KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 31, 2008

Sebenarnya Muhyiddin Yassin boleh tumpaskan Najib Tun Razak - Sanusi Junid

Harakah terus menjolok minda mantan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid di pejabatnya, dekat Mont Kiara. Dengan nada sinis, beliau menyifatkan penyerahan kuasa oleh PM, Abdullah Ahmad Badawi kepada Timbalannya, Najib Tun Razak pada Jun 2010 sebagai tidak demokratik. Beliau percaya, Abdullah boleh dikalahkan jika Najib menentangnya. Tetapi Najib kurang keberanian. Sanusi yakin Muhyiddin upaya menumpaskan Najib. Umno katanya, amat memerlukan pemimpin yang berani. Telaahlah bualbicara saya, TARMIZI MOHD JAM dan wartawan Harakah, WAN NORDIN WAN YAACOB dan AZAMIN AMIN bersama beliau.

Apa pandangan Tan Sri berhubung 'Pelan Peralihan Kuasa 2010' yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Abdullah Badawi kepada timbalannya, Najib Razak baru-baru ini?

Sanusi: Keputusan ini adalah satu keputusan yang tak berapa tepat. Dengan beranggap pada tahun 2010 Abdullah masih Perdana Menteri, sedangkan pertandingan dalaman Umno akan diadakan pada bulan Disember ini. Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) nak lawan dia. Kalau Ku Li menang, maknanya tahun 2010 Abdullah tak boleh serah jawatan kepada Najib. Masa itu dia tak pegang jawatan apa-apa sebab masa itu dia bukan Presiden Umno lagi. Jadi bagi saya, sebenarnya hak untuk menentukan siapa Perdana Menteri dan Presiden Umno ialah perwakilan Umno. Tidak adillah jika hak perwakilan Umno itu kita ambil.
Sekarang ini yang menjadi masalah ialah Najib. Kalau dia teringin nak jadi Perdana Menteri pada tahun 2010, dialah yang kena kerja kuat supaya Abdullah dapat pencalonan banyak dan menang dalam pertandingan itu. Kalau Najib buat kerja itu untuk memenangkan Abdullah, kenapa dia tak buat kerja untuk memenangkan dia (Najib), lebih-lebih lagi sekarang ini dalam Umno, Najib lebih popular berbanding Abdullah.
Satu lagi kita dapati dalam Umno sekarang Tan Sri Muhyiddin Yassin orang yang duduk di tahap Naib Presiden. Jawatan ini tinggi iaitu orang ketiga dalam Umno. Jadi Mahyuddin pula dia dah bagi tahu bahawa dia akan bertanding untuk Timbalan Presiden, tak adillah bagi Abdullah untuk halang Muhyiddin bertanding timbalan. Kalau Muhyiddin bertanding timbalan, Najib pula dengar cakap Abdulllah tadi, bertarunglah Najib dengan Muhyiddin.

Apakah Mahyuddin boleh kalahkan Najib?

Dalam keadaan sekarang ini belum tentu Najib boleh menang untuk jawatan timbalan jika Muhyiddin lawan. Walaupun Najib ada peluang besar nak menang jika dia lawan Abdullah. Kalau Najib lawan Mahyuddin dengan keberanian Muhyiddin yang orang dianggap salah seorang Naib Presiden Umno yang berani, dia boleh menang. Sekarang ini orang Melayu sedang mencari orang yang berani. Dia bukan cari orang pandai. Orang bodoh dia ada sekolah dia tetapi geng penakut ini dia tak ada sekolah nak bagi jadi dia berani.

Agaknya apa penerimaan akar umbi terhadap formula ini…

Akar umbi, mereka terkejut sekejaplah. Ini kerana mereka fikir-fikir memang benar Abdullah nak serah jawatan itu pada tahun 2010. Mungkin dia serah pada tahun 2010 tetapi formula itu akan terjadi kalau dia menang.
Jadi saya berpendirian, inisiatif untuk cadangkan formula 2010 ini kerana barangkali Abdullah dah nampak saingan kuat daripada Tengku Razaleigh. Jadi bila dia nampak saingan kuat daripada Ku Li ini, kalau dia nak kena lawan Ku Li untuk jawatan Presiden tanpa sokongan daripada Najib, tentunya dia akan kecundang. Sebenarnya yang main peranan menangkan ini ialah bukannya Abdullah tolong Najib tetapi Najib yang kena tolong Abdullah. Ini kerana Abdullah ini, dia sekarang sedang 'memfaraidkan' harta yang bukan dia punya. Jadi dalam Islam tak ada konsep itu. Jawatan itu bukan dia punya tetapi dia ambil jawatan itu, dia nak suruh Najib kempen untuk dia.

Ada kemungkinan tak dengan formula ini Abdullah akan ubah pendirian pada tahun 2010 dan mungkin akan terus berkuasa seterusnya?

Bagi saya, Abdullah ni terkenal dengan perubahan pendirian dalam masa yang cukup cepat. Macam dia janji tak akan naikkan harga minyak dalam masa terdekat tetapi dia naikkan harga minyak dalam masa yang cepat juga. Dia tak ada masalah jika nak naikkan dalam masa setahun atau tiga tahun pun. Cepat pun boleh, lambat pun boleh! Macam itu juga dia janji pada Najib tahun 2010. Tiba-tiba nanti pada tahun 2010, nampak Najib makin lemah, dia pun kata nak terus bantu Najib. Papah sampai 2013, tambah lagi, ini pun saya rasa PAS pun sokong.

Dulu… waktu peralihan kuasa antara Tun Mahathir kepada Abdullah dan pemimpin sebelumnya, macam mana?

Tun Mahathir dan Tun Hussin Onn lain. Dia serah sewaktu memegang jawatan itu. Waktu itu Tun Hussien dah serah kepada Mahatahir dan siapa nak lawan Tun Mahathir terserahlah. Sebab itu Tun Mahathir ada orang lawan. Ku Li lawan dia dan ada bezanya. Waktu itulah kita tengok siapa yang kuat. Kini umpamanya kalau Abdullah ikhlas, dia kena serah sekarang waktu dia pegang jawatan itu. Jadi lepas itu, mereka nak bertanding seperti katalah Ku Li nak lawan dengan Najib. Jadi siapa menang dia akan jadi Presiden Umno yang telah dicuba. Begitu juga Tun Mahathir, dia serah kepada Abdullah. Tun serah parti dalam serba sihat dan dia waktu itu serah jawatan dia. Sekarang ini yang Abdullah nak serah ini bukan jawatan dia, tetapi jawatan yang dia harap Najib boleh tolong bagi dia dapat. Jadi bezalah kan. Dia terpaksa bayar upah yang cukup tinggi. Abdullah mungkin kalah jika lawan dengan Ku Li. Bukan kata Ku Li nak menang tetapi Abdullah boleh kalah. Kalau dia kalah dengan Ku Li, ke mana perginya Najib?

Ada yang menyebut, formula 2010 ini hanya strategi Abdullah untuk terus berkuasa…

Abdullah tak mampu berkuasa sampai bila-bila. Sampai 2013 bolehlah. Kita dah tengok waktu ini, lepas Abdullah menang besar pada thun 2004 dengan slogan 'cemerlang gemilang terbilang' dan gunakan banyak poster gambar-gambar dia di pekan-pekan macam gambar Saddam Hussien waktu sebelum nak jatuh. Namun pada tahun 2008, Abdullah kalah teruk.

Maknanya Umno ni cukup lemah. Puncanya?

Ini kisah antara susah dan saying. Bila ada benda yang kita saying, kita jadi susah. Bila benda yang kita sayang tak ada, kita tak susah! Bermakna, kalau kita tak saying, kita senang. Kalau kita saying, kita akan susah. Kalau begitu, bila Umno menderita susah, tentu ada tokoh-tokoh Umno duduk senang. Hanya fikir hak anak pinak. Hanya fikir hal harta benda dan jawatan saja. Jadi dengan sibuk, dengan fikirkan hal itu, lantaran menang pada tahun 2004 lalu, mereka asyik seronok sangat memerintah.
Umno jadi parah. Di sinilah masalah Umno sekarang yang duduk di atas, terlalu yakin dan seronok lebih-lebih lagi sekarang ada surat khabar hari-hari asyik main cerita hebat belaka. Dan sekarang ini dengan serba hebat, rasmi sini sana, sedangkan mana ada orang dunia (negara lain) yang hendak peduli pendapat kita. Macam kita pergi mesyuarat OIC, nak perbetulkan negeri orang… Macam mana nak betulkan negeri orang sedangkan negeri kita pun berselerak. Nampak macam pemimpin kita itu seolah-olah jadi pemimpin dunia, sedangkan bagi saya 'politik is local', maknanya politik ini bukan soal antarabangsa.
Antarabangsa ini semua boleh. Syaratnya tempatan ini semuanya dah beres. Jadi soal politik ini kena tumpu soal-soal tempatan. Soal penderitaan rakyat. Soal kemiskinan dan kemiskinan ini boleh kita usahakan tetapi tak mungkin selesai. Kalau kita khabar nak selesai dulu masalah kemiskinan baru nak berhenti bermaknanya tak berhenti sampai bila-bilalah. Macam itulah kalau kita kata nak selesai dulu masalah rasuah, sampai kiamatlah tak berhenti. Sebab tak akan selesai!

Maksud Tan Sri, kerana Presiden Umno lemah yang menyebabkan Umno dalam keadaan macam ini.

Itu bukan saya cakap, tetapi itu pilihan raya umum lalu dah buktikan. Sebab kita ingat dia (Abdullah) kuat dulu. Kita ingat tentu dia ini ada keistimewaan sebab dia anak cucu ulama. Tentunya ada keistimewaan kot-kot diberi ilham ka apa, tetapi tak ada. Semua itu karut belaka. Tak ada apappun. Saya tak percaya dengan manusia yang biasa, yang penuh dengan dosa nak diberi begitu hikmat. Kita kena bersih betullah?

Sebab apa Tun Mahathir pilih Abdullah pada tahun 2003? Tentu ada yang istimewa…

Tun dah cakap dah. Kita kena pilih Timbalan PM dan ketika itu Abdullah Naib Presiden Umno. Masa itu Najib dan seorang lagi Muhyiddin juga Naib Presiden Umno. Jadi bagi Tun, dia pilih yang tua, Muhyiddin pula junior. Najib pula lebih muda daripada Abdullah. Lagipun Abdullah ada dalam kerajaan lama. Dia pun dah aktif dalam Umno dan kemudian Abdullah pula ada gelaran 'Mr Clean'. Waktu itu pula, Tun tak tahu apa dia punya hasrat cita-cita menantu PM (Khairy Jamaluddin). Tun Mahathir tak tahu nafsu anak menantu dia (Abdullah). Jadi semuanya ini, Tun tak tahu. Itu sebab Tun kata dia serah kerajaan kepada Abdullah. Dia bukan serah kepada menantu dan anaknya tapi pada Abdullah. Itulah maksud Tun.

Najib macam mana…

Dia juga anak kepada bekas PM dan bapanya itu adalah seorang yang disanjung Umno dan dihormati PAS. Pada zaman dialah maka PAS masuk BN. Jadi, Najib pula tak jadi masalah dengan kuasa sebab dia duduk dalam keluarga yang berkuasa. Dia pula ada ucapan-ucapan bapanya yang boleh jadi panduan dan tak mungkin dia akan buat sesuatu yang bertentangan dengan bapanya. Kecualilah dia seorang anak yang tidak mengenang jasa bapanya. Jadi dari segi itu, dia ada garis panduan yang jelas. Dia tak terkejut tengok duit. Lagipun anak-anak dia kecil-kecil lagi dan dia tak ada menantu macam menantu Abdullah. Anak dia kecil-kecil lagi.
Pada pandangan saya, kalau tengok gaya dia ada kebolehan itu. Cuma dia ini orang tahu dia nak naik (jadi PM), sebab itu orang longgok macam-macam benda ke atas dia. Jadi dia sebagai orang yang pernah muda, tak bolehlah kita tengok dia pada waktu mudanya dulu. Jangan anggap apa yang dia buat masa muda dulu, sama dengan waktu dia tua. Dan kebanyakan orang kata yang buruk-buruk kepada dia.

Tan Sri tak percaya Najib terlibat?

Itu mungkin fitnah terhadap dia. Dan mungkin macam kes yang di bawa ke mahkamah, menuduh Rosmah (Mansor) tengok orang bubuh letupan itu di badan si mati. Saya sebagai orang yang pernah duduk di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pernah pergi ke penjara waktu orang nak kena gantung, walaupun ada pengalaman macam itu saya tengok mayat, saya menggeletar. Saya tak percaya ada perempuan seperti Rosmah yang ada hati macam itu, jadi bila saya baca isu itu dari mula lagi saya tolak (tak percaya), lebih-lebih lagi bila dikatakan bukti itu ada pada Sultan dan takkan kita nak heret Sultan ke dalam mahkamah? Lepas itu kita kata satu laporan ada pada Khairy. Ini hanya akan memberi peluang kepada Khairy untuk menafikan. Akhirnya benda ini tergantung dan saya rasa benda ini akan tergantung-gantung untuk merosakkan imej Najib.

Apa yang tak kena dengan Najib hingga Tun Mahathir kata bintangnya dah kelam?

Tun Mahathir tahu Najib ini kuat dan kombinasi Najib dengan Muhyiddin akan kalahkan Abdullah. Jadi Tun ini dia doktor yang percaya kepada provokasi. Jadi terserahlah kepada Najib. Kalau Najib nak kata Tun tak betul, silalah buktikan dia (Najib) jadi orang yang berani. Kalau tak, dia akan hanyut dalam sejarah sebagai orang yang tak bertanggungjawab. Saya tak fikir Najib tidak cerdik. Tentulah dia ada perhitungan sendiri. Tetapi sekiranya Najib tak mahu lawan dengan Abdullah, tiba-tiba Abdullah tak cukup pencalonan dan Najib cukup pencalonan, takkan Najib nak suruh pencalonan dia itu serah kepada Abdullah. Ini tak boleh jalan. Tentulah dia akan ambil dan dialah akan lawan Ku Li nanti. Kalau Najib dapat pencalonan, Abdullah dapat pencalonan dan Ku Li dapat pencalonan, takkan Najib nak menyerah. Abdullah lah yang kena menyerah. Sebab Abdullah dah terbukti ketidakupayaannya.

Pada pengamatan Tan Sri, formula terbaik selesai kemelut dalam Umno hari ini…

Kena cari orang yang berpengalaman duduk berbincang. Kita jangan bilamana orang macam (bekas Ketua AMK) Ezam Mohd Noor masuk dalam Umno, masa itu raikan satu kegembiraan yang cukup hebat. Apa hal budak itu? Saya pun tak kenal macam mana dia. Seolah-olah kemasukan budak itu hebat berbanding dengan keluarnya Mahathir dari Umno. Inipun satu bukti nak jahanam. Budak itu (Ezam) dia bukan reti apa. Anwar Ibrahim pun gelak bila dengar Ezam masuk Umno kerana selesai satu masalah dia. Kemudian Wan Azizah pun senyum sahaja tengok kerana dia tahu siapa budak ini. Tetapi Umno dengan kemasukan budak ini dilihat satu khazanah yang besar kononnya… Bagi saya ini menunjukkan Umno nak jahanam!
Kalau nak perbetul, kita nak kena dengar idea yang betul. Kita kena dengar idea yang pahit. Kita tak boleh tolak laporan polis, risikan askar, Kemas dan penerangan. Kita kena berkata dengan yang benar walaupun pahit sekalipun. Caranya kena cari orang yang boleh kemukakan pandangan-pandangan yang berbeza.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Evеry ωееkend i used to pay a quick
visіt this web page, for the reaѕon that і wiѕh for enjoyment,
for the reason that this this wеb page cοnations actuallу nice funnу infoгmation too.



my ωeb site; payday loans

Tanpa Nama berkata...

Vegetarians who don't achieve male enhancement 1200 through their diet often overload on simple carbs by eating pasta, French fries, brush with olive oil, at least 30% of cases are caused by cigarette smoking.

Feel free to surf to my website; proenhance