Penulis Prolifik, Ahmad Subky, Ketua Penerangan PKR Pusat, Tian Chua yang tiada nokhtah dalam perjuangan menjatuhkan anak Badawi dan Tarmizi Mohd Jam dalam satu Program Mesra-Mesra IdulFitri 2007 PAS Kawasan Batu yang telah diadakan di Tapak Pasar Malam, Taman Dato' Senu Kuala Lumpur
By ABDUL HADI TULIS
Kuala Lumpur: Keinginan kuat Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi menyambung tugas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman hingga sanggup meminda Akta Pilihanraya di Parlimen 12 Disember lalu, membuktikan terdapatnya “pakatan sulit” antara BN dengan Abdul Rashid dalam “permainan” pilihan raya umum akan datang.
Demikian dakwa Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan, Tarmizi Mohd Jam ketika ditemui di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta sewaktu menunggu pendakwaan terhadap tahanan-tahanan Perhimpunan Aman Depan Parlimen, 12 Disember lalu.
Katanya, telah banyak bukti bertulis dan lisan yang menunjukkan Abdul Rashid memihak kepada BN dan Rashid sendiri telah meletakkan dirinya sebagai sebahagian dari anggota atau petugas BN sejak dilantik menjadi Pengerusi SPR.
Apakah muslihat Pak Lah hinggakan Rashid menjadi ikon penting di SPR?
“Bersih dah hantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong. Tuntut empat perkara. Nampaknya, Rashid dan Pak Lah tidak mempedulikannya. Hingga hari ini tiada reaksi terhadap tuntutan Bersih itu. Tiba-tiba, Akta Pilihanraya dipinda bagi membolehkan Rashid disambung tugas. Soalnya, tugas apa hingga memerlukan Rashid juga?” tanya beliau kesal.
Katanya, sudah tentulah Pak Lah sendiri yang berkepentingan dalam isu ini. Sebab itu, perintah mahkamah digunapakai oleh polis bagi menghalang rakyat berhimpun di Parlimen sewaktu sidang pindaan akta tersebut dibuat, kerana bimbang pindaan itu akan digagalkan.
Tarmizi menyifatkan polis tidak berkepentingan apa-apa kerana mereka tidak bertanding pilihan raya. Tetapi, mereka terpaksa menjalankan “arahan” Pak Lah selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang akhirnya dilihat oleh rakyat, polis sebagai petugas BN yang berselindung di sebalik uniform penjawat awam.
Sehingga kini, empat tuntutan Bersih seperti yang dikemukakan kepada Yang Dipertua Agong, tidak diendahkan iaitu penggunaan dakwat kekal, pembersihan daftar pemilih, pemansuhan undi pos dan akses kepada media.
Sebaliknya, ujar Tarmizi lagi, sikap talam dua muka dan lidah bercabang Rashid dalam tuntutan ini jelas mempamerkan dolak-dalik beliau dalam mempertahankan dasar BN. Malah ketika mempertahankan diri, Rashid sanggup menipu rakyat kononnya bukan beliau meminta Bersih menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong.
“Dalam isu pilihan raya Likas, memang jelas Rashid hina mahkamah. Tapi, Ghani Petail tidak diambil tindakan. Rashid juga pernah dakwa Akta Pilihan Raya yang ada sekarang memang dibuat untuk memenangkan parti pemerintah. Sebab itu, ada banyak perkara dia (Rashid) tak boleh pinda. Kena jumpa orang atas!” tegas Tarmizi yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Batu.
Pada 12 Disember lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2007 untuk membolehkan umur persaraan anggota SPR dilanjutkan daripada 65 kepada 66 tahun, dengan undian melebihi dua pertiga atau 189 undi daripada 295 Ahli Parlimen. Semua Ahli Parlimen PAS, PKR dan DAP memboikot pengundian tersebut.
Ini bermakna umur persaraan anggota SPR sama dengan Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi. Abdul Rashid akan bersara wajib pada 31 Disember ini dan pindaan tersebut dibuat bagi membolehkan Rashid berkhidmat setahun lagi memandangkan pilihan raya akan diadakan pada tahun hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan