KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Januari 20, 2011

Gantung Presiden NUJ: Jelas sikap Utusan yang mewakili Umno-BN anti kebebasan media

Tulisan Awang Selamat memang bertemakan "biadab" dan "tidak bertanggungjawab" malah "berniat jahat".  Itulah juga aspirasi akhbar yang didokongnya. Isu yang dibawa, bukan untuk menyebar pemikiran rakyat sebagaimana slogannya, sebaliknya "menghuru-harakan" sikap dan pendirian rakyat agar terus membenci seteru Umno-BN dalam negara ini. Dalam kes terkini, jelas akhbar kuasaan Umno ini bertujuan melaga-lagakan pihak Istana dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berhubung isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu.

Awang Selamat sengaja mencetuskan kontroversi.  Sekali gus memutikkan bibit kebencian dan syak wasangka. Hampir serupa dengan tindakan akhbar perdana pada 1992 dan awal 1993 dahulu. Cuma hala gayanya yang berbeza. Kalau dulu, istana menjadi sasaran herdik Utusan dan Berita Harian, kini Kerajaan Pakatan menjadi tumpuan.  

Isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dijadikan batu loncatan lantas diperbesarkan sedangkan Pakatan Rakyat Selangor menganggap ia hanyalah urusan pentadbiran yang boleh diselesaikan dengan kebijaksanaan. Malangnya bukan penyelesaian yang didambakan Awang Selamat. Tulisan berbaur hasutan dan fitnah ini sengaja mahu menimbulkan permusuhan antara Istana dengan Kerajaan Negeri yang mereka lihat begitu baik dan teratur.  

Tulisan tidak bertamadun ini cuba membangkitkan kemarahan orang Melayu kononnya kerajaan Pakatan Rakyat tidak tahu adat dan Perlembagaan. Jadi tidak hairanlah, jika Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ), Hata Hawari yang bekerja di Utusan, diherdikhina oleh akhbar tersebut kerana Hata memiliki pemikiran berbeza dengan kehendak Umno yang menguasai saham akhbar itu selama ini.

Hata dilaporkan telah digantung dari kerjanya oleh majikannya pada 17 Januari - iaitu ketika siasatan dalaman (domestic inquiry) dilaksanakan. Ini ekoran dari godaman tajamnya yang dilemparkan terhadap akhbar Utusan yang kontroversial ini, sebaik saja menyandang jawatan Presiden NUJ.

Melalui Hata, NUJ meminta pengarang-pengarang di media perdana terutama Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan The Star agar kembali kepada fungsi dan matlamat sebenar media. Hata mahu media berperanan menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan bukan sebagai alat propaganda kepada kerajaan, mana-mana parti politik dan individu-individu tertentu kerana kepentingan peribadi.

Dengan berani, Hata mendakwa, Utusan Malaysia yang pernah edarannya mencapai 350,000 sehari kini hanya menjadi alat propaganda kerajaan (Umno-BN) dan memainkan isu-isu perkauman serta cuba mencetuskan pertelingkahan di antara kaum di negara ini. Hata mengingatkan, Ketua Pengarang dan pengarang-pengarang di Utusan Malaysia sebenarnya adalah pengarang yang tidak mempunyai prinsip, tiada harga diri dan maruah kerana hanya mahu mempertahankan kedudukan dengan gaji puluhan ribu ringgit.

Ini menyebabkan mereka sentiasa tunduk kepada tuan-tuan politik yang hanya mahu mempertahankan kuasa mereka dengan menggunakan Utusan Malaysia sebagai alat propaganda. Kini Hata yang memperjuangkan etika kewartawanan dan kebebasan media, dihukum oleh akhbar kuasaan Umno. Rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kebebasan bersuara dan media, tentu amat sedih dengan hukuman beliau antaranya dikenakan perintah "kurung rumah".  

Ini kerana tindakan yang diambil oleh majikannya itu mirip perilaku pemerintah yang menghukum seseorang itu - yang mungkin dianggap penjenayah atau yang dicop sebagai ancaman negara - tidak boleh keluar dari persekitaran rumah selama waktu yang ditentukan. Dengan kata lain, wartawan yang kritis dan berpaut kepada kod etika profesyen kewartawanan telah dihukum oleh akhbar pro pemerintah Umno-BN seolah-olah, Hata telah melakukan suatu jenayah. 

Jadi, apakah yang nak diharapkan daripada Umno-BN dalam memperluaskan lagi kebebasan media, sedangkan gelagatnya cukup anti rakyat celik ilmu, celik politik yang boleh mengakibatkan Umno-BN terancam.

Tiada ulasan: