Antara karyawan Harakah yang sempat bergambar dengan ahli-ahli panel Forum "Harakah: Cabaran Hadapi PRU-13" Prof Dr. Abdul Aziz Bari dan S Arutchelvan
Sesi "bedah siasat" pelbagai aspek kandungan Harakah oleh editor-editor Harakah
Penulis (berdiri kiri) memperkatakan sesuatu kepada Azam Syairi (baju biru muda) sewaktu majlis berhenti rehat
Tidak melepaskan peluang bergambar dengan Dr Abu Hassan sebaik usai sesi motivasi muhasabah.
Mungkin ramai hairan bagaimana PAS yang dilahirkan daripada serambi Umno pada 1951 kini menjadi parti dominan di Malaysia. Hari ini kalau kita bercakap soal parti politik, PAS akan diletak di barisan depan. Bukan lagi terpinggir, seperti sesetengah parti yang hidup segan, mati tak mahu.
Sebaliknya Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) dan Angkatan Insan Malaysia (Akim) yang pernah lahir dari gubuk PAS, kini hanya tinggal kenangan.
Parti terbabit berakar umbi di bumi Kelantan. Malangnya semua parti serpihan yang lahir dari rusuk PAS tidak mampu kekal lama. Dalam usaha memperjuangkan Islam di Malaysia tiada parti lain lagi yang mampu 'bernafas' kecuali PAS.
Ketika PAS bergabung dengan Semangat 46 yang diasas Tengku Razaleigh Hamzah, ada segelintir pemimpin PAS marah sehingga wujud kumpulan Islah. Biar pun pelbagai cabaran dan mehnah menimpa PAS tetapi parti itu tetap segar. Kini terus berkembang. Inilah persoalannya yang sukar dirungkai.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad melihat adanya kumpulan yang ikhlas berjuang menyebabkan PAS terus dominan.
"Misalnya anggota Unit Amal yang bertugas tanpa mengira penat dan lelah tidak mengharapkan upah. Mereka ikhlas kerana Allah Taala. Mereka bukannya mempunyai kerjaya yang selasa, sebaliknya sedia berkhidmat kerana Islam," katanya sebagai merungkai isu mengapa PAS mampu mendominasi politik di negara ini.
Ustaz Idris berkongsi pengalaman itu bersama karyawan Harakah pada program Pemukiman Harakah 2010 di sebuah hotel di Ampang pada 25 dan 26 Disember lalu.
Program itu menghimpunkan semua karyawan Harakah dari seluruh negara. Harakah kini ada cawangan di hampir segenap ceruk. Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor yang sukar ditembusi PAS sebelum ini, sekarang ada petugas Harakah.
Manakala cawangan sedia ada iaitu Kota Bharu, Kuala Terengganu, Ipoh, Temerloh, Alor Setar, Pulau Pinang dan Kangar semakin berkembang. Kata Ustaz Idris berkhidmat dengan Harakah bagi membantu perjuangan Islam tentunya tidak terasa letih. Semuanya disimpulkan untuk kemenangan Islam.
"Biar pun gaji tidak tinggi berbanding dengan orang lain, namun ada keberkatan di sebaliknya," kata beliau yang juga bekas pensyarah UiTM ketika berucap merasmikan pemukiman dua hari itu. Tiada sesiapa pun boleh menafikan ada keberkatan di sebalik bekerja di bawah bumbung Islam. Apa yang perlu dipastikan niat kena betul.
Bagaimana pun, sekiranya soal kebajikan dengan kos hidup yang semakin melonjak tidak diambil peduli, mungkin payah untuk mencari petugas yang rela berkorban apa sahaja, rungut seorang karyawan. Di kesempatan itu juga Ustaz Idris meluahkan beliau tidak mungkin dapat berkompromi dengan mana-mana pengurusan yang sayangkan duit bagi menganjur kursus atau latihan kepada kakitangan.
Di akhir ucapan di program berkenaan, beliau menggariskan beberapa agenda bertindak untuk karyawan Harakah. Antaranya karyawan kena kreatif, kuasai bahan berita yang dikeluarkan media konvensional dan media baru lain.
Ucapan permulaan Ustaz Idris yang agak garang berakhir dengan pengharapan besar. Lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Program pemukiman itu turut mengundang pakar media, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), pakar undang-undang Prof Dr Abdul Aziz Bari dari UIAM, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan dan seorang editor berita Astro Awani, Mohd Azam Syairi.
Program dua hari tersebut agak sendat dan banyak yang mampu digalas karyawan Harakah. Lebih-lebih lagi 'bedah siasat' rupa wajah dan isi Harakah oleh Dr Abu Hassan. Selain itu cara menjadikan berita sentiasa segar dikongsi bersama Azam yang sarat pengalaman.
Biar pun tanpa kehadiran pihak pengurusan Harakah dan bahagian-bahagian lain; teknikal, pemasaran dan iklan, tugas yang perlu digalas unit editorial lebih penting.
Kata rakan karyawan, usaha melonjakkan kembali Harakah perlu bergerak seiring. Bukan sekadar editorial, sebaliknya unit-unit lain juga perlu digerakkan sama. Seperti kata Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman, meningkatkan pengedaran Harakah jangan semata-mata bergantung kepada isu.
Pada 1987 Harakah bertenggek pada isu perpecahan Umno sehingga lahir Team A dan Team B. Pada 1990 Harakah dapat bonus kerana munculnya Semangat 46.
Pada 1993 jualan Harakah meningkat kerana isu imuniti Raja-raja Melayu. Ketika itu isu terbabit digodam Umno dan Kerajaan BN diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad.
Manakala kemuncaknya Harakah melonjak melebihi terbitannya 300,000 naskah untuk satu-satu keluaran kerana lingkaran isu reformasi. Dan sekarang apa lagi isu yang diharapkan. Mungkin Apco, petrol naik dan segala-galanya naik. Namun lonjakkan masih tidak seberapa.
Kata Dr Abu Hassan sudah menjadi trend sekarang, semua jualan akhbar menurun. Kecuali kata beliau media cetak yang gemar menyiarkan retorik di sebalik kes di mahkamah syariah dan rumah tangga artis.
Sumber > Lan Jusoh, Ketua Biro Harakah Kelantan (lanjusoh@gmail.com)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan