KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mac 24, 2008

KUMUTHA Tertarik "PAS FOR ALL" dan IKRAR Tabur Bakti Bersama PAS!

Kumutha a/p Rahman, 29, (memegang bendera Malaysia) pemegang ijazah undang-undang dari Britain bertanding di DUN Tiram dalam ceramahnya menyatakan beliau memilih PAS kerana yakin kepada kepimpinan ulamak, seorang "apek yang pakai seluar katok" tidak dapat lagi membendung semangatnya lalu menjerit, "takbir!" Walaupun tewas, Kumutha mencipta sejarah yang besar.

By ABDUL HALIM RASHID

"KALAU isteri aku tak ikut, aku memang nak bawa hang dengan Zain (tok penghulu Markaz Tarbiyyah Taman Melewar)," begitulah kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub ketika memulakan ceritanya mengenai perhimpunan bersejarah di Dewan Jubli Intan, Muar 15 Mac lalu.

Majlis itu ialah majlis makan malam meraikan kemenangan PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong dan DUN Maharani.

Menurut Bendahari PAS Johor, Mustafha Abd Rahman, tidak termasuk mereka yang datang dan pulang untuk makan malam, kira-kira 7,000 orang melimpahi dewan tersebut malam itu ketika majlis ceramah diadakan.

Antara tokoh-tokoh PAS yang hadir pada malam itu ialah Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Salahuddin sendiri, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Muhamad, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Abong, Dr Sheikh Ibrahim Salleh dan Adun Maharani, Dr Mohamad Taslim.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, buat pertama kali, PAS mencapai kemenangan melalui pilihan pengundi di Johor.

Nama Dr Sheikh Ibrahim Salleh dan Dr Mohamad akan tercatat dengan tinta emas sebagai wakil-wakil rakyat pertama dari PAS yang dipilih oleh para pengundi di Johor.

Dalam pilihan raya 2004 lalu, calon PAS, Dr. Mohd Ramli Md Kari menang tanpa bertanding di Dun Senggerang apabila kertas pencalonan calon Barisan Nasional (BN), Shamsiah Rashidah Ibrahim ditolak.

Ketika itu, Umno mengejek-ejek kemenangan Dr Mohd Ramli sebagai "menang betina".

Kali ini, tidak pula terdengar mereka mengiktiraf kemenangan Dr Sheikh Ibrahim dan Dr Mohamad sebagai "menang jantan".

Ketika PAS berada di dalam BN dahulu, bumi Johor bagaikan diharamkan kepada PAS.

Apabila PAS membuka satu dua cawangan di Seri Gading, kawasan Parlimen yang diwakili oleh Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Hussein Onn, tindakan tersebut adalah antara alasan yang diungkit-ungkit oleh Umno untuk menghalau PAS keluar dari BN.

Cukuplah sekali!

Sebenarnya, bukan kemenangan tersebut yang menjadikan Salahuddin teruja untuk bercerita.

Kepadanya, majlis itu bersejarah bukan sahaja kerana meraikan kemenangan PAS di Sungai Abong dan Maharani.

Majlis itu lebih bersejarah kerana ia juga diserikan dengan ucapan calon PAS dari Lajnah Perpaduan Nasional Kaum India Johor, salah satu sayap dalam Kelab Penyokong PAS.

Calon wanita tersebut, Kumutha a/p Rahman, 29, pemegang ijazah undang-undang dari Britain bertanding di DUN Tiram. Walaupun tewas, beliau mencipta sejarah yang besar.

Ketika mengumumkan pencalonan Kumutha, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, pencalonan Kumutha itu membuktikan PAS turut memberi tempat kepada penyokong bukan Islam untuk turut mewakili parti itu.

"Pemilihan Kumutha, ini juga menunjukkan kami membuka ruang kepada wanita walaupun beliau hanya dari Kelab PAS dan ini menunjukkan PAS juga untuk semua kaum," katanya.

Ketika berceramah dalam majlis makan malam di Dewan Jubli Intan, Muar itu, Salahuddin memberitahu, bagaikan bintang pujaan, setiap kali Kumutha menghabiskan ayatnya, tepukan dan suara takbir bergemuruh.

Menurut Mustafha pula, apabila Kumutha menyatakan beliau memilih PAS kerana yakin kepada kepimpinan ulamak, seorang "apek yang pakai seluar katok" tidak dapat lagi membendung semangatnya lalu menjerit, "takbir!"

Takbir lebih kuat gemanya dan tepukan lebih bergemuruh ketika itu, kata Mustafha.

Salahuddin juga memberitahu, Kumutha mengakui, slogan "PAS for all" menarik perhatiannya.

Ketika pencalonannya diumumkan dahulu, Kumutha pernah berkata, sebagai rakyat Malaysia beliau berhasrat untuk menabur bakti kepada semua kaum menerusi PAS.

"Hasrat saya hanya satu, ingin membantu rakyat Malaysia dan berjuang menerusi PAS, tetapi mungkin penyokong PAS menganggap penyertaan saya ini sesuatu yang luar biasa.

"Tetapi saya percaya ahli PAS kini semakin berfikiran terbuka dan saya berharap mereka berfikir secara rasional serta menerima saya kerana saya memang berhasrat untuk menabur bakti kepada masyarakat," katanya.

Katanya lagi, sebagai satu-satunya calon wanita PAS di Johor, beliau bangga dapat bertanding di kerusi DUN Tiram.

Dengan wajah yang jelas begitu puas, Salahuddin seterusnya menceritakan, perhimpunan malam itu memang mencipta sejarah yang besar.

"Hampir separuh adalah masyarakat bukan Islam. Malam itu benar-benar PAS for all!"

Patutlah isteri Salahuddin nak ikut sangat suaminya malam itu...

Tiada ulasan: