KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Mac 28, 2008

Undang-Undang: Antara PENGAMPU dan TIKUS MEMBAIKI LABU - Dr. Aziz Bari

Sebagai peguam, Zaid Ibrahim sepatutnya ingat bahawa undang-undang seperti "melompat parti" itu telah pun diisytiharkan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan pada 1993 - Dr. Aziz Bari

By TARMIZI MOHD JAM

MENGIKUTI perkembangan semasa kadangkala membingungkan. Terutamanya apabila ia melibatkan kedudukan hukum atau undang-undang. Macam-macam fatwa timbul dan dibangkitkan.

Bagi mereka yang mendalami bidang-bidang berkenaan ini mungkin tidak menjadi masalah. Ia malah menambah atau mematangkan kefahaman mereka.

Fenomena ini begitu jelas dalam soal undang-undang. Pelbagai pendapat dan ‘fatwa’ dikemukakan oleh mereka yang sama ada dianggap pakar atau mempunyai kuasa dan kedudukan dalam bidang berkenaan.

Saya ajukan isu ini kepada Profesor Dr. Abdul Aziz Bari yang sering diminta pendapat oleh media dan juga forum-forum awam mengenai Perlembagaan.

Beliau adalah satu-satunya profesor Undang-undang Perlembagaan yang berasal dari Malaysia dan merupakan profesor paling kanan di kalangan tenaga akademik Melayu di IPTA kita.

“Kepelbagaian pendapat sepatutnya tidak menjadi masalah kerana sebagaimana di dalam ilmu-ilmu lain ilmu undang-undang, khususnya Perlembagaan, mempunyai metodologi dan pendekatannya sendiri” kata beliau.

Sebab itu, katanya lagi, tidak timbul soal kekeliruan.

“Bagaimanapun, saya faham oleh kerana masyarakat jahil tentang Perlembagaan maka mereka jadi keliru. Dan sebenarnya ini juga berlaku di kalangan peguam kerana kebanyakan pengamal undang-undang tidak memberi tumpuan kepada Perlembagaan sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada kerja-kerja cari makan dalam bidang perjanjian jual beli rumah, undang-undang jenayah, kes cerai dan seumpamanya.

“Sebab itu para peguam ini ternganga apabila ditanyakan soal-soal itu, terutamanya apabila melibatkan isu yang kompleks seperti yang berlaku di Terengganu sekarang,” ujarnya.

Apakah kemasukan Datuk Zaid Ibrahim dapat memperbaiki keadaan, tanya saya.

“Malang sekali beliau bagaikan tikus baiki labu. Ini kerana beberapa hari ini kenyataan beliau menampakkan kefahaman yang tidak betul,” dakwa Dr. Abdul Aziz.

Beliau berkata adalah tidak masuk akal apabila Zaid menyebut soal mengkaji undang-undang mengenai perlantikan Menteri Besar atas alasan ia undang-undang yang sudah lapuk.

Dr. Abdul Aziz menegaskan kuasa perlantikan sebenarnya telah mantap dan ini terbukti di negara-negara maju seperti United Kingdom dan Australia.

“Janganlah kerana Umno menghadapi masalah maka undang-undang yang dipersalahkan,” tegas Pensyarah UIAM itu.

Beliau juga mengulas cadangan hendak membuat undang-undang mengenai melompat parti yang disuarakan oleh Zaid.

Katanya, sebagai peguam Zaid sepatutnya ingat bahawa undang-undang seperti itu telah pun diisytiharkan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan pada 1993.

Beliau begitu hairan dengan kenyataan Menteri DiJabatan Perdana Mneteri itu (Zaid) dan menyifatkannya akan memburukkan lagi imej kerajaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Saya hairan apa yang hendak dibuat oleh Zaid sedangkan kita sudah ada Peguam Negara. Dan kenyataannya setakat ini bagaikan tikus baiki labu.”

Saya turut bertanyakan tentang pakar-pakar undang-undang yang sering dijaja oleh media perdana seperti Profesor Shad S. Faruqi.

Dr. Abdul Aziz berkata itu hak mereka untuk menyiarkan pendapat mereka yang dirasakan layak. “Mereka boleh pilih siapa yang mereka suka”.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pihak berkenaan perlu tidak melupakan soal kebenaran dan kredibiliti.

“Saya melihat bahawa Perlembagaan umumnya berhasrat untuk membataskan kuasa awam dan menjunjung hak rakyat biasa. Oleh itu adalah ganjil apabila orang yang dinobatkan sebagai pakar Perlembagaan ini sentiasa mengambil pendirian yang pro-kerajaan dan enggan mengambil sikap yang kritikal.”

Selain itu, Dr. Abdul Aziz menambah, kita perlu ingat bahawa demokrasi di negara ini masih banyak kecacatannya dan ini memberi kesan kepada Perlembagaan.

“Sebab itu meskipun keputusan MPPR di Terengganu itu menimbulkan banyak persoalan, kita harus ingat bahawa istana mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk mempastikan bahawa negeri itu diletakkan ditangan mereka yang bersih dan tidak terlibat dalam rasuah dan keganasan.”

Beliau sekali lagi mengingatkan bahawa tafsiran Perlembagaan menuntut pertimbangan sedemikian kerana jika itu tidak dilakukan maka Perlembagaan akan menjadi alat untuk mereka yang berkuasa meneruskan penipuan dan kezaliman.

Setakat ini Shad Faruqi mengambil pendekatan yang menekankan bahawa istana gagal mematuhi Perlembagaan sebagaimana yang dinyatakan oleh Zaid dan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail.

Bagi Dr. Abdul Aziz, beliau tidak bersetuju dengan pendapat mereka kerana beliau berpandangan di bawah teori Perlembagaan seseorang Ketua Negara itu mempunyai kuasa simpanan dan kuasa ini boleh digunakan untuk menyelamatkan negara dan Perlembagaan dari dicengkam oleh ahli-ahli politik yang autokratik dan korup.

Beliau juga berpendapat bahawa sesuatu fatwa perundangan itu mesti berjejak di alam nyata dan mengambil kira apa yang benar-benar berlaku.

“Jika tidak, timbullah keadaan dimana ahli-ahli ilmu menjadi pengampu mereka yang berkuasa,” ujarnya.

Bagaimanapun Majlis Tertinggi Umno dalam sidangnya pada 27 Mac lalu (semalam) mengambil keputusan yang berbeza dari pendapat tiga orang rujukan mereka apabila mereka mengambil keputusan menerima Ahmad Said dan meninggalkan Idris Jusoh!

Umno akhirnya mengakui bahawa untuk survival mereka, parti melupakan nasihat pengampu-pengampu mereka yang jelas tidak melebihkan teori dan membutakan mata kepada kenyataan dan kebenaran yang ada.

Tiada ulasan: