KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Mac 28, 2008

PAS Sokong Usaha BOIKOT Utusan Malaysia dan TV3

Mahfuz Omar yakin boikot boleh mendatangkan kesan besar contohnya sebagaimana dilaporkan Audit Bureau of Circulation (ABC) bahawa apabila berlaku sesuatu kes sesebuah media itu boleh jatuh.

By ROY RASUL

KETUA Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata, PAS menyokong penuh hasrat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim dan lima negeri kerajaan baru yang diperintah pembangkang untuk menimbangkan saranan memboikot TV3 dan Utusan Malaysia.

Bahkan katanya, cadangan itu perlu dibuat secara serius kerana laporan-laporan media tersebut terlalu teruk.

Dakwanya, laporan media yang berat sebelah dan tidak memberi laporan yang tepat mempunyai agenda yang jahat untuk menimbulkan kekacauan kepada kerajaan-kerajaan negeri barisan pembangkang adalah untuk menimbul kekacauan di kalangan rakyat.

"Saya tahu media negara kita tidak berperanan sebagai media untuk memberi laporan yang betul dan tepat seterusnya mendidik masyarakat dalam negara kita.

"Sebaliknya mereka memberi laporan-laporan yang dimanipulasi untuk mencetuskan suasana yang tidak harmoni di kalangan kehidupan rakyat di negara kita khususnya negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang," katanya yang dihubungi Harakahdaily semalam.

Justeru itu, katanya, pertimbangan itu wajar kerana dalam suasana sekarang pemboikotan akan berhasil dan berjaya jika betul-betul dilaksanakan.

Dalam blog Anwar baru-baru ini, beliau berkata, akhbar Utusan Malaysia dan TV3 masih beranggapan pilihan raya umum belum selesai.

Malah katanya, media milik Umno terus membelasah KeADILan, PAS dan DAP.

Kata Anwar, mereka meniupkan sentimen kaum dan mengalih perhatian khalayak dari krisis kepimpinan Umno, penipuan Suruhanjaya Pilihan raya dan krisis Terengganu.

"Maka ramai kalangan yang mengusulkan agar kerajaan negeri pakatan rakyat, parti, NGO dan rakyat amnya diajak memulau kedua media tersebut.

"Saya, pimpinan parti dan kerajaan negeri sedang menimbangkan saranan tersebut," Anwar dipetik.

Bagaimanapun, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, mereka harus menentukan media mana yang sepatutnya perlu diboikot.

Oleh itu katanya perlu ada perbincangan di kalangan parti pembangkang dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau menegaskan di belakang Barisan Alternatif (BA) mempunyai 49 peratus pengundi yang mengundi pembangkang di seluruh negara.

"Jadi mereka jangan anggap kita seperti dulu. Jika kita menggerakkan usaha ini saya percaya kesan buruk akan dihadapi oleh pihak media dan saya memberi amaran jangan sampai ke peringkat kami bertindak," tegasnya.

Oleh sebeb itu katanya, mereka masih ada ruang dan masa untuk memohon maaf di atas laporan pembohongan media berkenaan dan sebagai media yang beretika mereka perlu berbuat demikian.

Sementara itu, Pengurus Koporat Fomca, Mohd Yusuf Rahman berpandangan BA serta penyokong-penyokongnya mempunyai hak untuk memboikot media berkenaan berdasarkan siaran dan laporan yang dibuat akhbar Utusan Malaysia dan TV3 tidak memihak kepada mereka.

Cuma katanya, jika dilakukan pengguna biasa agak sukar sikit.

Ini kerana katanya, maklumat yang dikeluarkan sama ada TV3 atau Utusan Malaysia banyak yang perlu diketahui para pengguna.

Bagaimanapun, beliau yang ditemui di Pejabat Iklan Harakah, dekat sini, hari ini berkata, BA tidak perlu memberi sebarang amaran.

"Saya rasa kalau mereka merasakan bahawa TV3 dan Utusan memang berat sebelah mereka boleh terus memboikot," katanya.

Tambahan pula katanya, BA sudah lama menghadapinya.

"Sekarang ini mereka boleh mengambil dua pendekatan iaitu pendekatan yang agak radikal di mana tanpa memberi amaran untuk terus boikot dan langkah kedua di segi diplomasi maksudnya memberi amaran dulu bagi tempoh tertentu.

"Umpamanya sekiranya gagal memberi laporan yang tak seimbang mereka boleh menjalankan kempen boikot," jelasnya.

Katanya, ini kerana boikot boleh mendatangkan kesan besar contohnya sebagaimana dilaporkan Audit Bureau of Circulation (ABC) bahawa apabila berlaku sesuatu kes sesebuah media itu boleh jatuh.

Malah katanya, masyarakat hari ini boleh beralih kepada media alternatif termasuk melalui internet.

Namun katanya, adalah lebih baik BA memberi pilihan media lain dahulu kepada rakyat sebelum memboikot sesebuah media.

"Sebab apabila semua media terlibat pengguna tidak ada pilihan dan ini menyebabkan boikot itu gagal.

"Contoh tindakan Persatuan Pengguna memboikot ayam suatu ketika dulu, ia tidak berjaya kerana harga ikan pun mahal dan kita pun tidak ada alternatif lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap, pengamal media perlu seimbang sama sama ada versi kerajaan atau pembangkang.

"Masyarakat sekarang ingin satu perubahan dan mereka juga berharap bahawa liputan berita perlu seimbang.

"Kita khuatir jika liputan tidak seimbang pengguna sendiri memboikotnya walaupun tanpa adanya kempen memboikot media," katanya lagi.

Tiada ulasan: