KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Undi itu rahsia tiada pada undi pos - Mahfuz

KUALA LUMPUR: PAS mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghapuskan borang untuk pengundi pos kerana ia boleh menyebabkan rahsia pengundi akan diketahui dan seterusnya membolehkan pengundi berkenaan kemungkinan akan dikenakan tindakan.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menegaskan penggunaan borang untuk pengundi itu menyebabkan pengundi di kalangan tentera dan polis takut untuk memberikan undi kepada pembangkang kerana undi mereka bukan lagi rahsia.

Tegas beliau lagi, undi yang sepatutnya menjadi rahsia dapat diketahui dan menjadi tradisi BN akan mengambil tindakan kepada kakitangan awam yang tidak menyokong mereka.

"Adanya borang ini menyebabkan anggota tentera dan polis takut untuk mengundi pembangkang kerana bimbang kemungkinan akan dikenakan tindakan bila tidak menyokong kerajaan.

"Sepatutnya sebagai sebuah negara demokrasi, mereka (BN) tidak boleh menghalang atau mengambil sebarang tindakan jika ada kakitangan awam yang tidak menyokong mereka.

"Tetapi malangnya di Malaysia, sistem demokrasinya lebih berpihak kepada BN dan kerana itu mereka (BN) menakut-nakutkan penjawat awam dari menyokong atau memberikan undi kepada pembangkang dengan adanya borang tersebut," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Pkok Sena.

Mahfuz juga menegaskan, dalam pertemuan beliau dengan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebelum ini, bekas Pengarah SPR itu mengakui borang untuk pengundi pos itu sudah tidak relevan dan tidak sepatutnya digunakan lagi.

Selain masalah borang untuk pengundi pos yang dimasukkan bersama dengan kertas undi ke dalam satu sampul sebelum dipindahkan ke dalam peti undi, Mahfuz juga mendesak agar proses pengiraan undi diadakan sebaik saja proses membuang undi selesai diadakan.

Kata beliau, jika kaedah lama, mengira undi pos di hari pengundian, masih diguna pakai, dibimbangi akan berlaku penyelewengan dalam tempoh sebelum undi pos itu dikira kerana proses undi pos diadakan dua hari sebelum hari pengudian biada dijalankan.

Mengulas perkara yang sama, Pengarah Strategik KeADILan, Tien Chua juga berpendapat SPR perlu mengadakan satu mekanisme khas yang lebih telus dalam mengadakan undi pos supaya ia dapat memberi keyakinan kepada pengundi dan juga parti-parti yang bertanding.

Tegas beliau lagi, sehingga kini proses undi pos yang dijalankan oleh SPR amat meragukan dan banyak penyelewengan telah berlaku menyebabkan ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati.

"SPR perlu adakan satu mekanisme khas bagi menangani masalah undi pos supaya ia dapat menyakinkan pengundi dan parti-parti yang bertanding," kata beliau.

Ahli Parlimen Batu itu menegaskan, untuk pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang, Pakatan Rakyat akan memastikan undi biasa akan ditingkatkan bagi mengatasi masalah undi pos.

Bagi Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh pula menegaskan, SPR perlu memastikan proses undi pos dijalankan secara telus dan seterusnya dapat menyakinkan parti-parti yang bertanding.

Beliau turut sependapat dengan Mahfuz supaya proses pengiraan undi dibuat terus sebaik proses pengundian tamat supaya tidak berlaku penyelewengan.

"SPR perlu wujudkan satu mekanisme yang boleh menyakinkan pengundi dan juga parti-parti yang bertanding.

"SPR juga perlu memastikan pengiraan undi dijalankan sebaik saja proses undi selesai bagi mengelakkan penyelewengan yang mungkin boleh berlaku jika ia dikira pada hari pengundian sebenar," kata Syed Ibrahim

SPR juga tegas beliau perlu memastikan aspek kerahsiaan sesuatu undi perlu dilindungi bagi memastikan pengundi tidak rasa tertekan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

KLU AWAK NAK TAU SAYA PUN BERKETURUNAN POHON SAGOR JUGAK YANG MANA POHON TERSEBUT TERPAPAR DIRUANG RUAMAH ORANG TUA SAYA DI KAMPUNG TELUK KEPAYANG BOTA