KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mac 27, 2008

Interbiu MB Perak: Menteri Besar BONEKA Hanya MOMOKAN BN Yang Tewas

Sekiranya BN mengenengahkan isu boneka ini banyak sangat, maka ianya akan memberi kesan kepada ketaatan mereka kepada kebawah Duli Tuanku Sultan Perak.

MUQQADDIMAH: SELEPAS dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh, ditambah lebih tujuh jam menunggu termasuk 'memberi laluan' kepada kunjungan hormat Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah selama setengah jam, di samping menanti tiga mesyuarat membabitkan pegawai kanan kerajaan negeri, akhirnya Harakah berpeluang mewawancara Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di pejabat Perhubungan PAS Perak, Jumaat, 21 Mac lalu.

Biarpun kesibukan membatasi, beliau dengan sikap tenang meluangkan masa kira-kira 45 minit dengan penuh bersemangat dan mesra melayan wawancara Ketua Pengarang Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN bersama wartawan AZAMIN AMIN.

Pertemuan berharga itu tamat jam 6.40 petang bagi memberi ruang kepada beberapa pimpinan DAP Perak yang menunggu giliran mengadakan perbincangan dengan beliau, khususnya mengenai potfolio Exco Kerajaan Negeri.

HARAKAH: Bagaimana perasaan Tuan Haji setelah dilantik menjadi Menteri Besar Perak?

IR MOHAMMAD NIZAR: Syukur alhamdullilah buat masa ini ketiga-tiga parti di negeri Perak ini telah bersetuju untuk menerima PAS sebagai peneraju dan memberi sokongan kepada perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang melantik saya sebagai Menteri Besar.

Oleh itu, 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), 18 DAP, 7 KeADILan dan 6 PAS bersetuju sebulat suara, kesemuanya menyokong saya sebagai Menteri Besar tanpa berbelah bahagi. Jadi penubuhan kerajaan campuran ini adalah di atas dasar ingin melaksanakan kerajaan yang adil, yang amanah, berkebajikan, telus dan berwibawa.

Apabila saya diberi amanah untuk menerajui kerajaan campuran ini sudah tentulah perasaan saya adalah pertamanya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT.

Yang keduanya perasaan cemas. Kenapa cemas... sebab ia merupakan suatu suasana yang belum pernah diterokai oleh mana-mana pihak khususnya di negara ini.

Jadi kita tidak ada garis panduan, kita tidak ada nasihat daripada mana-mana pihak dan jika kita nak cuba rujuk kepada 'set-up' yang ada di Kelantan jauh sekali, modul yang ada di Kedah juga tidak bersesuaian, contoh yang ada di Pulau Pinang jauh berbeza, dan set-up di Selangor juga tidak boleh dimanfaatkan.

Akhirnya pimpinan PAS terpaksa bekerjasama dengan KeADILan dan DAP bagi membincangkan jalan tengah yang boleh diterima walaupun tidak sepenuhnya.

Oleh itu terbit perasaan cemas, perasaan takut dan rasa ngeri pun ada. Malah ada juga perasaan pilu...

Tetapi dalam banyak-banyak perasaan ini yang membuatkan saya 'boleh pergi' (mampu meneruskan tanggungjawab) itu adalah perasaan keyakinan kepada Allah SWT.

Kerana ini adalah perkara yang tidak pernah dimimpikan oleh PAS Perak, jadi kita rasakan apabila ia ditakdirkan begitu, sudah pastilah Allah SWT memberikan jalan keluar sesuai dengan firman-Nya dalam surah At-Talaq yang bermaksud apabila '...kita bertawakal kepada Allah maka dia-Nya akan memberi jalan keluar...'

Itulah pengharapan yang tinggi membuatkan kami di Perak ini khususnya pimpinan daripada al-Fadil Ustaz Ahmad Awang selaku Naib Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Perak bersama seluruh sembilan orang lagi ahli harian yang lain.

Sebab kita hanya minta hari itu (pilihan raya umum) nak menang, kot boleh pun jadi pembangkang, habis-habis hebat pun jadi pembangkang yang kuat, tetapi Allah ini Maha Mengetahui benda-benda sedemikian.

Sehingga satu lonjakan yang kita tidak boleh duga, penghormatan daripada parti KeADILan dan DAP kepada kami pun menunjukkan ini pun ada merupakan kurniaan Allah. Jadi kita terima ketetapan itu.

HARAKAH: Bagaimana pula dengan proses awal penubuhan kerajaan campuran dan lantikan Tuan Haji selaku Menteri Besar yang pada mulanya mengundang perselisihan faham?

Berkenaan dengan masalah yang kita hadapi dalam penubuhan itu, sudah tentu adalah perselisihan faham. Terengganu yang mana kerajaan majoritinya adalah Umno, yang orang satu agama satu bangsa pun ada masalah, apatah lagi kami di sini.

Dan tiga parti, dan tiga bangsa maka sudah tentulah masalah jauh lebih besar tetapi alhamdulillah dengan kaedah-kaedah dan pengharapan yang tinggi itu, maka dapat dilaksanakan sehinggalah sampai ke tahap Menteri Besar itu boleh mengangkat sumpah.

Alhamdullilah buat masa ini, perasaan takut dan cemas tadi semakin berkurangan walaupun masih lagi kadang-kadang itu perasaaan bimbang kerana yang nak kita hadapi ini adalah perkara yang tidak menentu.

Jadi yang kita buat 'jambatan' ini, yang boleh menyeberang satu anak sungai tetapi banyak lagi sungai-sungai yang di depan itu yang mana jambatannya belum kita ketahui ada atau sebaliknya. Itulah perasaan yang dicurigai dan menghantui.

Walau bagaimana pun pengharapan kepada Allah itu masih kuat dan kita berkeyakinan suasana yang ada pada hari ini adalah merupakan ketentuan-Nya, jadi kita menerima.

HARAKAH: Tuan Haji banyak menyebut bahawa Tuan Haji bukanlah menteri besar PAS, KeADIlan dan DAP tetapi menteri besar seluruh rakyat namun rakyat di bawah atau mungkin ada suara-suara daripada orang kecewa dengan pilihan raya lepas memomokan yang Tuan Haji ini menjadi boneka kepada DAP?

Saya tidak nafikan tanggapan sebegitu rupa memang ada terutama daripada musuh tradisi PAS iaitu BN. Walau bagaimanapun pada hakikatnya hari ini, pada awal-awal lagi DAP dan KeADILan memberi sokongan sepenuhnya terhadap pemerintahan dan teraju ini kepada PAS.

Yang keduanya segala syarat-syarat yang ditetapkan untuk sampai ke tahap membina kerajaan yang berteras kepada nilai-nilai universal ini, diterima oleh KeADILan dan diterima oleh DAP.

Yang ketiganya jika ianya dianggap sebagai boneka, sudah tentulah beberapa portfolio-portfolio yang penting dalam kerajaan negeri Perak akan cuba dikuasai oleh mereka.

Tetapi setakat ini segala-gala portfolio yang besar-besar, yang dasarnya adalah dasar yang kukuh ianya diserahkan kepada Menteri Besar.

Saya tidak nafikan tanggapan itu akan berterusan.

Yang keempatnya, perjalanan saya dengan masyarakat sepanjang 10 hari setelah menerima titah angkat sumpah menjadi menteri besar itu, penerimaan masyarakat berbilang kaum sama ada daripada Cina mahupun India cukup-cukup baik dan amat mengkagumkan.

Pada satu sesi di mana ada hampir-hampir 6,000 anggota masyarakat Cina, saya diminta untuk berucap sedikit, boleh katakan dari segi penerimaan itu amat menggalakkan dan menakjubkan.

Dan saya merasakan tanggapan negatif itu tidak benar dan memang kita terima hakikat ini bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan campuran dan saya tidak mewakili mana-mana parti dan individu.

Saya mewakili keseluruhannya. Cuma masa dan waktulah yang akan membuktikan sama ada ianya boleh ataupun tidak.

Dan seperkara lagi yang tidak menunjukkan ia boneka ialah apabila DAP merancang untuk memulaukan sesi angkat sumpah itu dan saya sempat membincangkan perkara-perkara tersebut dengan Paduka Tuanku yang menyebabkan dikeluarkan satu kenyataan rasmi pimpinan DAP memohon keampunan daripada Tuanku Sultan Perak.

Akhirnya pada 17 Mac, Yang Berhormat Lim Kit Siang sendiri telah mendapat titah daripada Paduka Sultan untuk beliau bukan sahaja hanya membuat kenyataan tetapi secara fizikalnya memohon ampun dan itu merupakan satu penghormatan yang mana unsur-unsur boneka itu tidak wujud.

Maknanya akhir-akhirnya kembali kepada tahap menghormati keputusan yang dibuat oleh Paduka Seri Sultan Perak.

HARAKAH: Tempoh hari di Perak, ada juga beberapa perhimpunan awal yang didalangi oleh Umno dalam soal untuk membangkitkan sentimen melayu mungkin dan bagaimana situasi serta keadaan sekarang di peringkat bawahan ini?

Pada awal-awalnya memang ada, satu barisan tindakan yang dipelopori oleh penyokong Umno barangkali, cuba mengadakan perhimpunan di Padang Polo, namun oleh kerana ketiadaan permit ianya telah berubah ke satu lokasi yang lain tetapi sambutannya agak hambar kerana mereka juga agak tersepit.

Kerana sekiranya mereka mengenengahkan isu boneka ini banyak sangat, maka ianya akan memberi kesan kepada ketaatan mereka kepada kebawah Duli Tuanku Sultan Perak.

Oleh itu mereka cukup berhati-hati dan apa yang mereka utarakan adalah menghormati keputusan dan mereka minta orang yang hadir itu menghormati keputusan daripada Istana.

Jadi untuk itu walaupun mereka nak mengelurkan kenyataan boneka ini, mereka agak tersepit kerana apabila mereka sebut, sudah tentulah mereka tidak menghormati keputusan Istana.

Dan Istana melantik saya sebagai menteri besar adalah berdasarkan kepada faktor-faktor dan penilaian oleh Tuanku sendiri terhadap tiga calon yang diutarakan untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Jadi ketiga-tiga calon ini telah dianalisis secara terperinci dalam semua aspek oleh Paduka Seri Sultan dan apabila istana membuat kenyataan memperkenankan dan bertitah bahawa pimpinan daripada PAS yang mana Mohammed Nizar ini menjadi menteri besar, maka dengan sendirinya kalau mereka bertindak 'membonekakan' iaa akan sampai ke tahap tidak menghormati keputusan.

HARAKAH: Selain disebutkan soal menterjemahkan manifesto pilihan raya, kerajaan adil beramah dan berkebajikan, mungkin boleh dirumuskan dalam bentuk yang boleh menunjukkan misi Tuan Haji sendiri di Perak?

Yang khususnya apa yang nak saya sampaikan kepada penduduk di Perak adalah...kerana rakyat Perak kombinasi kaumnya menunjukkan bahawa kita tidak boleh bangkitkan dalam isu-isu bangsa dan kaum ini sangat.

Sebab masyarakat Cina boleh dikatakan ada sekitar 41 peratus manakala Melayu 50 peratus dan selebihnya kaum-kaum lain.

Untuk itu apa yang ingin saya sampaikan selain nilai-nilai unversal itu, adalah kerajaan ini adalah kerajaan mesra rakyat, mesra perniagaan, mesra pelabur dan mesra fahaman ataupn mesra agama.

Oleh itu rakyat di negeri Perak faham bahawa kerajaan ini tidak akan meninggalkan dan menganiaya bangsa lain kerana teras kita adalah mesra rakyat, mesra perniagaan, mesra pelabur dan mesra fahaman dan mesra agama.

Malah secara khususnya kita dalam usaha nak menterjemahkan nilai-nilai universal tadi dalam konteks peradabadan dan perjalanan kerajaan ini ...insya-Allah. - Harakahdaily

Tiada ulasan: