KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Disember 15, 2007

Selepas SPR, Kini Polis & ISA Diperalatkan Untuk Kepentingan Nafsu Anak Badawi

PAS tidak menyokong apa yang dibangkitkan oleh HINDRAF, tetapi PAS menentang penggunaan ISA ke atas pemimpin mereka.

Oleh HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk keras tindakan Kerajaan BN menggunakan akta zalim, ISA untuk menahan lima pemimpin HINDRAF semalam.

PAS tidak menyokong apa yang dibangkitkan oleh HINDRAF, tetapi PAS menentang penggunaan ISA ke atas pemimpin mereka.

Penyalahgunaan ISA adalah tidak wajar bagi sebuah negara demokrasi yang mempunyai undang-undang untuk mendakwa kesalahan mereka jika kerajaan benar-benar mempunyai bukti.

Tindakan ini menunjukkan bahawa Kerajaan BN takut untuk melalui proses undang-undang yang adil iaitu mendakwa mereka di mahkamah, sebaliknya Kerajaan BN menggunakan ISA untuk menekan rakyat.

Penggunaan ISA oleh kerajaan ini juga merupakan suatu bentuk rampasan kuasa mahkamah di negara ini. PAS berpandangan bahawa pemimpin HINDRAF telah pun didakwa dibawah Akta Hasutan sebelum ini, bahkan ada pemimpin mereka dikenakan ikat jamin sehingga RM50,000.

Sepatutnya kerajaan meraikan proses undang-undang ini dan membuktikan kesalahan mereka di mahkamah. Kerajaan BN seolah-olah tidak mempunyai bukti untuk menyabitkan kesalahan mereka, lalu ISA digunakan.

Menggunakan ISA tidak menyelesaikan masalah tersebut kerana ia akan menimbulkan kemarahan orang India dan penganut Hindu, sekali gus memanaskan hubungan antara kaum di negara ini.

Penahanan ini akan “mengherokan” pemimpin HINDRAF dan mereka akan dianggap pahlawan oleh penganut Hindu. Tindakan Kerajaan BN ini merupakan satu agenda sulit selepas gagal menimbulkan kemarahan orang Melayu dalam isu HINDRAF.

Kini mereka menggunakan ISA ke atas pemimpin India supaya penganut Hindu marah dan menimbulkan kekacauan yang mengakibatkan perbalahan antara kaum.

Ini adalah agenda adu domba Umno/BN untuk melagakan rakyat pelbagai kaum dengan harapan BN akan mendapat ‘untung percuma’ dalam pilihan raya akan datang.

Tindakan politik jahat dan tidak bermaruah Umno/BN ini boleh mengulangi Tragedi 13 Mei yang juga ‘dilakonkan’ oleh Umno/Perikatan dahulu.

Umno/BN sengaja membakar api perkauman ini supaya mereka boleh menahan pemimpin pembangkang dan NGO seperti di dalam Operasi Lalang 1987.

PAS percaya penahanan ISA ini tidak terhenti setakat pemimpin HINDRAF sahaja, sebaliknya akan merebak kepada pemimpin pembangkang yang lain.

Penahanan pemimpin BERSIH di Parlimen minggu lepas dan pendakwaan ke atas pimpinan pembangkang yang lain serta peguam di Mahkamah Seksyen Jln Duta, dengan peguam negara berusaha mempengaruhi mahkamah supaya tidak membenarkan ikat jamin ke atas mereka, menggambarkan percubaan awal menggunakan ISA pintu belakang.

PAS percaya setelah percubaan ini gagal maka penggunaan ISA yang sebenar akan dikuatkuasakan kerana Umno/BN sudah terdesak untuk menghadapi pilihan raya dan mereka berusaha untuk melemahkan pembangkang secara belakang tabir.

Selepas SPR diperalatkan untuk melemahkan sistem pilihan raya, kini polis dan ISA pula digunakan untuk melemahkan rakyat. Isu perkauman yang ditimbulkan HINDRAF sengaja dibesar-besarkan untuk menutup isu penyelewengan kerajaan dan kemunafikan SPR.

Ia sekali gus akan digunakan untuk melaga-lagakan rakyat yang berbeza kaum dan agama demi kepentingan politik sempit Umno/BN. Mereka sanggup berbuat apa sahaja termasuk menggadaikan kedamaian rakyat asalkan regim mereka terus berkuasa.

PAS tuntut semua tahanan ISA yang sedang ditahan di Kem Tahanan Kemunting dibebaskan tanpa syarat atau didakwa di mana-mana mahkamah.

Tiada ulasan: