KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Julai 22, 2008

Banyak pihak menyokong muzakarah, tetapi ada juga yang menentangnya?

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan muzakarah PAS-Umno yang sedang berlangsung tidak akan menjejaskan hubungan dan perpaduan parti-parti yang bernaung di bawah Pakatan Rakyat.

Calon Naib Presiden Umno, Dato' Seri Shafie Apdal berkata, muzakarah itu adalah langkah baik dengan mengetepikan perbezaan politik untuk menyatupadukan bangsa.

Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di negara ini menyokong penuh muzakarah PAS-Umno yang kini hangat dibincangkan oleh rakyat negara ini sejak seminggu lalu.
PKPIM yang mewakili suara generasi muda, menyokong penuh muzakarah semua pemimpin Melayu melibatkan parti politik Umno dan PAS, juga Parti KeAdilan Rakyat (PKR) termasuk barisan cendekiawan, ulama dan pemimpin NGO.

Presidennya, Mohd Helmi Ramli berkeyakinan sudah tiba masanya semua pemimpin Melayu, duduk semeja dan bermuzakarah tentang nasib untung umat Melayu Islam di Malaysia. Katanya, situasi genting dan cemas hari ini menuntut kebijaksanaan dan jiwa besar semua pemimpin Melayu untuk melupakan titik bengit sengketa lampau demi masa depan orang Melayu Islam.

"Umat Melayu Islam sebenarnya sedang dan selamanya berkongsi teras yang mendasar, iaitu agama Islam, budaya Melayu dan Bahasa Melayu. Namun, kerana politik, umat Melayu Islam berpecah dan sering bersilang sengketa menyebabkan perpaduan tidak dapat direalisasikan," katanya kepada Harakah.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut mencadangkan perkara yang perlu dibincangkan pada muzakarah Umno-PAS itu iaitu meminta semua lapisan pemimpin Melayu harus meletakkan maslahah yang besar dalam bermuzakarah, iaitu mencari titik temu bersama demi ummat Melayu Islam. Bersetuju dalam perkara yang dasar dan berlapang dada dalam perkara berbeza harus menjadi prinsip muzakarah. Bermuzakarah dengan rendah hati dan insaf, bahawa hakikatnya masa depan ummat Melayu Islam semakin mencemaskan.

PKPIM juga mahu menjadikan muzakarah sebagai pelan jangka panjang yang berterusan dan bukan kerana situasi semasa yang berlaku semata-mata. Semangat bermuzakarah harus menjadi teras semua pemimpin Melayu di negara ini, yang kemudiannya diserap kepada lapisan generasi muda.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dato' Syeikh Abdul Halim Kadir berkata demi penyatuan ummah, PUM menyokong sepenuhnya cadangan muzakarah antara PAS dan Umno. Beliau yang dihubungi berkata, muzakarah kedua-dua parti Melayu terbesar itu hendaklah diadakan segara dan dibaut berlandaskan prinsip-prinsip bermuzakarah mengikut ajaran Islam.

Presiden Jemaah Islah Malaysia (Jim), Zaid Kamaruddin ketika dihubungi, menegaskan jika kerjasama yang diwujudkan oleh mana-mana pihak untuk menyelesaikan masalah orang Melayu dan Islam, JIM tidak teragak-agak untuk menyokongnya.

Namun katanya, adalah lebih baik muzakarah tersebut tidak mengenakan apa-apa syarat. Zaid turut mengingatkan PAS agar muzakarah itu tidak terlalu dipolitikkan oleh Umno hingga boleh menggugat Pakatan Rakyat atau parti lain.

Katanya, ini kerana isu muzakarah ini, kadang-kadang akan menimbulkan banyak prasangka buruk yang akhirnya merugikan PAS. Dengan itu katanya, PAS perlu menjelaskan bahawa muzakarah itu positif dan apa juga hasil perbincangan itu perlu dibincang bersama dengan Pakatan Rakyat supaya tidak merumitkan suasana politik sekarang.

Zaid juga mengesyorkan agar dasar-dasar kerjasama atau persefahaman itu melibat isu berkaitan kepentingan Islam.

Tiada ulasan: