Presiden PAS, haji Abdul Hadi Awang dijangka akan melangkahkan kakinya ke Dewan Rakyat semula selepas 8 Mac ini...
By MUDA MOHD NOOR
EMPAT hari selepas pencalonan, banyak lagi bilik gerakan pilihanraya Umno gagal dibuka, khususnya kawasan parlimen Marang, dipercayai susulan boikot penyokong Datuk Abdul Rahman Bakar dan Datuk Dr Latif Awang.
Abdul Rahman, penyandang kerusi parlimen itu, dan Dr Latif pula penyandang kerusi DUN Bukit Payong, satu daripada empat DUN dalam kawasan tersebut, tidak bertanding kali ini.
Mereka masing-masing diganti dengan calon BN muka baru Datuk Dr Ahmad Ramzi Muhammad Zubir dan Fauzi Muda.
Selain ketua bahagian, Abdul Rahman juga Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Dr Latif pula exco negeri bagi Jawatankuasa Pendidikan Tinggi, Latihan dan Teknologi Maklumat.
Kedua-duanya pula dilihat sebagai saling bersaing di bahagian tersebut.
Dalam tinjauan Malaysiakini ke beberapa kampung di parlimen tersebut hari ini, kelihatan bilik-bilik gerakan yang masih belum beroperasi walaupun hari mengundi Sabtu minggu depan.
Dua kawasan yang paling ketara di Kampung Gelugor Kedai, kampung halaman Abdul Rahman dan di pekan Bukit Payong, kubu kuat Datuk Dr Abdul Latif.
Seorang ketua bilik gerakan Umno di Bukit Payong memberitahu, "orang kuat Umno di sini masih belum menunjukkan muka sejak hari penamaan calon, Ahad lalu."
"Pekerja dan penyokong Umno menjadi lemah semangat apabila pemimpin Umno tidak muncul. Saya belum nampak muka lagi Abdul Rahman atau Dr Latif datang ke kawasan ini," katanya, yang enggan dikenali.
Tambahnya, bendera Umno dan kain pemidang yang dipasang di Bukit Payong juga tidak sebanyak yang dinaikkan oleh PAS.
Penyokong muda Umno yang selama ini datang melakukan kerja-kerja menampal poster, kini muncul pada masa-masa tertentu sahaja, jelasnya. "Kalau ada upah mereka datang.
Kadang-kadang mereka datang hanya untuk makan dan minum sahaja atau mengambil rokok," katanya.
Sementara itu, seorang penyokong Umno di Kampung Gelugor Kedai berkata, poster Umno di kawasan ini jauh berkurangan berbanding tahun 2004 semasa Abdul Rahman bertanding.
Katanya, jumlah penyokong Umno yang datang ke bilik gerakan juga tidak seramai berbanding tahun 2004.
"Apa yang pasti, kami tidak seghairah semasa Abdul Rahman bertanding di parlimen Marang. Ramai yang datang sekadar bersembang kosong sementara mata mengantuk," katanya lagi.
Jika dibuat perbandingan, poster dan kain pemidang PAS lebih banyak daripada poster dan kain pemidang Umno.
Malah beberapa tempat di Marang, hanya beberapa helai poster Umno, itupun saiznya kecil.
Pengerusi BN Terengganu dan juga Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh membuat perubahan mengejut dengan menggugurkan ramai pemimpin kanan, termasuk Datuk Rosli Mat Hassan (penyandang kerusi Dungun) dan Datuk Tengku Putera Awang (Hulu Terengganu).
Umno negeri bagaimanapun sering menegaskan parti itu tidak menghadapi masalah berdepan dengan PAS dan PKR, sementara pengundi pula akan tetap bersama BN dalam pilihanraya umum ini - malaysikini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan