KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Februari 21, 2008

CANTAS Calon BN: Paku Terakhir Buat KERANDA IDRIS JUSOH Hadhari!

Pengumuman calon bertanding oleh Idris Jusoh telah membuka lembaran baru bagi PAS bertapak semula di Terengganu?

By ANALISIS MAT ZAIN MAT ISA

MUNASABAHLAH orang kita suka sangat menggunakan istilah 'demam pilihan raya' apabila saat ditunggu-tunggu itu semakin menghampir.

Pameran zahiriah pihak-pihak terbabit dalam perang empat tahun sekali itu menceritakan segala-galanya.

Di peringkat awalnya, 'demam' itu terzahir dengan persiapan-persiapan awal parti-parti siasah.

Kursus dan latihan bagi jentera di semua peringkat, diikuti gerak kerja kempen awal menerusi ceramah, majlis penerangan dan penyebaran risalah.

Semakin saat pilihan raya menghampiri, bilik-bilik gerakan peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Unit Peti Undi (UPU) mula beroperasi. Bendera dan logo parti-parti mula menghiasi tempat-tempat awam.

Pada masa sama, tokoh-tokoh parti yang disenaraikan sebagai pilihan untuk bakal calon mula mempersiapkan diri masing-masing.

Ada yang semakin giat turun padang, mengumpul dana peribadi dan memurahkan senyum kepada bakal pengundi.

Cerita-cerita negatif tentang saingan politik yang turut tersenarai juga mula kedengaran. Masing-masing cuba meninggikan markah diri agar menjadi yang terbaik di kalangan yang disebut-sebut itu.

Apabila gendang pilihan raya telah dibunyikan, keadaan demam itu boleh berubah menjadi dua kemungkinan. Pertama, 'demam' itu sembuh dan setiap pihak terlibat akan menghadapinya dengan lagak orang sihat.

Kedua, demam itu tidak kunjung sembuh, malah semakin teruk dan melarat. Keadaan ini tambah ketara tatkala parti-parti siasah mula mengisytiharkan senarai "muktamad" calon masing-masing.

Kebiasaannya, bukan semua pihak terbabit dengan teka-teki pemilihan calon dapat menerima keputusan dibuat parti. Hakikat ini lebih jelas dan ketara berlaku di kalangan pemimpin parti pemerintah, Barisan Nasional berbanding parti-parti pembangkang.

Bukan tidak ada langsung gelora atau kecoh tentang calon di kalangan pembangkang. Ada juga, tetapi jumlah kesnya amat kecil dan bagaikan sekadar batuk-batuk kecil saja. Ia jarang melarat menjadi "demam panas".

Sebaliknya, di kalangan tokoh-tokoh BN, perkara pemilihan calon adalah sesuatu yang paling memeningkan kepala pemimpin utama mereka. Soal bantahan, berarak dan protes adalah lumrah.

Bahkan demam itu mampu berjangkit ke peringkat bawah sehingga menghasilkan tindakan memulaukan kerja-kerja pilihan raya jika tokoh yang diharapkan 'naik nama' tidak menjadi kenyataan.

Mangsa paling mudah menjadi tempat mereka ini melepaskan kekecewaan ialah bendera-bendera parti yang sudah dipasang.

Keadaan sebegini semakin terzahir di Terengganu dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Sebaik Pengerusi BN negeri, Dato' Seri Idris Jusoh mengisytiharkan senarai penuh bakal-bakal calon BN Terengganu, semalam (20 Februari), suasana demam yang melanda parti itu sejak beberapa bulan lalu bertukar menjadi epidemik yang menggawatkan.

Beberapa pihak yang selama ini sudah seram-seram sejuk serta-merta diserang "demam panas" apabila mendapat tahu nama mereka tidak tersenarai sebagai calon. Demam itu segera menjangkiti para pengikut di keliling-kelalang mereka.

"Saya sedia menerima keputusan ini tetapi tidak bagi rakyat. Mereka berkumpul di rumah saya dan menyatakan rasa terkilan mereka mengapa saya tidak terpilih bertanding," demikian reaksi awal Datuk Abdul Rahman Bakar, yang digugurkan daripada mempertahankan kerusi Parlimen Marang.

Dalam Pilihan Raya Umumk 2004 lalu, Timbalan Menteri Sumber Manusia itu mengalahkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan majoriti tipis, 163 undi. Kerusi tersebut telah dimiliki Presiden PAS itu sejak 1990 lalu.

"Memang saya berasa amat terkejut tetapi apa yang lebih penting berita ini amat mengecewakan rakyat seluruh Terengganu dan mereka tentu sukar menerima kenyataan tersebut khususnya penduduk di kawasan saya," katanya, sebagaimana disiarkan Utusan Malaysia, Khamis (21 Februari).

Bagai diduga, kebimbangan Abdul Rahman itu bukan sekadar khayalannya semata. Di kampung kelahirannya di Gelugor, Marang, sudah ada kalangan pengikutnya bertindak menumbangkan bendera dan poster BN yang sudah mereka pasang beberapa hari sebelum itu.

Di Kuala Besut, tindakan BN mengugurkan bekas Adunnya, Abdullah Che Muda tidak kurang kesannya kepada jentera pilihan raya parti itu.

Dikatakan tidak kurang 14 Cawangan Umno menyatakan bantahan terhadap keputusan itu. Bahkan, mereka turut mengancam akan menumbangkan semula bendera-bendera BN dan Umno yang telah mereka pacakkan.

Keadaan tambah buruk apabila tokoh yang disenaraikan sebagai calon menggantikan Abdullah dikatakan "terlalu profesional" dan hidup eksklusif sehingga tidak mempunyai begitu ramai kenalan dan kurang bergaul dengan masyarakat bawahan.

Ibu negeri juga tidak kurang menyaksikan aksi-aksi orang "meracau" akibat 'demam yang semakin panas' kini. Sekumpulan pengikut setia bekas Adun Seberang Takir, Mohd Shapian Ali, dilaporkan mengadakan demonstrasi di pekarangan Wisma Darul Iman, bermula semalam (Rabu).

Mereka menuntut pemimpin kesayangan mereka itu dicalonkan semula. Mereka turut berarak ke kediaman rasmi Menteri Besar di Batu Burok dan berdemonstrasi lagi.

Inilah yang agak menghairankan kita. Dalam kesibukan para pemimpin BN mengatakan 'demonstrasi bukan budaya kita', bila masa pula tindakan "bukan budaya" itu menjangkiti ahli dan penyokong BN?

Sebagaimana Abdullah, Mohd Shapian juga baru sepenggal lalu menjadi wakil rakyat. Kedua-dua mereka adalah antara lebih 20 muka baru yang diketengahkan BN dalam pilihan raya umum 2004.

Ketika itu, mereka digambarkan memenuhi kriteria M.A.P., yakni muda, akademik dan agama, serta profesional. M.A.P. menjadi syarat kelayakan kepada calon-calon BN.

Soalnya, apakah hanya dalam empat tahun, kelayakan itu serta-merta hilang dari mereka?

Laman web Badan Perhubungan PAS Terengganu, Buletinonline, turut melaporkan reaksi spontan Dato' Rosli Mat Hassan, bekas Ahli Parlimen Dungun tatkala diumumkan nama orang lain sebagai calon di kerusi berkenaan.

Tokoh yang sangat berpengaruh di Dungun dan lebih dikenali sebagai 'Pak Rosli' itu dikatakan "serta-merta berubah wajah'.

Meski pun menjadi kebiasaan mana-mana tokoh tidak memberikan kenyataan pedas walau dalam keadaan segenting itu, kesan lebih parah tidak sukar ditelah. Ibarat api dalam sekam, luarannya nampak tenang, tetapi dalamannya panas membakar.

Ada cakap-cakap mengatakan bahawa Pak Rosli telah tahu nasib bakal menimpanya itu lebih awal. Bahkan, para pengikut setianya juga sudah ada yang dapat tahu perkara itu.

Berdasarkan hakikat itu, dan mengenali tabiat orang-orang BN yang suka mengamuk bila hajatnya tidak tertunai, maka ada pihak mengandaikan bahawa kes ribuan bendera BN tumbang di Dungun minggu lalu itu juga ada kaitan dengan perkembangan ini.

Entah kan betul, entah kan tidak, tetapi andaian itu tidak boleh ditolak begitu saja. Para pengikut tokoh-tokoh lain yang turut digugurkan juga tidak sekadar berdiam.

Seorang orang kuat bekas Exco, Wan Mohd Wan Hassan dikatakan tidak dapat menahan kekecewaannya apabila bekas kadhi itu turut digugurkan dari mempertahankan kerusi Dun Kota Putera di Besut.

"Ramai lah orang boleh bertanding macam ni, mari ambil benda dah siap belaka, orang dah perkemas belaka", seorang rakan penulis di Besut menceritakan kemarahan penggerak BN di situ.

Kata itu merujuk kepada tindakan Idris menggantikan bekas Adun yang dipanggil 'ustaz' itu dengan muka baru. Sedangkan para pengikut setia ustaz itu telah lama membuat persiapan rapi untuknya bertanding semula.

Dalam keadaan perasaan marah dan kecewa semakin membuak itu, kita tidak dapat menduga apa yang bakal mereka lakukan seterusnya.

Namun, mengikut kebiasaannya, tidak mustahil lebih banyak bendera BN yang sudah dipasang itu akan tumbang lagi.

Seorang tokoh kanan BN Terengganu bahkan serta-merta menghantar pesanan menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada seorang pemimpin PAS sebaik mengetahui beliau turut digugurkan.

Bukan itu saja, tokoh itu yang tahu bahawa pemimpin PAS tersebut bakal menjadi calon nanti turut memberi jaminan bahawa PAS akan menang dalam pilihan raya kali ini.

"Buat molek (elok-elok), Dato'. Bulan sangat cerah di Terengganu kali ini," begitulah lebih kurang maksud pesanannya, yang juga seorang bergelar Dato'.

Benarkah "bulan" benar-benar cerah di Terengganu kini? Harap-harap begitulah!

Tiada ulasan: