Tetapi malang, kelihatannya terdapat sesetengah orang dalam pelbagai cabang kerajaan masih tidak mendapat pesanan tersebut. Isu sekitar Terminal Pengangkutan Bersepadu di Bandar Tasek Selatan telah menutup 2010 dan membuka 2011 dengan beberapa kekecewaan di pihak kerajaan dalam hal pengangkutan awam ini dan ia merupakan sesuatu yang paling tidak diingini berlaku oleh Perdana Menteri.
Untuk merumuskan isu ini: Bangunan telah siap dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah meluluskan bahawa operasi bas akan bermula pada 1 Januari. Syarikat pengurusan terminal, TMAS telahpun membuka terminal tersebut kepada orang ramai dalam bulan Disember dan menjemput 190 pengusaha bas (10 daripadanya telah bersetuju).
Bagaimanapun, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah mengeluarkan arahan supaya terminal tersebut memulakan operasi pada 2 Februari - hari yang sama Puduraya (yang kini dibaikpulih) dijangka akan dibuka. Projek yang dijadualkan siap pada penghujung 2010, lewat siap dan diberikan tempoh tambahan selama sebulan dan ia dapat membantu menjamin kedua-dua terminal dapat disiapkan pada masa yang sama.
Untuk menjadikan ceritanya lebih aneh, Lembaga Perlesenan Kenderaan Kormersil telah mengarahkan pengusaha bas supaya memindahkan operasi mereka ke terminal baharu ini menjelang 1 Januari. Arahan tersebut dikeluarkan dalam bentuk memo yang dihantar melalui faks pada 30 Disember.
Sebagai respons, pengusaha bas mendakwa tempoh arahan yang diberikan itu terlalu singkat. Mereka juga berkata kos tambahan bagi penggunaan terminal dan operasinya adalah membebankan dan mereka mengugut akan mengenakan caj tambahan pada tiket penumpang.
Lebih buruk lagi, Ashfar Ali dari Persatuan Penguasaha Bas Malayasia telah mengeluarkan kenyataan yang amat keras dengan mendakwa sistem tiket berpusat berteknologi tinggi di terminal tersebut memberikan kos tambahan kepada pengguna dan ia tidak akan dapat menghalang penjualan tiket haram seperti yang didakwa TMAS.
Dan jika ini tidak cukup aneh, ahli Umno dan PKR telah hadir bersama berdemonstrasi mempersoalkan mengapakah penduduk miskin di kawasan berkenaan tidak diberi peluang menyewa lot-lot perniagaan yang ada dan mengapakah harga sewanya terlalu tinggi.
Ia sepatutnya cukup mudah - Terminal Pengangkutan Bersepadu telah siap dibina dan operasi bas selayaknya dimulakan pada waktu yang telah ditetapkan. Apa yang berlaku sebaliknya menunjukkan bahawa kerajaan mampu membina infastruktur yang besar tetapi tidak mampu menjalankan projek tersebut dengan baik.
Kelihatannya, semua pemegang saham masih belum jelas dan gagal menjawab soalan yang paling penting yakni siapakah yang sepatutnya mengetuai pengendalian terminal tersebut? Dan daripada sepatutnya menyelesaikan masalah tersebut dengan berkomunikasi dan berbincang, mereka sebaliknya membawa semua perkara kepada media, lalu mewujudkan kekeliruan dan sekali lagi memalukan. Amat menyedihkan, media tidak banyak membantu. Mereka hanya melaporkan apa yang dituturkan oleh TMAS dan tidak sedikitpun menanyakan sama ada terminal tersebut mempunyai laman web atau nombor telefon umpamanya. Adtau "Bagaimanakan pengguna boleh mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan bas di situ supaya mereka tidak menjadi mangsa keadaan seumpama di Puduraya".
Rakyat tidak boleh dipersalahkan jika mereka berfikir "Jika agensi kerajaan gagal mengendalikan terminal bas seperti ini dengan jayanya, bagaimanakah pula untuk mengendalikan rangkaian MRT bernilai RM36 bilion?".
Rakyat Malaysia berhak untuk berasa kecewa. "Pelawak-pelawak" yang ada dalam agensi kerajaan berkenaan sepatutnya merasa malu. Idris Jala sepatutnya bimbang dan Perdana Menteri patut marah.
Dan Halimah Sadique, pengerusi CVLB, secara terbuka mengkritik pengarah CVLB, Naimah Ramli kerana bas masih di Bukit Jalil, belum dipindahkan ke terminal baharu itu dengan hanya berkata "saya jangka mereka semua pindah pada hari ini". "Tahukan awak bertapa sengsaranya pengguna di Bukit Jalil?"
Halimah sepatutnya tahu bahawa rakyat yang menggunakan pengangkutan awam sengsara sejak 1987 lagi apabila CVLB diwujudkan. Dan secara jujur, dalam tempoh setahun setengah Halimah sebagai pengerusi CVLB, tidak banyak yang beliau lakukan untuk menghilangkan kesengsaraan tersebut. Selain harga tambang yang meningkat, tiada pembaikan dari sudut kualiti atau keselamatan.
Dengan mengkritik pengarahnya secara terbuka, ia menunjukan secara jelas bahawa Halimah tidak menguasai CVLB. Justru, beliau sepatutnya mengundurkan diri dan memberi ruang kepada orang lain untuk menerajuinya. Dan apa yang lebih penting, mansuhkan saja CVLB dan gantikan dengan SPAD.
Sumber > Moaz Yusof Ahmad - The SUN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan