UMNO boleh menafikan mereka terlibat dengan kontroversi perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Dato' Mohd Khusrin Munawi, hingga memaksa Dewan Undangan Negeri Selangor (Dun) akan mengadakan persidangan 24 Januari ini, bagi membincangkan hak dan kuasa perlantikan SUK selepas ini.
Tetapi, disebabkan Umno terlepas Selangor dari tangan mereka dalam PRU 12, Mac 2008 dengan isu hadiah penyapu kepada seorang Yang Dipertua Majlis Daerah, menjadikan pegawai kerajaan marahkan Umno, ada rasanya Umno mahu mengaut keuntungan dari isu perlantikan Mohd Khusrin ini. Usah sesiapa terkejut jika selepas PRU 13, jika Umno menang kembali Dun Selangor, Khusrin mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar yang baru, kerana Umno yang terlalu mengidam mahu merampas kembali Selangor dari Pakatan Rakyat nampak dengan menumpang isu Khusrin ini, mereka beroleh keuntungan.
Rata-rata mereka yang mengikuti perkembangan politik Umno Selangor sedar Umno tidak ada tokoh pelapis untuk dijadikan denak menarik kembali sokongan pengundi kepada parti ini. Jadi, jika dengan menumpang nama Khusrin yang dilihat bersih dari segala dakwaan rasuah dan penyelewengan, Umno merasakan, dari tidak dapat apa-apa, lebih baik berpaut kepada Khusrin, kalau-kalau ada peluang untuk kembali berkuasa.
Kejatuhan Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo (kini gelaran Datuk Serinya digantung) dilihat sebagai dirancang. Itulah sebabnya, apabila Khir kalah dalam persiangan merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khir tidak diberi peluang untuk menduduki kerusi MT dan tidak juga dilantik memegang jawatan penting dalam Umno Selangor.
Padahal, Khir adalah Ketua Pembangkang (sebelum melepaskan jawatan itu). Jawatan Ketua Pemikir Badan Perhubungan Umno Selangor direka untuk Khir sebenarnya kerana Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak merasakan Khir mempunyai kebolehan menulis dalam blognya, dalam isu-isu tertentu.
Malangnya, apabila ditahan dan didakwa kes membeli banglo mewah dengan harga rendah, Khir kelihatan sibuk mempertahankan dirinya dalam blog hingga mendapat teguran dari Peguam Negara. Kini Khir sudah hilang segala-galanya, kecuali kerusi Adun yang disandangnya. Gelaran Dato' Seri digantung, jawatan Ketua Pembangkang dilepaskan, jawatan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar turut digantung, menyebabkan Khir kini hanyalah seorang biasa yang dilihat sudah hilang segala-galanya dalam sekelip mata.
Kebetulan, dalam politik Umno Selangor, kebanyakan Menteri Besar jatuh dalam keadaan yang tidak manis. Bermula dari Dato' Abu Bakar Baginda, Dato' Harun Idris, Dato' Ahmad Razali Ali, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Tan Sri Abu Hassan Omar dan kini, Khir. Rasanya, MB Selangor yang berhenti secara terhormatnnya hanyalah Allahyarham Dato' Hormat Rafie.
Hari ini, mahu menamakan seorang dari 22 ketua bahagian di Selangor yang boleh dikatakan layak untuk dilantik menjadi MB Selangor, jika BN menang semula, boleh dikatakan tidak ada. Malahan, beberapa orang ketua bahagian kini sedang bergelumang dengan isu dakwaan rasuah dan penyelewengan. Baru-baru ini, bekas Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Dato' Kuris Md Nor terlepas dari dakwaan tetapi, ketika mahkamah melepaskannya, dia sudah tidak lagi menjadi Adun dan bukan lagi ketua bahagian.
Muhammad pula, bercuti dari mengemudikan Umno Bahagian Kelana Jaya yang menyebabkan banyak pihak mempersoalkan apakah isunya menyebabkan seorang ketua bahagian boleh bercuti dari memegang jawatan parti. Perlantikan Dato' Satim Diman sebagai Ketua Pembangkang Dun Selangor dilihat tidak ubah seperti perlantikan Dato' Paduka Ahmad Basha Md Hanipa di Kedah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri – bukan kerana kelayakannya tetapi kerana hubungan rapatnya dengan Perdana Menteri.
Satim yang melepaskan jawatan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor kepada Dato' Seri Ir Mohd Zin Mohamad sekadar mahu menyejukkan hati Mohd Zin yang digugurkan dari jawatan Menteri Kerja Raya dalam penyusunan kabinet Najib, setahun yang lalu. Umno sebenarnya mengharapkan Selangor boleh dirampas kembali dalam PRU 13 akan datang. Ini kerana imej kemenangan di Selangor jauh berbeza dari kemenangan merampas negeri Perak, Kedah atau Kelantan.
Najib tentunya mahukan Selangor, melebihi dari Kelantan, Perak dan Kedah. Itulah sebabnya Najib sendiri melantik dirinya menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor sedangkan, beliau diketahui terlalu sibuk dengan bebanan tugas sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno. Mungkin Najib belajar dari kemenangan Terengganu ketika Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengetuai Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Tentulah Najib menanam semangat kepada ketua-ketua bahagian dan jentera pilihan raya di Selangor, kemenangan Selangor adalah kemenangan imej dan maruahnya. Jadi, walaupun berapa harga yang patut dibayar, sebagai Presiden Umno, Najib dirasakan akan melakukannya. Barangkali, Najib yakin jika Khusrin diprojekkan sebagai bakal MB Selangor, jika Umno menang PRU 13, semangat bekerja orang-orang Umno berbeza dari menonjolkan salah seorang ketua bahagian di Selangor kini, termasuklah Dato' Seri Noh Omar, Mohd Zin dan Satim.
Sebenarnya, sebelum Noh dan Mohd Zin dilantik sebagai menteri penuh, Selangor boleh dikatakan ketandusan pemimpin. Walaupun Dato' Dr. Shafie Salleh pernah dilantik menjadi Menteri Pengajian Tinggi, tetapi Dr. Shafie bukan salah seorang ketua bahagian. Ketika Umno Selangor menang 100 peratus pun, Selangor hanya diberikan jawatan timbalan menteri. Antaranya Dato' Zainal Dahlan, sebelum kemunculan Noh dan Mohd Zin.
Kini, dengan Noriah Kasnon sebagai timbalan menteri dari Selangor dan Noh, seorang menteri penuh, Umno Selangor sebenarnya terpaksa bertungkus lumus mencari bakal pemimpin selepas mereka kehilangan Muhammad dan Khir. Di mana silapnya Umno Selangor hingga mereka ketandusan pemimpin? Atau, memang sudah rezeki Khusrin untuk menjadi antara nama yang diidamkan oleh Umno mahu ditonjolkan sebagai calon MB, menyebabkan Khusrin terpaksa dilanda kontroversi dengan perlantikannya sebagai SUK baru-baru ini.
Sumber > Safar Jumaat seorang penulis yang rapat dengan serambi Umno
Tiada ulasan:
Catat Ulasan