KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Disember 12, 2007

Lapor (28): Maka Akan Terlantiklah Tan Sri Rashid Menyambung Tugasnya Di SPR Yang Belum Selesai!


Dipetik Dari mSTAR ONLINE

PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2007 bagi meminda umur persaraan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada 65 tahun sekarang kepada 66 tahun.

Keputusan itu dicapai menerusi undi belah bahagian dengan majoriti 189 undi daripada 219 anggota Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib ketika memaklumkan kepada mesyuarat keputusan undian berkata tidak ada undi tidak bersetuju.

Sebelum pengundian berlangsung pada pukul 4.20 petang tadi, 16 daripada 19 anggota Parlimen pembangkang bertindak meninggalkan dewan, atas alasan membantah tindakan polis menahan lima anggota Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di kawasan Parlimen tengah hari tadi.

Tiga lagi anggota Parlimen pembangkang iaitu Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh), Ismail Noh (PAS-Pasir Mas) dan Abdul Fatah Harun (PAS-Rantau Panjang) tidak hadir semasa Dewan Rakyat menyambung persidangan pada sebelah petang.

Kehadiran anggota Bersih di luar kawasan Parlimen sejak pukul 9 pagi tadi adalah untuk menyerahkan memorandum membantah cadangan pindaan rang undang-undang itu kepada Anggota Parlimen.

Selepas lebih tiga jam berkumpul di luar, kumpulan itu masuk ke dalam bangunan Parlimen dan berjaya menyerahkannya kepada Dr Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat tengah hari tadi.

Sejurus selepas penyerahan itu, lima anggota kumpulan itu ditahan polis ketika mereka bergerak meninggalkan kawasan Parlimen.

Dalam penggulungannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata penahanan itu wajar demi menjaga keselamatan Anggota Parlimen.

Beliau berkata Bersih terbukti mempunyai niat untuk mengganggu perjalanan persidangan selain menggugat ketenteraman kerana kehadiran mereka telah menyebabkan laluan ke Parlimen terpaksa dikawal polis.

Mohamed Nazri juga memberitahu dewan bahawa beliau tidak mahu menjelaskan panjang lebar terhadap isu yang dibangkitkan oleh Anggota Parlimen semasa perbahasan termasuk dakwaan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) bahawa SPR tidak bebas dan tidak telus dalam menjalankan tanggungjawabnya kerana ini telah diperjelaskan berulangkali.

"Banyak perkara yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang mengenai SPR semuanya telahpun dijawab, malah saya juga dimaklumkan oleh Pengerusi SPR (Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman) juga telah bertemu dengan pembangkang mengenai isu itu dan semuanya sudah dijawab.

"Oleh yang demikian, saya tidak berhajat untuk bercakap panjang dan meneruskan penggulungan memandangkan pihak pembangkang telahpun mengambil sikap bacul dan penakut untuk mendengar jawapan dari pihak kerajaan," katanya.

Persidangan dewan hari ini ditangguhkan satu jam lebih awal iaitu pada pukul 4.30 petang sebaik sahaja rang undang-undang itu diluluskan.

Persidangan disambung semula pukul 10 pagi esok.

Tiada ulasan: