Dipetik Dari BERNAMA
JOHOR BAHARU, 10 Dis (Bernama) -- Polis akan menggunakan peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas Hindu Rights Action Force (Hindraf) jika ia memudaratkan keselamatan negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata pada masa ini polis akan menggunakan saluran mahkamah terlebih dahulu bagi mendakwa mereka yang terlibat dalam badan yang menyemai sentimen perkauman di kalangan masyarakat India itu."Bila tu saya tak boleh nak kata.
Tapi polis akan bertindak lebih tegas. Keadaan jika memudaratkan keselamatan; jadi saya akan ambil tindakan yang lebih drastik dan tegas," katanya di sini hari ini.
Musa berkata, sudah ada tanda bahawa aktiviti Hindraf akan memudarat keselamatan negara, namun polis setakat ini akan hanya menggunakan saluran mahkamah ke atas mereka yang terlibat.
Beliau ditanya pemberita mengenai bentuk tindakan yang akan diambil oleh polis berikutan kebimbangan orang ramai terhadap masalah yang mungkin timbul akibat akitiviti Hindraf.
Ditanya sama ada polis kini berlembut dengan Hindraf beliau berkata: "Tidak. Kita takkan berlembut, jika ada kumpulan yang ingin merosakkan keselamatan dan keamanan negara".
Musa berkata siasatan ke atas mereka yang terlibat dengan Hindraf sudah lengkap dan mereka dijangka akan didakwa di mahkamah tidak lama lagi.
Mengenai penahanan penganjur perhimpunan "Bersih" yang diadakan pada 10 Nov lepas, Musa berkata setakat ini hanya dua orang ditahan iaitu naib presiden Pas Mohamad Sabu dan ketua penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua.
Beliau berkata lebih banyak penahanan akan dibuat ke atas mereka yang dipercayai terlibat dengan perhimpunan tersebut sedikit masa lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan