KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mac 29, 2008

Mulai Mei, Akses PORNOGRAFI Diinternet DISEKAT!

By UTUSAN MALAYSIA

PARLIMEN Indonesia telah meluluskan undang-undang menyekat kemasukan bahan berbentuk porno melalui dunia maya. Undang-undang tersebut yang dibahaskan sejak 2003 hanya diluluskan Selasa lalu.

Mulai Mei ini, rakyat Indonesia tidak lagi dapat mengakses bahan-bahan porno melalui Internet.

Indonesia yang memiliki lebih 230 juta penduduk mempunyai 26 juta pengguna Internet dan 90 juta pengguna telefon selular.

Undang-undang berkenaan bukan sahaja menyekat beredarnya bahan-bahan pornografi tetapi turut meliputi pencegahan jenayah siber, penipuan dan pemalsuan kad kredit serta perjudian melalui Internet.

Mereka yang didapati bersalah membuat dan menyebar laman porno dikenakan denda sehingga RM400,000 atau penjara sehingga enam tahun.

Menurut laporan, puluhan ribu laman pornografi beroperasi secara bebas di negara ini.
Penggubalan undang-undang Informasi dan Transaksi Elektronik itu disambut baik oleh pertubuhan dan masyarakat Indonesia untuk melindungi kanak-kanak daripada terdedah dengan laman-laman lucah dan berunsur seks itu.

Namun ada juga yang mempertikaikannya. Sebuah akhbar yang memetik seorang pemimpin parti meminta pemerintah memberikan penjelasan tentang definisi tidak bermoral dan pornografi dalam undang-undang berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Informasi Prof. Ir. Mohammad Nuh menyatakan walaupun pengguna Internet di Indonesia masih kecil tetapi jika dibandingkan dengan negara jiran, ia merupakan satu jumlah yang cukup ramai.

Usaha mencegah negara ini dibanjiri bahan lucah melalui dunia maya itu juga sejajar dengan langkah pemerintah untuk menggalakkan pelajar-pelajar sekolah menggunakan Internet.

Pada masa ini laman-laman lucah beroperasi dengan bebas dan para pengusaha tidak bimbang dengan persoalan undang-undang.

Namun sejauh mana pelaksanaan undang-undang itu akan dipatuhi kerana teknologi infomaya berkembang dengan cepat dan canggih.

Di negara ini, bahan porno bukan sahaja dapat diakses melalui internet tetapi juga begitu mudah diperoleh dalam bentuk cakera padat video (VCD), majalah dan beredar dengan melalui telefon selular.

Dalam hal ini, pihak pemerintah diharap mencontohi Malaysia dan Singapura yang tegas dalam menangani pengedaran filem dan bahan lucah.

Bagi pihak yang menentang undang-undang ini akan menggunakan hak-hak kebebasan manusia atau individu untuk mendapatkan maklumat dan hak untuk meluah rasa melalui seni.

Sebelum ini langkah pemerintah untuk melaksanakan undang-undang porno dan aksi lucah ditentang oleh golongan berkenaan berikutan kemasukan majalah Playboy ke pasaran negara ini.

Namun undang-undang itu masih belum diluluskan walaupun majoriti masyarakat dan pertubuhan sosial menyokongnya.

Tiada ulasan: