KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Disember 11, 2007

Lapor (14): Polis Bebas 9 Aktivis BERSIH, 15 Lagi Masih Ditahan



Dipetik Dari MALAYSIAKINI

Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim, Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustapha Ali dan seorang remaja adalah antara sembilan orang yang dibebaskan oleh polis pada jam 4 petang tadi.

Yang lainnya terdiri daripada enam ahli Bersih, yang pergi ke bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada wakil rakyat pembangkang, untuk disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pagi tadi, seramai 24 ahli Bersih telah ditahan di kawasan bangunan Parlimen, ketika cuba menyerahkan memorandum membantah cadangan melanjutkanb tempoh perkhidmatan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melalui pindaan perlembagaan.

Mereka yang masih ditahan ialah Ketua Penerangan PKR, Tian Chua; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh; ahli jawatankuasa parti pusat PAS, Dr Lo'Lo' Ghazali; Pengerusi penaja Parti Socialist Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim; Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan serta ahli jawatan pusat PSM, S Sivarajan.

Menurut saksi, polis mengepung kereta Tian Chua dan membawanya keluar sebelum menahannya pada kira-kira 10.40 pagi. Seorang lagi yang berada dalam kereta tersebut, turut ditahan.

Chua tidak berhenti di sekatan jalanraya itu dan berkeras untuk meneruskan perjalanannya sebelum polis menahannya.Kira-kira 10 minit kemudian, Arutchelvan dan seorang individi ditahan, juga ketika cuba melepasi benteng polis.

Para pemimpin PAS pula ditahan tidak jauh dari situ sejurus kemudian.Pada waktu tengahari, Khalid tiba di Jalan Parlimen di mana beliau bercakap sekejap dengan pihak media yang berkumpul di sana.

"Saya tidak fikir kita akan dapat menyerahkan memorandum itu hari ini. Keutamaan kita ialah untuk membantu mereka yang ditahan," katanya kepada wartawan.

Seorang anggota polis berpakaian biasa menunjukkan kepadanya perintah mahkamah tersebut yang diperolehi oleh polis Sentul semalam dan mengarahkan Khalid beredar dari situ.

Selepas itu, Khalid menuju ke arah keretanya. Ketika dalam perjalan itu, Ketua Polis Sentul ACP Ahmad Sofian Md Yassin mengarahkan orangnya supaya menahan setiausaha agung PKR itu.

Semua yang ditahan dibawa ke ibupejabat kontinjen polis Kuala Lumpur.

Lebih 400 anggota polis mengawal bangunan Parlimen untuk menghalang penyokong Bersih masuk. Perintah mahkamah itu juga turut ditampal di pokok sepanjang jalan menuju ke Parlimen.

"Pihak berkuasa tidak sepatutnya melakukan semua ini. Mereka sepatutnya diberi hak untuk menyerahkan memorandum tersebut. Lagi pun, itu sahaja yang mereka hendak lakukan," kata Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada AFP.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz bagaimanapun mempertahankan tindakan polis itu.

"Mereka mahu datang untuk membantah pindaan perlembagaan hari ini. Jadi mereka mahu datang ramai. Kita tidak benarkannya," katanya kepada wartawan di Parlimen.

"Kita telah mengambil tindakan terhadap mereka dan kita akan menggunakan sistem mahkamah untuk mendakwa mereka," kata Nazri.

Perintah mahkamahPagi tadi, polis telah menutup semua jalan menuju ke Parlimen untuk menghalang penyokong Bersih daripada menyerahkan memorandum membantu cadangan pindaaan perlembagaan bagi melanjut tempoh perkhidmatan pengerusi SPR kepada 66 tahun.

Perintah mahkamah itu - yang kedua selepas perhimpunan Hindraf pada 25 November lalu - melarang empat individu dan penyokong Bersih daripada menyertai perhimpunan tersebut.

Mereka ialah pemimpin PAS - Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Mohamad Sabu dan Adenaan Saad - dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mahmud.

Perintah tersebut juga menyatakan 'pihak-pihak berkaitan yang lain' turut dilarang mernyertai perhimpunan tersebut. Polis telah memberi amaran bahawa mereka yang mengingkari perintah tersebut akan ditahan.

Tiada ulasan: