KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Julai 29, 2008

Mahfuz terpaksa mohon maaf, ekoran "rahsia tersimpan" dalam isu muzakarah Umno-PAS!

SEPERTI kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, beliau tidak membuat kenyataan penafian tentang wujudnya muzakarah Umno-PAS atas dasar peribadi. Sebaliknya dibuat atas keputusan mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS yang mengarahkan beliau menyatakan pendirian demikian. Tiada salah dimana-mana tindakan Mahfuz itu.

Beliaupun, tidak mahu menyalahkan mana-mana individu tertinggi PAS dalam isu ini. Tindakan mereka merahsiakan perkara-perkara tertentu berkaitan pertemuan dengan Umno telah menyebabkan pimpinan PAS mengambil pendirian bahawa tiada pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno. Saya menyiarkan luahanrasa Mahfuz untuk penjelasan kedudukan sebenar agar beliau tidak dilihat telah melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah terhadap dirinya.

Pertama marilah kita bersyukur kepada Allah di atas segala nikmatnya. Saya menuliskan surat terbuka ini adalah dengan tujuan untuk memohon maaf kepada semua ahli dan penyokong PAS di atas kenyataan saya baru-baru ini yang menafikan wujudnya sebarang pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno. Saya memohon berbanyak kemaafan di atas ketelanjuran ini.

Sebenarnya kenyataan yang saya buat sebelum ini bukanlah atas sifat pribadi saya, tetapi dibuat atas kapasiti sebagai Ketua Penerangan PAS berdasarkan keputusan parti yang mengarahkan saya berbuat demikian. Saya tidak menyalahkan pimpinan PAS yang mengarahkan saya berbuat demikian, tetapi ia adalah kesalahan beberapa individu yang gagal memberikan maklumat sebenar kepada pimpinan PAS. Tindakan mereka merahsiakan perkara-perkara tertentu berkaitan pertemuan dengan Umno telah menyebabkan pimpinan PAS mengambil pendirian bahawa tiada pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno.

Saya berharap individu terbabit dapat tampil kehadapan membuat penjelasan kepada ahli-ahli dan penyokong PAS tentang pertemuan berkenaan termasuk butir-butir perbincangan seperti yang didedahkan oleh Presiden Umno baru-baru ini. Mereka juga harus bertanggungjawab secara khusus dalam masalah ini kerana tindakan peribadi mereka.

Saya sendiri amat terkejut dengan pendedahan tersebut yang sama sekali bertentangan dengan kenyataan saya sebelum ini. Ia kemudian disahkan oleh Presiden PAS. Lebih memeranjatkan lagi apabila "muzakarah" tentang kepentingan Islam dan ketuanan Melayu yang didedahkan oleh Presiden Umno telah bertukar menjadi rundingan untuk membawa PAS menyertai kerjasama politik dengan Umno/BN. Sebelum ini kami sendiri tidak dimaklumkan tentang apa yang didedahkan oleh Umno ini, bahkan kami diberitahu tiada sebarang pertemuan dan rundingan rasmi antara kedua-dua parti.

Apabila bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo turut mendedahkan adanya rundingan khas selama 4 hari berturut-turut selepas pilihan raya baru-baru ini, saya berpandangan ia adalah tindakan peribadi individu tertentu tanpa melibatkan sebarang keputusan parti. Kerana itu, saya tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan rundingan yang disebut oleh Dr Mohamad Khir itu.

Saya berharap individu yang terbabit ini turut membuat penjelasan kepada ahli-ahli dan mengambil tanggungjawab di atas apa yang berlaku. Atau saya meminta Dr Mohamad Khir Toyo yang mengaku turut terlibat dalam pertemuan di antara Perdana Menteri dan beberapa pimpinan PAS agar dapat memperincikan butir-butir pertemuan tersebut supaya kita dapat sama-sama mengetahuinya.

Oleh kerana tindakan beberapa individu atas nama PAS tanpa pengetahuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan tidak pula memaklumkan tindakan mereka secara terperinci kepada parti, maka PAS mengarahkan saya membuat kenyataan menafikan adanya pertemuan dan rundingan tersebut. Ia adalah salah faham akibat adanya maklumat yang disembunyikan daripada pengetahuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Saya sedar kesilapan yang telah saya lakukan apabila mengumumkan tiada sebarang pertemuan dan rundingan antara kedua-dua parti. Saya menerima banyak teguran dan kritikan di atas "pembohongan" ini daripada ahli-ahli dan penyokong PAS baik yang Islam atau yang bukan Islam serta rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat. Kerana itu, dengan hati yang terbuka saya ingin memohon maaf di atas kesilapan yang saya tidak sengajakan itu.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seorang profesor Universiti Tempatan yang telah mengingatkan bahawa "jika kita lupakan sejarah, sejarah akan mendera kita". Saya amat sedar tentang hakikat sejarah berkaitan kerjasama PAS-Umno yang telahpun saya sebutkan dalam kolum saya di Harakah pada minggu lepas.

Saya mengakui bahawa sejarah tidak pernah berulang, sebaliknya yang berulang ialah kesilapan manusia. Saya menyeru pimpinan PAS supaya jujur kepada ahli-ahli dan penyokong parti serta berusaha memperkukuhkan pakatan politik sedia ada. Saya mengajak ahli-ahli PAS memerhatikan hakikat sejarah yang ada supaya kesilapan itu tidak berulang.

Akhirnya, sekali lagi saya memanjatkan jutaan kemaafan kepada semua ahli dan penyokong PAS di atas ketelanjuran yang berlaku. Saya bersedia untuk menerima apa sahaja teguran dan kritikan membina untuk kebaikan bersama dan saya juga rela dihukum oleh ahli-ahli di atas kesilapan yang tidak sengaja saya lakukan ini.

2 ulasan:

ALI MAIDIN berkata...

Pas parti telus. Tiada agenda tersembunyi. Kawan dengan sapa ahli tahu. Lawan dengan sapa pun ahli tahu. So, apa yang payah sangat pimpinan pas nak bagi tau. Berbelit dan bercanggah kenyataan antara pemimpin. ahli bawah yang pening.

ALLAH, SELAMATKAN PAS DARI BERSEKONGKOL DENGAN SANG ZALIM.

Abu Razeen 2 berkata...

Ana simpati pun ada marah pun ada pada Hj Mahfuz. Simpati kerana nampak beliau tertekan akibat apa yg disifatkannya karenah setengah pimpinan yg terburu buru mendahului Majlis Syura dlm tindakan mrk. Marah kerana mengaitkan tindakannya itu sebagai arahan pimpinan.

Namun setelah baca statement beliau, ana rasa polemik isu Pas bincang dgn Umno ini masih tak berjawab.

Yg terbaru Karpal kritik Pas. Habis blog Roslan SMS dihabis masa layan karenah Karpal ini.

Kalangan ahli ada yg seolah2 persoal kredibiliti Presiden yg selama ini telah terbukti cintanya pd Allaah dan ArRasul( moga Allaah berinya istiqamah).

Syabas Karpal kerana sambung agenda umno dlm politic of diversion ini. umno kini dpt tarik nafas lega walau sekejap drp difokuskan perang dalamannya.

Pas harus tumpukan lebih masa dan resourcesnya utk teruskan agenda perjuangannya sebagai harakah Islam, menangani secara
sistematik, effective dan efficient antara lain:

1. isu negara Islam
2. isu murtad
3. pentadbiran yg telus, cekap dan mesra rakyat yg sebenarnya adalah sebahagian dari sifat negara Islam yg Karpal tak faham faham tapi YAB Guan Eng dahpun faham.
4. isu umno dan bn rompak harta negara secara licik dgn beri kontrak ratusan dan ribuan juta ringgit kpd kroni, kpd siapa shj sanggup toe the line , kpd any TOM, DICK and KHAIRY..........!!!