KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Disember 31, 2007

Samy Vellu Kini Jaga Kuil?

Apakah ini bererti MIC kini parti agama Hindu kerana diberikan tugas khas menjaga kepentingan agama itu?

By DATUK A KADIR JASIN

SEKIRANYA laporan akhbar The Star pada 25 Disember boleh diyakini, maka selain menjadi menteri kerja raya, S Samy Vellu kini turut menjadi “menteri agama” yang bertanggungjawab terhadap penganut agama Hindu.

Ini berikutan arahan Perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta beliau “memantau" semua kuil di negara ini dan dari semasa ke semasa mengemukakan laporan mengenai statusnya kepada Kabinet.

”Saya gunakan ungkapan “sekiranya boleh diyakini” kerana yang membuat kenyataan itu bukanlah Abdullah tetapi Samy Vellu. Menurut The Star, Samy Vellu mendakwa bahawa Perdana Menteri secara khusus
mahu MIC memaklumkan kepada beliau senarai kuil yang mungkin telah dirobohkan atas pelbagai sebab.

Dalam laporan bertajuk “PM to get temple report from MIC”, The Star memetik Samy Vellu dalam satu kenyataan akhbar sebagai berkata: “Oleh kerana isu kuil ini sensitif, suatu pendekatan baru diperlukan bagi mengatasinya.

MIC akan mengambil alih sepenuhnya tugas ini. ”Adakah benar Perdana Menteri memberi arahan yang luar biasa itu kepada Samy Vellu? Sekiranya beliau memberi arahan seperti itu, apakah ini bermakna tanggungjawab ke atas kuil Hindu kini menjadi tugas sebuah parti komponen Barisan Nasional?

Apakah ini bererti MIC kini parti agama Hindu kerana diberikan tugas khas menjaga kepentingan agama itu?

Kalau begitu, apa halnya dengan ahli-ahli MIC yang bukan beragama Hindu? Apakah MIC pihak terbaik untuk memantau kedudukan kuil Hindu dan bukan pertubuhan-pertubuhan agama Hindu?

Kalau Kabinet mempunyai menteri khas untuk memantau dan membuat laporan mengenai kuil Hindu, siapakah pula yang bertanggungjawab memantau dan membuat laporan mengenai masjid, madrasah, surau, gereja, chapel, tokong, kuil Buddha dan rumah-rumah ibadat yang lain? Tentulah tidak adil bagi Kabinet hanya memantau mengenai kuil Hindu yang dirobohkan sahaja.

Ia perlu juga memantau kuil Hindu yang sedia ada dan yang giat didirikan di merata tempat.Kalau menteri khas ditugaskan memantau dan melaporkan mengenai kuil Hindu, tentulah sangat tidak patut kalau menteri atau menteri-menteri khas tidak dilantik untuk memantau masjid, madrasah, surau, gereja, chapel, kuil Buddha dan tokong sebab ada juga waktu-waktunya rumah-rumah ibadat ini mengalami masalah dengan pihak berkuasa.

Bukan perkara asing bagi surau dirobohkan atau masjid dikenakan syarat dan peraturan oleh pihak berkuasa agama dan tempatan.Pastinya bukan kuil Hindu sahaja tertakluk kepada undang-undang dan peraturan serta mengalami masalah dengan pihak berkuasa.Berbalik kepada “menteri hal ehwal kuil Hindu”, maka elok sangatlah kalau keutamaan beliau adalah “mengenal pasti dahulu kuil-kuil yang dibina secara haram dan kedudukan mereka.”

Daripada sudut lain pula, pelantikan istimewa Samy Vellu ini ibarat rezeki terpijak, pucuk dicita ulam datang, orang mengantuk disorongkan bantal.

Hindraf yang beria-ia mengadakan tunjuk perasaan dan menanggung akibatnya, termasuk penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), MIC yang diberikan habuan dan ganjaran oleh Perdana Menteri.

Lembu punya susu, sapi yang dapat nama. The Star memetik Samy Vellu sebagai berkata bahawa Abdullah telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberikan sokongan yang wajar bagi mengatasi masalah yang berkaitan dengan kuil Hindu.

Tiada ulasan: