit di sana itu, adakah kita boleh mengandaikan suasana kehidupan di sana akan kembali harmoni dengan cepat?

Tidak sama sekali! Api fitnah sedang marak dan ia akan terus bergerak dengan cepat sekali.

Dalam tempoh masa terdekat ini, kita mungkin menyaksikan pembunuhan demi pembunuhan yang mungkin mencecah ratusan atau ribuan mangsa yang tidak berdosa. Semuanya umat Islam, saudara seakidah kita.

Ketidak puasan adalah terhadap Musharraf kerana dialah yang dilihat sebagai punca segala pergolakan di Pakistan. Beliaulah yang diburu. Tetapi tabiat fitnah adalah di luar kawalan.

Ia merebak seperti api yang membakar di hutan yang dibantu angin kuat yang datang dari pelbagai arah yang sukar diramal. Apabila Musharraf gagal diburu, fitnah itu senang sahaja menerkam mangsanya yang lain.

Dengan ratusan umat Islam terbunuh selepas peristiwa di Masjid Merah itu, semalam ia memuncak dengan pembunuhan bekas presiden yang sedang berusaha dalam kempen pilihan rayanya itu untuk mengembalikan kebebasan yang hilang di tangan Musharraf, diktator yang sentiasa patah tumbuh hilang berganti di dunia Islam yang sedang sakit hari ini.

Fitnah adalah peringatan RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam kepada umatnya di akhir zaman. Fitnah disinonimkan dengan dekatnya kejadian kiamat dan kehancuran dunia untuk selama - lamanya dengan kehadiran alam akhirat yang dijanjikan Tuhan.

Peperangan dan pembunuhan menjadi mudah kerana gagalnya manusia mengawal bahang fitnah yang sedang menyala dengan rakus sekali. Ia menjadi lebih dahsyat apabila fitnah itu meruncing di dalam kalangan umat Islam sendiri, seperti yang berlaku di Pakistan, Iraq dan bumi Palestin hari ini.

Umat Islam adalah saksi Allah di bumi ini. Itulah peranan yang hilang dalam kehidupan akhir zaman hari ini.

Apabila Nabi ‘rahmatan lil ‘alamin’ itu menyebut dan mengingatkan kita dengan kemunculan fitnah demi fitnah yang melanda dunia akhir zaman ini, maka adakah ianya hanya menjadi sekadar ingatan yang ditunggu dengan mata terkedip - kedip, atau di sana ada tali yang dihulur dan ada bantuan yang meleraikan kekusutan itu daripada baginda?

Ya, sudah pasti baginda memberikan kita penyelesaian dan penawar yang membahagiakan. Baginda adalah rahmat untuk seluruh alam.

Ia adalah kembali kepada Al Quran dan Hadis sepenuhnya. Kembali memilih jalan yang lurus. Setiap detik adalah masanya.. Semalam, hari ini dan setiap masa adalah masanya memilih jalan yang lurus.

Kembali kepada Al Quran dan Hadis Nabawi bererti tunduk kepada kedua - duanya walau apa keadaan sekalipun. Kedua - duanya kesucian itu didatangkan untuk menunjuki, mengarah, menegah, menganugerah dan menghukum manusia, lalu manusia mesti mematuhi dan tunduk kepadanya.

Apabila mereka tunduk, maka disitulah terhasilnya penyelesaian yang pada mulanya dilihat rumit dan sukar sekali. Ia tidak sukar di sisi Allah kerana Dialah Pemudah dan Penyukar segala sesuatu.

Segala kejadian adalah dengan kehendak dan izinNya. Segala arahan, larangan dan hukumannya adalah demi kebahagian manusia di dunia dan ia pastinya penuh keberkatan, bersambung ke akhirat.

Allah mengharamkan darah setiap muslim. Ucapan kalimah syahadah menjadikan darah yang mengalir dan menadikan kehidupan pengucapnya itu mulia dan dimartabatkan ketuanannya.

Atas segala kesalahannya, bunuh dan darah tetap kebal daripada ditumpahkan, sehinggalah si muslim itu melanggar apa yang dikira ‘hak’ yang mesti dibalas setimpalya.

Contohnya, bunuh tanpa hak dibalas bunuh jua. Bagaimana digambarkan pembunuhan sesama muslim, sedangkan mereka itu adalah bersaudara? Setiap muslim adalah saudara kepada yang lain.

Begitu sesama muslim, begitulah kita sesama manusia tanpa mengira ugama. Kita daripada bapa yang sama. Maka manusia seluruhnya adalah bersaudara.Sama tetapi dibezakan oleh sesetengah kita yang kufur dengan Allah sebagai tuhannya.

Islam melarang pembunuhan sesama manusia tak kira apa ugamanya. Tetapi oleh kerana ikatannya yang sudah menjadi longgar atas sebab kekufuran sesetengah mereka, lalu memutuskan talian kukuh persaudaraan sejati (persaudaraan Islam lebih kukuh daripada persaudaraan darah dan kemanusiaan), maka tidak peliklah pembunuhan boleh berlaku di antara muslim dan bukan Islam.

Perubahan hukum berlaku. Jihad difardhukan demi menjaga kesucian martabat darah muslim yang bersaudara daripada ditumpahkan oleh penderhaka kepada Allah Sang Pencipta.

Justeru pembunuhan Benazir Bhutto adalah haram dan terlarang oleh ugama Islam. Kesalahannya bukan dibayar dan dihukum dengan darah.

Bahkan jika beliau bersalah, beliau tidak boleh diISAkan sama sekali sehinggalah dihakimi di mahkamah keadilan Islam. Itulah kemuliaan manusia, apatah jika dia seorang muslim.

Jika beliau bersalah di Pakistan, Abdullah bin Ubay lebih bersalah di Madinah saat hidup bersama RasuluLlah. Beliau melakukan kerja fitnah dan kerosakan yang hampir sekali menggugat kestabilan kerajaan pimpinan baginda sendiri.

Isteri baginda difitnah lebih dahsyat daripada fitnah yang menimpa DSAI beberapa tahun lepas di Malaysia. Tetapi hukuman berlaku tanpa pertumpahan darah.

Kenapa? Sebab, Abdullah bin Ubay adalah seorang muslim walaupun beliau seorang penipu yang diketahui jelas penipuan syahadahnya.

Apatah jika dilihat kesungguhan Benazir Bhutto pulang berjuang untuk mengembalikan hak dan kebebasan rakyat yang dicabuli oleh Musharraf bertahun - tahun lamanya, maka pastinya beliau dirindui rakyatnya yang hidup tertekan.

Semoga Allah mengampuni dosa - dosanya atas kebaikan yang beliau sumbangkan untuk negara dan rakyatnya. Sesungguhnya Allah tiada terhad keluasan keampunanNya.

Begitulah Islam meletak hukuman bagi memastikan kedamaian dan keharmonian dalam dunia Islam. Tiada jihad ke atas sesama muslim sehinggalah berlaku pemberontakan yang membakar kedamaian dan keharmonian itu.

Saat itu, darah pemberontak menjadi halal. Ini dunia Islam. Undang - undang sebuah kerajaan Islam.

Di negara kita dan di negara - negara umat Islam hari ini, walaupun ianya diperintah oleh muslim yang berotak penjajah yang menolak ketuanan Al Quran sebagai perlembagaan kehidupan dan negara, hukum ini terus berjalan.

Pemberontakan atas alasan ugama sekali pun adalah salah dan terlarang. Teras hikmahnya adalahmengelak pertumpahan darah dan fitnah yang pasti lebih merosakkan dan menghancurkan kehidupan umat Islam. Ini sehinggalah berlaku dan menjadi nyata dan terang kekufuran pihak pemerintah. ‘Kufrun bawah’.

Contoh adalah seperti pemberontakan Sultan Aurengzeb ( digelar Umar Abdul Aziz India ) ke atas ayahandanya sendiri, Raja Akbar ( pembina Taj Mahal ) dengan menangkap, mengurung dan merampas kuasa kerajaan Islam India yang dipenuhi kecemerlangan dan keadilan selepas itu.

Aurengzeb mengambil pandangan ulama selepas melihat kezaliman dan ‘kufr bawah’ ayahandanya yang tidak dapat dibendung lagi, lalu ulama memfatwakan keharusannya.

Justeru pemerintah tidak boleh membunuh rakyatnya sesuka hati tanpa hak. Kezaliman pemerintah pula ( hatta jika mereka membunuh sekalipun) mestilah dibalas dengan kesabaran, nasihat dan keberanian yang dipenuhi hikmah yang tinggi.

Keharmonian dalam dunia Islam mestilah dijaga agar fitnah yang ditakuti bahangnya itu dielakkan.

Kezaliman wajib ditentang tetapi bukan dengan pertumpahan darah. Hak adalah milik pemerintah sebagai mana ia juga milik rakyat. Yang dizalimi adalah lindungan Allah manakala penzalim adalah teman syaitan dan pembantunya.

Ingat, PAS yang menjadi pembangkang kepada kerajaan pimpinan UMNO sering dituduh sebagai pemberontak di negara umat Islam. Kita menafikan sekeras - kerasnya.

PAS mengharamkan penentangan bersenjata di negara sendiri. PAS telah dizalimi dan saatnya yang tertentu, ahlinya ditembak dan dibunuh, lalu tidak diadili seadilnya. Ingat peristiwa Memali yang menyaksikan pembunuhan ala Masjid Merah itu.

Pernahkah PAS memfatwakan pembalasan dengan pembunuhan juga. Tidak!

Lihat pula tembakan yang dilepaskan oleh pihak pemerintah yang hampir membunuh dua ahli PAS di Terengganu baru - baru ini yang dikecam semua pihak sebagai zalim, kejam dan dilihat ‘lebih memartabatkan nyawa babi’ (kebetulan semasa dengan isu babi di Melaka), apakah PAS bertindak melulu dan membalasnya dengan kekerasan juga? Tidak!

Lihat lagi provokasi murahan, bahkan menghinakan oleh pemerintah dengan memanaskan isu perkauman yang cukup merbahaya, adakah PAS melatah? Tidak!

Bahkan hari ini, PAS dilihat menjadi pelindung golongan mustadafin daripada bangsa India yang dizalimi pemimpin mereka yang bejat dan membejat, Datuk Sammy Velu.

Suasana aman dan sentosa di negara kita yang dikecapi seluruh rakyat hari ini, di sebalik penyalah gunaan kuasa oleh pihak pemerintah ( cukup dengan kewujudan Akta ISA dan Akta Polis sebagai bukti) adalah merupakan sumbangan besar PAS dan rakan - rakan pembangkang yang lain. Kerakusan UMNO menggunakan kuasa tanpa bataslah yang ditakuti di negra kita.

Bilang, siapa takutkan PAS? PAS adalah rakan semua. Yang menakutkan MCA, MIC dan komponen BN terhadap PAS adalah UMNO sendiri yang menabur ‘periuk api’ memburuk - burukkan PAS dengan tuduhan yang mengarut dan bohong.

Hakikatnya PASlah yang dicari demi perdamaian dan keamanan. Ingat, ketika peristiwa hitam 13 Mei, bangsa Cina di Kelantan yang diperintah oleh PAS masa itulah yang paling rasa aman dan selamat berbanding di negeri lain.

Tidakkah mereka hanyalah minoriti yang terlalu kecil di Kelantan yang mudah saja dilanyak? Tetapi PAS adalah sebuah harapan kepada keadilan dan kebenaran di negara ini. Dulu dan hari ini juga.

Kemudian, Tidakkah UMNOlah yang mengajak PAS untuk bersatu di bawah payung Perikatan di saat terdesak itu?

Tiadalah tuduhan terhadap PAS selain untuk menghalalkan segala gerak laku zalim dan buruk pemerintah hari ini. Allah memelihara hizbuLlah yang berjuang untukNya daripada fitnah yang melata di bumi muslimin hari ini.

PAS Sertai Semula BN: Perundingan Belakang Tabir PAS-Umno?

Dalam politik, tiada yang mustahil. Ahli-ahli PAS mestilah lebih terbuka untuk menerima keputusan PAS sertai semula BN. Namun, tentunya ada yang menentang dan melawan arus ini kelak!

By RUSTAM A SANI

BERITA tentang berlakunya perundingan-perundingan belakang tabir antara PAS dan Umno sungguh menarik perhatian – dan cukup mengasyikkan.

Dalam kerangka pemikiran politik perkauman (atau tawar menawar antara kaum) yang dominan di negara ini kini, saya kira tentulah banyak di kalangan mereka yang berfikir dalam kerangka gagasan “hegemoni Melayu” yang berasa sungguh senang dengan perkembangan ini.

Hubungan yang mesra di antara PAS dan Umno, dalam kerangka pemikiran mereka, hanya munkin bererti bertambah mantapnya “kesepaduan Melayu.”

Dan mantapnya kesepaduan Melayu hanya mungkin bererti suatu kelebihan, suatu advantage, dalam percaturan politik tawar menawar antara kaum yang mencirikan politik negara ini.

Namun dalam sejarah semasa politik negara, ini bukanlah kali pertama perundingan PAS-Umno seperti ini pernah diusahakan.
Namun selalunya perundingan yang demikian itu telah diusahakan bukan demi gagasan-gagasan muluk dan jangka panjang sehubungan isu “perpaduan” Melayu-Islam, apa lagi kemantapan masa depan negara, tetapi demi kepentingan jangka pendek pihak-pihak yang terlibat, khususnya tujuan memperoleh soko
ngan dalam pilihanraya.

Sejak kemerosotan sokongan Melayu yang dialami Umno dalam pilihanraya tahun 1999 lagi, Mahathir Mohamad dengan gigihnya telah berusaha untuk merapatkan hubungan PAS-Umno itu dan telah membuat pelbagai overtures terhadap Fadzil Noor, Presiden PAS ketika itu.

Agak menarik juga dicatatkan bahawa pada waktu itu tokoh PAS yang kelihatannya paling giat terlibat dalam merundingkan usaha merapatkan dua parti itu ialah Nasharuddin Mat Isa (Setiausaha Agung), dan kini orang yang tampaknya paling terlibat adalah juga orang yang sama (Timbalan Presiden).

Kemuncak kejayaan inisiatif mengadakan kerjasama PAS-Umno itu adalah suatu perhimpunan “kesepaduan Melayu” yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (yang menganjurkannya secara bersama dengan ABIM) dengan “masalah Palestin” sebagai temanya.

Dalam perhimpunan itu Presiden PAS, Fadzil Noor, bertindak sebagai “penyampai ceramah” tentang sejarah perjuangan rakyat Palestin dan Presiden Umno, Mahathir Mohamad, berceramah tentang isu-isu yang lebih semasa sifatnya tentang perjuangan Islam sejagat dan hubungan peribadinya sendiri yang mesra dengan Yasser Arafat.

Dan kini, berdasarkan imbasan kembali, kita lebih mengerti bahawa tujuan Mahathir yang sebenarnya mengusahakan perhimpunan itu ialah untuk mempertingkatkan citra kepimpinannya sendiri sebagai kepimpinan yang mendapat sokongan padu Melayu-Islam di Malaysia menjelang pertemuannya dengan Presiden Bush di Washington D.C.

Kepada orang Melayu yang menanggap Bush sebagai memusuhi Islam pertemuan itu ingin digambarkannya sebagai suatu usaha berani mengemukakan keresahan umat Islam sedunia tentang isu Palestin, sedangkan kepada Bush pula Mahathir ingin mengemukakan citra dirinya sebagai pemimpin yang mendapat sokongan padu dari umat Islam yang sederhana (yakni bukan pengganas).

Dari imbasan kembali juga, kita kini tahu bahawa pertemuan dengan Bush itu amat penting, merupakan semacan pengiktirafan yang diperlukan bagi kepimpinannya yang masih meluas dipersoalkan di seluruh dunia, dan di kalangan orang Melayu sendiri, berikutan dengan tindakannya terhadap Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Begitu pentingnya pertemuan dengan Bush itu sehingga kita tahu kini bahawa kerajaan Malaysia, atau agennya, telah sanggup membayar berjuta-juta dolar kepada sebuah badan tangki pemikiran (think tank) dan badan lobi bagi mengaturkannya.

Nanun ternyata bahawa segala usaha Mahathir itu tidak berhasil menyelamatkan kepimpinannya, sehingga dia terpaksa menarik diri daripada terus memimpin BN untuk pilihanraya tahun 2004 – dan Abdullah Badawi menang besar atas tiket penyimpangannya daripada kepimpinan Mahathir dan janji-janjinya untuk menyelesaikan pelbagai kebobrokan sosial yang telah dihasilkan oleh Mahathir.

Secara umumnya, hubungan PAS-Umno telah menjadi semakin renggang berikutan naiknya Abdullah Badawi ke puncak kuasa negara ini. Selain kemenangan Abdullah telah menyebabkan kemerosotan besar terhadap PAS dari segi politik pilihanraya, inisiatif Abdullah memperkenalkan konsep “Islam hadhari”nya juga dilihat sebagai suatu cabaran terhadap kredential PAS sebagai parti Islam.

Namun demikian, dengan pelbagai poll, survey dan analisis, sejak akhir-akhir ini menyatakan terdapatnya kemerosotan besar dalam sokongan rakyat terhadap pemerintahan BN pimpinan Abdullah (khususnya di kalangan bukan Melayu), mungkinkah usaha Umno merapati PAS ini merupakan langkah desperate untuk menyelamatkan dirinya – seperti yang pernah dilakukan Mahathir dulu?

Dengan sokongan PAS, apakah Umno berharap akan dapat terus memperkukuh kedudukannya meskipun para penyokong parti-parti perkauman temannya (khususnya MCA dan MIC) telah berbondong-bondong lari meninggalkan parti-parti itu?

Jika itulah tujuan Umno, maka bagaimana pula sikap “hati terbuka” PAS terhadap overtures Umno itu dapat dihuraikan?

Apakah usaha ini dikira akan menyelamatkan kuasanya di Kelantan yang kini dapat dipertahankannya hanya dengan bergantung pada kelebihan satu kerusi cuma?

Jika itulah tujuannya, maka bagaimanakah kini kedudukan cita-citanya terhadap beberapa negeri lain – Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang, dan mungkin Selangor juga? Bagaimana pula “status” kerjasamanya dengan Anwar Ibrahim dan PKR?

Saya tidak begitu yakin gerak geri politik jenis ini ada hubungannya dengan cita-cita muluk jangka panjang – demi kepentingan masa depan masyarakat Melayu-Islam, misalnya.

Namun, jika sekalipun kerjasama ini memang mempunyai natijah muluk yang demikian itu maka dari segi masanya pelaksanaan inisiatif ini cukup menarik kerana kita sekarang berada pada tahap percaturan politik perkauman yang sedang memuncak dan semarak.

Dengan inisiatif Hindraf baru-baru ini yang begitu tebal unsur dan nada perkaumannya, reaksi kelompok Melayu terhadap inisiatif itu juga kelihatannya bukanlah sekadar bertambah lantang tetapi bertambah nyaring juga nada perkaumannya – sebahagiannya kerana didorong dengan sedar oleh jentera spin Umno sendiri.

Apakah inisiatif PAS-Umno ini merupakan suatu gambaran tentang ciri dan citra percaturan politik perkauman negara ini untuk masa depan terdekat kita? Setelah ini apakah akan berlaku pula nanti inisiatif menyatukan orang Cina yang melibatkan kerjasama MCA, DAP dan Gerakan?

Setelah itu, terdapatkah pula kemungkinan untuk MIC, MIUP (parti Nallakaruppan) dan Hindraf sendiri untuk duduk semeja bagi membincangkan masa depan politik kaum India di Malaysia?

Demikianlah, saya berpendapat bahawa inisiatif ke arah hubungan yang lebih rapat dan lebih mesra antara PAS dan Umno ini merupakan suatu perkembangan yang amat menarik. Selalu timbul persoalan tentang kesannya terhadap suasana dan struktur politik negara ini, selain persoalan apakah tujuan tersirat dan natijah tersuratnya.

Selain itu, terdapat juga persoalan siapakah yang memperalatkan siapa dalam inisiatif tersebut – dan untuk tujuan apa inisiatif itu sebenarnya diusahakan?

Samy Vellu Kini Jaga Kuil?

Apakah ini bererti MIC kini parti agama Hindu kerana diberikan tugas khas menjaga kepentingan agama itu?

By DATUK A KADIR JASIN

SEKIRANYA laporan akhbar The Star pada 25 Disember boleh diyakini, maka selain menjadi menteri kerja raya, S Samy Vellu kini turut menjadi “menteri agama” yang bertanggungjawab terhadap penganut agama Hindu.

Ini berikutan arahan Perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta beliau “memantau" semua kuil di negara ini dan dari semasa ke semasa mengemukakan laporan mengenai statusnya kepada Kabinet.

”Saya gunakan ungkapan “sekiranya boleh diyakini” kerana yang membuat kenyataan itu bukanlah Abdullah tetapi Samy Vellu. Menurut The Star, Samy Vellu mendakwa bahawa Perdana Menteri secara khusus
mahu MIC memaklumkan kepada beliau senarai kuil yang mungkin telah dirobohkan atas pelbagai sebab.

Dalam laporan bertajuk “PM to get temple report from MIC”, The Star memetik Samy Vellu dalam satu kenyataan akhbar sebagai berkata: “Oleh kerana isu kuil ini sensitif, suatu pendekatan baru diperlukan bagi mengatasinya.

MIC akan mengambil alih sepenuhnya tugas ini. ”Adakah benar Perdana Menteri memberi arahan yang luar biasa itu kepada Samy Vellu? Sekiranya beliau memberi arahan seperti itu, apakah ini bermakna tanggungjawab ke atas kuil Hindu kini menjadi tugas sebuah parti komponen Barisan Nasional?

Apakah ini bererti MIC kini parti agama Hindu kerana diberikan tugas khas menjaga kepentingan agama itu?

Kalau begitu, apa halnya dengan ahli-ahli MIC yang bukan beragama Hindu? Apakah MIC pihak terbaik untuk memantau kedudukan kuil Hindu dan bukan pertubuhan-pertubuhan agama Hindu?

Kalau Kabinet mempunyai menteri khas untuk memantau dan membuat laporan mengenai kuil Hindu, siapakah pula yang bertanggungjawab memantau dan membuat laporan mengenai masjid, madrasah, surau, gereja, chapel, tokong, kuil Buddha dan rumah-rumah ibadat yang lain? Tentulah tidak adil bagi Kabinet hanya memantau mengenai kuil Hindu yang dirobohkan sahaja.

Ia perlu juga memantau kuil Hindu yang sedia ada dan yang giat didirikan di merata tempat.Kalau menteri khas ditugaskan memantau dan melaporkan mengenai kuil Hindu, tentulah sangat tidak patut kalau menteri atau menteri-menteri khas tidak dilantik untuk memantau masjid, madrasah, surau, gereja, chapel, kuil Buddha dan tokong sebab ada juga waktu-waktunya rumah-rumah ibadat ini mengalami masalah dengan pihak berkuasa.

Bukan perkara asing bagi surau dirobohkan atau masjid dikenakan syarat dan peraturan oleh pihak berkuasa agama dan tempatan.Pastinya bukan kuil Hindu sahaja tertakluk kepada undang-undang dan peraturan serta mengalami masalah dengan pihak berkuasa.Berbalik kepada “menteri hal ehwal kuil Hindu”, maka elok sangatlah kalau keutamaan beliau adalah “mengenal pasti dahulu kuil-kuil yang dibina secara haram dan kedudukan mereka.”

Daripada sudut lain pula, pelantikan istimewa Samy Vellu ini ibarat rezeki terpijak, pucuk dicita ulam datang, orang mengantuk disorongkan bantal.

Hindraf yang beria-ia mengadakan tunjuk perasaan dan menanggung akibatnya, termasuk penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), MIC yang diberikan habuan dan ganjaran oleh Perdana Menteri.

Lembu punya susu, sapi yang dapat nama. The Star memetik Samy Vellu sebagai berkata bahawa Abdullah telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberikan sokongan yang wajar bagi mengatasi masalah yang berkaitan dengan kuil Hindu.

Herald Dicetak Bahasa Malaysia Dan Menggunakan Perkataan Allah Untuk Merujuk Kepada Tuhan!

Tahun tujuh puluhan dahulu, adik-beradik saya yang belajar di sekolah Saint Louis di Taiping hampir setiap minggu diberikan risalah-risalah dan majalah-majalah Kristian - Penarik Beca

By PENARIK BECA

AKHIRNYA akhbar mingguan Katolik, Herald, diizinkan untuk dicetak di dalam Bahasa Malaysia. Ahirudin Attan memetik laporan BBC yang mengisytiharkan kerajaaan Malaysia telah mengalah - "Now the Malaysian government has back-tracked".

Untuk menggambarkan perasaannya, saya petik terus apa yang ditulis olehnya di dalam Bahasa Inggeris:

So what's the fatwa, really? Is it still only Muslims who can use Allah or is it free for all now? Can someone in the Hadhari government (other than the junior minister) clear the air, please? I don't want to end 2007 dazed and confused!

Oleh kerana izin cetak di dalam Bahasa Malaysia diberikan, Malaysiakini memetik Augustine Julian, Setiausaha Catholic Bishops' Conference berkata, "kita boleh meneruskan penggunaan perkataan Allah".Laporan Malaysiakini juga menyatakan dengan jelas bahawa kerajaan mengalah - "
Gov't backs down, Herald gets new permit

"Tahniah diucapkan kepada penganut agama Kristian yang mendapat apa yang mereka perjuangkan.Hakikat bahawa Herald dicetak di dalam Bahasa Malaysia dan menggunakan perkataan Allah untuk merujuk kepada Tuhan tentulah menimbulkan kerisauan sebahagian umat Islam bahawa akhbar mingguan itu akan diedarkan juga kepada orang-orang Melayu yang beragama Islam. Risau?

Tak payahlah. Buang masa sahaja, banyak lagi perkara lain untuk dirisaukan. Banyak lagi kerja lain. Kalau dicetak di dalam Bahasa Inggeris pun, ia tetap boleh disebarkan kepada orang-orang Melayu yang beragama Islam.

Saya masih ingat, tahun tujuh puluhan dahulu, adik-beradik saya yang belajar di sekolah Saint Louis di Taiping hampir setiap minggu diberikan risalah-risalah dan majalah-majalah Kristian.

Semuanya dalam Bahasa Inggeris dan tampil dalam bentuk yang sangat menarik pula. Saya selalu membaca risalah-risalah dan majalah-majalah itu.Tidak pula terancam keimanan kami.

Jangankan terancam, terusik pun tidak. Itu tidaklah pula bermakna kami hebat dan segala puji bagi Allah SWT jua. Apa yang penting sekarang, ketika orang-orang Kristian telah mendapat hak mereka, kita juga berhak melaksanakan hak demokratik kita untuk melindungi orang-orang Melayu yang beragama Islam dari terkeliru.

Janganlah menjadi bangsa yang lemah dan sentiasa mengemis kepada kerajaan supaya menghalang itu dan ini. Orang Putih selalu kata, "from no chance to a goal".

Kaki-kaki motivasi Melayu pula selalu berkata, "ancaman kita jadikan peluang" - inilah masanya anda semua perlu membuktikannya.Sejak beratus-ratus tahun dahulu umat Islam di negara ini telah menghadapi gerakan Christian missionary.

Mereka berjaya mempertahankan pegangan agama Islam di kalangan ummah tanpa pergaduhan dan persengketaan. Lebih dari itu, umat Islam selalu diperlecehkan, lemahkah sangatkah keimanan kamu sehingga kamu menjerit dan menuntut perlindungan dari semua perkara?

Nah, inilah peluang untuk membuktikan bahawa kita tidak lemah. Buktikan kepada siapa? Kepada Allah dan bukan kepada sesiapa pun selain dari-Nya.Berkaitan:
Herald can print in Bahasa (The Star) Catholic weekly allowed to publish using the word ‘Allah’ (AsiaNews) Malaysian paper given green light to use word 'Allah' (Taipei Times) Malaysia allows Christian newspaper to name Allah (Spero News) Fighting Over God (Aisehman) All is Well for Herald - A belated X’mas Present from PM Abdullah (Multimid)Good news: Herald gets it new publishing permit! (Anil Netto)

Temberang Tan Sri Rashid Dan Asakan Yang Tidak Tertanggungnya!


By AHMAD LUTFI OTHMAN

SEMASA terus mempertingkatkan tekanan kepada SPR, Rashid dan juga pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mewujudkan situasi lebih kondusif dalam pilihan raya, aktivis pembangkang tentu sudah bertungkus-lumus menyediakan prasarana berdepan "peperangan besar" ini.

Ada aspek-aspek tertentu yang mana BN juga mempunyai kelemahan dan kedaifan, terutama apabila isu-isu semasa lebih memihak oposisi. S

Semua maklum bahawa wang, janji dan agihan projek pembangunan di saat-saat akhir kempen tidak boleh mengubah segalanya jiwa pendapat awam berjaya didekati.

Mendengar 'temberang' dan lenggok badan Rashid semasa memberikan ucaptama kursus anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Universiti Malaya, bertajuk "Memahami Perjalanan dan Proses Pilihan Raya Umum di Malaysia, 4 Dis lalu, saya dapat rasakan beliau menghadapi asakan yang agak tidak tertanggung.

Berulang kali beliau cuba menunjukkan bahawa segala serangan pembangkang terhadapnya langsung tidak meninggalkan kesan, namun lebih kerap Rashid bercerita bahawa tidurnya tidak terusik dengan hentakan Bersih itu, maka saya lebih percaya apa yang berlaku adalah di sebaliknya.

Beliau turut meluahkan rasa tertekan dengan kritikan pihak antarabangsa terhadap sikap berat sebelah media sedangkan, katanya, SPR tiada kena mengena dengan apa yang dilaporkan itu.

Justeru, saya kira, pembangkang dan juga gabungan Bersih harus terus-menerus menggandakan kempen penerangan kerana perubahan dalam sistem pilihan raya kita boleh dicapai jika asakan tidak terputus begitu sahaja.

Biarpun tarikh pilihan raya dijangka diumumkan dalam waktu terdekat, kempen "menjatuhkan" Rashid usah berkubur. Kita mesti membentuk satu penanda aras dan merakam sejarah bahawa keceluparan Rashid harus dihukum agar memberi teladan untuk pengerusi SPR berikutnya.

Saya turut tertarik dengan beberapa idea besar reformasi sistem pilihan raya kita, misalnya dengan merombak sistem First-Past-The-Post (FTPT) yang diamalkan sekarang, bagi mengelak manipulasi gerrymandering, kepada sistem alternatif yang mengambil kira nilai setiap undi, iaitu sistem Mixed Member Proportional (MMP) yang antara lain diamalkan di New Zealand dan Jerman.

Memang untuk menyebut nama-nama sistem ini pun agak mengelirukan, tetapi untuk jangka panjang, dalam dua atau tiga kali pilihan raya akan datang, aktivis pembangkang dan NGO harus bersedia untuk melakukan kempen besar-besaran bagi melaksanakan perubahan lebih mendasar.

Pengkaji seperti Wong Chin Huat adalah orang yang sepatutnya dirujuk dalam hal ini.

Amat tidak berbaloi apabila sebahagian besar tenaga, kudrat, fikiran dan wang ringgit dihabiskan pihak pembangkang hanya untuk memastikan mereka tidak ditipu oleh BN dan juga SPR.

Sepatutnya tumpuan untuk membersihkan Daftar Pemilih dan mengenal pasti taktik penipuan lawan - daripada hari penamaan calon sehingga masa mengira undi - boleh dialihkan kepada kerja-kerja asas kempen, terutama untuk membentangkan manifesto, mewajarkan program alternatif, menjelaskan isu-isu dan menyanggah kritikan BN.

Inilah bahananya apabila SPR menjadi perkakas buat Umno-BN, bersama-sama Jabatan Pendaftaran Negara, pihak polis dan lain-lain jabatan kerajaan.

Sebenarnya pembangkang juga terpaksa menghanguskan begitu banyak dana bagi menghadapi pilihan raya yang penuh ketempangan ini. Mungkin kehilangan wang ringgit itu tidak terasa kerana ia dikutip daripada "poket ahli-ahli parti" dan sumber-sumber tentu.

Idealnya, lebih baik sejumlah besar dana dan keringat aktivis itu , secara terancang, dikumpul dan digembleng lebih awal bagi menekan kerajaan untuk membuat perubahan sistem pilihan raya.

Harus diingat, tidak cukup dengan itu, tanpa pengorbanan besar (kita baru dikhutbahkan tentang korban Ibrahim dan Ismail), impian hanya layak menjadi mainan tidur sahaja.

Mungkin ada pihak akan menempelak saya bahawa sekarang bukan masa untuk kita bertegang leher soal tuntutan pilihan raya bersih dan adil. Kini masa cukup suntuk untuk membina persiapan selengkapnya, bukan sekadar berdepan gabungan parti-parti politik tetapi satu ketumbukan padu pemerintah-kerajaan yang terjalin secara tidak bermoral.

Dapatkah Maklumat Web & Blog Pengaruhi Fikiran Rakyat Tolak BN?

Mampukah website dan blog alternatif di negara ini mempengaruhi fikiran pengundi dengan isu BN-Barang Naik? Siapa yang sanggup mencetak bahan dari sumber ini?

By AHMAD LUTFI OTHMAN

"PERANG BESAR" hanya tinggal "beberapa hari" sahaja lagi, bukan "beberapa bulan", apatah lagi "beberapa tahun".

Tumpuan mesti difokuskan kepada latihan petugas, pemantapan logistik, memenuhkan tabung, menggerakkan operasi MTD dan lain-lain lagi aspek teknikal dan taktikal.

Rasanya calon-calon juga sudah dikenal pasti berdasarkan kriteria terpilih. Semoga elemen negatif dalam soal pemilihan calon yang menjadi wabak dalam BN tidak berjangkit kepada PAS terutama di kubu-kubu kuat, seperti Kelantan.

Pilihan raya ke-12 sememangnya menjanjikan harapan tinggi buat pembangkang. Kali ini tiada persempadanan semula. Era bulan madu Perdana Menteri baru seperti pada Mac 2004 sudah lama berakhir, sebaliknya banyak isu-isu berkaitan personaliti Abdullah, menantunya Khairy Jamaluddin, juga anak-anak dan kaum kerabatnya menikam balik BN.

Kalau dulu Dato' Seri Anwar Ibrahim terperosok di penjara, kini beliau dapat mengetuai jentera pembangkang meskpun masih tidak dibenarkan bertanding.

Gabungan pimpinan baru PAS selepas era Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dilihat semakin mantap dan matang. DAP juga tidak lagi melatah untuk bertembung sesama pembangkang. Selain itu, lebih banyak NGO muncul untuk mendokong suara perubahan.

Bagaimanapun saya lebih tertarik dengan fenomena baru dunia siber, bukan sekadar fungsi ajaib laman-laman web seperti pernah mengejutkan pilihan raya 1999, tetapi juga kehadiran blog, webtv dan YouTube, selain kamera digital serta alat komunikasi canggih. Memang ia bukan lawan setanding kepada sebaran meluas akhbar-akhbar arus perdana dan siaran radio-tv, namun jika kandungannya berkualiti tinggi, mencetuskan banyak pendedahan baru yang berasaskan penyelidikan mendalam, jentera kempen BN akan menghadapi serangan balas yang mungkin mereka sendiri tidak menduga kehebatannya!

Saya tidak begitu risau soal penguasaan teknologi terkini oleh aktivis pembangkang untuk menghadapi serangan fitnah pemerintah.

Malah, dalam banyak hal, seperti yang kita saksikan di bangsal panas semasa hari pengundian, parti pembangkang lebih ke depan menggunakan peralatan moden.

Yang menjadi kebimbangan ialah sejauh mana segala maklumat dan pendedahan yang tersimpan di "alam maya" itu dapat dirakyatkan sehingga mengetuk setiap pintu rumah pengundi, termasuk di ceruk pedalaman.

Mampukah, dalam tempoh kempen paling singkat, pengundi mendapat maklumat dan penerangan sewajarnya, selain menangkis sebarang tuduhan liar BN yang bermaharajalela ketika itu?

Ketika pengundi Tionghua - yang mudah akses kepada internet, manakala akhbar Cina sendiri lebih waras berbanding Berita Harian dan Utusan Malaysia -- dikatakan bersedia mengundi pembangkang, masyarakat Melayu pula masih menghadapi gejala jurang maklumat yang serius, membuatkan emosi mereka lebih mudah digoda propaganda murahan Umno.

Seharusnya persiapan ditumpukan bagi mengetuk dan membekalkan bahan kempen kepada setiap rumah di segenap taman, kampung, jalan dan lorong.

Biar rakyat dapat membuat penilaian seadilnya selepas mereka mempunyai maklumat yang cukup tentang parti, calon dan isu-isu berbangkit di waktu kritikal menjelang hari mengundi. Mekanisme untuk merakyatkan maklumat itu tidak mudah digerakkan jika perancangannya belum dimasakkan lagi.

Ya, masa semakin suntuk namun peluangnya masih terbuka, dan cabaran Harakah serta Harakahdaily memainkan peranan efektif dalam perang besar yang tinggal beberapa sahaja lagi itu kian terasa gigitannya ...

Anak Halal Adalah Filem Yang Sia-Sia, Filem Batil!

Beranikah JAKIM mengeluarkan tanda Halal untuk filem "Anak Halal" bagi tontonan umum? Sekian lama berfilem, kebanyakkannya hanya melahirkan genarasi Ulul Al-Bab yang berhibur dan terhibur sepanjang masa!

By FAISAL TEHRANI

"Tidak pernah saya menonton filem seburuk ini. Rasanya Nana Tanjung 10 kali lebih senonoh dari filem batil ini.

Begini, kesenian Melayu-Islam yang menjadikannya indah ialah kerana bentuk, kemudian kandungannya, dan kemudian rasa yang dijambatani oleh kita dan semua hal tersebut dijalin oleh faedah dan manfaat. Nah, faedah dan manfaat itu yang mustahak.

Tikar mengkuang sekali pun, kain batik sekalipun meski diciri oleh estetika yang menakjubkan akhirnya mesti dicipta untuk memberi faedah. Kain batik yang cantik tetapi dicipta untuk tidak memberi faedah maka ia sia-sia.

Begitu jugalah karya sastera, atau karya filem. Mengambil kira 50 tahun merdeka, semua dari kita ingin kembali kepada jatidiri sendiri. Mahu merdeka dari kejahilan dan kebatilan serta kebodohan yang pernah dipantakkan kepada kita dulu.

Filem juga mesti kembali kepada keindahan bentuk, kandungan, rasa dan mesti berfaedah.

Anak Halal sebuah filem yang sia-sia. Pembikinannya sia-sia, terlibat dalamnya sia-sia. Hasilnya juga sia-sia. Justeru menontonnya juga sesuatu yang lagha.

Tetapi untuk mereka yang tiada Tuhan, filem 110 minit dengan adegan rogol, peluk sana sini (ingatan: dakap dan gomolnya jauh lebih ganas dari Gubra!), main dadah (kononnya untuk tunjukkan dadah itu memusnahkan tetapi penonjolan dadah itu sendiri menghairankan kita!), adegan berkemban dan tak pakai baju, rempit dan kemungkaran, gangsterisme, bunuh-membunuh, adegan separuh Hindraf (iaitu ganas tidak bertempat), serta pagi tanpa subuh berleluasa di sana sini tentulah mereka gemari.

Ingat; kerangka yang saya guna ialah bukan kerangka bentuk, kandungan dan rasa lagi, kerangka yang saya gunakan disini ialah sebagai 'ciptaan Tuhan yang mencipta' kita melakukan sesuatu semuanya untuk memberi faedah, lagi bermanfaat.

Tidak pernah saya menonton filem seburuk ini. Rasanya Nana Tanjung 10 kali lebih senonoh dari filem batil ini. Malahan kata teman saya, menonton Impak Maksima 20 kali pun lebih baik dari menonton kisah gila ini.

Betul, Anak Halal sebuah filem yang sedang ditayangkan di panggung kala ini adalah sebuah filem yang tiada jatidiri. Sesekali macam berkiblatkan Hong Kong, sesekali pula macam berkiblatkan Bollywood, ada sentuhan macam nak jadi Indonesia, juga macam nak jadi Hollywood dan disuntik sana sini pesan yang kononnya bermaruah iaitu supaya jangan hancurkan anak bangsa dengan dadah.

Kecelaruan identiti begitulah kesimpulannya.

Aspek naratif? Hancur bersepai! Plot filem ini lemah dan kelam
kabut serta tiada arah. Watak dan perwatakan mendatangkan geli geleman dan dialog tidak lojik seperti ingin hidup di Zuhal atau ingin terbang ke Kejora diucapkan demi memberi sentuhan artistik. Puitis la konon!

Pengalaman membaca dan membimbing cerpen pemula dari budak-budak Minggu Penulis Remaja, macam itulah jalan cerita dan plot filem ini. Plot macam budak tak pernah belajar menulis.

Penuh dengan klise (anak orang kaya mesti tak cukup kasih sayang!), formula karut (zina, penagihan dadah dan penderitaan ala 'Bersama-Mu' untuk menagih simpati dan tangsian penonton), serta melankolia geli anak tekak (seperti adegan cinta yang busuk).
Eloklah pengarah-pengarah filem kita masuk berkursus dulu, masuk berkursus penulisan dengan Saharil Hasril Sanin pemenang Hadiah Sastera Berunsur Islam DBP pun tak apa. Upah Saharil mengajar apa itu logos dulu kalau pun tak kenal erti ethos.

Begini, sebab dan akibat yang lemah itu biar saya huraikan, (ingat dari segi naratif filem, plot yang bodoh, tidak lojik dan merapu adalah bukti kelemahan sesebuah filem): Hisham seorang penjenayah telah menyerahkan bayi lelakinya kepada Mariam, seorang perempuan gila di jalanan. Hisham telah ditangkap dan dipenjarakan. Mariam membesarkan bayi tersebut (Putra) dalam kemelaratan.

Tinggal di kawasan kumuh yang kusam, berjirankan Bu Leha dan anak perempuannya, Johanna. Dari zaman kanak-kanak, Putra dan Johanna bersahabat rapat. Selepas Mariam diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, Putra dibesarkan oleh Bu Leha.

Putra dan Johanna membesar menjadi remaja jalanan. Putra bertugas di sebuah kedai potong, sementara Johanna dan ibunya berniaga di Pasar Chow Kit.

Huraian Pertama: Cerita dengan watak kerdil akan mengakibatkan pemikiran yang dihantar juga kerdil. Watak kerdil tak pernah dapat berfikir besar, sebab itulah bila Mariam merindui Putra, dia berangan nak terbang ke bintang Kejora (dengan air mata bertakung). Memang menyampah dan meluat betul. Kerana itu jugalah kita lihat watak-watak ini duduk dalam lingkungan kemungkaran dan tak pernah mahu keluar darinya.

Tak cukup-cukup ke filem Melayu atas nama realisme (yang konsep dan falsafahnya menyalahi Islam itu) menonjolkan realiti seperti pelacur, rempit bohsia, penagih dadah? Tak cukup-cukup ke? Korang yang tengok tak muak-muak ke?

Lebih keji, lebih tiada Tuhan ialah apabila voice over di hujung filem ini menyatakan - setiap manusia ada takdir sendiri - cis biadab! Seolah-olah keadilan Ilahi dicabar dalam filem ini. Watak-watak yang tiada harapan ini menyalahkan Tuhan pula.

Kerana Tuhan dah takdirkanlah maka mereka hisap dadah, kerana Tuhan dah takdirkanlah mereka jadi pembunuh dan penjenayah, kerana Tuhan dah takdirkanlah maka mereka berpeluk bercium tak sudah-sudah. Kerja menyalahkan Tuhan ini menunjukkan pengarah-pengarah filem di Malaysia tak faham agama Islam.

Sewaktu mengajar di Sekolah filem UiTM dulu, sewaktu mengajar Farid Kamil dulu saya pernah mencadangkan supaya sekolah filem mengajar subjek agama dan subjek sastera tradisional.

Tujuannya supaya tak ada karyawan filem buat drama sia-sia dan penuh dengan sundal macam Spa-Q, atau supaya tak buat cerita hantu dan mengagungkan khayal serta khurafat, atau tak buat skrip macam Jelatang yang di akhir setiap episod penulis skrip berpesan supaya kita bertaubat (dia yang buat cerita tak senonoh kita pula disuruh bertaubat!).

Dan supaya mereka kenal jati diri bangsa menerusi hikayat lama seperti Sulalatus Salatin. Tetapi cadangan itu dipandang sepi. Malah diremehkan dengan kata-kata 'nak jadi tukang filem buat apa belajar agama'.

Begitulah kalau sudah tak kenal hukum. Disiplin apa pun kembali kepada Tuhan. Kaji alam macam bidang geografi pun akhirnya dapat jumpa Tuhan, patutnya begitulah juga dengan dunia filem.
Ini satu hal yang menyesakkan, sekolah filem di UiTM, sekolah filem di Aswara, sekolah filem di USM dan UM mesti menyediakan asas pemikiran bangsa dari awal lagi.

Sila jemput Mufti Perlis yang banyak kepandaiannya itu untuk mengajar karyawan filem yang tak ada arah ini, ajarkan mereka doktrin Inna lillah wa Inna ilaihi Rajiun.

Ajarkan juga konsep min aina, fi aina dan ila aina. Sebab pengarah filem dan pelakon filem pun ada Tuhan dan akan mati satu hari nanti. Sekolah filem kita mesti mengajarkan rukun iman.
Ini tidak, karyawan filem kita buat filem macam tak kenal adanya hari kiamat!

Astaghfirullah, karyawan seni kita makin tak ada Tuhan ke?

Kalau tak, pengarah filem kita akan buat kerja sia-sia lagi. Dan duduk dalam putaran keji yang serupa. Kemudian sesama mereka akan ampu dan angkat sesama sendiri. Syok sendiri.

Huraian Kedua: Johanna membesar sebagai seorang gadis tomboi, dalam diam menyukai Putra. Tetapi Putra pula jatuh cinta dengan Amiera, anak orang kaya yang dikenali mereka secara kebetulan. Amiera walaupun disaluti kemewahan tetapi hidup dalam kesunyian. Mereka sering melepak bersama. Mereka bahagia hidup dalam dunia mereka sendiri.

Lihatlah stereotaip yang tidak pernah bebas dari filem Melayu. Sebab dan akibat yang sama tak sudah-sudah, langsung tiada kreativiti. Tolonglah beri anjakan paradigma sedikit wahai orang filem!

Huraian Ketiga: Erzan salah seorang rakan mereka, sedang dibelenggu masalah hutang dengan along dan diugut supaya melangsaikannya segera. Suatu hari ketika sedang melepak dan tergedik-gedik di kelab malam, mereka ditangkap dan ditahan di lokap (maka ada alasanlah untuk hero-hero filem ini ditampilkan dalam adegan tak pakai baju dan hanya pakai boxer) .

Bapa Amiera begitu marah dan tidak membenarkan Amiera keluar dari
rumah. Amiera yang tertekan (memang macam cerpen yang biasa editor Dewan Siswa reject!), di samping ketagihan dadah telah melarikan diri. Amiera bertemu Erzan. Mereka sama-sama khayal dengan dunia dadah mereka.

Keesokannya Putra yang terjumpa mereka berdua telah naik angin. Amiera melarikan diri. Setelah puas mencari, Putra bertemu Amiera dalam ketagihan yang amat teruk.

Amiera minta Putra membawanya ke tempat dia sering mengambil bekalan, di Kg. Kayu Ara. Putra bersetuju kerana dia mahu tahu tempat dan orang yang telah merosakkan kawan-kawannya itu.
Jeng-jeng orang yang merosakkan kawan-kawannya ialah bapanya sendiri, yang sudah keluar dari jel. Tak ke klise! Macam filem Tamil, malah filem Tamil pun sudah jauh lebih bermutu.

Kemudian untuk menambah rasa jengkel kita, Amiera yang sedang khayal dek dadah di bumbung flat tempat Putra tinggal telah mengejar bunga api dilatari KLCC lalu jatuh dan mampus di situ juga dalam hujan yang lebat. Inilah kemuncak tiadanya moral dalam filem Melayu, sangat hadhari sifatnya.

Putra yang bertambah marah dengan kesan dadah ke atas kawan dan kekasihnya telah membawa geng untuk bergaduh dengan kumpulan along, maka jadilah adegan ala-ala The Departed atau Young and Dangerous yang merepek merapu.

Kemudian plot menjadi seperti filem Bangla semula, Putra nekad ke Kg. Kayu Ara mahu membunuh mereka yang terlibat. Niat Putra terlaksana apabila dengan mudah dapat membunuh Hisham, ketua kumpulan pengedaran dadah tersebut.

Tiba-tiba muncul wanita tua yang sekian lama dirindui Putra, Mariam. Selama ini rupa-rupanya Mariam telah dijaga oleh Hisham, dan mereka berdua tidak pernah berputus asa mencari Putra.

Oh Putra membunuh atau terbunuhkan bapanya sendiri. Oh sedih-sedih, penonton dipaksa bersedih. Saya kira inilah naratif filem yang paling memperbodohkan penonton pernah saya tonton.

Bunuh sana sini dalam filem ini kita pun tertanya, polis Malaysia yang cekap itu di mana, di hujung barulah muncul polis dengan kereta peronda. Saya kira filem ini juga menghina slogan cepat mesra betul polis.

Kasihan polis. Padahal polis di Malaysiakan cekap dan baik? Sampai hati kutuk polis diam-diam begini.

Kerja seni bukan kerja setakat menyusun bentuk, mengisi kandungan dan menampilkan rasa. Kerja seni macam mesin basuh juga mesti memainkan peranannya. Setakat mahal, nampak bergaya dan penuh estetika tetapi tiada fungsi itu namanya tak berguna, dan benda tak berguna adalah sia-sia.

Kembali kepada 'voice over' Putra di akhir filem yang menyalahkan takdir tadi, inilah kesesatan sekolah pemikiran hasil daripada ketidakfahaman terhadap konsep keadilan Ilahi.

Ini kesan kerana ustaz-ustaz kita dari dulu asyik mengajar sifat 20 dan ini kesan kerana ustaz balik dari Madinah dan Jordan kebanyakannnya bertengkar tahlil itu bid'ah ke tidak, ada filem macam gampang; tak siapa pun peduli. Agamawan kita seronok nak bid'ahkan orang, mungkar tertonggok depan bijik mata buat tolol.

Wahai pengarah filem, kalau ya pun mahu berjaya di peringkat internasional dan menang di pesta filem antarabangsa janganlah hina diri sendiri.

Filem kita tak akan mampu menandingi filem Barat dari segi teknologi. Dari segi kandungan dan bentuk serta rasa, kita punya tafsiran sendiri-sendiri (untuk mereka yang tiada Tuhan tentu berbeza dengan yang ada Tuhan), tetapi dari segi faedah dan manfaat, kitakan Melayu-Islam, faedah dan manfaat itu kembali kepada tauhid, kepada Nabi, kepada keluarga baginda.

Sebab itu sekolah filem kita mesti mengajar epistemologi. Kenal kamera sahaja tak memadai. Kamera tanpa Tuhan adalah kerja sia-sia.
Harap Profesor Madya Abdul Razak Mohaideen dan Dr Abu Hasan dapat pertimbangkan. Kamera harus bersekali dengan Tuhan.

Itulah yang menjadikan kesenian kita berbeza dengan kesenian Barat dan bukan Islam, iaitu kita tidak habis setakat bentuk, kandungan dan rasa sahaja, ada lain di sebalik itu semua. Itulah kelainannya.

Godless dan Hopeless tema yang sesuai untuk Anak Halal (tema ini berturutan sejak Bukak Api, Puaka Tebing Biru dan terbaru filem ini). Mesej besarnya, kalau hisap dadah tak apa, ini kerja takdir, Tuhan dah takdirkan untuk hisap dadah jadi nak buat macam mana.

Atau kalau nak melacur pun melacurlah, dah takdir. Nak buat macam manakan? Memang kerja sia-sia.

Nota: Kalau yang membikin filem ini namanya Lee Ang, atau Gus Van Sant saya tak akan berleter begini. Tetapi yang terlibat hampir kesemuanya muslim, dan sebagai muslim kita diminta bertanggungjawab dengan syahadah kita!

Mengkritik Ulama PAS Tidak Bermakna Kita Memukul Al-Quran Itu!

Sesetengah pemerhati politik melihat pakatan intim Hadi-Anwar telah memudarkan Islam yang dilagang oleh PAS. Sebaliknya, PAS kini lebih terikut-ikut rentak PKR dan terlalu banyak "main politik"?

PAS perlu melakukan lebih banyak perubahan untuk meraih sokongan rakyat pelbagai kaum? Atau tersepit dengan pendekatan anak Badawi yang juga cukup tahu kelemahan PAS...?

By MF OTHMAN (Harakahdaily)

INI adalah suatu pandangan, idea, kritikan dan suatu percambahan pemikiran 'dari satu sisi' yang lain tentang PAS secara khusus. Secara jujur, akan ada pihak yang tidak bersetuju, tidak berminat malah lebih daripada itu menganggap apa yang dibaca nanti hanyalah 'sampah-sarap' yang perlu dibuang jauh-jauh kerana menganggap ia tidak benar dan tanpa fakta yang kukuh.


Namun, apalah salahnya kalau selama ini, entah mengapa kita hanya mendengar perkara yang muluk-muluk' sahaja tentang PAS tanpa menyedari (ataupun mungkin terlupa dan leka sejenak) apakah sebenarnya yang berlaku di dalam kerangka pertubuhannya sendiri sehingga kelihatannya apabila sesuatu parti itu menggunakan nama Islam, maka apa yang dilakukan "automatik" akan menjadi betul, perlu disokong secara mutlak dan tidaklah perlu ditegur secara serius kerana sudah mempunyai dasar-dasar yang berlandaskan al-Quran dan As-sunnah.

Walaupun PAS sudah lebih dua dekad menjadi pembangkang utama kepada Umno secara khusus dan BN amnya, ia wajarlah menyedari bahawa kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak merasa yakin untuk memberikan peluang kepada PAS (dan pembangkang lain secara amnya) untuk menguruskan negara ini mengikut acuannya yang tersendiri - walaupun ketika pilihan raya PAS mampu membentang manifesto yang kadang-kadangnya "kelihatan" 1000 kali lebih baik daripada manifesto yang dikeluarkan oleh Umno dan BN. Mengapa?

Apakah sebabnya? Dan apakah jalan penyelesaiannya? Ikutilah sebahagian daripada analisis yang sempat direkodkan.

Pertama, imej boleh memerintah. PAS kena menerima hakikat bahawa imej ini langsung tidak ada padanya. Tengok sahaja 'Kabinet bayangan' yang ditubuhkan beberapa tahun yang lalu. Seingat saya, ketika itu hampir seluruh pimpinan PAS mendapat 'demam Kabinet bayangan'.

Sekarang apa sudah jadi? Sistem Kabinet bayangan ini adalah amat penting bagi menempatkan seseorang yang betul-betul pakar terhadap sesuatu bidang di dalam sesuatu kementerian yang diwakili malah kalau boleh dilihat 'boleh' menandingi menteri yang ada sekarang (kecualilah PAS ketandusan pemimpin bertaraf pakar untuk diketengahkan).

Maksudnya apabila timbul sesuatu isu yang berkaitan dengan perumahan contohnya maka 'menteri' inilah yang sewajarnya 'bercakap' dan bertindak dengan efektif tanpa dikacau oleh orang lain yang 'tidak tahu menahu tentang perkara terbabit'. Sebarang tindakan pula, sewajarlah di 'follow up' sambil dibantu oleh 'timbalan menteri' atau sekurang-kurangnya 'KSU kementerian' serta ahli jawatankuasa yang lain, sehingga isu yang diperjuangkan itu mendapat perhatian pihak berwajib.

Namun apa yang berlaku sekarang cukuplah malang kerana apabila sahaja meletup sesuatu isu, semua orang ingin bercakap dan menjadi hero. Tidak kiralah sama ada daripada pemimpin peringkat bawahan hinggalah kepada peringkat atasan.

Hasilnya bukan sahaja nampak tidak profesional, tidak sistematik, tidak ada 'follow-up' secara spesifik dan akhirnya isu itu dibiarkan begitu sahaja kerana tidak ada seorang pun yang dianggap 'pakar' untuk bertanggungjawab dan 'penyelesai masalah' terhadap isu terbabit.

Kedua, kita kena menerima hakikat bahawa, bukan semua orang Malaysia terutamanya orang Melayu yang berminat dengan politik. Mereka tidak berminat tentang jutaan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno asalkan golongan ini tidak menyusahkan mereka.

Apa mereka peduli dengan penyelewengan tersebut asalkan mereka dapat mencari rezeki dengan baik dan selesa? Bukankah latar belakang orang Melayu sendiri yang tidak suka untuk memberontak ataupun berkonfrantasi untuk mendapatkan sesuatu?

Kadang-kadang, mereka memang tahu pun Umno dilanda masalah rasuah, politik wang, adu-domba, kronisme dan sebagainya. Namun adalah 'lebih baik' memilih Umno kerana walaupun Umno teruk sekalipun, sekurang-kurangnya mereka ada duit untuk membuat pembangunan dan sebagainya. Inilah realiti sekarang.

Ketiga, mulai dari hari ini, PAS wajar hidup dengan menganggap bahawa hampir semua rakyat Malaysia sudah menolaknya dan berfikir bagaimana nak 'survive' di dalam yang sedemikian rupa.

Kita juga tidak wajar berasa malu untuk mengakui kesilapan diri dan kepimpinan. Kalau semasa Umno ditolak dahulu, pada tempoh tahun 1998-2000, Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa segan silu memberikan ucapan yang lebih kurang berbunyi begini; "Kita kena terima hakikat bahawa kita perlu hidup di dalam keadaan yang rakyat tidak lagi menyokong kita..."

Namun kebanyakan pimpinan PAS masih tidak dapat menerima hakikat kekalahan di dalam pilihan raya yang lepas. Apabila kita tidak mengakui kesilapan kita, sebenarnya kita tidak pernah mengangggap 'kesilapan' itu sebagai suatu kesilapan.

Maka, tidak mustahil kesilapan yang sama akan berulang. Mengakui kesilapan adalah amat perlu supaya kita boleh berubah untuk mencari kaedah yang lebih baik dan berkesan.

Oleh itu pimpinan PAS jangan merasa terlalu 'syok sendiri' dengan sentiasa merasa kita masih mendapat sokongan ramai kerana ini hanyalah akan merugikan diri dan parti. Tidak salah sekiranya kita berundur setapak untuk melompat lebih jauh.

Kadang-kadang, antara kesilapan sikap pimpinan dan ahli-ahli PAS sendiri yang kelihatan terlalu memperlekeh orang lain yang 'lebih besar' kuasanya.

Kita perlu menerima hakikat bahawa PAS adalah parti kecil dan masih tidak bersifat nasional (sebagaimana yang ditekankan oleh Pemuda di dalam muktamar baru-baru ini), justeru apabila ada sebilangan pimpinan dan ahli PAS yang mempersenda kewujudan sayap baru Umno iaitu Puteri suatu ketika dahulu dan ternyata pula sayap itu cukup berjaya memainkan peranannya dengan cukup berkesan, maka kita sendiri yang melopong dan cuba pula untuk menggunakan kaedah yang sama! Ini adalah suatu kesilapan yang sama sekali tidak patut diulangi.

Keempat, PAS wajarlah melihat reliti dan keutamaan. Memang difahami bahawa tujuan utama PAS adalah mewujudkan sebuah negara Islam yang hukum-hakamnya adalah menurut undang-undang Allah.

Kalau ditanya kepada seluruh ahli dan pimpinan PAS, memanglah jawapannya akan menjadi stereotaip begitu, tetapi sekiranya kita bertanya kepada orang lain yang bukan ahli PAS pula bagaimana?

Adakah mereka memahami apakah itu sebuah negara Islam? Dan mahukah mereka sebuah negara Islam sebagaimana yang difahami oleh PAS - dalam keadaan mereka cukup selesa dengan 'bentuk' negara yang mereka ada pada hari ini?

Cuma, apa yang mereka tidak puas hati hanyalah pimpinan negara yang kelihatannya tidak prihatin atau tidak mengambil berat hak-hak mereka dan bukannya 'bentuk negara' itu sendiri.

Baiklah. Untuk memudahkan perbincangan kita, kita boleh membuat sifir yang mudah. Daripada lebih kurang 23 juta rakyat Malaysia, berapa orangkah yang agamanya adalah Islam? Katalah 15 juta.

Daripada jumlah ini, berapa kerat yang tahu tentang Islam? Katalah 14 juta. Daripada jumlah ini pula, berapa kerat pula yang tahu mengucap kalimah syahdah? Katalah 13 juta.

Berapa pula jumlah yang tak solat? Setelah ditolak daripada jumlah ini, berapa pula yang minat politik - yang kebetulannya pula adalah politik Islam?. Katalah 12 juta. Tolak dengan ahli PAS menjadi 10 juta. Tolak dengan orang Islam yang ahli Umno, menjadi 5 juta.

Adakah 5 juta ini secara keseluruhannya akan mengundi? Belum tentu lagi mereka akan mengundi. Dan yang mengundi belum tentu lagi siapakah yang akan diundi.

Daripada jumlah 5 juta tersebut juga, mungkin 3 juta daripadanya langsung tidak memahami apakah itu negara Islam, pengisiannya, bagaimanakah ianya berfungsi, apakah objektif dan matlamat penubuhannya.

Ini sebagai contoh secara kasar sahaja, namun ia adalah logik untuk difikirkan. Oleh itu saya berpendapat PAS tidaklah wajar terlalu menumpukan sangat kepada isu negara Islam semata-mata di dalam keadaan pihak musuh (yang terdiri daripada orang Islam sendiri dan ejen luar) yang sentiasa sahaja memutar belit fakta dan menyebabkan bukan setakat orang bukan Islam malah orang Islam sendiri semakin tak faham dan keliru.

Sebab itulah saya selalu menyatakan bahawa jangan terlalu ditekankan sangat kepada nama semata-mata. Sebagai contoh - semasa berada di kampus dulu apabila dibuat program yang namanya berbunyi sedikit keagamaan, berapa kerat sangatlah mahasiswa yang berminat untuk datang mendengar, tetapi apabila nama tersebut diubah kepada nama yang lebih komersil walaupun kandungan adalah 'sebiji' sama, ramai pula yang datang. Tentu anda fahamkan?

Letaklah nama 'Malaysia Madani' ataupun 'Malaysia Moden' sekalipun, ia mungkin adalah jauh lebih baik asalkan pengisian didalamnya adalah hukum-hukum Islam dan yang lebih penting adalah dengan nama ini, orang bukan Islam pun kurang mengalami 'fobia' dan memudahkan PAS untuk mendapat sokongan malah golongan bukan Islam sekalipun.

Bukankah Karpal Singh pernah menyatakan 'langkah mayat saya dulu' sebelum penubuhan sebuah negara Islam? Bagaimanakah PAS boleh bersatu dengan pembangkang lain sekiranya sedikit 'adjustment' tidak dilakukan (tanpa mengorbankan prinsip perjuangan?).

Apa yang perlu pada masa ini, penekanan wajarlah dilakukan terhadap memperjuangkan isu yang boleh dikongsi secara bersama oleh pemimpin pembangkang yang lain seperti isu kualiti air yang kotor, isu setinggan, pencemaran alam sekitar, kemiskinan yang menimbulkan pelbagai masalah sosial dan sebagainya.

Buktikan terlebih dahulu kita boleh dan berupaya untuk memperjuangkan isu-isu yang sebegini (dan mendapat pula perhatian pihak berkuasa), barulah nanti apabila kita mengaitkan dengan negara yang bakal kita bina nanti, orang akan menyedari bahawa betapa indahnya 'bentuk negara' yang ingin kita bawa di mana semua kaum dan bangsa adalah dijamin keselamatan dan keamanannya selama ia bernaung dibawah payung Islam.

Di sinilah orang akan nampak bahawa betapa indahnya Islam itu sendiri secara langsung.

Segalanya yang dilakukan pada zaman sekarang memerlukan bukti dan 'tidak lepas' setakat bercakap sahaja. Kita katakan bahawa Islam itu adalah indah, namun adakah kita pernah tunjukkan yang ia adalah benar-benar indah?.

Secara spesifiknya adakah PAS pernah membuktikannya? Kita katakan bahawa Islam itu adalah suatu cara hidup, namun adakah keseluruhan ahli dan pimpinan PAS pernah membuktikannya? Tepuk dada tanya selera.

Kelima, kita jadikan PAS sebagai sebuah parti yang orang menyokongnya bukanlah kerana isu semata-mata. Kita adalah parti yang memperjuangkan Islam dan Islam bukanlah suatu 'isu'.

Apa yang kita mahukan ialah mereka menyokong PAS kerana mereka faham tentang dasar-dasar yang dibawa oleh PAS - adalah selari dengan apa yang dikehendaki oleh Islam.

Kita nak bila mereka faham tentang Islam, maka tidak ada parti yang lebih layak untuk diberikan sokongan melainkan parti PAS.

Tetapi dalam pada itu, kita juga perlu memahami bahawa parti hanyalah sebagai alat untuk mendapat kekuasaan sahaja di dalam keadaan negara kita yang mengamalkan demokrasi yang mana untuk mendapatkan kekuasaan perlulah melalui pilihan raya yang disertai oleh parti-parti yang berdaftar.

Ini yang perlu difahami dan bukannya menganggap politik adalah segala-galanya melebihi daripada Islam sendiri.

Jadi dalam keadaan parti yang dijadikan alat yang ditubuh dan digerakkan oleh manusia, pastilah mempunyai kelemahannya yang tersendiri.

Inilah perkara yang amat penting yang perlu difahami oleh semua pihak. Sesetengah orang melihat bahawa - apabila berada di dalam sebuah parti yang dasarnya adalah Islam yang mengikut segala panduan al-Quran dan As-sunah, maka semuanya berada di dalam keadaan yang sempurna - daripada ahli-ahli bawahan sehinggalah kepada pimpinan tertinggi.

'Perfect' dari segi akhlak, sikap, tingkah laku dan serba serbi yang berkaitan kehidupan ini.

Sebab itulah jangan terkejut sekiranya saya menyatakan pernah berlaku satu pasangan suami isteri (kedua-duanya adalah jurutera) yang pada asalnya adalah penyokong kuat PAS - yang secara sukarela pula cukup cemerlang membantu pilihan raya kecil tidak lama dahulu bertukar menjadi penyokong Umno apabila tidak dapat menerima sikap dan tindak-tanduk ahli-ahli PAS yang baginya adalah 'tidak munasabah' dan tidak menggambarkan etika ahli yang yang mendakwa memperjuangkan Islam.

Dalam hal ini, saya suka mengambil jalan tengah. Mungkin juga dalam hal ini, pasangan tersebut telah melakukan 'kesilapan' dengan menganggap bahawa tingkah laku sebahagian kecil ahli parti sebagai 'menggambarkan bagaimanakah parti tersebut' dan dalam hal ini juga, penyokong-penyokong PAS juga adalah silap kerana tidak mampu menonjolkan akhlak yang boleh menggambarkan bahawa 'parti kita adalah parti yang semememangnya layak untuk mendukung Islam'.

Pimpinan PAS juga telah melakukan kesilapan kerana 'kurang mampu' mengawal tingkah laku dan perangai ahli (melalui pentarbiyahan) sehingga menampakkah seolah-olah parti adalah 'cacat' dan ada sesuatu yang tidak kena.

Analogi guru besar dan tukang kebun boleh digunakan bagi menggambarkan perkara ini. Kita tidak boleh memarahi tukang kebun yang tidak melakukan kerjanya seperti membuang sampah, membersihkan longkang dan sebagainya, sebaliknya dalam hal ini guru besarlah yang bertanggungjawab sepenuhnya kerana lemah dalam memberikan arahan dan kurang mampu mengawal anak buahnya untuk melakukan kerja dengan baik.

Keenam, kebanyakkan orang PAS masih terperangkap dengan kepercayaan lama bahawa ulama (yang menjadi pimpinan utama) langsung tidak boleh di kritik.

Kita mahukan demokrasi wujud, tetapi di dalam organisasi sendiri, demokrasi ini masih tidak dapat dan 'takut' digunakan secara maksimum. Inilah yang dikatakan bagaimana 'memukul ular yang membelit al-Quran'.

Suatu pukulan untuk 'menyelamatkan al-Quran' yang pada masa yang sama boleh 'dilihat memukul' al-Quran itu sendiri.

Kita perlu berani mengkritik ulama kerana golongan inipun mempunyai kelemahan sebagai manusia biasa sama ada dari segi pengurusan, pentadbiran, komunikasi dan sebagainya.

Sekarang, apabila PAS kalah teruk dalam pilihan raya yang lalu barulah ada pihak yang berani bangkit mengkritik secara terbuka - seumpama melepas segala geram yang selama ini terbuku di dalam hati sehingga (dalam beberapa muktamar yang lalu) menyifatkan golongan pimpinan yang kebanyakannya terdiri daripada ulama sebagai 'perlu mendapatkan rawatan psikiatri' malah ada juga yang mendakwa Dewan Ulama (salah sebuah badan yang paling dihormati dalam PAS) sebagai 'sudah menjadi bisu' dan 'kurang berfungsi'.

Ini adalah luahan yang cukup serius - yang pada saya sekiranya landasan kritikan dibina sejak awal, tidaklah akan sampai ketahap yang sebegini rupa.

Inilah antara kelemahan apabila ulama memerintah. Saya penuh yakin sekiranya golongan profesional yang menjadi tunjang pemerintahan (sambil dibantu golongan ulama), perkara ini tidak akan berlaku kerana golongan ini bukanlah berada dalam 'golongan yang tidak boleh dikritik'.

Segala kemarahan tidak perlu dikumpul dan hanya dilepaskan pada satu-satu waktu yang tertentu sahaja.

Ketujuh, orang bukan Islam tidak nampak bagaimanakah parti pembangkang seperti PAS boleh berperanan untuk mereka. Apa yang mereka nampak adalah, PAS ingin menubuhkan sebuah negara Islam yang dalamnya juga ingin dilaksanakan hukum-hukum Islam.

Jadi, apakah 'bahagian' untuk mereka? Apakah yang PAS mampu perjuangkan untuk mereka? Kita kena akui bahawa pada zaman sekarang, orang bukan Islam berada dalam keadaan yang lebih baik daripada orang Islam, sama ada dari segi ekonominya, sosialnya, politiknya dan sebagainya.

Jadi apa pentingnya PAS kepada mereka? Segala kesenangan, kemewahan dan keselesaan mereka sudah dapati ketika pemerintahan Barisan Nasional dan Umno.

Jadi, PAS perlu menyakinkan mereka bahawa mereka akan dapati keadaan akan jauh lebih baik samada dari segi sosial, ekonomi dan politik berbanding keadaan sekarang sekiranya PAS memerintah.

Bukannya tidak ada orang Cina yang susah. Bukannya tidak ada orang India yang susah. Bukannya tidak ada kaum-kaum lain yang menderita dan susah di tanah air sendiri.

Bagaimanakah untuk melakukannya? Terpulanglah kepada strategi PAS sendiri. Salah satu caranya adalah perlu 'sanggup' bersikap profesional dengan menyokong dasar-dasar kerajaan yang dilihat dapat membantu rakyat yang dengan cara inilah orang melihat pembangkang boleh 'melakukan sesuatu bersama kerajaan' dengan terlebih dahulu menjadi pembantu dan pada masa yang sama menjadi pembangkang yang tegas terhadap dasar-dasar yang dilihat tidak dapat menolong rakyat.

Secara jujur sekarang, saya ingin meyatakan bahawa PAS zaman Abdullah Ahmad Badawi sebenarnya jauh lebih susah untuk 'survive' berbanding zaman Mahathir Mohamad dulu.

Kalau zaman Mahathir, PAS kelihatan 'baik dan sesuai untuk menubuhkan kerajaan' kerana ketika itu pemerintahan Mahathir yang mendukung Umno sudah banyak melakukan penyelewengan, rasuah, kronisme, nepotisme dan sebagainya.

Sikap Mahathir sendiri yang kelihatan terlalu 'berkonfrantasi' dengan parti pembangkang menyebabkan apabila orang melihat Umno sudah tidak sesuai lagi untuk menjadi tunjang pemerintahan negara, maka tidak ada lagi parti yang lebih sesuai melainkan PAS.

Inilah yang perlu difahami secara jujur. Bukannya sangat PAS mendapat sokongan kerana dasarnya, perjuangannya, matlamatnya mahupun objektifnya.

Kita perlu bezakan orang yang menyokong PAS adalah kerana isu, dasar, kerana 'tak suka dan benci' kepada Umno ataupun kerana kecewa gagal mendapat sesuatu didalam parti Umno.

Mengapa saya katakan PAS susah hidup pada zaman Abdullah? Inilah kesilapan PAS. PAS terikut-ikut dengan cara yang dimainkan Mahathir.

Cara konfrontasi yang dimainkan oleh Mahathir, PAS cuba juga lakukan terhadap orang-orang Umno dan kerajaan BN (bukankah dalam hal ini, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz menyatakan bahawa kerajaan BN dan orang-orang Umno perlu dilayan sebagaimana 'orang sakit'). Sekarang siapakah kelihatan lebih terbuka?

Abdullah telah menjemput Tun Salleh Abas yang ketika itu menjadi exco kerajaan negeri Terengganu untuk menganggotai barisan ahli dalam Suruhanjaya Penambahbaikan Polis Diraja, Abdullah telah menjemput wakil DAP dan PAS untuk menganggotai ahli jawatankuasa pemandu kewangan Parlimen (PAC), malah parti pembangkang diberi ruang yang lebih luas di bawah pemerintahannya sehingga lebih kerap kelihatan di ruang-ruang TV, majalah dan surat khabar.

Apabila ini berlaku, kelihatannya seolah-olah Abdullah mengambil berat tentang apa yang diperkatakan oleh parti pembangkang sehingga diberikan ruang untuk bercakap dan memberikan pandangan.

Seolah-olah kelihatan apa yang diperjuangkan oleh parti pembangkang akan dilaksanakan oleh parti pemerintah. Apabila Abdullah mengambil kesempatan yang begini secara tidak langsung parti pembangkang akan menjadi 'counter check' secara rasmi terhadap apa-apa yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Akhirnya manfaat ini akan dapat dinikmati oleh kerajaan. Jadi, siapakah yang akhirnya akan kelihatan lebih baik, terbuka dan akan mendapat 'ong'(untung)?

Dalam hal ini tidak keterlaluan saya katakan bahawa Abdullah telah berjaya 'menggunakan' parti pembangkang untuk kepentingan partinya, masa depannya dan kelihatan Abdullah pada pandangan ramai bahawa dia adalah seorang 'Perdana Menteri untuk semua termasuk parti pembangkang'.

Sedangkan 'imej' parti pembangkang dilihat sebaliknya - sentiasa sahaja membangkang apa sahaja yang kerajaan lakukan. Rasanya daripada keseluruhan umur PAS itu sendiri, 80 peratus dihabiskan untuk membangkang apa yang BN dan Umno lakukan tanpa mengemukakan apakah langkah yang perlu dilakukan untuk memperbetulkan keadaan ke arah masyarakat yang lebih baik.

Abdullah juga dilihat pandai bermain 'tarik tali' dengan rakyat. Pada suatu tahap, Abdullah dilihat teruk, tidak peka dan prihatin hak-hak rakyat, tidak cekap memerintah, tidak tahu apa yang rakyat inginkan, tidak memahami isi hati rakyat dan bla bla bla.

Dalam satu kajian baru-baru ini - oleh Merdeka Centre - iaitu sebuah NGO pemikir tempatan, mendapati kerajaan yang diketuai Abdullah pada hari ini hanyalah mendapat sokongan lebih kurang 30 peratus lebih sahaja.

Ini adalah suatu keadaan yang cukup genting bagi Abdullah dan pentadbirannya. Namun, jangan lupa Abdullah mempunyai banyak jalan untuk meraih kembali sokongan terhadapnya.Abdullah ada seluruh media sama ada media massa, elektronik dan cetak.

Selain itu, bukankah Abdullah telah memanfaatkan secara maksimum Belanjawan 2008 yang baru sahaja dibentangkan?

Malah saya berasa cukup yakin, dalam mood rakyat sekarang yang masih cukup gembira dengan belanjawan yang baru saja berlalu, sokongan rakyat pasti melebihi 90 peratus. Bakinya lagi adalah peratus untuk pimpinan dan ahli pembangkang yang 'tegar' dan 'tak makan saman'.

Inilah 'permainannya'. Abdullah boleh menaikkan harga petrol, tetapi kemarahan rakyat akan sejuk dengan cepat apabila dia 'menggantikan' dengan pemansuhan yuran sekolah dan peperiksaan yang menjadikan pendidikan adalah percuma sepenuhnya.

Bukankah permainan ini tarik tali namanya? Abdullah tarik kuat-kuat sehingga hampir tegang dan lepas sikit-sikit. Tarik dan lepas lagi. Tarik, lepas lagi dan pasti mood rakyat akan merasa cukup gembira ketika tali sedikit dilepaskan.

Dan salah satu masanya 'tali dilepaskan' adalah ketika belanjawan dibentangkan. Perlepasan tali ini akan berterusan sehinggalah pilihan raya akan datang.

Sebaik pilihan raya berlalu, barulah tali akan 'ditarik' semula, malah lebih kuat dari yang sebelumnya. Dan proses ini akan berterusan sampailah tidak ada sesiapa pun yang tahu bila tempohnya akan berakhir.