Benazir terbunuh selepas memberikan ucapan kepada penyokong PPP di Pakistan. Siapakah pembunuhnya? Usaha memfitnah kumpulan Islam seperti Al-Qaedah sudahpun bermula...
Tok Guru Nik Aziz dan PAS juga terus difitnah oleh BN bagi merobek imej dan reputasinya. Tetapi jika benar PAS ada onar tersembunyi, pimpinan mestilah mengambil tindakan telus dan tegas!
By NIK ABDUH NIK ABDUL AZIZ
SELEPAS peristiwa berdarah di Masjid Merah yang menyaksikan pembunuhan ratusan umat Islam di Pakistan akibat kekejaman dan tindakan ala ‘budak suruhan Amerika’ oleh presiden Pervez Musharraf Julai lepas, saya menulis sedikit mengenainya ( klik di sini ) untuk menyatakan kerisauan dan ketakutan yang bakal membakar keamanan di sana.
Musharraf dengan sengaja menebuk lubang untuk fitnah yang bakal merebak.
Hari ini beliau menyaksikannya dan seluruh dunia menyaksikan fitnah yang menakutkan itu. Selepas pembunuhan bekas presiden, Benazir Bhutto di tangan pengebom berani mati yang pastinya didesak oleh rasa putus asa dengan kehidupan yang menekan dan menghimpit di sana itu, adakah kita boleh mengandaikan suasana kehidupan di sana akan kembali harmoni dengan cepat?
Tidak sama sekali! Api fitnah sedang marak dan ia akan terus bergerak dengan cepat sekali.
Dalam tempoh masa terdekat ini, kita mungkin menyaksikan pembunuhan demi pembunuhan yang mungkin mencecah ratusan atau ribuan mangsa yang tidak berdosa. Semuanya umat Islam, saudara seakidah kita.
Ketidak puasan adalah terhadap Musharraf kerana dialah yang dilihat sebagai punca segala pergolakan di Pakistan. Beliaulah yang diburu. Tetapi tabiat fitnah adalah di luar kawalan.
Ia merebak seperti api yang membakar di hutan yang dibantu angin kuat yang datang dari pelbagai arah yang sukar diramal. Apabila Musharraf gagal diburu, fitnah itu senang sahaja menerkam mangsanya yang lain.
Dengan ratusan umat Islam terbunuh selepas peristiwa di Masjid Merah itu, semalam ia memuncak dengan pembunuhan bekas presiden yang sedang berusaha dalam kempen pilihan rayanya itu untuk mengembalikan kebebasan yang hilang di tangan Musharraf, diktator yang sentiasa patah tumbuh hilang berganti di dunia Islam yang sedang sakit hari ini.
Fitnah adalah peringatan RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam kepada umatnya di akhir zaman. Fitnah disinonimkan dengan dekatnya kejadian kiamat dan kehancuran dunia untuk selama - lamanya dengan kehadiran alam akhirat yang dijanjikan Tuhan.
Peperangan dan pembunuhan menjadi mudah kerana gagalnya manusia mengawal bahang fitnah yang sedang menyala dengan rakus sekali. Ia menjadi lebih dahsyat apabila fitnah itu meruncing di dalam kalangan umat Islam sendiri, seperti yang berlaku di Pakistan, Iraq dan bumi Palestin hari ini.
Umat Islam adalah saksi Allah di bumi ini. Itulah peranan yang hilang dalam kehidupan akhir zaman hari ini.
Apabila Nabi ‘rahmatan lil ‘alamin’ itu menyebut dan mengingatkan kita dengan kemunculan fitnah demi fitnah yang melanda dunia akhir zaman ini, maka adakah ianya hanya menjadi sekadar ingatan yang ditunggu dengan mata terkedip - kedip, atau di sana ada tali yang dihulur dan ada bantuan yang meleraikan kekusutan itu daripada baginda?
Ya, sudah pasti baginda memberikan kita penyelesaian dan penawar yang membahagiakan. Baginda adalah rahmat untuk seluruh alam.
Ia adalah kembali kepada Al Quran dan Hadis sepenuhnya. Kembali memilih jalan yang lurus. Setiap detik adalah masanya.. Semalam, hari ini dan setiap masa adalah masanya memilih jalan yang lurus.
Kembali kepada Al Quran dan Hadis Nabawi bererti tunduk kepada kedua - duanya walau apa keadaan sekalipun. Kedua - duanya kesucian itu didatangkan untuk menunjuki, mengarah, menegah, menganugerah dan menghukum manusia, lalu manusia mesti mematuhi dan tunduk kepadanya.
Apabila mereka tunduk, maka disitulah terhasilnya penyelesaian yang pada mulanya dilihat rumit dan sukar sekali. Ia tidak sukar di sisi Allah kerana Dialah Pemudah dan Penyukar segala sesuatu.
Segala kejadian adalah dengan kehendak dan izinNya. Segala arahan, larangan dan hukumannya adalah demi kebahagian manusia di dunia dan ia pastinya penuh keberkatan, bersambung ke akhirat.
Allah mengharamkan darah setiap muslim. Ucapan kalimah syahadah menjadikan darah yang mengalir dan menadikan kehidupan pengucapnya itu mulia dan dimartabatkan ketuanannya.
Atas segala kesalahannya, bunuh dan darah tetap kebal daripada ditumpahkan, sehinggalah si muslim itu melanggar apa yang dikira ‘hak’ yang mesti dibalas setimpalya.
Contohnya, bunuh tanpa hak dibalas bunuh jua. Bagaimana digambarkan pembunuhan sesama muslim, sedangkan mereka itu adalah bersaudara? Setiap muslim adalah saudara kepada yang lain.
Begitu sesama muslim, begitulah kita sesama manusia tanpa mengira ugama. Kita daripada bapa yang sama. Maka manusia seluruhnya adalah bersaudara.Sama tetapi dibezakan oleh sesetengah kita yang kufur dengan Allah sebagai tuhannya.
Islam melarang pembunuhan sesama manusia tak kira apa ugamanya. Tetapi oleh kerana ikatannya yang sudah menjadi longgar atas sebab kekufuran sesetengah mereka, lalu memutuskan talian kukuh persaudaraan sejati (persaudaraan Islam lebih kukuh daripada persaudaraan darah dan kemanusiaan), maka tidak peliklah pembunuhan boleh berlaku di antara muslim dan bukan Islam.
Perubahan hukum berlaku. Jihad difardhukan demi menjaga kesucian martabat darah muslim yang bersaudara daripada ditumpahkan oleh penderhaka kepada Allah Sang Pencipta.
Justeru pembunuhan Benazir Bhutto adalah haram dan terlarang oleh ugama Islam. Kesalahannya bukan dibayar dan dihukum dengan darah.
Bahkan jika beliau bersalah, beliau tidak boleh diISAkan sama sekali sehinggalah dihakimi di mahkamah keadilan Islam. Itulah kemuliaan manusia, apatah jika dia seorang muslim.
Jika beliau bersalah di Pakistan, Abdullah bin Ubay lebih bersalah di Madinah saat hidup bersama RasuluLlah. Beliau melakukan kerja fitnah dan kerosakan yang hampir sekali menggugat kestabilan kerajaan pimpinan baginda sendiri.
Isteri baginda difitnah lebih dahsyat daripada fitnah yang menimpa DSAI beberapa tahun lepas di Malaysia. Tetapi hukuman berlaku tanpa pertumpahan darah.
Kenapa? Sebab, Abdullah bin Ubay adalah seorang muslim walaupun beliau seorang penipu yang diketahui jelas penipuan syahadahnya.
Apatah jika dilihat kesungguhan Benazir Bhutto pulang berjuang untuk mengembalikan hak dan kebebasan rakyat yang dicabuli oleh Musharraf bertahun - tahun lamanya, maka pastinya beliau dirindui rakyatnya yang hidup tertekan.
Semoga Allah mengampuni dosa - dosanya atas kebaikan yang beliau sumbangkan untuk negara dan rakyatnya. Sesungguhnya Allah tiada terhad keluasan keampunanNya.
Begitulah Islam meletak hukuman bagi memastikan kedamaian dan keharmonian dalam dunia Islam. Tiada jihad ke atas sesama muslim sehinggalah berlaku pemberontakan yang membakar kedamaian dan keharmonian itu.
Saat itu, darah pemberontak menjadi halal. Ini dunia Islam. Undang - undang sebuah kerajaan Islam.
Di negara kita dan di negara - negara umat Islam hari ini, walaupun ianya diperintah oleh muslim yang berotak penjajah yang menolak ketuanan Al Quran sebagai perlembagaan kehidupan dan negara, hukum ini terus berjalan.
Pemberontakan atas alasan ugama sekali pun adalah salah dan terlarang. Teras hikmahnya adalahmengelak pertumpahan darah dan fitnah yang pasti lebih merosakkan dan menghancurkan kehidupan umat Islam. Ini sehinggalah berlaku dan menjadi nyata dan terang kekufuran pihak pemerintah. ‘Kufrun bawah’.
Contoh adalah seperti pemberontakan Sultan Aurengzeb ( digelar Umar Abdul Aziz India ) ke atas ayahandanya sendiri, Raja Akbar ( pembina Taj Mahal ) dengan menangkap, mengurung dan merampas kuasa kerajaan Islam India yang dipenuhi kecemerlangan dan keadilan selepas itu.
Aurengzeb mengambil pandangan ulama selepas melihat kezaliman dan ‘kufr bawah’ ayahandanya yang tidak dapat dibendung lagi, lalu ulama memfatwakan keharusannya.
Justeru pemerintah tidak boleh membunuh rakyatnya sesuka hati tanpa hak. Kezaliman pemerintah pula ( hatta jika mereka membunuh sekalipun) mestilah dibalas dengan kesabaran, nasihat dan keberanian yang dipenuhi hikmah yang tinggi.
Keharmonian dalam dunia Islam mestilah dijaga agar fitnah yang ditakuti bahangnya itu dielakkan.
Kezaliman wajib ditentang tetapi bukan dengan pertumpahan darah. Hak adalah milik pemerintah sebagai mana ia juga milik rakyat. Yang dizalimi adalah lindungan Allah manakala penzalim adalah teman syaitan dan pembantunya.
Ingat, PAS yang menjadi pembangkang kepada kerajaan pimpinan UMNO sering dituduh sebagai pemberontak di negara umat Islam. Kita menafikan sekeras - kerasnya.
PAS mengharamkan penentangan bersenjata di negara sendiri. PAS telah dizalimi dan saatnya yang tertentu, ahlinya ditembak dan dibunuh, lalu tidak diadili seadilnya. Ingat peristiwa Memali yang menyaksikan pembunuhan ala Masjid Merah itu.
Pernahkah PAS memfatwakan pembalasan dengan pembunuhan juga. Tidak!
Lihat pula tembakan yang dilepaskan oleh pihak pemerintah yang hampir membunuh dua ahli PAS di Terengganu baru - baru ini yang dikecam semua pihak sebagai zalim, kejam dan dilihat ‘lebih memartabatkan nyawa babi’ (kebetulan semasa dengan isu babi di Melaka), apakah PAS bertindak melulu dan membalasnya dengan kekerasan juga? Tidak!
Lihat lagi provokasi murahan, bahkan menghinakan oleh pemerintah dengan memanaskan isu perkauman yang cukup merbahaya, adakah PAS melatah? Tidak!
Bahkan hari ini, PAS dilihat menjadi pelindung golongan mustadafin daripada bangsa India yang dizalimi pemimpin mereka yang bejat dan membejat, Datuk Sammy Velu.
Suasana aman dan sentosa di negara kita yang dikecapi seluruh rakyat hari ini, di sebalik penyalah gunaan kuasa oleh pihak pemerintah ( cukup dengan kewujudan Akta ISA dan Akta Polis sebagai bukti) adalah merupakan sumbangan besar PAS dan rakan - rakan pembangkang yang lain. Kerakusan UMNO menggunakan kuasa tanpa bataslah yang ditakuti di negra kita.
Bilang, siapa takutkan PAS? PAS adalah rakan semua. Yang menakutkan MCA, MIC dan komponen BN terhadap PAS adalah UMNO sendiri yang menabur ‘periuk api’ memburuk - burukkan PAS dengan tuduhan yang mengarut dan bohong.
Hakikatnya PASlah yang dicari demi perdamaian dan keamanan. Ingat, ketika peristiwa hitam 13 Mei, bangsa Cina di Kelantan yang diperintah oleh PAS masa itulah yang paling rasa aman dan selamat berbanding di negeri lain.
Tidakkah mereka hanyalah minoriti yang terlalu kecil di Kelantan yang mudah saja dilanyak? Tetapi PAS adalah sebuah harapan kepada keadilan dan kebenaran di negara ini. Dulu dan hari ini juga.
Kemudian, Tidakkah UMNOlah yang mengajak PAS untuk bersatu di bawah payung Perikatan di saat terdesak itu?
Tiadalah tuduhan terhadap PAS selain untuk menghalalkan segala gerak laku zalim dan buruk pemerintah hari ini. Allah memelihara hizbuLlah yang berjuang untukNya daripada fitnah yang melata di bumi muslimin hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan