Apakah demontrasi penyokong calon-calon tertentu yang digugurkan menjadi calon oleh Idris Jusoh diberi permit oleh polis?
By TARMIZI MOHD JAM
DEMONTRASI oleh para penentang Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh benar-benar menunjukkan double standard dan kesulitan menangani permit untuk rapat umum pihak polis.
“Saya tak fikir demonstrasi itu ada permit polis. Saya tak fikir polis secekap itu dan saya tak fikir polis akan membenarkan demonstrasi yang memalukan Menteri Besar Barisan Nasional. Ini berdasarkan apa yang kita lihat selama ini”, kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika mengulas perkembangan di Kuala Terengganu sejak pengumuman calon kelmarin.
“Dan insiden itu menunjukkan bahawa hak berhimpun ini penting untuk semua rakyat sebagaimana yang dijamin di bawah Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan. Selama ini orang Umno fikir mereka tak perlukan hak itu”, tegas pensyarah undang-undang di UIAM itu.
Insiden di Terengganu itu benar-benar menempelak Datuk Seri Zainuddin Maidin yang menyiarkan pelbagai klip yang memburuk-burukkan demontrasi aman oleh pihak pembangkang.
Beliau menjelaskan sebagai satu undang-undang keperluan Seksyen 27 Akta Polis 1967 itu perlu dilaksanakan oleh pihak polis dengan saksama ke atas semua pihak.
“Mereka tidak boleh memilih-milih kerana jika itu dilakukan, undang-undang hanya akan dijadikan bahan mainan dan lama kelamaan akan kehilangan keberkesanannnya. Jika ini berlaku bukan sahaja pihak polis tetapi seluruh rakyat akan menanggung padahnya”, katanya lagi.
Dr Abdul Aziz menambah, oleh kerana kesulitan itulah makanya Suruhanjaya Polis yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Dzaiddin Abdullah mencadangkan dalam laporannya bahawa seksyen yang memberi kuasa kepada polis untuk mengeluarkan permit perhimpunan itu dimansuhkan sahaja.
Selain cadangan ini suruhanjaya berkenaan juga mencadangkan supaya cawangan khas dirombak kerana setakat ini operasi dan pertanggungjawaban bahagian ini begitu misteri.
“Kita tahu bahawa anggota-anggota cawangan khas sering digunakan oleh pihak berkuasa untuk menangani musuh-musuh politik mereka, baik di dalam atau di luar Umno”, kata Aziz lagi.
Cadangan paling penting suruhanjaya ialah supaya IPCMC ditubuhkan. IPCMC adalah suruhanjaya bebas untuk menyiasat salah laku pihak polis.
“Anihnya pihak polis yang pada waktu itu di bawah Tan Sri Mohd. Bakri Omar menentang dan mengugut kerajaan dan Perdana Menteri yang pada mulanya akur dengan cadangan itu akhirnya tunduk”, kata Aziz kesal.
Beliau menyatakan penentangan pihak polis terhadap pendirian kerajaan itu bertentangan dengan kehendak Perlembagaan yang melarang mereka berbuat demikian.
Aziz berkata “itulah pertama kali dalam sejarah negara ini perkhidmatan awam membuat penentangan terhadap kerajaan secara terbuka di dalam laman web mereka”
Demonstrasi anti-Idris Jusoh di Terengganu sepatutnya membuka mata pihak polis dan mereka harus sedar dan malu dengan tindakan ganas mereka dalam perhimpunan aman BERSIH di Batu Burok, Oktober lalu.
“Tetapi saya tak pasti polis mempunyai perasaan itu kerana selama ini mereka terang-terang memihak malah berbohong sebagaimana yang berlaku dalam kes penolakan permohonan permit oleh GMI di Kuala Lumpur. Mereka tidak segan-segan memihak kepada kerajaan meskipun pasukan polis sebenarnya dibiayai oleh pembayar cukai, bukan parti Barisan Nasional,” tegas pakar Perlembagaan itu.
Apa pun, kata Dr. Abdul Aziz lagi, mereka yang tidak puas hati dengan Idris Jusoh patut mengundi Haji Abdul Hadi Awang kerana beliau telah membuat janji untuk membenarkan perhimpunan aman dan apa yang berlaku jelas menunjukkan bahawa orang Umno pun memerlukan hak itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan