Dipetik Dari AGENDADAILY
Usul yang diluluskan dewan untuk meminta polis membuka laluan masuk ke bangunan Parlimen bukan ditujukan kepada orang awam tetapi khusus untuk ahli-ahli Parlimen, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, adalah tidak benar usul tersebut terpakai untuk orang awam. Beliau menyatakan demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan bagi meminda umur persaraan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada 65 tahun kepada 66 tahun pada sidang Dewan Rakyat hari Selasa.
Dewan Rakyat kemudiannya membuat undian dengan lebih dua pertiga menyokong pindaan tersebut. Isu mengenai kebebasan masuk ke dalam kawasan Parlimen timbul ekoran penahanan salah seorang pemimpin PAS yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen, Datuk Mustapha Ali oleh pihak polis di luar bangunan Parlimen.
Mustapha sebelum ini hadir ke Parlmen dan kelihatan hadir sama-sama pada sidang akhbar yang dihadiri oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahddin Ayub, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berhubung dengan memorandum bantahan pindaan Perlembagaan Persekutuan tersebut sebagai mewakili BERSIH.
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang ketika membangkitkan perkara itu mempersoalkan kenapa penahanan tersebut dibuat sedangkan ada usul yang menjamin kebebasan masuk ke kawasan Parlimen.
Mengulas lanjut, Nazri berkata, umum mengetahui bahawa Dewan Rakyat hari ini akan membuat pindaan berhubung dengan had umur keanggotaan SPR dan ada usaha pihak pembangkang untuk mengganggu perjalanan sidang dewan hari ini.
“Umum mengetahui kita akan membuat pindaan hari ini, maka ada kumpulan yang menamakan mereka daripada BERSIH tetapi kepala mereka tidak bersih, hati mereka tidak bersih telah menganjur perhimpunan haram di luar bangunan Parlimen.
Bertindak di atas maklumat polis melalui maklumat risikan, polis mendapati sudah ada penyusupan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ke Parlimen maka menjadi tanggungjawab polis mengambil tindakan untuk mencegah dariapda huru hara di dalam dewan ini,” tegas beliau.
Beliau menambah, pembangkang mengambil tindakan keluar daripada sidang Dewan Rakyat sebagai membantah penahanan ini kerana mereka ingin mengalihkan perhatian.
“Cuma mereka yang tidak mahu melihat perjalanan Dewan berlangsung dengan baik mengambil tindakan sebagai seorang pengecut dengan bertindak keluar dewan… ini adalah kumpulan yang tahu mereka akan kalah dalam pilihan raya akan datang,” tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak polis kerana bertindak pantas dengan mengikut lunas undang-undang bagi memastikan sidang Dewan Rakyat tidak terganggu.
Sementara itu semua ahli pembangkang mengambil tindakan keluar dewan sebagai membantah pindaan undang-undang tersebut dengan menjadikan penahanan Mustapha Ali sebagai alasan tidak ada kebebasan di Malaysia.
Wakil-wakil rakyat DAP di lobi Parlimen semasa membuat sidang media kesal dengan penahanan tersebut dan menyifatkan ia bertentangan dengan semangat demokrasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan