KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Februari 27, 2008

PRU 12: SPR, Pengundi, Bertanggungjawablah Di Hadapan Allah SWT Kelak!

Mengapa anak Badawi ini suka bersalam dan memegang perempuan? Ada banyak gambar yang mengejutkan bekal disiarkan blog ini menjelang hari mengundi!

By ZAHARUDDIN ABDUL RAHMAN

TERKILAN... tanpa dapat saya sembunyikan, rasa sakit hati. Mengapa dan sakit hati kepada siapa?

Sebagai rakyat Malaysia, rasa terkilan dengan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) amat tinggi berbanding biasa. Mengapa?

Banyak sebabnya dan saudara boleh membaca sendiri di web-web yang berkaitan. Namun kali ini saya merasa lebih lagi sakitnya dari biasa kerana salah satu bentuk ‘kepelikan' itu telah berlaku kepada ahli keluarga saya.

Ia berlaku kepada isteri saya. Isteri saya sejak awal mendaftar, tempat mengundinya adalah Hulu Bernam, Ulu Selangor, iaitu dikampung kelahirannya.

Bukan sekadar itu malah isteri saya juga telah pernah mengundi di Hulu Selangor pada tahun 1999, semasa pilihanraya yang ke 10.

Walaubagaimanapun, pada tahun 2004 kami sekeluarga gagal membuang undi kerana berada di luar negara.

Namun sejak sebulan lepas, apabila membuat semakan daftar pemilih, entah bagaimana tempat mengundi isteri saya bertukar ke Demit, Kubang Kerian, Kelantan.

Keperitan Menghubungi SPR

Puas kami menghubungi nombor telefon SPR untuk mengadu hal dan mendapatkan penjelasan bagaimana pertukaran tempat mengundi boleh berlaku, tetapi talian SPR asyik sibuk dan tidak pernah diangkat (iaitu nombor 03-8885 6500) yang kami petik dalam web SPR berikut: http://www.spr.gov.my/index/hubungi.htm hampir setiap hari dihubungi tetapi setiap hari jugalah tiada jawapan.

Disebabkan kesibukan saya dan isteri, kami mengambil keputusan untuk membuat surat rasmi dan menghantar faks ke (603)-8888 9117, juga nombor faks yang sama dari web di atas tadi.

Dalam masa yang sama percubaan menelefon dibuat setiap hari, semuanya gagal.

Sehinggalah hari ini (24 Feb 08), muncul nombor baru di televisyen, iaitu 03-9274 62692, nombor ini muncul 3 saat sahaja, namun bila dihubungi, rupanya tersilap nombor.

Akhirnya, dapat juga kami hubungi nombor SPR yang ada manusia mengangkatnya iaitu 0326810280. Namun hasil aduan itu, kami menghadapi kepelikan, keajaiban jahat dan kekecewaan sahaja.

Kemuncak kepelikan

Pegawai wanita tersebut berkata; menurut rekod mereka, kononnya isteri saya ketika mula-mula mendaftar pada 10 Mac 1998 dahulu, alamat asal adalah di Kampung Demit, Kubang Kerian.

Justeru itulah sahaja yang mereka tegaskan, Sedangkan ia tidak benar sama sekali dan isteri saya tiada sebarang urusan dengan negeri Kelantan, juga bukan orang Kelantan.

Namun yang lebih PELIK DAN AJAIB, pada tahun 1999 isteri saya telah pun membuang undinya di Hulu Selangor tanpa sebarang masalah.

Bagaimana boleh diundur waktu dan didaftar di Kelantan pula.. kami tiada mesin ajaib masa Doraemon. So apa sebenarnya ini?!!!.

Adakah ini penipuan dan penyelewengan yang sering digembar-gemburkan oleh pembangkang?

Jika benar, hampir pastilah ia dilakukan oleh pihak yang tidak ada iman tentang alam barzakh dan neraka!!

Hasilnya, kemungkinan isteri saya tidak sempat mengundi tahun ini, kerana pelbagai kesukaran pengangkutan untuk ke Kelantan dan bayi kami pula yang masih berumur 2 bulan.

Saya pula terpaksa membuang undi di Kedah pada hari tersebut. Banyak lagi sebab lain yang tidak memungkinkan saya untuk bertandang ke Kelantan dan Kedah dalam hari yang sama.

Saya masih berusaha mencari muslimah-muslimah Kelantan yang dipercayai untuk menumpangkannya ke Kelantan dan pulang ke KL pada hari yang sama, namun ia amat sukar...

Benar, kami juga ada salahnya kerana tidak membuat semakan lebih awal dan menukar dengan pantas (sebelum 60 hari dari pilihanraya) apabila terdapat kesilapan, tetapi apa yang berlaku mendedahkan "something wrong is happening".

Yang penting pihak SPR wajib bertanggung jawab di akhirat kelak, kami akan tuntut semua hak-hak ini tanpa BELAS KASIHAN.

Semua kita perlu beringat-ingat selalu, sebarang kemenangan pilihanraya menggunakan penipuan, rasuah dan penyelewengan adalah haram serta dilaknat oleh Allah swt dan RasulNya, tiada keberkatan dalam pemerintahan dan rakyat serta negara, kemenangan sebegitu hanya akan memudahkan sesebuah masyarakat dan negara dipandu ke Neraka sebagaimana huraian ‘hilang keberkatan' yang disebut oleh Imam Ibn Hajar Al-Haithami dalam kitabnya Az-Zawajir An Iqtiraf Al-Kabair.

Justeru amat perlu dijaga unsur keberkatan dalam pilihanraya, pembelajaran, pekerjaan, pendapatan, perbelanjaan dan kehidupan seluruhnya.

Jangan kerana inginkan kuasa dan kerusi DUN dan Parlimen yang bersifat sementara manfaatnya iaitu sekitar beberapa puluh tahun di dunia, hingga sanggup menggadaikan masa depan di dalam kubur yang sempit itu dan di padang mahsyar yang berkumpulnya trillion trillion manusia dan disemak satu persatu perbuatannya.

Keadaan yang sama juga terpakai kepada pelajar yang meniru dalam peperiksaan, pelajar yang membeli sijil MA dan PhD, guru yang meniru dalam peperiksaan PTK, usahawan yang menipu, ahli politik yang menipu, pekerja yang menipu dalam amanah tugasan mereka dan lain-lain jenis penipuan, semuanya dinafikan oleh Nabi SAW dari kelompok ummatnya

Ertinya: "Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. pernah melalui seorang laki-laki yang sedang menjual makanan (biji-bijian). Baginda sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangannya ke dalam tempat makanan itu, apabila dilihatnya makanan itu nampak basah, maka bertanyalah beliau: Apa yang dilakukan oleh pemilik makanan ini? Ia menjawab: Kena hujan. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: "Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas, supaya orang lain mengetahuinya?! barangsiapa menipu , bukanlah (mereka) dari golongan kami (Islam)" -- (Riwayat Muslim, 1/99)

Ia juga termasuk dalam umum hadis ini

Ertinya: Barang siapa yang menipu Arab (dan manusia lain) , mereka tidak termasuk dalam kalangan yang boleh mendapat syafaatku, dan tidak layak mendapat belas kasihanku" -- ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3928, 5/724; Hadis ghorib)

Imam al-Munawi berkata, salah satu maksud menipu arab adalah menghalang mereka dari menyampaikan kebenaran sehingga menjadikan orang ramai jauh dari Nabi SAW -- (Penjelasan Al-Munawi dipetik dari Tuhfatul Ahwazi, Al-Mubarakfuri, 10/296)

Tiada ulasan: