KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Januari 20, 2011

Lebih 200 blogger terkejut, hampir semua pimpinan Kerajaan Kelantan 'turun padang' rai mereka

Hampir kesemua kepimpinan Kerajaan Kelantan "turun padang" meraikan lebih 200 blogger pada Majlis Ramah Mesra dan Dialog Bloggers bersama Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang di adakan di sebuah hotel, dekat sini. Semua Exco termasuk Timbalan Menteri Besar dan Speaker hadir menyertai program julung-julung kali dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Pembangunan Maklumat Sains dan Teknologi, Dr Mohamad Fadzli Hassan dalam ucapannya berkata, kehadiran adalah diluar jangkaan dan pihak penganjur terpaksa menghadkannya dan dengan berat hati terpaksa menolak puluhan permohonan untuk menyertai sama majlis itu. Beliau juga bercadang mahu menganjurkan lagi program seperti ini di masa akan datang dengan skala yang lebih besar.

Pertemuan ini menurut beliau bukan sekadar dialog semata-mata tetapi lebih kepada ramah mesra antara Menteri Besar dan para blogger. "Kesungguhan Menteri Besar bersama tuan-tuan, ditunjukkan pada hari ini apabila pagi tadi beliau berada di Terengganu dan terus berkereta untuk hadir dalam perjalanan lebih empat jam walaupun agak uzur dan keletihan. Tetapi atas rasa ingin berjumpa dengan hadirin, beliau tetap juga hadir malah Tuan Guru memang menunggu-nunggu program ini beberapa minggu yang lepas," katanya.

Fadzli berkata, secara objektifnya program ini adalah untuk merapatkan hubungan antara pimpinan kerajaan negeri dengan para blogger. "Untuk menunjukkan rasa penghargaan jauh dari sudut hati kami di atas peranan yang tuan-tuan mainkan, dalam mendokong hingga Kerajaan Kelantan dapat bertahan 20 tahun. Program ini juga lebih kepada pelarasan pemikiran dan tindakan selepas ini untuk meneruskan mempertahankan kerajaan dan pentadbiran Islam bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13," katanya lagi.

Beliau juga sedar bahawa tiga pilihan raya ke belakang, bermula dari PRU ke-10, blogger memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran masyarakat. Tegasnya, sebagai sebuah negara demokrasi, rakyat sepatutnya diberi kebebasan memilih dan mendapat maklumat tanpa ada paksaan atau sebagainya.

Beliau juga melahirkan rasa syukur dengan perkembangan IT, ada ruang kepada rakyat khususnya golongan terpelajar dan muda untuk mendapat maklumat. "Hari ini kita melihat bloggers mempunyai ruang yang sangat luas untuk berperanan bagi mendokong peranan suci Islam yang kita bawa ini," ujar  Fadzli.

Sementara itu, ketika menjawab soalan blogger Azizi Abdullah dari Kedah, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menegaskan PAS tetap menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan parti walaupun DAP pernah meminta supaya ianya digugurkan jika mahu bekerjasama dengan mereka.

"Ketika bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dulu, DAP minta kita gugurkan Islam. Kita kata kalau gugur bukan lagi parti PAS, dan mereka kata mereka mahu keluar, mereka buat sungguh tetapi mereka datang balik, tetapi kita tidak berubah pendirian. Dalam konvensyen Pakatan di Pulau Pinang baru-baru ini, Karpal Singh sudah tidak kata langkah mayat saya (Karpal)," kata beliau secara berseloroh disambut tepukan hadirin.

Menurut Mursyidul Am PAS itu lagi, Kelantan tidak dapat melaksanakan hudud walaupun telah menjadi undang-undang kerana bimbang dengan tekanan Kerajaan Pusat mengugut mengambil tindakan yang boleh membawa mudharat kepada pentadbiran kerajaan negeri. Beliau menjelaskan, pihaknya menggunakan pendekatan sederhana bagi mengelakkan kemungkinan tindakan darurat yang pernah dikenakan ke atas Kelantan lebih tiga dekad lalu.

"Kita beli beras seguni, nak angkat tak berdaya, mengapa kita hendak tinggalkan semua? Ini tak betul. Kalau kita tak boleh angkat semua, kita bawa secupak demi secupak bawa balik ke rumah. Kalau kerana melaksanakan hudud, Kelantan kena gantung (Mageran) oleh Pusat, itu tidak cerdik," katanya tegas.

Tuan Guru Nik Aziz merujuk amaran daripada Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, jika PAS melaksanakan Undang-Undang Hudud, Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan. "Alhamdulillah, walaupun kita tidak laksana hudud tapi kita ambil langkah satu demi satu dan sampai sekarang orang Cina dan India pun menubuhkan Kelab Penyokong PAS."

Menurutnya, orang bukan Melayu di Kelantan tidak lagi takut dengan Islam kerana pentadbiran yang dipimpin oleh PAS berjaya menerangkan maksud Islam yang sebenar. "Kita tiada beza antara Melayu, Cina dan India. Kita juga ada buat masjid macam tokong di Rantau Panjang. Kita tidak ikut masjid dari Mekah tapi kita ikut masjid dari Cina kerana tak mahu bezakan keMelayuan dan keCinaan. Dulu Umno kata, kalau PAS memerintah lu punya barang kena potonglah (disunatkan). Orang Cina jadi takut. Sekarang tidak lagi. Banyak perkara yang kita dah buat di Kelantan," tegasnya.

Selain Tuan Guru Nik Aziz, turut hadir meraikan para blogger termasuklah Timbalannya, Dato' Ahmad Yaakob, saff Exco; Dato' Husam Musa; Dr. Mohamed Fadzli Dato Hassan; Dato' Takiyuddin Hassan; Hajjah Wan Ubaidah Omar; Che Abdullah Mat Nawi; Speaker, Dato' Nasharuddin Daud; Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fattah Harun; Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Ustaz Abdul Rahman Yunus.

Tiada ulasan: