KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mac 31, 2008

Benarkah BN TUMPAS dek TSUNAMI dan GERILAWAN SIBER?

Tanpa disuruh, gerila-gerila siber ini telah melahirkan ribuan laman untuk “menyerang” pemerintah BN. Teknologi blog telah menyebabkan perang gerila siber menjadi semakin hebat. Kurang dari 3 minit, sebuah blog sudah boleh dimulakan.

By AMIN ISKANDAR

TINJAUAN yang dibuat di beberapa buah negeri sewaktu kempen pilihanraya umum lalu, menyaksikan “jentera BN” tidak bergerak seperti sediakala. Di Selangor, Terengganu dan Kelantan, kempen BN tidak sehebat pilihanraya umum 2004.

Rakan-rakan di Kedah, Pahang, Perak dan Melaka menyuarakan ”kerisauan” mereka mengenai perihal jentera BN itu. Bilik gerakan BN dikatakan kosong dan pekerja parti tidak banyak kelihatan.

Macam-macam teori dikeluarkan dalam menganalisis strategi Umno dan BN. Ada yang mengatakan jentera BN tidak bergerak kerena tempoh kempen kali ini agak panjang (13 hari).

Malahan, ada yang berfikir bahawa BN telah membuat strategi baru yang tidak disedari pakatan pembangkang. Ramai juga yang percaya ketua bahagian Umno “menahan” peruntukan kerana mahu menggunakannya untuk pemilihan agung Umno yang bakal menjelang.

Tajol Rosli Ghazali mengesahkan teori yang pertama. Bekas menteri besar Perak itu - ketika ditanya oleh wartawan mengenai kelesuan kempen BN pada 1 Mac 2008 - dengan angkuhnya beliau berkata bahawa tempoh kempen pilihanraya terlalu panjang dan BN tidak memerlukan masa yang lama untuk berkempen.

“BN tidak perlu berkempen jika pembangkang tidak menabur fitnah. BN hanya turun untuk menjelaskan perkara sebenar bagi menangkis dakyah yang disebarkan pembangkang” katanya dengan penuh keyakinan. (Buletin Tengah Hari, TV3, 1 Mac 2008).

Mungkin kerana kenyataan 'sombong' yang dikeluarkan oleh Tajol Rosli itu, rakyat Perak telah menghukumnya dengan memberikan undi kepada pakatan pembangkang yang akhirnya menyaksikan, buat pertama kalinya, menteri besar Perak dilantik daripada parti yang bukan Umno.

Faktor Anwar Ibrahim

Selepas 10 tahun, inilah pertama kalinya Anwar Ibrahim berkempen dalam pilihanraya umum. Walaupun usianya telah meningkat, kehebatannya berpidato, tidak dapat dinafikan.

Saya sempat menyaksikan siri ceramah Anwar di Machang, Kelantan. Ribuan manusia yang majoritinya “berkopiah putih” khusyuk mendengar pidato politik Anwar. Mereka sesekali tergelak ketika Anwar berjenaka.

Di kalangan ribuan yang hadir itu, terdapat juga hadirin yang kelihatan seperti orang Umno. Untuk apa mereka datang, tidak dapat pula saya pastikan. Tetapi ada kemungkinan, orang Umno ini rindukan bekas timbalan presiden mereka.

Strategi Abdullah-Khairy membubarkan parlimen sebelum Anwar dibenarkan bertanding membawa padah.

Tanpa mempunyai sebarang beban untuk “menjaga kawasan”, Anwar menjelajah ke seluruh negara. Jika Anwar dibenarkan bertanding, tidak mungkin beliau akan mempunyai banyak masa untuk bergerak sebegitu bebas.

Di setiap tempat yang Anwar pergi, pastinya dihadiri ribuan orang. Rakyat yang menghadiri ceramah Anwar terdiri daripada pelbagai kaum.

Di sesetengah tempat, masyarakat Cina dan India kelihatan lebih ramai daripada orang Melayu.

Penerangan bekas menteri kewangan itu tentang bagaimana beliau akan menurunkan harga minyak jika pakatan pembangkang diberi peluang untuk mentadbir negara, mampu meyakinkan rakyat.

Dengan fakta dan bahasa yang mudah, rakyat dapat memahami apa yang cuba diterangkan oleh Anwar.

Tahun lalu, dalam sebuah artikel yang ditulis oleh Jocelyn Tan di akhbar The Star, kumpulan “tingkat empat” yang diketuai menantu Pak Lah mengatakan bahawa Anwar bukanlah lagi satu faktor bagi Umno untuk menghadapi pilihanraya.

Khairy, Norza Zakaria dan Zaki Zahid yang mendakwa mereka mewakili generasi muda di Malaysia, yakin generasi yang mereka wakili tidak terpengaruh dengan Anwar.

Kesombongan kumpulan “tingkat empat” sampai ke kemuncaknya apabila Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Norza Zakaria mencabar Anwar bertanding di mana-mana kerusi di Kuala Lumpur.

Akan tetapi, Anwar tidak dapat menyambut cabaran itu kerana beliau tidak boleh bertanding dalam pilihanraya sebelum 14 April 2008.

Tidak lama lagi, “pantang” bekas timbalan perdana menteri itu akan berakhir.

Jika salah satu kerusi parlimen di Kuala Lumpur dikorbankan oleh mana-mana ahli parlimen pakatan pembangkang untuk Anwar bertanding, beranikah Norza berdepan dengannya?

Gerila Siber

Pembangunan Multimedia Super Corridor (MSC) telah memerangkap pemerintah Malaysia. Rakyat Malaysia kini telah mempunyai satu ruang di mana mereka terdedah kepada pelbagai maklumat tanpa adanya sekatan.

Dengan adanya internet, penguasaan terhadap maklumat telah berjaya dipecahkan. Portal media seperti Malaysiakini, Malaysia Today, Harakahdaily , KL Pos dan banyak lagi, telah menjadi media alternatif kepada rakyat Malaysia.

Dahulu, maklumat boleh dikawal sepenuhnya oleh Umno-BN. Rakyat Malaysia hanya dapat membaca, melihat dan mendengar berita-berita yang disajikan oleh media arus perdana.

Tekanan dan cengkaman yang kuat pemerintah Malaysia terhadap rakyat, dengan menggunakan akta-akta tidak demokratik, telah malahirkan begitu ramai “gerilawan siber”.

Kelahiran gerila siber ini bertambah dari masa ke semasa sehinggakan pasukan “cybertrooper” tajaan Azalina Othman yang baru sahaja dilantik sebagai Menteri Perlancongan, tidak berdaya untuk melawan.

Tanpa disuruh, gerila-gerila siber ini telah melahirkan ribuan laman untuk “menyerang” pemerintah BN. Teknologi blog telah menyebabkan perang gerila siber menjadi semakin hebat. Kurang dari 3 minit, sebuah blog sudah boleh dimulakan.

Kalau tak percaya sila layari http://sopo-sentral.blogspot.com, anda pasti akan terperanjat dengan lahirnya begitu banyak laman blog “sosio politik” di Malaysia.

Serangan demi serangan dari pelbagai penjuru, akhirnya merebahkan BN di beberapa negeri terutama di bandar-bandar yang mempunyai akses kepada internet.

Contoh yang terbaik ialah di Kuala Lumpur di mana pakatan pembangkang berjaya menyapu sembilan daripada 10 kerusi parlimen. Bandar Shah Alam yang selama ini menjadi kubu kuat Umno, jatuh kepada PAS.

Hala tuju Umno dan BN?

Walaupun hilang majoriti dua pertiga BN di parlimen, Abdullah Ahmad Badawi terus menjadi perdana menteri Malaysia bagi penggal kedua. Abdullah tidak menghiraukan desakan dan tuntutan yang mahukan beliau meletakkan jawatan.

Mukhriz Mahathir menjadi pencetus kepada gerakan dalam Umno menuntut Abdullah meletakkan jawatannya.

Beliau mengikut jejak ayahnya yang menghantar surat kepada perdana menteri untuk mendesaknya meletakkan jawatan sebagai bertanggungjawab kepada hilangnya majoriti dua pertiga BN dan beberapa negeri kepada pembangkang.

Dr Mahathir pernah melakukan perkara yang sama selepas Perikatan kalah teruk dalam pilihanraya umum 1969 apabila beliau menghantar surat kepada Tunku Abdul Rahman.

Sebelum ini, Abdullah ketika diminta mengulas tentang surat Mukhriz berkata, beliau menyerahkan kepada Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Tun Hussein untuk mengambil tindakan.

Namun, selepas mesyuarat pemuda Umno semalam, Hishamuddin berkata, Mukhriz tidak dikenakan sebarang tindakan dan menyerahkan balik perkara itu kepada Abdullah sebagai presiden Umno.

Kabinet baru yang diumumkan oleh Abdullah telah menyingkirkan separuh daripada muka lama, dijangka menyemarakkan pertembungan dalam Umno.

Orang Najib Tun Razak telah terkeluar dari senarai tersebut. Kabinet baru ini dijangka membantu Abdullah dalam pemilihan pucuk pimpinan Umno yang akan datang, dan sekaligus mengekang kemaraan Najib.

Walaupun Khairy Jamaluddin tidak diberikan sebarang jawatan menteri, orang-orangnya telah berada “dalam” kabinet dan memegang portfolio penting.

Contohnya, Wan Farid Wan Salleh yang dilantik menjadi senator, memegang jawatan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Sepupu kepada menantu PM, Shaziman Mansor pula dilantik menjadi Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi.

Barisan Nasional (BN) yang ditubuhkan oleh Tun Razak Hussein pada tahun 1973 sebagai satu formula baru selepas kegagalan Perikatan dalam pilihanraya 1969 kini sudah menunjukkan tanda-tanda sudah “expired”.

Kemungkinan besar satu formula baru akan dirancang sebagai langkah untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Persoalannya ialah siapakah yang akan mengepalai formula baru ini? Sempatkah Najib mengikut jejak bapanya? - Malaysiakini.com

1 ulasan:

Letting the time pass me by berkata...

Memang bloggers banyak memainkan peranan terutamanya bagi mendapatkan info-info alternatif... tetapi, BN belum tumpas sepenuhnya, cuma prestasinya merosot... still control federal government + 8 negeri.. BA menang di 5 negeri. This is fact.. so the game is still on... Punca kemerosotan BN kali ini kerana tak puas hati... Rakyat tak puas hati menyebabkan mereka memilih BA... Terlampau banyak maklumat dan pertanyaan serta info-info baru yang diperolehi tidak dapat ditangkis oleh BN, menyebabkan rakyat memberikan peluang kepada BA untuk merubah sesuatu..

Tetapi dapatkah impian Rakyat Malaysia itu direalisasikan? Adakah rakyat akan lebih tersenyum atau terus memendam duka...?