KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mac 27, 2008

IKTIRAF AHMAD SAID: Sekali Lagi "WATIKAH" Anak Badawi TIDAK LAKU?

By TARMIZI MOHD JAM

SESUATU yang sudah dijangkakan dari awal. Kekuatan anak Badawi sebenarnya bukan pada kerisnya atau tidurnya. Bukan juga pada "watikahnya" tetapi pada kuatnya rasa "tidak tahu" yang membungkusnya.

Watikah atau surat cara yang diberi kepada Shahidan, ditolak oleh Adun-Adunnya sendiri lalu memilih Dr. Isa Sabu dan diperkenankan Sultan. Rengekkan Shahidan akhirnya bisu dan mamai.

Ugutan Shahidan untuk menjadi "pembangkang" dalam Dun Perlis, terbantut kerana beliau hanya disokong oleh empat Adun lain yang menjadi proksi dunia akhirat, agaknya.

Telahan Shahidan, kononnya semua Adun BN berada dibelakangnya salah dan tidak tepat. Inilah yang menyebabkan mantan Menteri Besar Perlis itu tersungkur dalam takbur.

Semalam, Majlis Tertinggi (MT) Umno mencapai keputusan menyokong pelantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru.

Jika sebelum ini, perkenan Sultan direstui dan disokong, sudah tentu tiada kemelut dan krisis tercetus antara Istana dan Umno Terengganu.

Dengan akuan Perdana Menteri itu, sekaligus menyelesaikan kemelut dalam kepimpinan Kerajaan Terengganu yang telah berlarutan selama tiga minggu sejak pilihan raya umum 8 Mac.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat MT di Ibu pejabat parti di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

"Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) telah membuat keputusan dan Barisan Nasional akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Datuk Ahmad Said yang dipilih oleh MPPR untuk menjadi Menteri Besar Terengganu," kata Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung selama empat jam.

Alasan Perdana Menteri kononnya MT membuat keputusan menyokong perlantikan Ahmad dengan mengambil kira kenyataan terbuka bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh bahawa beliau akan menerima siapa sahaja yang dipilih menjadi Menteri Besar, juga boleh dibaca secara jelas "penipuan" anak Badawi itu.

Sudah berapa kali Idris berkata demikian, tetapi selagi dia tidak terpilih maka selagi itulah dia akan baling batu sembunyi tangan.

Dia berani berbuat demikian kerana ketuanya, anak Badawi sendiri mempertahankan tindakan "menderhaka" kepada Sultan itu.

Apakah sikap akur anak Badawi, Umno dan Idris akan merungkaikan krisis Umno Terengganu dengan Istana dan Sultan Mizan?

Bagaimana kedudukan "mereka" yang menderhaka secara terang-terangan itu? Kita ikuti dan lihat drama seterusnya nanti.

Tiada ulasan: