KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mac 25, 2008

ESOK, Pengganti IDRIS JUSOH Mula BERTUGAS Jadi MB Terengganu!

"Dengan amanah yang diberikan untuk menerajui Terengganu, saya akan menunaikan tanggungjawab ini sebaik mungkin. Insya-Allah saya akan mula masuk ke pejabat Menteri Besar pada pukul 8 pagi. Harap-harap kemelut ini tidak berpanjangan," kata Ahmad Said!

By BERNAMA

ANGGOTA Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said yang menerima watikah perisytiharan pelantikan sebagai Menteri Besar Terengganu semalam berkata beliau akan mula memasuki pejabat Menteri Besar untuk memulakan tugasnya Selasa.

Beliau mengumumkan perkara itu di hadapan penyokongnya yang berkumpul di rumah ibunya, di Teluk Kalong, Kijal sejak pukul 3 petang tadi.

"Dengan amanah yang diberikan untuk menerajui Terengganu, saya akan menunaikan tanggungjawab ini sebaik mungkin. Insya-Allah saya akan mula masuk ke pejabat Menteri Besar pada pukul 8 pagi.

"Harap-harap kemelut ini tidak berpanjangan," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata beliau tidak perlu mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar kerana tiada peruntukan undang-undang mewajibkan perkara itu, selepas menerima watikah perisytiharan pelantikan jawatan berkenaan daripada pihak istana.

Ditanya sama ada beliau akan berpindah ke kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Iman, Kuala Terengganu esok, Ahmad berkata: "belum lagi...nantilah dulu."

Semalam, Ahmad, 51, menerima watikah perisytiharan pelantikan sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) dalam satu upacara tertutup di Istana Tetamu di Kuala Terengganu.

Beliau menerima watikah pelantikan itu daripada Yang Dipertua majlis itu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dengan disaksikan dua lagi anggota MPPR iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Pelantikan beliau itu sekaligus telah mengenepikan Datuk Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang sebelum ini telah mendapat watikah pelantikan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadi Menteri Besar bagi penggal kedua.

Pelantikan Ahmad itu mendapat pelbagai reaksi daripada pucuk pimpinan Umno sendiri termasuk bantahan daripada 22 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu, yang memenangi pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Kemelut pelantikan untuk jawatan Menteri Besar Terengganu telah berlarutan hampir dua minggu sehingga menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

Tiada ulasan: