Apakah agenda Radzi selaku Setiausaha Agong Umno meminta MB Perlis, Shahidan Kassim ditamatkan kepimpinannya di negeri sekangkang kera itu?
PETIKAN AGENDADAILY
MEREKA yang tahu banyak pasal UMNO Perlis biasanya tidak ambil kisah sangat kalau ada dengar desas desus yang melayang mengenai hubungan antara Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim dengan Menteri Hal Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.
Bukan rahsia lagi keduanya tidak begitu ngam. Diperingkat UMNO Pusat Radzi yang juga Setiausaha Agung UMNO ialah orang kanan parti.
Namun di negeri Perlis sekalipun berstatus ahli parlimen Kangar beliau cuma ahli biasa dalam UMNO Bahagian itu. Di Perlis Shahidan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri ialah bos.
Dalam susunan kepimpinan UMNO yang begitu Radzi dikira ‘pemimpin kecil’ dalam kontek UMNO Perlis berbanding Shahidan.
Sungguhpun begitu apa yang dikatanya menjadi besar kerana kedudukannya sebagai seorang Menteri Pusat apa lagi dengan jawatannya sebagai Setiausaha Agung UMNO.
Walaupun hubungannya kedua mereka agak dingin tetapi tiada siapa menduga Radzi boleh ‘meletup’ secara terbuka menghentam Shahidan seperti yang berlaku semasa satu majlis di Kangar Sabtu.
Insiden seorang Menteri Pusat yang juga Setiausaha Agung UMNO menghentam Menteri Besar dari negerinya sendiri belum pernah berlaku dalam sejarah UMNO.
Ini yang menjadi kejutan bila Radzi mendakwa UMNO Perlis kini berada dalam keadaan kucar kacir dan sesama ahli tidak bersatu di ketiga-tiga bahagian iaitu Kangar,Arau dan Padang Besar.
Beliau mendakwa puncanya ialah kepimpinan Shahidan.Katanya mengikut pandangan peribadinya sudah sampai masanya harus ada Menteri Besar baru Perlis.
Juga dakwanya sebahagian besar ahli-ahli UMNO di negeri itu mahu perubahan Radzi menyatakan hal ini dalam sidang akhbar selepas Majlis Gerak Kerja Pilihan Raya anjuran UMNO Bahagian Padang Besar di Bukit Keteri.
Katanya soal keputusan nak ganti atau tidak Shahidan dengan orang lain terletak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Soalan ini berbangkit semasa sidang akhbar itu setelah para wartawan yang hadir di majlis itu dengar sendiri Radzi mengkritik Shahidan ketika berucap di majlis berkenaan sebelum itu dan ingin mendapat penjelasan lanjut darinya.
“Mesti ubah Menteri Besar…dia ketua... kalau tak ubah Menteri Besar, tak bolehlah ubah kepimpinan…you duduk macam tu juga.
“Terpulang kepada PMlah…bukan saya nak ubah…saya fikir ..saya tengok sudah sampai masanya,”katanya.
Beliau menjelaskan ‘sudah sampai masanya’ itu kerana kini sudah menjelang pilihanraya.
"Saya nampak sebagai Setiausaha Agung UMNO …UMNO Perlis ni tak bersatu kerana kepentingan padahal negeri kecil ada tiga (UMNO) bahagian saja. Radzi mendakwa beliau menyatakan ini semua bukan kerana ada apa-apa kepentingan tetapi ingin melihat UMNO Perlis utuh.
“Saya sebagai Setiausaha Agung UMNO nampak semuanya. Tiada langsung kerjasama di antara ketiga-tiga bahagian ini malah dalam satu bahagian pun tiada kerjasama antara sesama mereka,’’ katanya.
‘‘Ia amat penting kepada saya . Berpuak-puak bukan amalan dalam UMNO. UMNO Perlis dilihat bermusuh seolah-olah mereka berada dalam parti lain,’’ katanya.
Radzi berkata, beliau terpaksa membuat kenyataan secara terbuka kerana melihat tahap kerjasama antara pemimpin parti di ketiga-tiga bahagian berkenaan begitu buruk.
‘‘Bukan saya nak tunjuk hebat. Saya tidak pernah buat cerita macam ini. Saya buat kenyataan ini kerana saya nampak apa yang berlaku sebagai setiausaha agung parti sejak empat tahun lalu.
“Kalau sampai tiada kerjasama dan berpuak-puak maka ia perlu dibuat perubahan, kalau tidak UMNO Perlis akan hancur.
‘‘Saya tak mahu pergi kepada pembangunan, ekonomi atau pengurusan pentadbiran tetapi kepimpinan politik di negeri ini, cukuplah,” katanya.
Hadir sama di majlis itu ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Azmi Khalid dan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar Datuk Zahidi Zainol Abidin.
Menariknya di Perlis ketiga-tiga ahli parlimen,Radzi,Azmi selaku ahli parlimen Padang Besar dan Datuk Syed Razlan Jamalullai ahli parlimen Arau ialah ahli biasa dalam Umno bahagian masing-masing.
UMNO Bahagian Kangar diketuai oleh Bakri Datuk Ali,Arau Shahidan manakala Padang Besar Zahidi.
Radzi ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Kangar manakala Azmi bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar.
Hubungan Shahidan dengan Azmi dan Syed Razlan juga dikatakan agak ‘kurang’.
Zahidi pula pernah bersengketa dengan Shahidan satu masa dulu tetapi kini hubungan mereka dikatakan sudah pulih.Zahidi yang juga ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Beseri telah melepaskan jawatan Exco Kerajaan Negeri waktu itu.
Apapun sumber UMNO Perlis memberitahu Agendadaily hubungan Shahidan dengan kepimpinan UMNO di ketiga-tiga bahagian baik peringkat Pemuda,Wanita dan Puteri adalah mantap dan tidak bermasalah.
Ini yang membuat sumber berkenaan hairan bagaimana Radzi boleh mendakwa UMNO Perlis kini berada dalam teruk sekali.
Dalam pada itu beberapa ahli UMNO di negeri itu juga hairan bagaimana Radzi selaku Setiausaha Agung UMNO boleh membuat kenyataan terbuka begitu.
Menurut mereka selaku orang lama dalam politik dan pentabir utama di ibupejabat parti beliau tentu tahu implikasi dari tindakan seumpama ini lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya sekarang.
Salah seorang dari mereka berkata kalau ada pun ada rasa tak puas hati ia harus dibincangkan secara tertutup di peringkat atasan.-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan