KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Disember 14, 2007

Orang PAS Kena Berani, Kena Sabar, Kena Istiqqamah dan Kena Lawan -- Suatu Ingatan Tepat Untuk Pejuang PAS Tulen!

“Jika kerja anda disukai Amerika, maka itu tanda anda salah.”
Itulah sunnah perjuangan. Dipuji dan dicaci. Ditatang dan ditentang. dijulang dan dipalang. Bukan Islam namanya jika disayangi semua dan bukan Islam namanya jika dibenci semua.

Wahai pejuang, jika anda kedekut, berdermalah. Jika anda penakut, lawanlah Umno. Itulah ubat untuk berani.

Pak Haji Amjal, tidak jemu-jemu turun berdemontrasi bersama Haji Mohd Sabu tanpa mengira risiko. Semangat yang gagah telah mengangkasakan jiwanya untuk terus menentang tidakadilan pemerintahan anak Badawi.

By NIK ABDUH NIK ABDUL AZIZ

Komen Webmaster: Tulisan Nik Abduh ini cukup menyentuh hati saya. Terasa indahnya berjuang dalam PAS jika bait-bait komentar Nik Abduh dihayati. Dalam suasana PAS kian terbuka, menarah dan menarah jalan-jalan lunak mendaki ke puncak, telah lama tidak terbaca dan tersentuh dengan alunan begini. Terasa mahu lagi mendepani dan mengapak kejelikan nafsu serakah Umno dengan kapak jangak dan bermandian pancutan air kimia, berkejaran mengatur langkah, dan menghirup asap pemedih mata muntahan FRU. Elok kita tekuni bait-bait anak MB Kelantan ini agar kita serasi meletakkan kedudukan diri kita dalam perjuangan yang betul dan tepat! - Tarmizi Mohd Jam

SALAM Kamunting (dedikasi sepanjang masa buat mangsa dan keluarga mangsa kezaliman akta rimba ISA di bumi Malaysia. Semoga Allah melimpah kurnia-Nya ke atas mereka menghancurkan Umno sehancur-hancurnya).

Seperti ditelah ramai, atau seeloknya saya berkata, seperti membenarkan sunnah Allah ke atas para pejuang-Nya di bumi ini, akhirnya penganjur perhimpunan BERSIH ditangkap dan diseret ke muka pengadilan yang dicomoti kezaliman dan kehinaan.

Tujuannya, "membersihkan" BERSIH daripada kebersihan dengan menyimbah kekotoran ke atasnya.

Abang Mad Sabu ditangkap lagi. Tiada siapa terkejut jika beliau ditangkap kerana beliau sentiasa di depan mendepani kezaliman. Beliau adalah lambang keberanian dalam PAS.

Keberanian adalah sifat yang hilang daripada jati diri umat ini. Apabila beliau menempatkan dirinya di kerusi "kehormat" itu, tiada siapa dapat menafikan betapa beliau dikurniakan sesuatu yang hebat oleh Allah taala.
Saya selalu mengimpikan untuk jadi berani sepertinya.

Jika saya diberi sifat berani itu, saya tahu sayalah paling dibenci Umno. Umno membenci Melayu yang berani. Sebabnya mereka tahu berani itu adalah tanda keimanan yang teruji.

Umno membenci Melayu yang imannya kuat. Jika iman Melayu kuat, bankraplah produk Islam Hadhari yang dikilangkan di kilang Umno, tempat mencetak dan menghasilkan produk - produk bidaah, khurafat dan maksiat terhadap Allah dan Rasul-Nya.

RasuluLlah sallaLlahu alaihi wa sallam dibenci sangat - sangat oleh Abu Jahal dan sekutunya yang memusuhi Islam. Maka suka sangatlah saya jika saya dibenci Umno sebenci-bencinya, walaupun Umno bukanlah Abu Jahal dan sekutunya di Mekah.

Paling tidak, saya dapat merasa-rasakan betapa hebatnya keberanian, kesabaran, istiqamah dan penentangan RasuluLLah terhadap musuh-musuh Islam sampai baginda dibenci sebenci - bencinya.

Saya sangat benci pada ceramah saya sendiri jika saya mampu mengungkapkan keindahan Islam dan mencetus kecintaan terhadapnya, tetapi saya gagal mengungkapkan keburukan Umno dan mencetus kebencian terhadapnya.

RasuluLlah menawarkan kemanisan iman kepada pencinta Allah dan RasulNya sebagaimana kemanisan itu juga milik mereka yang membenci kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan.

Umno paling layak dibenci kerana Umnolah ibu kekufuran, kefasikan, kezaliman dan kemaksiatan di bumi tercinta ini. Ibu kekufuran kerana Umnolah pembawa virus kufur fahaman politik suku agama suku.

Ibu kefasikan kerana Umnolah memunah ranahkan kefahaman umat terhadap Islam dengan menaja Islam Hadharinya yang penuh fitnah itu. Ibu kemaksiatan kerana Umnolah pengembang aktif aktiviti anti ketamadunan insani seperti budaya rasuah, salah guna kuasa, gejala sosial, dadah dan sebagainya.

Ibu kezaliman kerana Umnolah penentang para pejuang di jalan Allah dengan mengsyar’iekan akta rimba ISA yang ditolak oleh semua manusia yang berakal dan insaf.

Antara kelebihan Abang Mad Sabu ialah kebolehannya mencetuskan kebencian terhadap Umno di hati para pendengar ceramah dan pidatonya. Saya kepingin sangat nak jadi sepertinya. Kepingin sangat-sangat. Bagi saya, itu kurnia Allah yang cukup besar.

Bila saya membenci Umno, iman saya jadi kuat dan bagus sekali. Ia jadi kuat dan bagus sekali juga bila hati saya disapa rasa syahdu cinta pada Allah dan RasulNya. Benarlah kemanisan iman itu adalah pada mencintai dan membenci juga.

Pejuang Islam kena berani, kena sabar, kena istiqamah dan kena lawan kezaliman dan kebatilan. Pejuang PAS yang mendukung Islam kena berani, kena sabar, kena istiqamah dan kena lawan Umno yang mendukung kezaliman dan kebatilan di dalam negara tercinta ini.

Jika tidak, sampai bila pun Islam tidak akan menang. Jika tidak, sampai bila pun Umno akan terus hidup dan memerintah manusia dengan kebatilannya itu. Kena tolong Allah, barulah Allah turun kita. Jika Allah tolong, tiada lagilah Umno untuk menyekat dan mengatasi.

Di negara kita ini, PAS paling disayangi dan PAS juga paling dibenci. Ia disayangi tentulah kerana keberanian, kesabaran, ketekunannya memperjuangkan ketuanan Islam dan penentangannya terhadap Umno, parti yang menentang Islam yang benar.

Ia pula dibenci tentulah kerana sebab yang sama juga. Pencinta Islam menaruh harapan kepada PAS, manakala pembenci PAS pula menanti - nanti kehancuran PAS.

Itulah sunnah perjuangan. Dipuji dan dicaci. Ditatang dan ditentang. dijulang dan dipalang. Bukan Islam namanya jika disayangi semua dan bukan Islam namanya jika dibenci semua.

Siapa lebih handal daripada RasuluLLah sendiri?

Ayahanda acap juga menyebut hikmat daripada Imam Khomeini, “Jika kerja anda disukai Amerika, maka itu tanda anda salah.” Agaknya, abang Mad Sabu yang suka sangat dengan Iran tempat berjuang Imam Khomeini itu mengambil dan menghayati hikmat ini. Saya pun cukup beriman dengan hikmat ini.

Kerana itu saya menentang Umno. Abang Mad, bertahanlah. Kak Norma, bersabarlah. Anak - anak dan keluarga, berbanggalah.

Wahai pejuang, jika anda kedekut, berdermalah. Jika anda penakut, lawanlah Umno. Itulah ubat untuk berani.

Wahai pejuang Islam, beranilah demi ridha Allah. Allahu Akhuakbar...

Tiada ulasan: