KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mac 24, 2008

Jamaluddin Jarjis "DIPANCUNG", Sekat PENGARUH Najib ATASI Anak Badawi!

Analisis lain pula mengatakan, Abdullah bertindak membuang Jamaluddin untuk melemahkan Najib. Gandingan Najib-Jamaluddin dilihat mampu menggugat Abdullah. Ganti Jamaluddin di kabinet ialah Ismail Sabri Yaakub, dia adalah 'orang Khairy'.

By BASIRON ABDUL WAHAB

PENGGUGURAN Dato' Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (atau dikenali sebagai JJ di kalangan ahli Umno) daripada barisan kabinet Datuk Abdullah Ahmad Badawi, tentunya mengejutkan banyak pihak.

Apatah lagi Jamaluddin berada di dalam kedudukan amat selesa sekurang-kurangnya di Rompin.

Jamaluddin hampir tidak terlibat dengan isu-isu kontroversi sama ada tuduhan penyelewengan atau salah guna kuasa. Ia juga berjaya dalam misinya untuk menghantar seorang warga Malaysia ke angkasa lepas melalui projek 'Angkasawan Negara'.

Tidak pernah terlintas kedudukan Jamaluddin sebegini; terbuang dari kabinet selepas kejayaan besarnya dalam pilihan raya umum, 8 Mac lalu.

Dalam pilihan raya itu, Jamaluddin berjaya mengalahkan calon PAS, Mazlan Mat Yasin dengan majoriti lebih besar (10,679 undi) dalam keadaan sokongan terhadap BN merosot dikebanyakan tempat.

Ertinya Jamaluddin tidak tergugat langsung di Rompin. Pada pilihan raya 2004 ketika Umno/BN paling kuat, Jamaluddin menang dengan majoriti 9,350 undi.

Kejayaan cemerlang itu rupanya tidak diperhati langsung oleh bosnya, Abdullah Badawi.

Malah Abdullah sanggup melantik orang yang menang dengan undi pos atau orang yang langsung tidak bertanding dalam pilihan raya untuk menganggotai kabinet.

Kegembiraan Jamaluddin dan para penyokongnya, rupanya tidak kekal lama apabila Jamaluddin dikembalikan ke Rompin sebagai wakil rakyat biasa oleh Abdullah Ahmad Badawi.

Menggantikan tempatnya sebagai menteri dari Pahang di dalam kabinet ialah Dato' Ismail Sabri Yaakub, putera Pahang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang.

Turut dilantik ialah Datuk Saifuddin Abdullah yang menang kerana undi pos sebagai Timbalan Menteri.

Persoalan kenapa Abdullah menyingkirkan Jamaluddin masih menjadi misteri. Hanya Abdullah dan penasihatnya yang tahu.

Tetapi sebagai renungan elok penulis perturunkan beberapa analisis daripada sumber Umno.

Hubungan rapat Jamaluddin dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah antara punca beliau diketepikan.
Keakraban Najib-Jamaluddin bukanlah suatu rahsia.

Jamaluddin ialah anak kelahiran Pekan, Najib adalah Ketua Umno Bahagian itu yang diwarisi daripada ayahnya.

Politik Jamaluddin tidak boleh berkembang di Pekan, lalu beliau dipindahkan ke Rompin. Di Rompin, Jamaluddin berjaya tetapi terpaksa mengenepikan pemimpin bahagian sedia ada.

Kejayaan Jamaluddin di Rompin telah menyisihkan pemimpin Umno Rompin termasuklah Datuk Hassan Arifin.

Kumpulan Hassan ini dianggap Umno kelas dua di bahagian itu. Mereka dilayan sama seperti 'orang PAS'. Golongan ini dinafikan semua keutamaan selayaknya sebagai orang Umno.

Menurut sumber, kumpulan Hassan ini tidak berdiam diri. Mereka mempunyai cara tersendiri untuk berhadapan dengan Jamaluddin yang dilihat gagah berkuasa.

Kumpulan Hasan bergerak seperti api di dalam sekam tanpa disedari oleh Jamaluddin.

Di pihak Jamaluddin, beliau dikatakan akan dinobat sebagai Menteri Besar Pahang bagi menggantikan Dato' Seri Adnan Yaakub.

Berdasarkan perancangan, Jamaluddin akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam pilihan raya umum lalu dan Adnan Yaakub akan bertanding kerusi Parlimen Bera menggantikkan Ismail Sabri Yaakub yang didakwa mempunyai isu moral.

Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan apabila Abdullah mengekalkan Jamaluddin di parlimen Rompin dan Adnan di Dun Pelangai, manakala Ismail Sabri di Bera.

Kumpulan Jamaluddin begitu yakin menghadapi pilihan raya itu, ada di antara mereka membuat percubaan nakal dengan melobi calon PAS, Mazlan Mat Yasin supaya tidak bertanding.

Jika berjaya ia pastinya akan menaikkan lagi imej Jamaluddin kerana menang tanpa bertanding.

Bagaimana percubaan nakal penyokong Jamaluddin itu tidak menjadi kenyataan malah, Mazlan dikatakan telah menghubungi Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk memerangkap individu terbabit.

Di suatu pihak lagi, terdapat sekumpulan pelobi turut berperanan untuk menjatuhkan Jamaluddin. Kumpulan bukan pemimpin politik ini dipercayai adalah pelobi profesional.

Mereka cuba mencaturkan sesuatu. Kumpulan ini tidak suka dengan latar belakang asal usul Jamaluddin sekiranya dia dilantik sebagai Menteri Besar.

Mungkin maklumat ini telah dibisikkan ke telinga Abdullah lantas Abdullah menggugurkan beliau dari kabinet.

Kini, selepas digugurkan, Jamaluddin akan kembali ke Rompin bukan sebagai menteri lagi, hanya sebagai Ketua Bahagian dan ahli Parlimen biasa.

Kumpulan Hasan berjaya dalam misi mereka mengurangkan 50 peratus pengaruh Jamaluddin.

Selepas ini, persaingan akan menjadi lebih sengit di Rompin.

Analisis lain pula mengatakan, Abdullah bertindak membuang Jamaluddin untuk melemahkan Najib. Gandingan Najib-Jamaluddin dilihat mampu menggugat Abdullah.

Ganti Jamaluddin di kabinet ialah Ismail Sabri Yaakub, dia adalah 'orang Khairy'. Sebelum ini Sabri khabarnya akan dilantik sebagai pengerusi Felda menggantikan Dr Mohd Yusuf Noor tetapi tidak direstui Najib.

Najib dilihat semakin keseorangan dan kurang sokongan dari Pahang dengan ketiadaan Jamaluddin di dalam kabinet.

Walaupun Najib mahu (bersedia) mengambil alih jawatan Perdana Menteri jika Abdullah meletak jawatan, tetapi Najib sangat berhati-hati untuk menzahirkan minatnya terhadap kerusi no. 1 Umno itu.

Tetapi Jamaluddin yang tidak menyertai kabinet bebas menyuarakan hasrat bosnya itu di mana-mana.

Semuanya akan terserlah selepas ini. Sama-sama kita lihat senarionya menjelang perhimpunan Agung Umno akan datang.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mengapa kita mudah buruk sangka dengan tidak terlantik nya jj dalam kabinet ? Kenapa kita menutup mata, telinga ? Apakah kerana sudah telalu banyak termakan budi, sehingga kita tidak dapat melihat dan mendengar yang buruk, selain baik belaka ?

Tanpa Nama berkata...

Mengapa kita mudah buruk sangka dengan tidak terlantik nya jj dalam kabinet ? Kenapa kita menutup mata, telinga ? Apakah kerana sudah telalu banyak termakan budi, sehingga kita tidak dapat melihat dan mendengar yang buruk, selain baik belaka ?