KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Februari 24, 2008

Bolehkah Ikan Diternak Atas Padang & Kambing Dipelihara Dalam Air?






Gambar-gambar sempena kunjungan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Surau Ikhlasiyah Kg. Datuk Keramat dan menyampaikan Kuliyyah Maghrib dan menjamu selera bersama Pengarah dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Wilayah, Ishak Surin dan Tarmizi Mohd Jam serta pimpinan surau.

By TARMIZI MOHD JAM

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, bertanya adakah boleh ikan diternak di atas padang dan kambing diternak di dalam air?

Pertanyaaan menarik itu, dilontarkannya pada Kuliyyah Maghrib sempena kunjungannya ke Titiwangsa baru-baru ini di sebuah surau dekat Kg. Datuk Keramat.

Jelasnya, semua kejadian Ilahi di atas muka bumi ini bergerak mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Umpamanya, pergerakan awan, pusingan bumi, matahari dan bulan, tumbuh-tumbuhan, binatang dan banyak lagi.

Awan katanya, membawa air yang banyak. Jika air ini dilepaskan sebagai hujan, nescaya bukan sahaja Kuala Lumpur digenangi banjir tetapi mampu menenggelamkan negara-negara besar di dunia.

Allah tegasnya, mengarahkan awan agar menurunkan hujan seadanya. Begitu juga pergerakan bulan dan bintang, matahari yang mengikut arahan Allah dan hukum yang ditetapkan bagi mengelakkan perlanggaran.

Tumbuhan yang hidup subur di gunung-ganang tidak boleh tumbuh di lautan. Begitu juga tumbuhan paya bakau akan mati jika ditanam di atas gunung. Semuanya ada hukum dan ketetapan Allah SWT," tegas beliau.

Manusia jelas Tuan Guru Haji Hadi, tidak boleh mengubah semuanya ini mengikut kehendak hati mereka.

"Umpamanya, memanjangkan waktu siang atau malam. Menternak ikan atas padang atau memelihara kambing dalam air. Semuanya ini melawan ketetapan hukum Allah," tegasnya lagi.

Dan jika percubaan ini dibuat, maka ikan dan kambing itu akan mati kerana habitatnya salah. Begitu juga tumbuhan, bulan bintang, tentunya akan mati dan berlanggaran jika ia tidak mengikut hukum yang telah ditetapkan Allah SWT.

Inilah juga dalam soal Syariat. Mengapa kita pinda hukum Allah? Dan kenapa kita kata ianya tidak sesuai?

Malah ada yang menyebarkan dakyah kononnya jika undang-undang Allah dijalankan, maka negara akan huru-hara!

Apa yang terjadi, kata Tuan Guru Haji Hadi, orang Islam tahu Syariat Islam itu terbaik dan memberikan keberkatan dalam kehidupan tetapi mereka tidak mahu melaksanakannya.

Mereka membaca al-Quran, menggantung ayat-ayat suci al-Quran tetapi mereka tidak beramal dengannya," tegas ulama tersohor itu.

Beliau membawa contoh, seorang pesakit menampal arahan doktor "makan ubat tiga biji dua kali sehari" di dinding terbuka luas. Hari-hari dibacanya arahan itu tetapi ubat tidak dimakan. Bilakah sakitnya akan sembuh?

Beliau menyeru umat Islam agar memartabatkan Syariat Allah SWT di Malaysia ini dan berjuang ke arah itu adalah suatu jihad akhbar bagi menegakkan sebuah negara Islam.

Tiada ulasan: