KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Januari 18, 2011

Kuburkan Akta Penerbitan & Mesin Cetak: Kaukus kebebasan akhbar bantu Nuj Utusan

Ketika bekerja sementara di sebuah laman portal berita alternatif selama tiga minggu, saya pernah juga ditugaskan membuat laporan mengenai kesatuan sekerja Utusan Melayu yang dikenali sebagai National Union of Journalist (NUJ) Utusan Melayu. Pengerusi Nuj Utusan Melayu ketika itu ialah Amran.

Ketika itu mereka mahu memohon permit perhimpunan di balai polis Dang Wangi bagi menyusun satu perhimpunan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika Umno sedang mengadakan Perhimpunan Agung parti itu. 

Perhimpunan aman anjuran Nuj itu bertujuan membantah sikap pembaziran pihak majikan yang terkait dengan beberapa amalan penyelewengan dan penyimpangan dalam pentadbiran akhbar berkenaan. Antara isu-isu terbesar yang masih rapat dalam ingatan saya ialah hal pembelian tiang gol yang mahal termasuk lain-lain isu berhubung hak-hak pekerja Utusan.

Oleh kerana Utusan adalah lambang kepada suara Umno, maka desakan-desakan Nuj Utusan ini dilihat sebagai isyarat petanda bahawa Umno tidak membela kebajikan pasukan wartawannya dengan baik. Kata-kata Amran yang masih juga basah, segar dan belum lepas dari ingatan saya ialah – mereka minta Utusan tidak sekadar menjadi syarikat yang menerbitkan akhbar, majalah dan sahaja, malah mesti juga mempelbagaikan produk dan perkhidmatan lain. 

Pendek kata, Utusan mesti berkembang; tidak hanya tertakluk kepada bahan-bahan penerbitan, cetakan semata-mata. Dan, banyak lagi aspek yang didedahkan oleh pihak Nuj Utusan ketika itu.“Umno kata Utusan ini milik mereka,” kata Amran ketika membandingkan upah gaji wartawan dengan wartawan di akhbar lain, “Tapi, ada banyak tuntutan wartawan yang tidak diendahkan.”

Nuj Utusan warisan Mogok Utusan 1961?

Dan seperti biasa, pihak polis tidak benarkan perhimpunan itu dilaksanakan. Sejurus tidak lama selepas itu, Amran disingkirkan keluar daripada Utusan. Beliau pun dipecat.

Kini, perjuangan Nuj Utusan diwarisi Hata Wahari. Beliau kini masih disiasat di pihak dalaman ekoran beberapa kenyataan yang diberikan kepada akhbar luar berhubung masalah dalaman akhbar tersebut. Seorang siswa yang pernah menjalani latihan amali di Utusan menceritakan pengalaman beliau tentang cara bekerja di Utusan itu. Banyak kejadian berlaku di mana catatan wartawan itu dipusing oleh editor.

“Semua itu berlaku dengan sebab pihak majikan mahu menjaga kepentingan pihak tertentu,” katanya. Tambah beliau, memang ada desakan di pihak wartawan Utusan sendiri yang benar-benar mahu akhbar itu benar-benar bebas melaporkan segala berita mengenai parti-parti.

“Ada juga DAP hantar iklan sahaja mengenai kegiatan derma darah, tapi editor tetap tidak benarkan. Di sana, saya dapat tahu ada sekeping surat daripada KDN yang mengarahkan supaya isu-isu tertentu tidak dilaporkan oleh akhbar tersebut,” kata beliau lagi. Siswa yang pernah menjalani latihan amali di Utusan itu pernah diletakkan di meja jenayah sebelum ini dan beliau mendedahkan keadaan bagaimana polis-polis yang kadangkala tidak menjawab soalan.

“Sampai kadang-kadang wartawan yang terpaksa melampirkan cadangan kepada polis agar dapat juga kita wartawan ini membuat berita,” katanya. “Jadi, esok kalau tiada panggilan daripada polis mengenai berita jenayah yang kita tulis itu, maka kiranya nasib baiklah.”

Daripada cakap-cakap rakan-rakan wartawan, terdapat ramai juga wartawan di Utusan yang sebenarnya memihak kepada parti pengimbang di negara ini. Soalnya, sejauhmana Pakatan Rakyat memanfaatkan mereka yang berada dalam Utusan itu? Daripada satu segi ramai pemimpin media, samada akhbar kanan atau kiri melihat Kementerian Dalam Negeri sebagai musuh ketat kepada kebebasan akhbar. Kebanyakan mereka bersatu dalam hal ini.

Cuma yang membezakan antara mereka akhbar pembangkang dan akhbar milik penguasa ialah, Umno sebagai parti pemerintah boleh menukar pengarang akhbar yang tidak sehaluan dengan mereka. Hal ini dilakukan tanpa memerlukan persetujuan KDN pun.

Jadi, KDN tidak diperlukan Umno untuk mengawal Utusan ini. Tapi, kenapa KDN masih diperlukan? Hal ini kerana, menurut Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) Ahmad Lutfi Othman, Umno tidak boleh dan menukar editor akhbar milik parti pembangkang.

Jadi di sini peranan KDN melunaskan urusan yang tidak dapat diselesaikan Umno. Yang gagal disentuh Umno, maka KDN akan berjuang demi memenuhi keperluan parti pemerintah itu. Kaukus kebebasan akhbar patut diperjuangkan. PR boleh menjuarai isu yang ditimbulkan Nuj Utusan walaupun akhbar itu menyerang mereka. Seperti yang termaklum tidak semua wartawan bersikap keras kepada PR. Masih ada yang setia menjunjung kebebasan dalam melaporkan.

Hanya kita menunggu detik perjuangan PR yang akan berdetak di ruang Parlimen berhubung keperluan menubuh sebuah tribunal akhbar sebagai saluran aduan wartawan tertindas kepada kaukus baharu itu.  Kalau kaukus kebebasan akhbar wujud bersama tribunal aduan akhbar maka kes yang patut diutamakan segera adalah pemecatan Amran dan kes inkuiri Hata Wahari jika PR beriltizam memuziumkan Umno.

Sumber >> H Fansuri dari Sekolah Pemikiran Kampung Baru, KL

Tiada ulasan: