KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Januari 18, 2011

Utusan tunjuk belang anti kebebasan media: Satu Hata hilang, 10 Hata bakal muncul!

Hari ini 17 Januari 2011 - Hata Wahari akan dihadapkan ke panel Siasatan Dalaman (DI) selepas mendapat surat penggantungan kerja dan arahan seakan-akan tahanan rumah, mengimbau saya kepada kenangan ketika dihadapkan ke panel yang sama kira-kira setahun setengah lalu yang membawa kepada pembuangan kerja saya sebagai wartawan Utusan Malaysia setelah berkhidmat hampir 10 tahun.

Hata (gambar kiri) pula, bekerja selama 15 tahun sebagai wartawan Utusan Malaysia dan pernah mewakili pasukan pembelaan ketika DI ke atas saya ketika itu begitu lantang dalam mempertahankan tindakan saya selaku Pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu, walaupun kini saya tidak berupaya untuk membalas jasa baik beliau, cuma sekadar mampu berdoa agar Allah Taala memberi kekuatan kepada beliau untuk menghadapinya.

Jika Hata juga menerima nasib yang sama seperti saya, ini bermakna Utusan Melayu (M) Bhd. (Utusan) yang menerbitkan akhbar arus perdana, Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo! telah membuang kerja dua ketua Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) dalam masa yang begitu dekat, selain beberapa dekad yang lalu melibatkan bekas Presiden NUJ Malaysia, Yazid Othman.

Jika Hata dibuang kerja, beliau pastinya akan melakukan proses yang sama seperti yang dilakukan oleh saya sebelum ini iaitu membuat aduan di Jabatan Perusahaan, Kementerian Sumber Manusia untuk dirujuk kepada Menteri Sumber Manusia yang akan memutuskan sama ada kes akan dibawa ke Mahkamah Perusahaan atau sebaliknya.

Dalam mempertahankan tindakan Hata ke arah kebebasan media yang menjadi antara asas perjuangan kesatuan semenjak ianya ditubuhkan, saya suka sekali untuk menarik perhatian dan mengalihkan pandangan daripada isu kebebasan media yang sekian lama membelenggu negara ini kepada "pemberontakan" dan kelantangan oleh wartawan Utusan sahaja, terutama ketika ditunjangi oleh dua pemimpin kesatuannya.

Walaupun dilakukan secara kolektif dan atas landasan kesatuan, wartawan Utusan dilihat yang paling lantang dalam pelbagai isu dan menjadi nakhoda NUJ yang boleh diibaratkan sebagai sebuah kapal yang sering dilambung ombak walaupun bukannya tiada wartawan akhbar lain yang turut sama membarisi kepimpinan NUJ.

Di sebalik bisik-bisik yang mengatakan Hata sengaja "menjolok sarang tebuan" dan saya sendiri dikatakan ada agenda politik di sebalik perjuangan NUJ, amatlah wajar jika kupasan permasalahan yang membelenggu dan mula membarah dalam aspek kebajikan para wartawan Utusan seharusnya diselesaikan jika mahu mengelakkan kemunculan satu, dua atau tiga lagi ikon seperti Hata ini dalam Utusan.

Saya pernah berjuang bersama-sama Hata dalam NUJ cawangan Utusan Melayu suatu ketika dahulu, dari berbincang dengan pihak majikan berhubung soal kebajikan pekerja termasuklah CA dan pelbagai masalah ahli terutama berkaitan perubatan sehinggalah permuafakatan antara kesatuan dan majikan, dan saya melihat api perjuangan Hata yang dikongsi bersama saya dan exco-exco lain iaitu nawaitu ke arah peningkatan tahap kebajikan para wartawan.

Beliau bersama-sama exco kesatuan yang lain begitu komited dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada majlis eksekutif kesatuan untuk mengadakan perbincangan dalam persepakatan dan permuafakatan yang cukup tinggi ke arah mempertahankan kebajikan sedia ada sambil berusaha untuk mendapatkan lebih banyak manfaat untuk ahli-ahli.

Justeru, saya (Amran Ahmad, gambar kiri) membuat kesimpulan bahawa api yang menyala dalam perjuangan NUJ cawangan Utusan Melayu mula bersemarak ketika kegagalan beberapa rundingan penambah baikan CA sehingga menyebabkan para exco kesatuan termasuk Hata bosan, penat, naik berang dan menjadikan kami lebih bersemangat dan lantang dalam mempertahankan kebajikan pada ahli.

Mana mungkin kesatuan harus akur dengan kehendak pihak pengurusan untuk terus mengurangkan kebajikan sedia ada termasuk perubatan setelah pihak kesatuan terlepas skim Gratuiti sedikit masa yang lalu yang merupakan antara keistimewaan menjadi warga kerja Utusan Melayu walaupun tidak dijanjikan bonus dua bulan kontrak seperti yang dinikmati oleh wartawan NSTP.

Walaupun isu yang diperkatakan oleh Hata ini bukanlah sesuatu yang baru dan dilontarkan dengan cara yang lebih berani dan terbuka berbanding kepimpinan terdahulu NUJ, kita seharusnya tidak melupakan bahawa Hata adalah pekerja Utusan dan exco NUJ Utusan Melayu sejak sekian lama dan sudah lali dengan sepak terajang kesatuan dengan majikan dalam perjuangan bersama NUJ.

Dalam menyelesaikan kemelut semasa yang ada, saya suka untuk mencadangkan agar pihak pengurusan Utusan dapat menyelesaikan permasalahan CA yang kini sedang berada di mahkamah dan memenuhi tuntutan NUJ agar tidak lahir lagi seorang, dua orang atau tiga orang Hata dalam Utusan yang khabarnya sedang kehilangan semakin ramai wartawan berpengalaman.

Masalah kebajikan hampir 1,000 para wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi warga Utusan Melayu harus dipandang berat dan pendekatan lebih berhemah dan adil sewajarnya dipertimbangkan untuk "menyejukkan" hati warga NUJ terutama barisan exconya yang selama ini bertungkus-lumus untuk perjuangan murni ini.

Walaupun ketika ini saya berada di luar Utusan dan NUJ, namun saya mengikuti perkembangan semasa secara dekat dan tidak melihat sekiranya Hata dibuang kerja akan menyelesaikan masalah, sebaliknya kemelut yang bernanah akan menjadi busuk dan akhirnya memusnahkan kedua-dua belah pihak tanpa ada pemenangnya.

Dalam pada saya turut berdoa agar Hata tidak menerima nasib yang serupa dengan saya, saya turut mengharapkan CA Utusan Melayu dapat diselesaikan segera dan dalam suasana menang-menang agar bukan sahaja NUJ gembira, malah kerjaya kewartawanan akan lebih diminati oleh lepasan ijazah di negara ini ke arah penyebaran maklumat yang sekata dan meluas tanpa tapisan atau kongkongan.

Sumber >> Amran Ahmad ialah bekas Pengerusi NUJ Utusan Melayu.

Tiada ulasan: