KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Februari 27, 2008

Umat Islam BOLEH PERINTAH Malaysia Tanpa UNDI NON-MUSLIM?


By TARMIZI MOHD JAM

SUDAH dua kali Profesor Dr Abdul Aziz Bari menyatakan bahawa sebenarnya umat Islam di negara ini boleh memerintah sendiri tanpa bergantung kepada undi orang bukan Islam.

Ini tidak bertujuan untuk memperkasa agenda politik perkauman sempit. Sebaliknya untuk mengelakkan kepentingan dan kedudukan umat Islam dijadikan bahan tolak dan tarik khususnya sewaktu pilihan raya, katanya ketika memberi penjelasan kepada idea yang dibentangkan dalam kertas seminar anjuran TERAS dan JHEAIK hujung tahun lalu.

“Peruntukan perlembagaan sudah memadai; sekurang-kurangnya buat masa ini dan tidak perlu dipinda. Dengan itu tidak perlu majoriti dua pertiga di parlimen, “tegasnya.

Pensyarah undang-undang di UIAM itu menyatakan bahawa dalam pilihan raya 2004 parti-parti Melayu dan Islam memiliki sejumlah 115 kerusi yang merupakan majoriti dari keseluruhan 219 kerusi di Dewan Rakyat.

Jumlah ini cukup untuk membentuk kerajaan di peringkat persekutuan tanpa mengharapkan sokongan parti-parti lain.

Tambahnya lagi dengan komposisi dimana 60 peratus dari 27 juta penduduk adalah Melayu-Islam, angka tersebut bukan sahaja realistik tetapi tidak ada masalah.

“Kita perlu ingat bahawa sokongan bukan Melayu adalah kerana kita hendak merdeka dan kita perlu meyakinkan pihak British bahawa rakyat negara ini boleh bersatu dan duduk semeja. Ini bukan lagi keutamaan sekarang”, jelasnya lagi.

Dr. Abdul Aziz mengingatkan bahawa politik bukanlah segala-galanya dan Perlembagaan telah meletakkan Raja-Raja sebagai penjaga Perlembagaan dimana peruntukan-peruntukan tertentu hanya boleh dipinda dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

“Dan saya tidak nampak kepentingan umat Islam secara logiknya boleh tergadai dalam keadaan perkhidmatan awam, termasuk angkatan tentera sudah didominasi oleh umat Islam,” katanya.

Cadangan di atas tegasnya, di kemukakan kerana beberapa tahun kebelakangan banyak kepentingan umat Islam dan orang Melayu telah digadaikan hanya kerana hendak mengambil hati dan mendapat sokongan mereka.

Ini termasuklah permintaan menggunakan nama Allah untuk penganut agama lain.

“Ini agak memeningkan kerana setiap agama mempunyai nama sendiri untuk Tuhan masing-masing. Selain itu, selama ini orang bukan Islam sering mendakwa bahawa mereka dinafikan hak kebebasan beragama. Mereka juga mendakwa bahawa Islam mula masuk dari pintu belakang dalam pentadbiran negara,” tegas Dr. Abdul Aziz.

Pakar Perlembagaan dari UIAM itu berpendapat bahawa antara masalah besar kita ialah pemimpin UMNO tak faham dan tak mahu belajar Perlembagaan.

Mereka berasa merekalah yang penting yang memberi segala-galanya. Dalam pada itu Dr. Abdul Aziz mengalu-alukan tindakan PEMBELA dan ACCIN menyenaraikan kehendak dan kepentingan umat Islam sempena pilihan raya ini.

Dalam mempastikan kelangsungan Melayu dan Islam di negara ini, semua pemimpin parti-parti politik berkenaan perlu berjiwa besar dan mengutamakan kepentingan umat, bukan tembolok sendiri.

“Sebagaimana dalam solat, kita perlu berundur apabila dikalangan jamaah ada yang lebih baik. Begitu juga pemimpin hendaklah bersedia ditegur sekiranya melakukan kesilapan,” katanya.

Dr. Abdul Aziz berpendapat parti-parti politik yang mewakili umat Islam dan orang Melayu perlu sedar alternatif yang ada.

Beliau menjangka sempena pilihan raya ini akan ada, seperti yang berlaku pada pilihan raya yang sudah-sudah, parti yang akan membuat dakwaan bahawa mengundi parti mereka adalah perlu untuk hidup mati orang Melayu dan Islam.

“Ini tidak semestinya benar kerana kita ada Perlembagaan yang bahagian-bahagian berkenaan tidak boleh dipinda meskipun orang Melayu hilang kuasa politik,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya lagi, sudah tentulah baik kiranya mereka dapat membentuk kerajaan kerana pihak eksekutif penting dalam mencipta dan melaksanakan dasar-dasar yang baik.

Dr. Abdul Aziz mengingat bahawa pilihan raya hanyalah sebahagian daripada perjuangan umat Islam. Ia bukan segala-galanya. Komitmen perlu diteruskan selepas pilihan raya, walau apa pun keputusannya.

Tiada ulasan: