KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Disember 12, 2007

Lapor (29): Giliran Anuar Tahir Dipanggil Untuk Siasatan Polis Esok!


By SALMIYAH HARUN


Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Anuar Tahir akan dipanggil ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jalan Dato' Onn, dekat sini, jam 11 pagi esok untuk siasatan lanjut berikutan penganjuran Perhimpunan Aman Bersih pada 10 November lalu.

Anuar dimaklumkan hal berkenaan melalui telefon oleh seorang pegawai polis yang dikenali sebagai ASP Amran kira-kira jam 11 pagi ini.

Petang Ahad lalu, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua ditangkap polis, masing-masing di Ipoh dan Johor Bahru, atas dakwaan terbabit dengan perhimpunan raksasa 10 Nov yang mendapat sambutan luar biasa lebih 100,000 rakyat itu.

Semalam seramai 24 orang ditangkap polis di dalam kawasan Parlimen dan di sekitarnya kerana didakwa terbabit dalam satu perhimpunan untuk menyerahkan memorandum Bersih kepada ahli-ahli Parlimen.

Dalam siri penangkapan di Parlimen pihak polis menahan Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim; AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad; Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali; penganalisis pilihan raya Malaysia, Wong Ching Huat; Koordinator Suaram, Yap Swee Seng; wakil CIJ, V Gayathri; Mien dan Pengurus Pengiklanan Harakah, Mokhtar Rozaidi. Bagaimanapun semua mereka dibebaskan kira-kira jam 6 petang.

Dalam pada itu, seramai 16 yang lain, yang turut ditahan di luar kawasan Parlimen, antaranya Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi, AJK PAS Pusat Dr Lo' Lo Ghazali dan Dr Mohd Nasir Hashim (Parti Sosialis Malaysia), ibebaskan seorang demi seorang bermula jam 8.45 malam tadi.

Walaupun berlaku penangkapan, namun objektif Bersih dilihat tercapai apabila berjaya mengadakan sidang media di pekarangan lobi Parlimen pada jam 11.40 pagi semalam dan sejurus itu mereka menyerahkan memo Bersih kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk disampaikan kepada ahli Parlimen yang lain termasuk Perdana Menteri.

Memo tersebut secara asasnya membantah pindaan Perlembagaan yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, yang bertujuan untuk melanjutkan usia perkhidmatan pengerusi dan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada 65 kepada 66 tahun.

Tujuan pindaan itu dipercayai mempunyai motif jelas untuk memberi peluang kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, yang sepatutnya tamat perkhidmatan 31 Disember 2007 untuk memegang semula jawatan itu.

Tiada ulasan: