Kami tidak akan menangani isu ini sama seperti yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini, yang melaksanakan polisi setinggan sifar untuk memberi tanah kepada pihak-pihak berkaitan dan tanpa menghormati kebajikan setinggan. Sebaliknya kami akan terus menekankan hak perumahan untuk semua.
By TAN SRI KHALID IBRAHIM
SAYA menghargai keprihatinan yang dipamerkan oleh beberapa badan bukan-kerajaan mengenai rancangan saya untuk Selangor sejak beberapa hari yang lalu.
Kerajaan Selangor yang baru mendapat dokongan rakyat kerana kami bertekad membuka lembaran baru dalam arus pembangunan Selangor, pendekatan yang akan menumpukan kepada kesejahteraan hidup rakyat, memudahkan perniagaan dan meningkatkan ekonomi untuk semua.
Pertama sekali, cadangan saya untuk mengenakan levi RM 9 daripada majikan bagi setiap pekerja asing mereka adalah untuk berdepan dengan isu sebenar berkenaan pergantungan kita kepada pekerja asing dan kepingitan belia kita yang kini menganggur atau tidak mendapat kerja yang sepatutnya.
Wang yang dipungut akan diagihkan untuk meningkatkan kemahiran belia supaya nilai mereka bertambah dan meningkatkan pembangunan Selangor dan Malaysia ke tahap yang lebih mantap. Kita mesti menerima hakikat iaitu tanpa mengatasi masalah ini kita menjejaskan masa depan negara kita.
Kerajaan Negeri Selangor komited untuk mengatasi masalah ini melalui proses yang sah dan menghormati hak asasi manusia dan akan mengkaji dengan lebih mendalam bagi melaksanakan dasar ini.
Kedua, saya bercadang terus mengurangkan bilangan setinggan di negeri ini untuk membebaskan mereka daripada kitaran kemiskinan dan menjamin hak asasi rakyat untuk mendapat tempat kediaman yang selesa tetapi turut mengiktiraf hak tuan tanah.
Selangor merupakan negeri yang maju dan rakyatnya perlu mendapat rumah yang mampu dimiliki.
Kami tidak akan menangani isu ini sama seperti yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini, yang melaksanakan polisi setinggan sifar untuk memberi tanah kepada pihak-pihak berkaitan dan tanpa menghormati kebajikan setinggan.
Sebaliknya kami akan terus menekankan hak perumahan untuk semua.
Kami juga akan menentukan perumahan kos rendah mencapai spesifikasi minima yang lebih baik. Garis panduan baru akan diwujudkan untuk menentukan hak dan kebajikan setinggan dipertahankan setiap masa.
Namun demikian, tidak boleh dinafikan kita perlu berusaha mengeluarkan mereka dari kawasan setinggan untuk memberi mereka dan anak-anak mereka masa hadapan yang lebih baik disamping untuk menjaga kepentingan hak kepada pemilik harta (property rights) dalam kawasan yang didiami setinggan tersebut.
Kami merancang memperkenalkan proses rundingan dengan semua pihak terbabit, termasuk badan-badan bukan kerajaan dan sektor korporat untuk memastikan semua pihak dapat memberi input dan mendapat maklumat yang sahih mengenai rancangan kami.
Kami tidak berhasrat meneruskan amalan lama meneruskan kesilapan dan kezaliman dengan penguatkuasaan berat sebelah untuk syarikat-syarikat kroni untuk menyelesaikan isu pekerja asing dan setinggan, tetapi kami mengambil pendekatan baru mengikut proses yang sah yang mengambil pendekatan berimbang terhadap implikasi sosial dan komersial untuk pembangunan Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan