By BERNAMA
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) membuat laporan polis terhadap pemimpin tertinggi Umno dan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu yang mereka sifatkan sebagai tidak menghormati keputusan Istana Terengganu berhubung isu pelantikan Menteri Besar.
Seramai 12 anggota PKR yang diketuai Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR Malaysia Faris Musa membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu pada 4.30 petang.
Faris kemudian memberitahu pemberita, laporan itu dibuat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, dan 23 ADUN yang telah membantah keputusan pelantikan ADUN Kijal, Datuk Ahmad Said oleh Sultan Terengganu, sebagai Menteri Besar negeri itu.
"Keputusan telah dibuat, seharusnya mereka (Umno) mengambil tindakan untuk menerima dan akur kepada keputusan itu," katanya merujuk kepada pelantikan ADUN Kijal Datuk Ahmad Said sebagai menteri besar.
Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PKR Terengganu, Razali Alias berkata semua pihak yang terlibat agar menangani krisis tersebut dengan berhemah dan berhati-hati terutamanya dalam menjaga hubungan dengan pihak Istana kerana ia amat sensitif bagi orang Melayu.
"Jika tidak dipersetujui sekalipun, suatu kaedah atau tindakan lain yang lebih bersopan perlulah digunakan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan