Angkara & kerana dia seorang (Abdul Rashid) maka anak Badawi sanggup meminda Akta Pilihan Raya. Di manakah kehebatannya?
By AHMAD LUTFI OTHMAN
SEKURANG-KURANGNYA ada dua isu menarik apabila saya dan wartawan Azamin Amin menghadiri Kursus Kenegaraan MPI: Media dan Pilihan Raya Umum, anjuran Malaysian Press Institute, 4 Disember lalu, di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.
Pertama, kenyataan provokasi dan mungkin ada pihak menganggapnya "melalut", oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. Bagaimanapun, bagi mereka yang biasa berdepan dengan Rashid, ia bukan satu kejutan.
Kedua, beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh peserta kursus semasa sesi soal jawab forum bertajuk "Liputan Pilihan Raya: Etika Kewartawanan".
Ahli-ahli panel yang mengambil bahagian ialah Prof Dr Mohd Safar Hasim, pensyarah Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, UKM bersama Mahfar Ali, Pengarang Eksekutif Berita, Berita Harian dan Abdul Jalil Ali, Ketua Pengarang Kumpulan Karangkraf, manakala Pengurus Besar Bernama, Dato' Azman Ujang bertindak sebagai pengerusi forum.
Rashid yang sepatutnya bersara 31 Disember depan menyampaikan ucaptama bertajuk "Memahami Perjalanan dan Proses Pilihan Raya Umum di Malaysia".
Kepada peserta kursus yang kebanyakannya terdiri daripada wartawan muda, yang mungkin baru pertama kali akan ditugaskan dalam kempen pilihan raya umum ke-12, ceramah Rashid seolah-olah untuk menjawab pelbagai dakwaan dan serangan yang dihalakan kepadanya, biarpun sanggahannya jelas tidak begitu meyakinkan.
Rashid memang nampak bertenaga, tetapi dua tiga kali juga menekankan bahawa tidurnya tidak pernah terganggu walaupun mutakhir ini beliau mengaku diasak kiri kanan.
"Tanyalah isteri saya, jam 10 malam masa dia tonton TV, saya sudah mendengkur. Letaklah bom di atas kepala saya, Alhamdulillah saya lena tidur," ujarnya sambil berseloroh, walaupun usia beliau hampir menjangkau 65 tahun tetapi kekuatannya bagai orang yang baru berumur 45 tahun.
Selalunya apabila seseorang itu cuba berkali-kali menunjukkan bahawa "dia tak kisah dengan apa jua tekanan di sekelilingnya", atau pun dalam kes Rashid, "tidurnya langsung tak terjejas", rasanya tidak mustahil Pengerusi SPR yang boleh dianggap paling kontroversial ini sebenarnya sedang dilanda konflik dalaman yang agak serius.
Rashid seperti berperang dengan dirinya sendiri sehingga sering mempamerkan perwatakan celaru dan membingungkan.
Lenggok tubuh dan bahasa badannya menyerlahkan lagi kecelaruannya itu. Rakan saya, Azamin, dalam beberapa tulisannya pernah mengumpulkan kenyataan Rashid yang saling bertentangan, dan menampakkan kebebalannya yang agak tinggi, selain sarat dengan emosi yang sukar dikawal.
Malah, bagi tokoh-tokoh pembangkang yang pernah bertemu dan berbincang dengan Rashid (yang selalu berakhir dengan pertelingkahan), penampilannya dilihat lebih bercelaru, sampai ada kalanya sanggup berbohong dan memanipulasikan fakta.
Justeru, apabila Rashid cuba menggambarkan bahawa beliau cukup berpengalaman dalam perjalanan pilihan raya di Malaysia, khususnya atas kapasiti sebagai Setiausaha SPR paling lama, yakni dalam bagi tempoh 1979-1995, dan terbabit dalam tiga kali urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya, saya sekadar mengambil maklum sahaja.
Posisi sepenting Pengerusi SPR sememangnya menuntut penjawatnya mempunyai kewibawaan dan integriti yang tinggi.
Walaupun banyak keterbatasan melingkunginya, namun jika pemegang jawatan itu sanggup menjunjung keadilan bagi memastikan pilihan raya bebas dan bersih, ia tidaklah menjadi begitu buruk dan teruk seperti berlaku hari ini.
Orang seperti Rashid hanya merendahkan maruah dan kedudukan SPR, sehingga walau apa pun usaha penambahbaikan yang cuba dibuat, ia tidak berupaya untuk mendapatkan kembali kepercayaan awam, seperti dikehendaki Perkara 114(2) Perlembagaan.
Tidaklah pula kita mendakwa Rashid langsung tidak memberi sumbangan apa-apa kepada perjalanan pilihan raya di negara ini, malah mungkin banyak, namun disebabkan "keceluparan" dan "kebebalan" beliau, terutama apabila berdepan konflik tertentu, khususnya selepas urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya 2002 (gerrymandering di Kedah membabitkan kawasan Parlimen Baling, Yan, Kuala Kedah dan Pokok Sena, selain tiada pertambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu) dan keputusan pilihan raya umum 2004.
Saya mungkin terkhilaf apabila pernah mendakwa Rashid merupakan orang paling dipercayai oleh Dr Mahathir Mohamad untuk mengembalikan maruah Umno melalui satu "misi (sebenarnya konspirasi) khas" selepas parti itu terjejas teruk dalam pilihan raya ke-11, namun melihatkan rentetan gelagat beliau sejak dilantik Pengerusi SPR, saya kian yakin bahawa antara usaha terpenting dan perlu segera dibuat ialah mengusulkan pemecatannya kepada Yang di-Pertuan Agong.
Banyak pihak hairan dengan beberapa kenyataannya mengenai PAS dan "rasuah syurga", juga pandangan terbukanya tentang "kelemahan pembangkang" untuk menyaingi BN, sedangkan semua parti-parti yang mendaftar untuk bertanding dalam pilihan raya adalah pelanggan yang mesti diraikan SPR.
Lebih pelik lagi, semasa mulutnya ghairah membicarakan isu-isu politik lagak pimpinan tertinggi Umno, Rashid mendakwa beliau hanya berminat untuk membincangkan hal-hal yang berada di bawah tanggungjawabnya.
Dalam kursus anjuran Institut Akhbar Malaysia itu juga Rashid mengulangi penegasan sama. Beliau menekankan bahawa SPR hanya mempunyai kuasa mutlak untuk tiga perkara asas, iaitu penamaan calon, pengundian dan pengiraan undi, selain mengumumkan keputusan pilihan raya. Hal-hal lain, yang juga penting, misalnya tempoh kempen, sebenarnya dipengaruhi oleh pihak lain, kata Rashid.
Justeru, beliau mengingatkan peserta kursus, tidak perlulah ditimbulkan perkara-perkara politik yang tiada kaitan, termasuk isu-isu seperti salahguna kuasa, penyelewengan pemerintah dan sebagainya.
Anehnya, dalam majlis sama, Rashid banyak memberikan komentar melulu terhadap pergolakan politik semasa termasuk memberikan tafsiran baru bahawa "rakyat Malaysia sebenarnya tidak mempunyai pilihan untuk menukar kerajaan".
Rashid juga boleh dikatakan agak kuat dijangkiti "sindrom penafian" apabila segala teguran, hatta untuk memperelokkan perjalanan sistem pilihan raya kita, acapkali diremehkan, malah diperlekeh-lekehkan.
Kemuncaknya apabila keputusan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dalam kes petisyen pilihan raya Dun Likas 2001 juga disinggungnya secara cukup prejudis. Semasa mendengar komentar Rashid itu, saya sendiri terkejut walaupun sejak awal sudah menjangka, "apa-apa pun boleh terkeluar dari mulut Pengerusi SPR itu".
Tepatlah apa yang cuba dirumuskan Dato' Kamarudin Jaffar, Setiausaha Agung PAS mengenai ucapan Rashid yang mempersoalkan motif sebenar keputusan Hakim Dato' Muhammad Kamil Awang itu.
"Sesungguhnya misi, objektif dan moto SPR untung menjunjung proses demokrasi yang bebas, adil, cekap dan telus sudah tercemar angkara kenyataan jahat dan penghinaan beliau itu," tegas Kamarudin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan