KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Februari 22, 2008

KRISIS Calon Umno: Apakah Terdapat PERCATURAN KHAIRY Seperti yang Diduga?

Kali ini tiada jalan anak Badawi mahu berkuap atau tidur-tiduran. Pelbagai masalah mencengkam dan diramalkan boleh menggugat kekuasaannya dan menghakis ketuanan Umno!

By BADRUL HISHAM ABD AZIZ

DUA hari kebelakangan ini membawa banyak kejutan apabila beberapa buah negeri mengumumkan senarai calon masing-masing untuk bertanding dalam pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac ini.

Bermula Rabu, dengan pengumuman giant killer, Datuk Abdul Rahman Bakar yang digugurkan di kerusi Parlimen Marang Terengganu untuk menghadapi musuh tradisinya Datuk Seri Haji Awang (PAS), membawalah kepada hari ini, yang menyaksikan Ketua Penerangan UMNO Pusat, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib melopong walaupun sebelum ini digambarkan mendapat kerusi Parlimen di negeri itu.

Kejutan terus menggelegak di Selangor apabila Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo mengumumkan Menteri Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Aziz Shamsuddin yang telah bersedia untuk berundur dan ‘ditolak’ oleh UMNO Bahagian Shah Alam, disenaraikan untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada tahun 2004.

Di Perlis, negeri kecil tetapi masalahnya besar. Walaupun hanya mempunyai tiga bahagian iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar, negeri paling utara itu masih belum boleh mengutarakan senarai calonnya.

Malah, Menteri Besarnya, sudah lima kali berulang alik ke Putrajaya untuk menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tetapi belum ada apa-apa perkhabaran daripada Datuk Seri Shahidan Kassim.

Ada pula perkhabaran yang menyebut, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Radzi Sheikh Ahmad akan mengumumkan senarai calon negeri itu esok.

Di Terengganu, Menteri Besarnya, Datuk Seri Idris Jusoh menjadi orang pertama mengumumkan barisan calonnya yang juga membawa maksud memberitahu nama-nama yang digugurkan.

Dan, berita serta peristiwa yang paling mengejutkan ialah mengenai Giant Killer Datuk Abdul Rahman Bakar yang gugur sebelum menyertai peperangan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia itu yang menewaskan Presiden PAS, Datuk Hadi Awang dalam pilihanraya umum 2004, amat terkejut apabila namanya tidak disenaraikan untuk bertanding dan lebih mengejutkan mendengar kejutan yang diputuskan oleh pucuk pimpinan itu ialah para penyokongnya di Marang.

Walaupun Abdul Rahman menerima keputusan itu dengan tenang, para penyokongnya yang fanatik telah menutup bilik gerakan dan menurunkan bendera Barisan Nasional.

Pada tahun 2004, Abdul Rahman menang, tetapi sebelumnya pada tahun 1999 beliau tewas. Begitulah nasibnya sejak empat penggal lalu, sekali menang, sekali kalah dan mengikut teori pendulum atau jongkang-jongkit, penggal ini giliran beliau di bawah.

Dengan pengumuman Idris semalam, spekulasi kononya beliau akan bertanding kerusi Parlimen juga lenyap kerana beliau akan mempertahankan kerusi Jerteh.

Begitu juga dengan Melaka kononnya Datuk Wira Ali Rustam akan ke Parlimen tinggal sebagai spekulasi sahaja kerana beliau akan mempertahankan kerusi negeri di Bukit Baru.

Pengguguran Datuk Mohd. Said Yusof di Parlimen Jasin bukanlah satu kejutan besar kerana bekas YB yang kontroversi itu memang diduga menerima nasib sedemikian.

Di Selangor, pengumuman oleh Menteri Besar, Datuk Dr. Mohd. Khir Toyo, amat mengejutkan apabila Datuk Seri Aziz Shamsuddin yang disebut-sebut akan digugurkan, kekal di Parlimen Shah Alam walaupun UMNO Bahagian itu mendesak dan menetapkan akan hanya menerima calon dari negeri itu.

Reaksi Dr. Khir minggu lalu ialah calon berkenaan adalah anak Selangor dan menetap di Shah Alam.

Dengan kenyataan sedemikian, Datuk Nawawi Mohd. Zin, ahli EXCO negeri dilihat sebagai orang yang dimaksudkan.

Selain daripada itu, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang juga Ketua Penerangan UMNO Pusat juga memenuhi kriteria berkenaan.

Bagaimanapun, Muhammad disebut-sebut ke Parlimen Kuala Selangor pula kerana Zawawi hampir-hampir sah di Shah Alam.

Agendadaily difahamkan ada masalah dengan UMNO berkenaan yang terlalu ‘demanding’ sehingga pucuk pimpinan memutuskan Aziz kekal di situ.

Sebelum ini, Aziz pula diwar-warkan akan ke kerusi Parlimen Bagan Datoh manakala penyandang kerusi itu, Datuk Ahmad Zahid Hamidi ditukarkan ke kerusi DUN Rungkup.

Pemerhati yang mengikuti perkembangan politik Zahid melihat kerjaya politik Timbalan Menteri Penerangan itu akan ranap dan lingkup di Rungkup.

Bagaimanapun itu semua tidak menjadi kenyataan apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli mengumumkan senarai penuh calon-calonnya di negeri itu.

Aziz dikembalikan ke Shah Alam dan Nawawi juga kekal di kerusi DUN Kota Anggerik.

Dengan kembalinya Aziz, tidak berlaku kekosongan dan dengan itu ‘tertutup’ pula peluang Muhamad Muhd. Taib kerana khabarnya, bahagian UMNO Kuala Selangor juga tidak mahu menerima calon dari luar.

Ada pemerhati melihat berakhirlah impian bekas Menteri Besar itu untuk kembali bergelumang sebagai wakil rakyat, tetapi banyak juga yang yakin bahawa Muhammad yang berbekalkan jawatan senator, masih boleh melonjak naik jika itu yang dimahukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Juga di Selangor, adalah tidak mengejutkan langsung apabila nama Datuk Zakaria Md. Derus digugurkan di kerusi negeri Pelabuhan Kelang.

Yang mengejutkan banyak orang termasuk Zakaria sendiri ialah apabila menantunya, Roselinda Abdul Jamil dipilih menggantikan beliau.

Sebelum ini, UMNO Bahagian itu yang diketuai Zakaria, mencalonkan anaknya untuk menggantikan beliau.

Kejutan kecil juga berlaku di DUN Bangi di Selangor apabila penyandangnya yang baru sepenggal bergelar YB, Datuk Dr. Amran Kasimin yang menewaskan sahabatnya, Dr. Shafie Abu Bakar dari PAS (kedua-duanya bekas pensyarah UKM) dalam pilihanraya 2004, digugurkan.

Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Serdang digantikan oleh Naib Ketua, Datuk Fathil Daud seorang yang kurang dikenali di Bangi.

Di Kelantan, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Annuar Musa, akan meninggalkan kerusi negeri Kok Lanas untuk bertanding kerusi Parlimen Ketereh.

Banyak yang menyangka beliaulah yang akan menjadi Menteri Besar jika BN berjaya merampas negeri itu daripada PAS yang memerintah sejak tahun 1990.

Datuk Awang Adek yang akan mempertahankan kerusi Parlimennya di Bachok juga akan bertanding kerusi negeri di Perupok, juga dalam kawasan Parlimen yang diwakilinya sebelum ini.

Beliaulah yang akan mengetuai kerajaan Kelantan selepas 8 Mac ini jika pemerintahan bertukar tangan. Inilah kejutan sebenar di Kelantan.

Muka baru, Dr. Asyraf Wajdi akan bertarung di Parlimen Tumpat – kerusi yang pernah disandang oleh bapanya, Datuk Dasuki Ahmad ketika BN memerintah Kelantan.

Di Sarawak, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mengumumkan calon-calonnya, Khamis, memberitahu beliau akan melepaskan kerusi Parlimen Kota Semarahan tetapi diganti oleh anaknya Sulaiman, 39, Naib Ketua Pemuda parti yang dipimpinnya, Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Taib telah menduduki kerusi itu sejak pilihanraya 1969 dan menjadi Ketua Menteri semenjak taun 1981. Beliau memeangan rekod perkhidmatan terpanjang yang sukar ditandingi.

Sepupunya, Norah Rahman, 49, juga menyertai pemilihan kali ini iaitu di kerusi Parlimen Tanjung Manis. Bapanya, Tun Abdul Rahman Yakob, bekas Yang Dipetua Negeri adalah bapa saudara Taib dan pernah berkhidmat di kerusi yang sama.

Yang agak mengejutkan di Perak ialah apabila Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Parlimen Malaysia, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar terpaksa mengosongkan kerusi Larut yang didudukinya sejak dua penggal lalu kerana beliau diperlukan di Kubu Gajah.

Tempat beliau akan digantikan oleh Senator Hamzah Zainuddin. Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Samsul Anuar Nasarah akan ke Gerik menggantikan Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh.

Satu lagi kerusi di Perak yang mengejutkan ialah bekas Exco Kerajaan Negeri Datuk Radzi Manan yang digugurkan digantikan oleh anaknya.

Kedah tidak membawa kejutan besar kecuali memindahkan Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin dari Merbok ke Sg. Petani manakala Datuk Mukriz Mahathir yang disebut-sebut akan ke Langkawi diletakkan di Jerlun.

Dengan itu, penyandang Ahli Parlimen pulau itu, Datuk Abu Bakar Taib akan bertahan lagi untuk kali keempat.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom yang menjadi fokus umum tidak berapa lama dahulu kerana tohmahan kononnya beliau menerima RM5 juta untuk melepaskan beberapa orang tahanan, dikekalkan di Parlimennya, Kubang Pasu.

Kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu pula, akan menjadi warisan keluarga kerana bekas Menteri Penerangan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir akan diganti oleh adiknya sendiri iaitu Datuk Aziz.

Sementara itu Parlimen Sik menyaksikan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Othman Desa dinamakan sebagai calon. Sebelum ini beliau disebut-sebut akan ke Tasek Gelugor.

Di Sabah, Ketua Menterinya, Datuk Musa Aman membuat kejutan apabila mengumumkan hanya sebahagian daripada calon-calon dari negeri itu dan selebihnya dijangka diberitahu pada Jumaat.

Yang masih mendebar-debarkan dan mungkin menghasilkan kejutan lagi ialah walhal dua buah negeri di selatan Semenanjung iaitu di Negeri Sembilan dan Johor.

Debaran dan kejutan di Negeri Sembilan ialah perihal untung-nasib Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin – sama ada beliau diberi peluang menjadi YB atau sebaliknya. Cakap-cakap kononya beliau akan ke Shah Alam sudahpun berakhir.

Di Johor pula, satu-satunya perkhabaran yang diperolehi ialah mengenai Chua Tee Yong yang akan menggantikan bapanya, Datuk Dr. Chua Soi Lek di kerusi Parlimen Labis.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting memberitahu bahawa Tee Yong telah mendapat restu daripada partinya.

Sementara itu, nasib Datuk Ghani Othman terus menjadi fokus – sama ada beliau bertanding kerusi negeri bagi membolehkannya kekal sebagai Menteri Besar atau Datuk Khaled Nordin akan menerajui negeri itu.

Pendirian Istana negeri itu disebut-sebut sebagai ‘pagar kukuh’ mempertahankan Ghani, tetapi ada pihak melihat bahawa langkah negeri itu akan hanya membuat pengumuman pada 23 Februari ini akan membawa satu lagi kejutan.

Tiada ulasan: