KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Disember 11, 2007

Lapor (7): Malaysia Menuju Negara Polis, PAS Kutuk Tindakan Penahanan!


By ROY RASUL

PAS mengutuk sekeras-kerasnya dan kesal tindakan mutakhir kerajaan yang menahan beberapa pimpinan partinya serta pimpinan lain yang mahu menghantar memorandum Bersih kepada ahli-ahli parlimen di Bangunan Parlimen, hari ini.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, tindakan itu melihatkan Malaysia benar-benar menjadi negara polis.

"Contohnya penangkapan ke atas beberapa pimpinan PAS dan orang lain dilakukan di pintu masuk parlimen," katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini.

Ini katanya, parlimen adalah lambang demokrasi dan mereka yang datang itu pula bukan untuk berhimpun.

"Mereka datang sebagai rakyat untuk pergi ke parlimen dan kebetulan pula hari ini berlangsung perbahasan berkaitan pemanjangan tempoh perkhidmatan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada 65 kepada 66 tahun," katanya.

Sementara itu, lebih 20 orang termasuk beberapa pimpinan politik pembangkang ditahan di parlimen pagi tadi atas dakwaan menyertai perhimpunan penyerahan memorandum Bersih kepada Ahli Parlimen hari ini.

Mereka yang ditahan antaranya ialah Bendahari Agung PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali;Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi, Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Ghazali, Setiauasaha Agung KeADILan, Tan Seri Khalid Ibrahim, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad.

Kesemua mereka ditahan di Ibu Pejabat Kontijen Polis Jalan Hang Tuah. Dakwanya, mereka yang datang itu bukan rakyat biasa sebaliknya daripada pimpinan politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar.

"Jadi penahanan tersebut jelas menunjukkan Malaysia berubah kepada negara polis," katanya sambil membidas tangkapan tersebut.

Tiada ulasan: