SETELAH melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor pada 19 Mac lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo kini turut terlibat dalam bidang penulisan untuk laman blognya sendiri.
Laman blog yang dilancarkan hari ini dibuat sebagai salah satu saluran kepada bekas Menteri Besar Selangor itu untuk menyuarakan pandangannya terhadap pentadbiran baru kerajaan negeri di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mohamad Khir ketika dihubungi di sini hari ini berkata, laman blog yang beralamat di www.drkhir.blogspot.com itu diwujudkan supaya setiap masalah rakyat diambil kira oleh kerajaan negeri termasuk melaksanakan semua janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
‘‘Saya kini ada banyak masa berbanding sebelum ini yang saya tumpukan terhadap tugas sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO serta Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor.
‘‘Oleh itu, saya gunakan masa yang ada selain memberi tumpuan kepada rakyat di Sungai Panjang, saya turut menyuarakan pandangan dan pendapat melalui laman blog supaya ia dapat dikongsi oleh semua rakyat termasuk kerajaan negeri sendiri,’’ katanya.
Malah, katanya lagi, beliau turut mengalu-alukan sebarang komen daripada semua pihak khususnya jika ia membabitkan masalah rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan