KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Mac 26, 2008

Pelantikan SU AKHBAR MB Kedah, PENGIKTIRAFAN Buat HARAKAH

Helmi Khalid: selama sepuluh tahun menjalinkan hubungan bersama rakan-rakan wartawan daripada pelbagai agensi akhbar di Kedah dan Perlis, memudahkan beliau dalam melaksanakan tugas barunya sebagai Setiausaha Akhbar.

By NYZA AYOB

PERLANTIKAN wartawan Harakah di Kedah, Helmi Khalid sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak merupakan satu pengiktirafan kepada Harakah.

Presiden Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (Bakkah), Mokhtar Rozaidi merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan tersebut.

Jelasnya, pelantikan Helmi sebagai Setiausaha Akhbar diharapkan dapat memberi ruang dan skop komunikasi yang lebih baik antara Menteri Besar serta kerajaan Kedah dengan media di negeri Kedah.

"Kita mengharapkan hubungan komunikasi yang baik antara Menteri Besar melalui Helmi dapat memberi input yang baik dan setiap langkah dan perancangan kerajaan negeri dapat disampaikan kepada seluruh rakyat bagi mengelakkan perspektif yang negatif terhadap kepimpinan Barisan Alternatif di negeri Kedah," katanya sewaktu ditemui baru-baru ini.

Helmi,35, memulakan kerjaya sebagai wartawan di salah sebuah akhbar tabloid sebaik sahaja menamatkan pengajian di salah sebuah kolej swasta dalam bidang pengajian komunikasi massa.

Beliau mula menyumbangkan penulisannya kepada Harakah pada 1997 sebagai stringer. Kemudian beliau dilantik sebagai stringer tetap Harakah di Perlis pada 1998 sehingga 1999.

Seterusnya beliau dilantik sebagai wartawan Harakah di Kedah pada 2002 sehingga kerajaan PAS menerajui Kedah selepas kemenangan dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Sementara itu, Helmi sewaktu dihubungi baru-baru ini, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Harakah di atas kerjasama dan sokongan untuknya selama ini.

Tambahnya, beliau juga amat berterima kasih di atas tunjuk ajar dan bimbingan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan Pengarangnya, Taufek Yahya, bekas Ketua Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong dan bekas Pengarang Kanan Harakah, Abdul Syukur Harun.

Katanya, selama sepuluh tahun menjalinkan hubungan bersama rakan-rakan wartawan daripada pelbagai agensi akhbar di Kedah dan Perlis, memudahkan beliau dalam melaksanakan tugas barunya sebagai Setiausaha Akhbar.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Zulkifli Sulong,harap dapat hubungi
Nik Conchita di no 019-9140299.