By SALMIYAH HARUN
PENANGKAPAN Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu pada 9 Disember baru-baru ini ekoran daripada Himpunan Aman Bersih yang berjaya mencabar kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak sekali-kali melunturkan semangat beliau untuk terus berjuang sehingga prinsip demokrasi sebenar terlaksana.
Menurut Mohamad Sabu, beliau akan terus berjuang dengan berbagai-bagai cara sehingga demokrasi yang dituntut oleh rakyat terlaksana seperti berlaku di Thailand, Indonesia, dan negara-negara barat.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, semalam.
"Kita mahu menikmati kebebasan berdemokrasi seperti negara lain, kita tidak mahu duduk di alam 'jakun' selama-lamanya, kita akan meneruskan sehingga demokrasi terlaksana," katanya.
Beliau juga bersedia dengan apa jua kemungkinan berlaku terhadapnya termasuklah tidak boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang jika mahkamah memutuskan dia bersalah dalam kes ini.
Mohamad juga berkali-kali menegaskan bahawa perjuangan politiknya tidak akan menjadikan sasaran utamanya untuk untuk melawan pihak polis, sebaliknya berusaha terus untuk menuntut hak rakyat, memperjuang kebebasan dan menegakkan demokrasi.
Sementara itu, ketika ditanya keadaan demonstrasi rakyat yang kerap diadakan sejak akhir-akhir ini, Mohamad berkata, rakyat sekarang semakin tidak berpuas hati. "Masyarakat India merasakan mereka ditipu oleh MIC, orang Melayu ditipu oleh Umno dan orang Cina pula ditipu oleh MCA," tegasnya.
"Orang lihat berita rasuah terlalu banyak, ingat rakyat ini senang hati! Kenaikan kos harga barang dan hidup, perasaan rakyat sudah meluat sebab itulah mereka berdemonstrasi," katanya.
Mengulas tentang penangkapan polis terhadap mereka yang dikatakan terlibat dalam insiden 10 November, Mohamad berkata penangkapan itu sebenarnya untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak lagi berani bersuara.
Tambahnya, penangkapan itu sebagai satu gangguan yang sangat kuat yang digelarkannya sebagai 'operasi padam'.
Beliau lewat mengadakan sidang media kerana menyelesaikan urusan dengan mahkamah bermula dua petang semalam melunaskan pembayaran wang jamin sebanyak RM5,000.
Bagaimanapun, pada hari ini Mohamad akan menghadirkan diri di Balai Polis Nibong Tebal, dan pada 14 Disember pula beliau akan ke Balai Polis Bukit Aman.
Terdahulu, Mohammad kesal dengan tindakan melampau pihak polis menahannya di hadapan kaum keluarga dalam rombongan menghantar pengantin perempuan (anaknya) ke rumah pengantin lelaki.
Dalam insiden itu, katanya pihak polis ingkar dengan janjinya di mana pada awalnya bersetuju untuk membenarkan Mohammad menghantar kaum keluarganya ke Guar Petai, Tasik Gelugor sebelum ke balai polis terdekat.
Mohamad berkata, desakan polis itu dan diikuti tindakan mengepung rombongannya memyebabkan kaum keluarga termasuk tiga orang kakaknya terperanjat, menjerit lalu pengsan.
"Kaum keluarga saya menjerit dan pengsan melihat saya diperlakukan sedemikian rupa seolah-olah saya penjenayah besar padahal saya hanya dikaitkan dengan perhimpunan saja," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan