KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Januari 22, 2011

Sudah 14 kali PRK: Cikgu Mala sedia redah fitnah dan halangan yang "menyerang" beliau di Tenang


“Dia tidak akan datang ke sini (tokong Cina), (dan) dia langsung tidak bersalam dengan orang. Saya sudah terima aduan mengenai hal ini. “Dia seperti isteri Anwar Ibrahim. Dia memakai sarung tangan ketika bersalam. Jika anda boleh menerima cara Islam sebegini, pergilah undi PAS,” kata Dr Chua Soi Lek memperlekeh Islam dan calon PAS Dun Tenang.

Dalam interbiu dengan The Malaysian Insider semalam, calon PAS Cikgu Normala Sudirman berkata, Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR dan DAP akan membantu memberikan sokongan dan menjelaskan mengapa beliau tidak mahu bersalam dengan lelaki sepanjang kempen pilihan raya kecil yang bermula hari ini.

Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis dan bekas guru sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim, 39. Normala juga merupakan Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat.

"Dari segi strategi, cara dan kaedah untuk saya mendekati masyarakat seperti ini saya kira rakan-rakan Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk memberitahu mereka kenapa dan mengapa. Apa yang paling penting adalah akhirnya pengundi DUN Tenang akan memahami itu retorik yang tak berasas untuk dibawa, sedangkan permasalahan yang paling besar adalah fokus utama termasuk permasalahan kebajikan, sosioekonomi dan sebagainya. Sudah seharusnya saya kira perkara itu tidak perlu timbul buat masa ini," kata beliau.

Normala juga berkata Umno-BN akan sentiasa membuat provokasi untuk memberikan beliau imej yang buruk kepada pengundi di DUN Tenang.

"Apa pun bagi saya Umno-BN tetap akan mencari isu-isu remeh, isu-isu yang sangat berbentuk picisan kerana kalau apa yang kita lihat buat pun dikata tak buat pun akan dikata. Yang paling penting adalah konsep kita memahamkan rakan-rakan khususnya Tionghua dan India untuk memahami bahawa bagaimana sebenarnya apa yang kita bawa sebagai seorang individu Muslim itu. Bukankah sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi. Sepatutnya mereka memahami situasi ini," katanya.

"Umno gagal memahamkan rakan-rakan dalam BN setelah 53 tahun, seharusnya tidak berlaku. Kita lihat dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi. Seharusnya konsep memahami satu-satu kaum atau agama perlu difahami," katanya. Bekas guru itu juga bersedia untuk menghadapi apa sahaja serangan yang akan dibuat BN sepanjang kempen pilihan raya yang akan berakhir 30 Januari ini. 

"Saya bersedia berdepan apa sahaja cabaran, tohmahan dan fitnah yang akan dilakukan pihak lawan kerana itulah realiti setelah 14 kali pilihan raya kecil. Kita lihat isu begitu dan mereka tetap gunakan strategi lama yang saya kira ia tak seharusnya berlaku buat masa sekarang bagi pihak lawan buat perubahan untuk memenangi hati rakyat bukan menyuluh kelemahan peribadi begitu. Saya yakin kejutan besar akan berlaku dan saya bimbang itu akan menimbulkan kebencian (pengundi) kepada pihak Umno-BN," katanya.

Tambah Normala, Pakatan Rakyat akan memainkan peranan penting dalam membantu orang bukan Islam untuk memahami lebih dekat konsep yang dibawa PAS selama ini. "Seperti kaum lain, kami orang Islam memahami budaya dan agama Tionghoa dan India. Kami menghormati dan memahami, itulah cara mereka dan seharusnya perkara ini sudah lama difahami rakan-rakan BN," katanya.

Ketika ditanya mengenai keyakinan untuk memenangi pilihan raya kecil DUN Tenang, Normala berkata, beliau optimis pengundi akan membuat keputusan bijak dalam memilih wakil rakyat baru. "Saya optimis dan berkeyakinan tinggi pengundi kini telah bijak membuat keputusan untuk menentukan perjuangan masa depan dengan membawa suara dan permasalahan ke Dewan Undangan Negeri dengan memilih wakil rakyat yang berwibawa, prihatin dan simpati. Pada 30 Januari, saya percaya dan berkeyakinan tinggi pengundi DUN Tenang mampu membuat kejutan dan perubahan besar demi," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis. Sulaiman menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi pada pilihan raya umum 2008. 

Tiada ulasan: