Sekatan jalan raya telah menimbulkan kemarahan rakyat terhadap polis kerana menyukarkan mereka ke distinasi dan paling pelik, tiada tunjuk perasaanpun seperti yang diuar-uarkan...
PADA firasat saya, Penasihat PKR, Anwar Ibrahim sedang mengumpul kekuatan politik apabila beliau enggan memberi keterangan kepada pihak polis semalam, Isnin 14 Julai 2008.
Saya lihat, Anwar memang mahu ditahan dan ditangkap. Itulah strateginya yang ditakuti oleh BN dalam dilema harga minyak yang naik. Ketika rakyat meluap-luap kemarahannya terhadap kerajaan kerana menaikan harga minyak secara drastik itu, Anwar boleh diibaratkan api.
Provokasi polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang Anwar menuju Parlimen semalam juga, secara tidak langsung memperkasakan kekuatan itu dan sekaligus dikutip kesempatan untuk Anwar mendapatkan jalan "ditangkap" polis.
Penahanan dan penangkapan Anwar tentunya akan meningkatkan momentum politik semasa. Saya rasa Anwar sedang menguji sesuatu dari tindakannya itu. Barangkali laporan polisnya terhadap Ketua Polis Negara dan Peguam Negara, sedang ditenung dan dirasai haba panasnya.
Isunya, jika Anwar ditahan dan ditangkap atas tuduhan dan laporan polis Saiful Azlan, mengapa tidak Musa Hassan dan Abdul Ghani Petail juga ditahan dan ditangkap atas tuduhan dan laporan polis dari Anwar yang dibuatnya di IPK Shah Alam?
Sudah tentulah asas tangkapan berdasarkan laporan polis. Anwar mahu Musa dan Ghani juga ditahan sepertinya agar dakwaan terhadap mereka "terpaksa" diadili segera, adil dan telus. Tidak ada sebab, kerana mereka masih berjawatan, pengadilan diherotkan atau tiris ditengah jalan.
Pautan licik Anwar dalam isu ini, cukup menyukarkan Musa dan Ghani untuk meloloskan diri. Anwar sudah memasang perangkap. Jika benar sekatan polis di banyak lokasi menuju Kuala Lumpur Isnin lalu bukan arahan dari Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Syed Hamid Albar dan Perdana Menteri, maka sudah tentulah ada yang tidak kena dengan Musa hingga barangkali beribu polis dikerah membuat sekatan dan berkawal di perkarangan Parlimen.
Paling menarik, tiada siapa tahu tentang adanya demontrasi besar-besaran akan tercetus di Parlimen Isnin semalam. Bukan sahaja tiada handbill, malah khabaran SMS dan emelpun tidak diterima sesiapa. Saya tidak dengar sebarang ajakan untuk berdemontrasi semalam.
Tidak mungkin pihak polis bertindak berdasarkan andaian. Maka firasat saya berkata, ia ada kaitan dengan laporan polis Anwar terhadap Musa dan Ghani, maka imej Anwar cuba digodam Isnin lalu dengan tuduhan kononnya Anwar akan memimpin tunjuk perasaan perdana dan mega di sana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan