KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Mac 28, 2008

Umno FOR SALE!: Tiada TENGKAH Anak Badawi TOLAK Suara GRASSROOT

Umno dituntut untuk melakukan perubahan dengan mendengar suara akar umbi. Kenapa Umno boleh kalah teruk dalam pilihan lalu – disebabkan kegagalan anak Badawi mendengar suara berkenaan!

By ZULKIFLEE BAKAR

‘TEPAT’ – mungkin itulah perkataan paling sesuai bagi menggambarkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk meneruskan pemilihan parti di peringkat cawangan, bahagian dan MT pada tahun ini.

MT hakikatnya tidak mempunyai banyak pilihan dalam soal berkenaan kerana walaupun ada desakan daripada sesetengah pengerusi perhubungan supaya ia ditangguhkan tetapi suara akar umbi tidak harus diketepikan.

Kini MT benar-benar mendengar suara akar umbi yang mahu ia diteruskan dan ini sekali gus menolak sebarang andaian bahawa pemilihan jika diadakan boleh mendatangkan malapetaka.

Dalam soal ini, MT UMNO dalam keputusannya mengambil kira semua pandangan dan apa yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu sudah memberi isyarat adalah sesuatu yang bahaya jika suara akar umbi tidak dihiraukan.

Berdasarkan keadaan itu, pemilihan akan diteruskan dan ini akan membolehkan ahli-ahli UMNO menggunakan kuasa mereka untuk memilih siapa pemimpin yang mereka mahu demi masa depan parti.

Sebenarnya, sejak awal lagi apabila isu penangguhan ini tercetus, sebahagian pemimpin dan ahli UMNO tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Malahan ada suara-suara nakal yang mempertikaikan apakah sesetengah pengerusi perhubungan UMNO memberi cadangan berkenaan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi demi kepentingan parti atau peribadi.

Oleh itu apabila MT UMNO memutuskan ia diteruskan, ia sudah tentulah melegakan mereka yang menolak penangguhan.

Bagi yang menentang penangguhan pemilihan tersebut, mereka berpendapat apa bezanya diadakan tahun ini dengan tahun depan.

Kalau ada apa-apa perasaan tidak puas hati, ia akan lebih cepat dipadamkan jika pemilihan diadakan, berbanding membiarkan ia ‘tertangguh’ untuk dilepaskan setahun lagi.

Perasaan tidak puas hati yang terpendam ibarat api dalam sekam, kalau dibiarkan ia boleh mencetuskan api yang lebih besar. Ketika inilah malapetaka yang ditakuti benar-benar berlaku.

“Ini adalah pandangan peribadi saya. Bagi saya, kita jangan lari daripada masalah. Kita kena hadapinya. Kita tangguh sampai bila pun masalahnya akan ada juga,” kata Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Di sinilah terletaknya kebijaksanaan pemimpin dan ahli-ahli yang menyokong pemilihan diteruskan. Mereka tahu bahaya yang menanti.

Dalam keadaan UMNO masih lagi bercakap soal keputusan tidak memuaskan dalam pilihan raya umum lalu, adalah lebih baik jika segalanya ‘dilepaskan’ dalam pemilihan kali ini.

Kenyataan Mohamad Hassan supaya UMNO tidak lari daripada masalah disokong oleh pemerhati politik, Profesor Mustapa Mohamed Ishak yang menegaskan, menangguhkan pemilihan parti bukanlah satu keputusan yang tepat.

“Ini kerana ia akan menyebabkan perasaan tidak puas hati ahli membengkak dan boleh mengundang malapetaka kepada parti,” katanya ketika dihubungi.

Bagi Mustapa, istilah ‘malapetaka’ boleh dielakkan jika UMNO mengadakan satu konvensyen bagi membincangkan kekalahan parti itu dalam pilihan raya sebelum perhimpunan agung diadakan.

“Melalui cara ini segala perasaan akar umbi akan dilepaskan di konvensyen berkenaan manakala perhimpunan agung akan menjadi medan untuk merapatkan barisan,” katanya.

Pemilihan

Malahan Mustapa juga dengan tegas menolak andaian malapetaka akan berlaku kalau pemilihan diadakan.

Ini kerana ia boleh disifatkan memperkecilkan kewibawaan dan kewarasan ahli-ahli UMNO dalam berpolitik.

“UMNO sudah berusia 50 tahun, justeru parti itu perlu yakin bahawa ahli-ahlinya mampu berbincang dan berbahas walaupun berhadapan dengan masalah getir,” katanya.

Bagi Mustapa dan beberapa pemimpin yang menyokong pemilihan diadakan, sekarang adalah waktu terbaik untuk UMNO mengadakan perubahan di semua peringkat.

Ini kerana seperti mana kata Mustapa, mahu tidak mahu perubahan sudah berlaku dengan keputusan pilihan raya lalu.

“Oleh itu UMNO dituntut untuk melakukan perubahan dengan mendengar suara akar umbi. Bagi saya kenapa UMNO boleh kalah teruk dalam pilihan lalu – disebabkan kegagalan mendengar suara berkenaan.

“Kalau pemilihan tidak ditangguhkan sudah pasti, parti akan mendapat maklum balas mengenai situasi di peringkat akar umbi sebelum pilihan raya kerana suara akar umbi UMNO adalah juga suara rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, keputusan meneruskan pemilihan ini bukanlah bermakna, ia lesen kepada ahli-ahli UMNO untuk menjatuhkan pemimpin yang mereka tidak sukai.

Adalah lebih baik jika mereka membuat keputusan memilih pemimpin berdasarkan kepada kemampuan pemimpin berkenaan bukan kerana perasaan tidak puas hati.

Namun begitu bagi Mustapa, soal emosi tidak boleh diketepikan memandangkan apa yang dialami oleh UMNO baru-baru ini.

“Tetapi apa yang penting, UMNO akan dapat mendengar suara akar umbi mengenai pemimpin yang mereka yakin mampu membawa perubahan kepada parti supaya ia terus relevan.

“UMNO memerlukan pemimpin yang berwibawa di semua peringkat termasuklah cawangan dan bahagian,” katanya.

Apa pun adalah diharapkan pemilihan kali ini menjadi medan untuk mencari saf kepimpinan yang terbaik dan bukannya gelanggang untuk melepaskan geram atau mempertahankan mana-mana pemimpin.

Ini kerana dalam situasi UMNO sekarang, ia memerlukan saf kepimpinan yang bukan sahaja diterima oleh parti semata-mata tetapi lebih penting rakyat secara keseluruhannya.

Kalau dalam pilihan raya lalu rakyat sudah menolak sesetengah pemimpin, maka ahli UMNO perlu bijak untuk menentukan di mana pemimpin itu seharusnya ditempatkan.

Tiada ulasan: